Ada banyak kisah benar dalam buku ini yang membuatkan saya seolah-olah diberi peluang kedua untuk kembali hidup tenang, gembira dan jauh dari ketakutan (sebelum ini, saya sering mengalami rasa takut dan ketidakpastian yang tinggi). Kisah pertama yang membuka minda saya ialah kisah seorang lelaki yang kematian 2 orang anak perempuan dalam masa setahun. Dia menjadi terlalu tertekan, emosi terganggu dan mula hilang keyakinan diri. Dia jumpa 2 doktor yang mana doktor pertama menyaran dia mengambil ubat tidur dan doktor kedua menyarankan dia untuk bercuti. Dia lakukan kedua-duanya tetapi tidak ada satu pun yang membantu dalam jangka masa panjang. Ditakdirkan satu hari, anak lelakinya yang seorang meminta dia membina sebuat bot mainan. Pada awalnya dia tidak mahu tapi oleh kerana anaknya itu merayu-rayu, jadi diturutkan. Dia membina bot mainan itu selama 3 jam.
Sebaik selesai, baru dia tersedar dalam masa 3 jam dia membina bot itu, fikirannya seolah tidak terfikir langsung akan masalah emosi yang dihadapinya sebelum ini. Menurutnya, itu pertama kali dalam beberapa bulan mindanya berasa tenang dan tenteram. Penemuan itu membuatkan dia berfikir sejenak. Kesibukan diri membina bot telah menghilangkan perasaan bimbang dan sedih yang berlegar dalam fikirannya. Sejak dari itu, dia memastikan diri supaya sentiasa sibuk agar tidak diganggu dengan bisikan-bisikan negatif.
Bergelumangan dengan buku antara salah satu cara saya menyibukkan diri dan mencari rezeki yang baik. |
Belajar menerima ketentuan takdir antara salah satu bab yang saya suka. Kerana antara salah satu sebab saya 'sakit' dahulu, saya sukar menerima takdir yang ditentukan. Wujudnya perasaan cemburu dan prasangka tidak baik pada Allah. Kisah dalam buku ini menceritakan tentang seorang makcik yang kehilangan anak saudara seorang tentera yang dijaganya sejak kecil dalam peperangan di utara Afrika. Apabila menerima berita kematian anak saudaranya itu, langit seolah runtuh atas kepalanya. Segala rasa untuk hidup seolah hilang. Selama beberapa bulan beliau sedih sehingga berhasrat untuk meletak jawatan. Sedang dia mengemas meja pejabat sewaktu hendak berhenti, tiba-tiba beliau terjumpa sepucuk surat yang ditulis oleh mendiang anak saudaranya ketika neneknya meninggal dunia beberapa tahun lepas. Tulisan dalam surat itu menyentaknya. Anak saudaranya menulis, 'Saya tahu makcik seorang yang tabah. Saya tidak pernah lupakan apa yang makcik ajarkan kepada saya. Tidak kira walau di mana berada atau berapa jauh jarak kita sekalipun, saya sentiasa ingat bahawa makcik pernah mengajar saya supaya sentiasa tersenyum dan menghadapi apa jua cabaran yang datang dengan jiwa yang besar'. Selepas membaca surat itu, dia membatalkan diri untuk meletak jawatan dan mula berusaha meneruskan hidup di sebalik senyuman. Sejak itu, segala idea dan tenaga dicurahkan sepenuhnya kepada kerja-kerja yang dilakukan dan cuba hidup dengan gembira.
Dan bab lain yang saya rasa perlu dikongsikan juga dari buku ini yang membuka mata hati saya ialah 'Usah Berdendam'. Perasaan benci atau sakit hati menyebabkan kita tidak dapat menikmati hidup dengan sempurna sehingga makanan enak sekalipun tidak terasa sedap. Kita mungkin tidak mampu mengasihi orang yang tidak suka kita tetapi demi kesihatan dan kebahagiaan diri, sayangilah diri kita sebanyak mungkin agar orang tersebut tidak dapat meragut kebahagiaan, kesihatan dan penampilan kita. Satu cara yang pasti dapat memaafkan dan melupakan kesalahan musuh-musuh kita adalah dengan memikirkan hal yang lebih penting. Pada masa itu, segala penghinaan, pandangan sinis, persepsi negatif tidak lagi penting kerana kita sudah tidak peduli tentang hal-hal lain melainkan kita sahaja. Jangan sekali-kali cuba membalas dendam kepada musuh-musuh kita. Sekiranya kita berbuat demikian, penderitaan yang kita hadapi pasti lebih dahsyat. Jangan bazirkan masa walau seminit untuk memikirkan tentang orang yang kita tidak suka.
Terlalu banyak kisah-kisah benar yang bagus dalam buku ini. Ia memberi kita ilham, sumber inspirasi dan contoh untuk diikuti bagi menangani masalah dalam kita yang ada sifat bimbang, takut, benci, risau, sukar untuk memaafkan dan belajar untuk menerima takdir. Apapun yang berlaku, jangan terlalu lama mengambil masa untuk bangkit. Ingat! Syaitan dan nafsu jahat kita akan sentiasa mengganggu ketenteraman diri. Jadi, perbanyakkanlah doa, zikir dan melakukan perkara yang berfaedah yang memberi manfaat buat diri, masyarkat, bangsa dan agama. Dan yang penting, mampu melekakan kita berbuat baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan