Assalammualaikum dan salam sejahtera. Perancangan kita vs perancangan Allah selalunya berbeza tapi ada waktu ia seperti apa yang dirancangkan. Hidup perlu ada rancangan, impian dan cita-cita. Kerana ini semua mendorong kita untuk melakukan apa sahaja yang menjurus tercapainya hasrat tersebut. Dari kecil contohnya, kita didedahkan untuk berusaha mengenal huruf, angka, belajar ilmu baru, praktikkan ilmu, hadapi peperiksaan, belajar berkenalan dan sebagainya. Ini semua dirancang dan dipersiapkan untuk kita agar membantu menjadikan diri seorang manusia yang berguna, bermanfaat, baik dan berilmu apabila dewasa kelak.
Konsep merancang ini perlu ada dalam membina kekuatan dan keyakinan diri. Sebagai contoh, kita merancang untuk berjaya dalam bidang yang diminati, ingin memiliki rumah atau kenderaan yang hebat, bercuti ke luar negara ataupun menjadi pemain sukan yang ternama. Kesemua ini menuntut kita untuk merancang dengan teliti bagaimana untuk menguruskan diri, masa, latihan, pekerjaan, hubungan dengan pencipta dan sebagainya. Namun, meskipun kita telah merancang sebaik mungkin, tiba-tiba perancangan Allah yang tidak terduga muncul. Muncul dengan cara bagaimana? Selalunya ia muncul dalam bentuk musibah, kecelakaan, kesakitan, tekanan, kekurangan, kekayaan, populariti yang amat sangat ataupun peperangan. Dari sinilah kita diuji pula dengan bersangka baik. Ya, saya diuji dengan dua dari perancangan Allah ini. Saya akui, hampir mengalah untuk teruskan hidup tapi ada satu yang menguatkan saya iaitu 'Aku ada Allah. Aku ada Tuhan'.
Bagaimana saya hendak bersangka baik pada musibah dan dalam pada masa ia mengganggu proses saya menjadikan impian satu realiti? Banyak cita-cita saya seolah terbengkalai dan tercicir ke belakang. Jika diingatkan kembali, rasa down masa itu dalam 80%. Untuk bangkit, ia tidak mudah. Bertahun saya bertahan dan membina kembali kekuatan diri. Hanya Allah tahu betapa banyak air mata yang gugur mengadu pada dia, meminta ampun dan berharap Dia bantu saya bersemangat kembali dalam hidup ini. Syukur teramat syukur, meskipun proses untuk bangkit itu makan masa bertahun, tetap juga Allah bantu. Perlahan tapi pasti.
Perancangan Allah ini pada awalnya memang sukar untuk saya bersangka baik. Bagaimana hendak bersangka baik jika selepas satu, satu dan satu ujian datang menimpa. Antara yang saya boleh kongsikan ialah ia tentang ujian belajar, ujian kerjaya dan ujian zuriat. Perkara ini berlangsung saya rasa hampir 10 tahun. Dalam pada masa tersebut, perlahan-lahan Allah sebenarnya didik hati saya, tukar persepsi saya dan belajar untuk percaya pula pada perancangan Dia. Allah bantu saya dekatkan diri pada Dia, banyakkan belajar ilmu baru dan berusaha menghargai apa sahaja dalam hidup ini. Perancangan Allah ini memang very unexpected and can't imaginable. Tapi itulah, bila Allah beri kita ilmu baru, maksudnya dia sedang rawat hati kita untuk perkara yang lepas dan berusaha bangkit untuk masa hadapan.
Sebagai contoh saya (haruslah saya kan takkan orang lain, hehehe...), dulu saya tak berapa tahu langsung tentang hadis Nabi s.a.w Saya tahu kita berpegang pada al-Quran dan sunnah tapi apa sunnah yang ditulis dalam hadis, saya tak tahu sangat. Sehinggalah ditakdirkan saya sakit, saya berhenti kerja dan kemudiannya berniaga buku, barulah saya kenal apa itu hadis. Dari buku-buku hadis dan sirah yang suami beli (dia beli buku agama selalunya dan saya beli novel & buku umum), saya baca. Dari situ, saya banyak belajar dan praktikkan sedikit dari apa yang dibaca. Rupanya, bila kita baca buku hadis, baca terjemahan al-Quran, baca buku sirah dan motivasi diri, sebenarnya ia menjadi antidot utama untuk kesihatan diri, mental, emosi dan fizikal. Buku-buku hadis Nabi s.a.w yang saya baca seperti ubat penyembuh bagi diri yang sakit dalaman (mostly), firman Allah yang dibaca terjemahannya juga seperti peringatan emosi kenapa dan kenapa perkara seperti ini berlaku dan apa yang perlu dilakukan.
Perancangan kita VS perancangan Allah membuatkan kita banyak muhasabah diri. Mengajar kita untuk banyak bersangka baik pada perkara yang berlaku yang kita tidak suka. Sangka baik bukan sesuatu yang mudah tetapi sebenarnya kita perlu didik hati yang degil dan pada masa yang sama menjaga mulut agar mengucapkan perkara-perkara baik buat memujuk diri sendiri. Ingatkan diri bahawa, ucapan yang baik itu adalah doa. Allah berpesan dalam al-Quran:
"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
(al-Baqarah 2: 216)
(al-Baqarah 2: 216)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan