Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Jumaat, 17 November 2017

Penyakit Ujub & Bagaimana Mengubatinya

Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Saya baru baca bab ujub dalam buku 'Sekalipun Benar Dia Pendosa'.
Ada banyak sebab kita menjadi pendosa. Adakala dengan mulut, hati, mata & telinga
Saya rasa, kita semua adakala terdetik akan rasa Ujub ini pada masa muda ataupun pada waktu tertentu. Dan kali ini saya kongsikan apa itu Ujub & bagaimana untuk Mengubatinya.


Apa itu Ujub?
"Ujub ialah rasa kagum akan diri sendiri atas suatu kejayaan dan pencapaian diri. Dia melihat hasil usahanya berpunca daripada peluh & keringatnya sahaja, bukannya nikmat daripada Allah."

Berdosa sangatkah ujub ini?
Ujub adalah haram kerana sikap ini termasuk dalam perkara syirik. Ibnu Taimiyah dalam al-Fatawa al-Kubra berkata, "Betapa banyak sekali riyak digandingkan dengan ujub. Kerana riyak termasuk dalam perbuatan syirik dengan makhluk manakala ujub termasuk perbuatan syirik dengan diri sendiri."

Imam al-Ghazali dalam Ilya' Ulum al-Din pula berkata, "Ketahuilah bahawa ujub adalah tercela dalam Kitabullah dan sunah RasulNya, Allah berfirman:
"Dan pada hari Hunain tatkala mereka berasa kagum dengan bilangan mereka yang banyak lalu hal itu tidak bermanfaat untuk kamu sedikit pun!"
(Surah al-Tawbah 9: 25)

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Ada 3 perkara yang membinasakan: kedekut yang diikut-ikut, nafsu yang dituruti & ujub seseorang akan dirinya."
(Riwayat al-Baihaqi)

Bahaya sangatkah ujub kepada kita?
1. Melahirkan sikap riyak dan takbur
2. Amalan kebaikan boleh bertukar sia-sia
3. Berkemungkinan mendapat hukuman segera di dunia
4. Semakin payah melihat kekurangan dan kelemahan diri
5. Semakin tidak bersyukur kepada Allah dan kurang menghargai makhluk lain
6. Semakin tidak bersungguh-sungguh beramal

Bagaimana mengubati ujub?
1. Siapkan serangan balas mental automatik
Contohnya:
- Jika rasa diri banyak kelebihan, ingatkan diri dengan aneka keaiban diri yang sudah tentu lebih banyak
- Jika rasa diri begitu hebat, ingatkan diri tentang orang yang lebih hebat
- Jika rasa kagum dengan amalan kebaikan diri, ingatkan tentang maksiat & keterlanjuran yang pernah dilakukan
- Jika rasa kagum dengan ilmu & pengetahuan diri, ingatkan bahawa itu bukannya atas kepandaian diri sebaliknya tidak lain melainkan kurniaan Allah.

2. Latih diri husnuzhan, yakni bersangka baik dengan sesiapa sahaja

3. Jangan berhenti menuntut ilmu agama

4. Banyakkan bersyukur

5. Melatih diri merendah diri pada Allah dengan doa (ada beberapa doa disertakan dalam buku ini untuk rujukan anda)

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Kalaulah kamu semua tidak pernah berdosa, nescaya aku bimbangkan akan menimpa kamu sesuatu yang lebih besar iaitu ujub!"
(Riwayat al-Bazzar)

Sayidatina Aisyah pernah ditanya, "Bilakah seseorang boleh menjadi jahat? Beliau menjawab, "Sebaik sahaja dia merasakan dirinya baik!"
(Ihya' Ulumal-Din)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...