Assalammualaikum & Salam Sejahtera...
Ini hari terakhir kami di Banda Aceh. Subhanallah, sekejap aje masa berlalu. Rasa macam baru aje check-in di KLIA2 dah nak balik. Tapi, itulah lumrah. We need to face everything whether we like it or not. Nikmatilah hidup selayaknya sebagai hambaNya.
Hari ni kami check out dalam jam 8.30 pagi. Check-out awal sikit agar mudah nak terus ke Bandara (airport) nanti. Our 1st pit stop ialah Kapal di Atas Rumah di Lampulo. Kapal ini sekarang betul-betul terletak di kawasan perkampungan masyarkat Lampulo. Menurut sejarah, 59 nyawa terselamat di atas kapal ini saat tsunami berlaku termasuklah tuan rumah. Kapal ini terseret hampir 1 km dari tempatnya. Jika diikutkan sejarah, ada kapal lain juga terseret di kawasan perkampungan ini tapi menjadikan kapal ini unik kerana ia betul-betul terletak di atas rumah. So, pihak berkenaan di Banda Aceh membangunkan tempat ini sebagai tempat tarikan sejarah buat semua (tuan rumah ini pun turut mengizinkan).
Oh ya, ada satu kisah menarik yang diceritakan di papan kenyataan mereka. Rupanya, ketika air mulai surut ada seekor buaya besar berada di bawah kapal mereka. Dan saya rasa, buaya tu sekarang ada kat Zoo Aceh. Ngeee...
Jika anda datang ke sini, anda akan lihat keadaan di dalam ruang rumah yang masih dikekalkan. Namun, di satu ruang di dalam rumah, satu banner besar menyenaraikan nama-nama mangsa korban tsunami yang dikenalpasti. Itu yang dikenalpasti tau, tak termasuk yang tak dikenali. Hampir 1000 orang. Allahu Akbar... Moga roh mereka dicucuri rahmat.
Di luar kawasan ini, dibina satu platform berjalan kaki untuk memudahkan pengunjung melihat kapal ini dengan lebih dekat dan mengambil gambar. Turut disediakan di area bawah platform, papan kenyataan yang menceritakan tentang sejarah kapal atas rumah ini berserta dengan gambar. Di situ juga ada peniaga kecil yang menjual buku-buku tentang sejarah tsunami dan juga sejarah Aceh. Anda boleh aje beli guna duit Rupiah atau RM. Berhampiran dengan tapak kapal ini, ada 2 buah gerai kecil menjual cenderahati. Harganya ok juga (kot le tak cukup key chain / fridge magnet yang dibeli).
Dari kejauhan dah nampak kapal ini. Betapa tingginya ia tersadai.
Platform dibina di sebelah kanan untuk memudahkan pengunjung mengambil gambar tempat bersejarah ini.
Batu bersurat tentang kisah Kapal Tsunami Lampulo ini.
Batu penyanggah dibina untuk mengukuhkan letak kapal ini. Jika dilihat, dek hadapan kapal ini di atas bilik mandi rumah.
Antara senarai nama-nama mangsa yang terkorban. Bila lihat nama-nama ini, tak terbayang bagaimana jenazah yang banyak dijumpai bergelimpangan di serata tempat. Innalillah...
Papan kenyataan yang menceritakan serba sedikit tentang sejarah kapal ini ketika tsunami 2004
Anda boleh tulis nama pelawat di sini dan jika berminat, boleh membeli sekeping sijil kenang-kenangan. Buku-buku yang dijual menarik untuk bacaan anda.
Kot ada tak cukup cenderahati yang dibeli atau tak sempat nak beli sebelum ini, boleh aje singgah di gerai kecil ini. Harga key chain & fridge magnet dalam Rp5000 sebiji manakala beg,kopi, topi, bergantung pada saiz.
Macam comel pulak beca ni depan Kapal Atas Rumah. Akak saje amik gambar kenang-kenangan.
Selesai aje kami di sini, kami teruskan perjalanan ke Jalan Sri Ratu Safiatuddin, Peunayong untuk beli cenderahati yang special untuk ahli keluarga yang tercicir dari list (sudah ada ahli keluarga baru itu yang kakak ipar saya terlupa). Yang menariknya, ketika Shah bawa kami mengikut jalan kampung yang menyusuri jeti menangkap ikan, suasana sangat tenang dan unik. Dan tiba-tiba mata kami berempat terpandang susunan ikan-ikan fresh yang saiznya sangat besar di tepi jalan. Memang besar. Tak pernah lagi saya tengok saiz ikan tu kat Pasar Nilai 3. Rasanya panjang seekor ikan dalam saiz meja makan untuk 6 orang. Nasiblah kita orang dalam kereta dan kejar masa, kalau tidak confirm kami dah minta Shah berhenti sebab nak tengok ikan tu. So, anda boleh letak dalam list melancong untuk pergi ke kawasan ini. Just feel the new experience.
Once dah sampai Jalan Sri Ratu Safiatuddin ni, sederet tu ada macam-macam kedai cenderahati dan kopi untuk dibeli. So, pick any yang mana suka. Untuk panduan, masa saya beli ni, harga untuk belian 3 t-shirt biasa dalam sekitar Rp100000. Jika nak yang kualiti ok sikit, sehelai dalam Rp80000. Jika nak beli kopiah (untuk kedua2 ayah saya), harga 1 kopiah dalam Rp30000. Kat area sini ada dijual kopi aceh pelbagai jenis (pilih aje mana yang nak beli), t-shirt, baju batik, kain pelekat, kopiah, fridge magnet, key chain, rencong kecil, beg, aksesori wanita, telekung dan juga kudapan seperti dodol & lontong paris.
Kedai ni ada all in one barang cenderahati.
After settle aktiviti shopping, kami ke Muzium Tsunami Aceh pula. Ramai juga pengunjung hari ni. Mungkin sebab hari Sabtu, ada yang bercuti. Tiket lawatan untuk dewasa dalam Rp10000. Sebelum kita masuk ke dalam muzium, kita 'dihidangkan' dengan bangkai helikopter yang musnah ketika tsunami. Helikopter ini ingin menyelamatkan mangsa pada awalnya tapi tidak mampu melawan hebatnya kuasa tsunami waktu itu. Permulaan masuk ke dalam muzium, kita akan melalui satu lorong gelap yang sedikit lembab. Terasa air memercik pada pengunjung. Ia mungkin seperti keadaan tsunami pada waktu itu atau mungkin juga maksud tersiratnya, mangsa yang masih hidup menghadapi suasana kelam yang menakutkan untuk terus hidup, namun, walau bagaimanapun keadaannya, ada cahaya di hujung jalan sana.
Heli ini turut menjadi mangsa. Saksi bisu pada kejadian yang berlaku.
Berpuluh standing screen tv memaparkan detik-detik yang berlaku ketika tsunami melanda
Selepas melalui lorong tersebut, kami tiba di sebuah bilik yang menempatkan berpuluh standing screen tv yang merakamkan detik-detik ketika tsunami berlaku. Semua pengunjung terpaku menonton video pendek yang ditayang. Encik hubby sempat rakam tayangan tersebut.
Selepas itu, kami memasuki 'Fighting Room'. Bilik yang agak suram. Bilik ini dibina seperti cerobong. 2/3 dari dinding bilik ini tertulis nama-nama mereka yang terkorban manakala 1/3 lagi kosong. Di puncak bilik tertulis kalimah Allah. Menunjukkan bahawa hanya dia yang tahu selebihnya dan hanya pada Dia sahaja tempat mereka yang hidup meminta pertolongan untuk terus survive. Di bilik ini berkumandang bacaan ayat suci al-quran.
Kemudian kami tiba di Jambatan Harapan (Hope Bridge). Di atas lelangit jambatan ini, tergantung 52 buah bendera negara-negara yang membantu mangsa tsunami pada waktu itu. Simboliknya pula, jambatan ini dibina meninggi ke atas seolah-olah menunjukkan bahawa musibah yang berlaku mampu membangunkan Aceh kembali perlahan-lahan dengan bantuan dari semua pihak. Selepas melintasi jambatan ini, kita disajikan dengan tayangan video berdurasi 10 minit tentang keadaan tsunami pada ketika itu sehingga bantuan mula tiba. Takde kata-kata yang mampu diungkapkan. Hanya sebak menakung dada.
Selepas itu kita akan masuk ke beberapa bilik yang menempatkan bukti-bukti penting ketika tsunami, peperangan yang pernah berlaku di Aceh, kisah-kisah silam tentang kerajaan Aceh serta miniatur yang direka khas untuk menunjukkan bagaimana tika dan saat tsunami menghentam Aceh.
Kat sini pun akak serba salah nak senyum ke idak depan kamera. Udahnya ambil biasa aje untuk kenangan.
Ungkapan dalam ini sungguh mendalam. Kita sebagai umat Islam dan percaya pada pembalasan Allah, pasti akan mengakuinya secara tidak langsung. Fikirkanlah...
Ruangan yang menempatkan kisah-kisah tsunami dan sejarah Aceh. Tayangan di tv itu pula adalah temuramah dengan mangsa tsunami yang masih hidup.
Bukti bergambar yang dikumpulkan untuk tatapan umum
Ini menarik. Jika sebelum tsunami, nilai produksi perikanan di Aceh rendah namun selepas musibah tersebut, perlahan-lahan angka meningkat sehingga sekarang. No wonder kami nampak ikan yang besar di jeti. Benarlah seperti firman Allah, setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Bila dan bagaimana, hanya Dia mengetahui.
Pahlawan Aceh yang termahsyur demi menjaga kedaulatan Aceh
Di tingkat 3 muzium pula menempatkan ruang untuk orang awam mengetahui tentang gempa bumi gunung berapi di Indonesia, plus ada kedai souvenir. Tang ni kami tak sempat nak naik sebab masa terhad (ni semua ada sebab kena datang Aceh lagi ni akan datang... hehe...).
Shah kemudiannya bawa kami ke satu lagi tempat kunjungan pelancong iaitu PLTD Apung. Yang ni pun takde rezeki nak masuk dalam sebab rupanya ia dibuka pada umum sehingga 12 tengahari aje. Alahai... kita ambil gambar dari luar aje. Menurut sejarah, di bawah kapal ini masih ada jenazah yang tidak dapat dikeluarkan. Mereka bersemadi terus di bawahnya. Moga Allah merahmati mereka yang bersemadi di bawah kapal besar ini. Amin...
Kapal PLTD Apung 1 ini beratnya 2600 ton. Ia adalah kapal penjana elektrik buat rakyat Aceh pada waktu itu. Kapal ini terseret hampir 5km dari tempat asalnya iaitu di Pelabuhan Ulee Lheue.
Kemudian, Shah bawa kami ke tempat letaknya kubah masjid yang terdampar di tengah kawasan sawah padi. Memang keliling kawasan ini hanya ada penempatan penduduk kampung dan sawah padi bukit. Catatan menyatakan ia terdampar sejauh 2.5km dari tempat asalnya iaitu masjid Jamek di Kampung Lamteungoh. Maha Suci Allah, hanya air yang Allah kirimkan untuk menghanyutkan kubah yang beratnya 80 ton itu.
Kubah ini terdampar di kawasan kampung dan sawa padi
Bayangkan kawasan keliling kubah ini digenangi air yang melimpah. Allahu Akbar...
Our last pit-stop selepas selesai melawat tempat bersejarah Aceh ialah Kedai Makan Ayam Pramugari. Kenapa dipanggil ayam pramugari, anda google aje k. Banyak ceritanya di internet. Tapi memang sedap aje makan di sini di kala perut tengah lapar dan dihidangkan dengan lauk yang panas-panas.
Ayam pramugari dan gulai daging kambing dengan nangka. Alhamdulillah sedap. Plus, dagingnya tidak berbau. Pandai orang ni masak.
Gulai kari ayam.
Air timun teruk dan air sirap betik+buah kabung+cincau. Sedap...
Selesai makan, Shah terus bawa kami ke Bandara Antarabangsa Sultan Iskandar Muda. Selesai sudah percutian kami. Moga ilmu bermanfaat yang dipelajari di sini dapat kami praktikkan dan ianya juga dapat membantu anda sedikit sebanyak untuk merancang di sana.
InsyaAllah jika ada rezeki pada masa akan datang (dan rezeki anda juga), kami teringin nak ke Rumah Cut Nyak Dien, Makam Sultan Iskandar Muda, Benteng Iskandar Muda & Benteng Indraprata, Muzium Aceh, jeti tempat naik ikan berhampiran Peunayong, Taman Gunongan, Taman Putroe Phang (Puteri Pahang) dan of course ke Pulau Rubiah untuk ngetest snorkeling.
Anyway, ada banyak tempat menarik di Aceh ini cuma kita tidak mengetahuinya sangat kerana informasi yang terhad.
InsyaAllah, jika ada ke tempat lain lagi, kami akan kongsikan.