Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Nasi kukus ayam goreng berempah resipi Khairulaming + sis in law, macam kedai bau rumah rasanya


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Dek kerana bulan puasa adalah bulan Khairulaming menyerlah sejak 9 tahun lalu, makanya puasa hari ke-6, saya buat nasi kukus ayam goreng berempah resipi KA ni. Serius penat bila buat sengsorang plus dok ralit mata dok pandang henset, pandang dapur, ke hulu ke hilir kat dapur. Belum lagi kena settlekan si bulus punya makanan dulu. Malam aje, terasa nak pengsan 😅

Anyway, berbaloilah resipi kali ni. Saya dapat belajar ilmu baru nak mengukus nasi, buat sambal yang sedap dan kuah kari nasi kukus. Yang bab ayam tu, saya guna resipi adik ipar plus KA juga (tak lari jauh pun bezanya).

Meh saya kongsikan step by step buat nasi kukus ayam goreng ni. Anda perlukan at least 2 jam di dapur untuk siap. 

Bahan untuk ayam goreng berempah:
1/2 ekor ayam dipotong ikut saiz yang disukai
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci lengkuas
2 sudu besar serbuk kunyit
1 1/2 sudu kecil garam
5 batang serai
1 sudu besar rempah kari
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar biji ketumbar
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
3 tangkai daun kari
Sedikit air untuk kisar bahan
Minyak untuk menggoreng


Penyediaan:
1. Masukkan ke dalam pengisar bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, serai, biji ketumbar, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih dan sedikit air. Kisah hingga 90% lumat. Tips penting: Tapis bahan kisar ini dan masukkan hanya bahan kisar dengan 1/4 cawan air kisar ke dalam mangkuk berisi ayam. 
2. Masukkan serbuk kunyit, garam, rempah kari, serbuk cili dan 1 tangkai daun kari ke dalam mangkuk ayam. Gaul mesra kesemua bahan tadi. Perap sekurang-kurangnya 1 jam.
3. Bila hendak menggoreng, panaskan minyak dalam kuali guna api sederhana. Tips penting: Goreng ayam sahaja tanpa bahan kisar rempah ratus tadi. Setelah semua ayam siap digoreng, barulah goreng bahan kisar lumat tadi. Goreng guna api sederhana dan masukkan baki daun kari 2 tangkai tadi ketika menggoreng. Goreng sehingga warna bertukar menjadi coklat. Angkat dan tapis minyaknya.
4. Setelah minyak tersejat, taburkan rempah goreng tadi ke atas ayam goreng. Hiaskan dengan daun kari dan cili padi.

ayam goreng berempah

Bahan untuk nasi:
2 pot beras
Air untuk memasak dan mengukus
Periuk kukus


Penyediaan:
1. Basuh beras macam biasa. Kemudian, masukkan beras ke dalam loyang atau mangkuk kecil untuk memasaknya dalam pengukus (saya guna loyang besi masak kek tu aje). Masukkan air ke dalam mangkuk/loyang beras. Untuk sukatan air, lebihkan sedikit air dari paras beras yang nak dimasak (jangan banyak sebab takut lembik bahagian bawah dan atas sahaja elok). 
2. Masukkan air dalam periuk pengukus lebih kurang 3 liter. Masukkan juga rak berisi loyang beras atasnya. Panaskan periuk guna api sederhana dan kukus beras lebih kurang dalam 25-30 minit. Jenguk periuk bila rasa nasi dah nak masak. Gemburkan skit dan siap.

nasi kukus

Bahan untuk kuah kari:
1 biji bawang besar
2 inci halia
5 ulas bawang putih
1 bunga lawang
1 batang kayu manis
3 biji buah pelaga
5 biji cengkih
sedikit minyak untuk menumis
3 sudu besar cili kisah / cili boh
3 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar rempah kurma
3--5 ketul kecil ayam (korang nak letak ayam besar pun boleh)
1 liter air
1 kotak kecil santan
1/4 cawan gula melaka
Sedikit garam
1 batang lobak merah dikerat 8
1 biji kentang dipotong 6

Penyediaan:
1. Dalam pengisar, masukkan bawang besar, halia, bawang putih dan sedikit air. Kisar halus.
2. Panaskan kuali/periuk dan letakkan sedikit minyak untuk menumis. Setelah minyak panas, masukkan rempah 4 sekawan tu dan kemudian bahan kisar. Masak sehingga naik bau dan sedikit garing. Setelah garing, masukkan pula cili kisar. Masak sebentar dan masukkan 1 cawan air. Masak sebentar cilinya sebab jika cili tak masak betul, boleh sebabkan kita sakit perut. 
3. Setelah masak cilinya, masukkan pula rempah kari dan rempah kurma. Kacau dan masak sebentar dan kemudian masukkan ayam. Biarkan ayam masak sebentar baru masukkan baki air dan santan. Kacau sesekali hingga mendidih. 
4. Setelah mendidih, masukkan gula melaka, lobak merah dan kentang. Masak sehingga lobak dan kentang sedikit lembut. Akhir sekali, masukkan garam secukup rasa. Kacau sebentar dan siap. 

Kari nasi kukus

Bahan sambal belacan:
3 tangkai cili besar
15 tangkai cili padi
1 inci belacan bakar
7 biji limau kasturi diambil jusnya (tapis sebab tak mahu biji)
2 biji limau kasturi dibuang biji 
2 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam
1/3 cawan air

Penyediaan:
1. Masukkan semua bahan ke dalam pengisar dan kisar 90% halus. Siap.

sambal belacan nasi kukus

Untuk sayur, mungkin anda boleh potong timun, celur kangkung ataupun bendi. Siap nasi kukus ayam berempah kita untuk makan seisi keluarga

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...