Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Menulis jurnal kesyukuran, antara terapi diri untuk kekal positif dan sangka baik

 


Menulis jurnal kesyukuran merupakan antara terapi saya berusaha mengekalkan diri untuk positif dan bersangka baik. Alhamdulillah, sudah melebihi 3 tahun saya menulis jurnal kesyukuran ini. Rasanya semenjak covid-19 bermula. Sebelum ini, masa belajar di sekolah menengah dan beberapa tahun di universiti, saya ada menulis diari. Cuma bezanya antara diari dan jurnal kesyukuran, diari, saya banyak meluahkan rasa tidak puas hati, sedih dan stres berbanding rasa syukur atau perkara baik. Saya berhenti menulis diari pada waktu itu kerana diejek oleh rakan sebilik kerana menulis diari. Saya tak ingat apa dia kata, tapi akibat kata-katanya itu, saya berhenti menulis (jika difikirkan balik, hikmahnya, saya tidak meneruskan diri menulis perkara-perkara negatif). 

Mungkin ada susur galur atau DNA dalam gen ibubapa atuk nenek saya sebelum ini yang suka menulis, jadi tabiat menulis ini sukar dihentikan. Daripada menulis jurnal akademik sehinggakan ke buku cerita kanak-kanak, novel pendek, blog hingga ke status di medsos, saya terus menulis. Dan oleh kerana menulis mampu membebaskan jiwa saya untuk berkongsi ilmu yang ada, berkongsi kisah yang menarik juga mendokumenkan travelog kisah diri, Allah perkenalkan saya dengan gratitude journal atau jika diterjemahkan ke Bahasa Melayu sebagai Jurnal Kesyukuran. 

Satu malam, sedang saya scroll website Big Bad Wolf yang sedang buat promosi akhir tahun (rasanya akhir tahun), saya jumpa satu buku murah bertajuk 'A simple act of gratitude'. Saya baca sinopsisnya. Menarik. Jadi, saya belilah sekali dengan novel inggeris yang lain. Bila dapat buku ni, saya baca skit. Mula-mula macam tak berapa faham sebab penulisnya menceritakan tentang masalah-masalah yang dihadapi sekelilingnya. Selepas masuk bab kedua dan ketiga, baru saya seronok membacanya sehinggalah bab akhir. 


Saya mempraktikkan perlahan-lahan apa yang ditulis dalam buku ni. Saya ditakdirkan jumpa sekotak kad direka khas untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita hajati. Dalam box ni ada 20 keping kad berserta sampul. Terus saya beli. Jadinya, kad-kad ini saya tulis ucapan terima kasih dan kata-kata semangat dan berikan kepada beberapa orang ahli keluarga saya bila kami berjumpa semula selepas beberapa bulan tak berjumpa dan kena kuarantin (masa ni tahun covid melanda ya). Tak lama lepas tu, saya berusaha meminta alamat kawan-kawan sekolah. Saya berikan mereka kad ucapan Selamat Hari Raya dan duit raya syiling (mereka happy menerimanya). Masa ni saya belum menulis jurnal kesyukuran lagi. Waktu awal-awal ini, saya juga berusaha untuk mengucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang ditemui dan membantu saya. Kerana, tanpa mereka, urusan saya pasti tergendala atau tersekat.

Tak lama lepas tu, tengah dengar Spotify dari Oprah Winfrey, saya terdengar kisah beliau bercerita tentang Gratitude Journal dan kelebihan menulisnya. Jadinya, saya cuba cari info tentang gratitude journal ni dan cari buku yang ada berkaitan dengannya. Dan terima kasih sekali lagi kepada Big Bad Wolf kerana telah memperkenalkan saya pada buku 'The gratitude diaries' karya Janice Kaplan. 

Bila baca buku ni dalam 3 bab pertama, saya rasa seperti tak sabar-sabar untuk menulis jurnal kesyukuran. Bukan sahaja tak sabar untuk menulis tetapi juga belajar menghargai orang sekeliling dan mengucapkan kata-kata baik. Saya mulakan dengan menulis jurnal dalam buku nota hardcover hadiah daripada bank. Dari situ, setiap hari saya cuba menulis 3-5 perkara baik yang berlaku kepada diri. Sambil menulis, saya tetaplah membaca info lain tentang kesyukuran dan buku motivasi. Kerana, saya mahu hidup dalam keadaan yang hatinya aman, tidak berdendam atau cemburu juga ingin perbaiki diri mana yang kurang. 

(kita sambung kembali dalam kisah ke-2)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...