Assalammualaikum dan salam sejahtera. Mengapa saya memilih untuk menulis jurnal kesyukuran berbanding diari harian yang jika dilihat lebih kurang sama fungsinya. Syukur merupakan tanda terima kasih dan menghargai segala nikmat kebaikan yang diperolehi. Dengan bersyukur, kita seolah menjemput diri untuk memikirkan banyak perkara baik yang diterima, merasa cukup dengan apa yang ada, kurang berasa cemburu mahupun iri (dalam Islam, manusia boleh cemburu dalam beberapa perkara) dan berprasangka baik kepada pencipta. Kenapa saya memilih untuk menulis jurnal syukur adalah kerana saya ingin mengurangkan sebanyak mungkin rasa cemburu yang ada dalam diri, mahu belajar menerima takdir dengan bersangka baik bahawa semuanya ada hikmah tersendiri dan mahu membina hidup yang ceria tanpa terlalu memikirkan perkara tidak baik yang telah lama berlalu. Saya mahu hidup pada masa kini. Sekarang.
Jika dahulu sewaktu belajar, saya ada menulis diari peribadi. Diari ini selalunya saya luahkan rasa hati tak kira positif, negatif, suka, stres atau apa sahaja kejadian yang berlaku pada hari itu. Dan selalunya bila saya baca balik bab-bab yang negatif, saya seperti terbawa-bawa ke masa lalu yang membuatkan saya marah, sedih, tertekan dan benci. Aura pembacaan seperti ini tidak bagus untuk diri yang cuba move-on. Tapi saya masih tetap menulis diari sehingga tamat belajar dan habis diploma (ialah tak tahu wujudnya diari boleh tulis baik-baik aje). Konsep penulisan yang saya pegang pada masa itu sama seperti awalnya.
Pernah saya ceritakan kenapa saya berhenti menulis diari sebelum ini, makanya saya mula menulis kembali selepas 20 tahun meninggalkannya. Ini semua bermula waktu covid-19. Dalam situasi dunia yang terbelanggu dengan masalah kesihatan, saya mencari-cari alternatif untuk mengawal emosi diri dari berfikir macam-macam. Alhamdulillah Allah lorongkan saya mengenali dan 'menjebakkan' diri dalam penulisan diari kembali tapi lebih bersifat matang. Matang kerana pada situasi sekarang, saya menulis jurnal kesyukuran iaitu saya berusaha menyenaraikan banyak perkara baik yang berlaku setiap hari berbanding mencari kesalahan orang atau melihat kekurangan diri. Saya juga meraikan kejayaan-kejayaan kecil yang berlaku sekitar diri.
Tak dinafikan ada hari yang kita kena hadap perlian, kecil hati, makan hati atau masalah lain. Tapi jika difikirkan kembali, masalah kita tak sehebat mereka yang teraniaya di luar sana sampai dinafikan hak untuk terus hidup (sekarang waktu saya sedang tulis ni terbongkarnya kisah benar kekejaman dalam Penjara Sedhyana di Syria). Berusahalah untuk bertenang, sabar dan tersenyum. Ingat! Apa yang berlaku segalanya dengan izin Allah. Allah telah menetapkan 50000 tahun takdir kita sebelum kita lahir ke dunia lagi.
Menulis jurnal kesyukuran hampir 4 tahun ini, beberapa kelebihan dapat saya senaraikan. Kelebihan ini bergantung kepada individu bersama dengan permasalahan yang sedang dihadapi (lain orang lain kelebihan yang diperolehi walaupun banyak persamaan). Antara kelebihan yang saya perolehi:
- Saya berusaha menulis nikmat-nikmat hidup yang Allah berikan sejak awal pagi sehinggalah ingin tidur malam kembali. Contohnya saya menulis begini; Saya bersyukur pada nyawa yang Allah kurniakan, dapat bernafas dengan mudah tanpa perlu membawa tangki oksigen, kaki yang sakit akibat plantar faciitis dapat bergerak kembali dengan mudah, dapat melihat, ada rezeki untuk makan waktu pagi, tengahari dan malam dan sebagainya. Betul seperti apa yang difirmankan Allah dalam al-Quran surah an-Nahl, "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya."
- Saya meraikan kejayaan-kejayaan kecil yang berjaya saya harungi. Contohnya; Alhamdulillah dapat morning walk di kawasan perumahan, Syukur dapat mencuba resipi baru dan ianya sedap, Syukur dapat jualan yang lebih sikit bulan ni dan sebagainya. Dengan meraikan pencapaian yang kita usahakan, sebenarnya kita telah berjaya harungi 'ujian hidup' pada hari tersebut yang kita tak sangka mampu lakukan.
- Berusaha memperbaiki nilai diri dengan mengurangkan perbandingan dengan orang lain. Bab cemburu ni kita perlu kawal. Kerana takut jika cemburu melampau, ia mampu membuatkan diri kita melakukan perkara-perkara di luar batasan agama. Contohnya kita dapat lihat kisah-kisah peniaga kecil yang disihir atau santau.
- Memastikan emosi pada tahap gembira dan membina perhubungan yang lebih sihat dengan orang sekeliling. Bila kita happy, kita akan ucap kata-kata yang baik. Sebagai contoh ucap salam dan selamat pagi pada orang yang kita jumpa, beri hadiah, belanja orang makan kuih dan lain-lain.
- Lebih optimistik dan bersangka baik dalam kehidupan. Setiap orang ada ujian tersendiri, cuma dengan menulis jurnal kesyukuran ini membuatkan saya tahu ada sebab-sebab tertentu yang Allah tidak izinkan apa kita harapkan berlaku. Sebagai contoh diri saya sendiri, kami suami isteri sudah 18 tahun berumahtangga tapi masih tidak dikurniakan zuriat oleh Allah lagi. Bila dilihat pada tempoh waktu itu, kami tahu yang Allah tidak beri adalah kerana sebab sebab ini... (biarlah rahsia buat masa ini).
- Menulis jurnal kesyukuran ini berbanding diari harian sudah pastinya menyuruh kita menulis perkara-perkara yang ke arah positif dan memotivasikan diri. Semua kisah-kisah negatif kita tolak tepi sikit. Letakkan ia dalam 'kotak pelajaran yang diperolehi' pada hari ini. Itupun kita cerita permukaan aje. Jangan cerita lebih sangat.
- Antara perkara baik yang saya perasan juga ialah saya dapat merancang dan menyusun aktiviti harian agar lebih memberi manfaat pada diri. Cuba elakkan dari membazir masa. Saya mahu masa yang ada diisi dengan berbuat baik dan perkara bermanfaat (tapi kalau penyakit vertigo dah datang atau mood swing betul, memang saya akan take-a-break dalam sehari dua).
- Menulis perkara yang kita syukuri ini sebenarnya membantu kita meningkatkan kesedaran dan apresiasi kepada diri sendiri. Ia membantu mengubah perspektif kita terhadap hidup. Belajar menghargai diri sendiri. Bersyukur mengubah sisi pandang kita pada segala perkara yang berlaku sebenarnya adalah perancangan terbaik Allah untuk hamba-Nya.
- Menulis jurnal kesyukuran ini sudah semestinya menjadi senarai semak mengukur keupayaan diri untuk sentiasa bersyukur dalam apa jua situasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan