Assalammualaikum dan Salam Sejahtera semua.
Kali ni saya nak kongsi resipi dari Turki yang agak popular juga, namanya Imam Bayildi (Imam pengsan). Katanya, bila seorang imam di zaman awal Turki Uthmaniyah makan resipi terung bakar ni, dia rasa sedap sangat sehingga jatuh pengsan bila menikmati kesedapannya. Maka, teruslah nama menu ni melekat sempena kejadian imam tu. Entah benar atau tu, wallahu a'lam.
Bahan untuk menu ni insyaAllah senang dapat dan murah. Cuma jika tiada minyak zaitun, boleh guna minyak sayuran. Ini resipinya.
Bahan-bahan:
4 biji terung panjang
4-5 tangkai cili hijau
2 biji tomato
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
Minyak zaitun
1/4 cawan air
Garam dan lada hitam secukup rasa
Penyediaan:
1. Panaskan oven pada suhu 170c. Potong kulit terung secara berselang. Ini bagi memudahkan isi terung dalam masak. Setelah siap, basuh terung dan kemudian lap kering dengan tisu dapur. Letakkan terung atas tray besar dan kemudian sadurkan dengan minyak zaitun dan garam. Masukkan tray berisi terung dalam oven dan bakar sehingga terung menjadi separuh lembut.
Sadurkan terung dengan minyak zaitun dan garam
Masak terung hingga separuh masak
2. Sementara menunggu terung masak, kita sediakan inti Imam Bayildi. Hiris bawang besar dan bawang putih. Hiris nipis cili hijau. Dadukan tomato tapi buang isi tengah yang berair tu.
3. Panaskan kuali dan letakkan sedikit minyak zaitun. Bila minyak panas, masukkan bawang besar dan kacau sebentar dan kemudian masukkan bawang putih. Kacau mesra. Masukkan pula cili hijau, kacau sekejap dan masukkan tomato pula. Gaul mesra. Masukkan air. Kacau sebentar dan taburkan lada hitam dan garam secukup rasa. Masak sebentar. Siap. Angkat.
4. Setelah terung masak, letakkan atas pinggan besar dan kopek tengah terung dengan sudu dan garfu. Jangan kopek hingga habis ke bawah, setengah aje.
5. Masukkan inti tomato cili tadi ke tengah terung. Kira macam terung sumbat dah ni. Letakkan dalam loyang kembali. Siapkan semua terung. Bakar kembali dalam oven selama 10 - 15 minit (bergantung pada saiz terung).
6. Setelah masak, hidangkan di atas piring besar yang berisi puree tomato dan taburkan dengan daun oregano atau parsli. Siap untuk dimakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan