Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Pohon Sahabat Nabi @ The Living Sohabi Tree

Assalammualaikum...

Kali ni saya nak kongsikan 1 artikel menarik yang saya baca dalam majalah Q&A 25 bertajuk 'Sahabat Nabi Masih Hidup?'

Memang menarik artikel ini dan kebanyakan artikel dalam isu kali ini. Ralit jugalah saya membaca sambil tunggu hubby balik kerja (masa tu tunggu kat area surau KLCC).

Kenapa pohon ini dipanggil 'The Living Sohabi Tree?'
Pohon tersebut dikatakan pohon yang pernah menjadi tempat Nabi s.a.w berteduh semasa mengikuti bapa saudaranya Abu Talib keluar berniaga ke negeri Syam. Sohabi Tree membuktikan kekuasaan Allah, hidup subur dan merimbun di tengah-tengah daerah yang kering kontang. Ia tumbuh subur di kawan muka bumi ekstrem di perbanjaran gunung berapi di Negara Jordan. Pada tahun 2010, kerajaan Jordan mewartakan pohon ini sebagai khazanah warisan negara yang diberikan perhatian khas.

Bukan itu sahaja, menurut saudara Muhammad Muqharabin (warga Malaysia yang pernah mendaki Gunung Everet dahulu, dan pernah pergi menziarahi pohon ini bersama krew Eksplorasi Gunung Para Nabi), "daun hijaunya amat lebat beraroma segar seperti kita menghidu udara bumi selepas hujan. Saya memetik bunganya yang sedang berkembang tetapi apabila dipegang bunga itu, ia hancur dan reput sendiri. Dari situ saya faham hikmah Allah yang Maha Hebat iaitu tiada siapa yang boleh membawa pulang benih pokok ini untuk ditanam ditempat lain. Allah pelihara pohon ini & menyelamatkan imam kita daripada memuja -muja pokok ini jika berjaya ditanam di kawasan rumah."

Terdapat juga fakta lain berkaitan pohon ini yang dipercayai telah berusia hampir 3500 tahun & dipercayai ditanam oleh tangan mulia Nabi Allah Ibrahim a.s.  Kini, kawasan ini telah dipagar sebagai usaha kerajaan Jordan memelihara warisan para nabi & rasul. Berhampiran pintu masuk, didirikan sebuah bangunan surau kecil yang boleh menampung 3 orang berjemaah pada suatu masa.

Jika ada antara anda ingin tahu tentang pohon ini dan perkara-perkara lain yang menarik tentang tumbuhan atau haiwan yang mendapat rahmat atau berkongsi kisah dengan Baginda s.a.w., boleh dapatkan majalah di atas ya.

Salad tembikai yang simple

Assalammualaikum...

Saya dapat resipi ni masa menonton rancangan Masterchef Autralia lately. Masa tu mereka tengah compete di Dubai dan kedai served beberapa orang Arab. Satu kumpulan ni buat watermelon salad. Beria sangat dia nak buat meskipun rakan dia kata takde masa. Dan hasilnya, masa orang Arab tu beri komen untuk makanan lain dan salad tembikai tu, mereka sukakannya. Wah... apa lagi, saya pun dok le godek internet macam mana nak buat salad tembikai dengan air mawar ni. Dan, rupanya, amatlah senang. Suka suka suka kalau resipi tu senang.

Saya cuba resipi ni masa ada beberapa orang saudara saya datang ke rumah. Entah macam mana, seorang saudara sepupu saya tu suka dengan teh pudina dan salad tembikai yang saya hidangkan. Dia kata air teh tu wangi dan salad tu simple tapi menarik.

Jom try resipi salad tembikai ni. Boleh cuba untuk makan di rumah, open table di ofis atau open house.

Bahan-bahan:
1. Sebiji tembikai. Tak kisah kecil atau besar.
2. 8-10 helai daun pudina.
3. 7-8 titik air mawar

Penyediaan:
1. Potong tembikai dari kulitnya. Kemudian, potong kiub tembikai tersebut. Masukkan ke dalam mangkuk besar yang biasa dahulu.
2. Basuh daun pudina dan potong halus (tak perlu halus sangat tau, macam dalam gambar atas pun dah ok). Taburkan ke atas tembikai tadi.
3. Titikkan air mawar ke atas tembikai dalam 7-8 titik sahaja. Jangan banyak. Ini kerana jika anda taruk banyak sangat, takut nanti orang yang memakannya akan rasa seperti memakan tembikai dengan minyak wangi pula. Hilang selera mereka.
4. Gaulkan perlahan-lahan bahan-bahan tadi agar tembikai tidak pecah dan air mawar dalam diratakan ke tembikai lain. Kemudian, hidangkan ke dalam bekas kaca atau bekas yang lebih sesuai lagi untuk tetamu.

** Oh ya, jika ada antara anda yang sukakan feta cheese, boleh aje feta cheese itu dipotong kiub dan dicampur ke dalamnya**

Happy cooking...

Prihatin yang tidak kena pada tempatnya...

Assalammualikum...

Pagi ni saya rasa macam a bit sad. A few days dah rasa sedih tapi sabar...

2 hari lepas adik saya bertunang. Saya dah dapat agak dah yang pasti akan ada soalan cepu mas dari sesiapa bertanyakan tentang anak dengan saya. Dan... ianya memang benar.

Saya berfikiran positif yang mereka concern dengan saya. Tapi cara soalan ditanya dan situasi bila ditanya itu membuatkan saya rasa nak bagi warning aje, 'boleh tak jangan tanya sekarang in front of other people. Aku masih hormat kau lagi tau. Jangan sampai aku sound direct dan kau pulak dapat malu," (that is my feeling masa tu ya).

Dan rasanya saya dapat agak yang itu antara isu yang mereka bualkan di dapur. Dah jarang berjumpa, mesti isu tu yang akan terbit juga. The best way saya jawap soaln mereka ini, "Allah belum beri rezeki lagi. Dan Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk saya & suami. Jika berusaha, namun belum ada lagi, then you ask Allah bila? (if you dare lah kan)."


Bila sorang makcik ni tak berapa nak dengar jawapan aku, mulalah aku pulak rasa nak menyumpah-nyumpah dia dalam hati. You wait and see. Sebab aku percaya pada Allah, yang apa kau katakan pada aku, you will feel the same way as I do. Buat baik di balas baik dan balasan Allah itu cash sahaja sekarang ini ya.

Dan, bila majlis selesai dan saya serta hubby diminta hantarkan pulang pembantu Indonesia yang membantu kami di dapur. Ketika saya dan pembantu ini sedang menunggu hubby ambil kereta di bawah khemah, dia berkata sesuatu, "kakak sudah 7 tahun tidak dapat anak ya? Tak apa kak, insyaAllah mesti Allah beri nanti."

Ya Allah, saya rasa sangat touching bila dia kata begitu. Terus saya ingat akan kata-kata Imam Syafie: "“Siapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi, maka ia benar-benar menasihatimu. Dan sesiapa yang menasihatimu di khalayak ramai, ia sebenarnya tengah menghinamu." Allahu Akbar, pembantu Indonesia ini lebih memahami hati & emosi saya berbanding dengan makcik saya sendiri... Moga dia sentiasa di bawah rahmat dan kasih sayang Allah, dan moga kami berdua dikurniakan Allah zuriat yang soleh & solehah. Aminnn...

Makaroni Goreng Pedas... Alhamdulillah

Assalammualaikum semua...

Dek kerana saya tinggal sorang aje kat rumah hari ni (ayah mak mertua gi jalan-jalan ke Penang dan tinggal di Cheras jap) & juga gigi saya baru aje baik lepas ditampal sementara sebelum dicabut atau ditampal tetap (depends on the teeth another 2 weeks), makanya rezeki untuk masak hari ni adalah makaroni goreng.

Dah lama saya teringin nak makan makaroni goreng ni. Asyik makan resipi orang masak aje. Nak gak try buat sendiri. Dan Alhamdulillah, Allah izinkan saya masak & try resipi baru ni. Maka, saya godek le resipinya di internet. Dah tau apa yang nak ditambah dan dikurangkan, makanya gunakan apa aje yang ada dalam peti ais. Dannn... Jadikkk... Suka saya.... Sedap di tekak saya.

Jom try resipi ni. Moga anda & keluarga serta rakan pun turut sukakannya.

Bahan-bahan untuk 2 orang makan:
1. Elbow Macaroni. Jika anda makan berdua aje, amiklah  suku dari sukatan.
2. Sebiji bawang merah dipotong dadu
3. 2 ulas bawang putih dicincang halus
4. 1-2 sudu cili giling. Bergantung pada tahap kepedasan anda.
5. 1 sudu sos cili
6. 1 sudu sos tomato
7. 1 sudu sos tiram
8. 2 sudu kicap
9. 2 batang hotdog
10. 1 batang fish cake
11. 1 biji telur
12. 1 batang daun saderi
13. 2-3 batang sawi
14. 3 batang cili padi dipotong kecil
15. 3-4 sudu besar minyak masak
16. Gula & garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Rebus macaroni sehingga lembut. Jangan lupa letak dalam 1 sudu kecil minyak zaitun atau minyak sayuran ke dalam air rebusan. Ini bagi mengelak macaroni melekat bila dah lembut nanti.
2. Bila sudah masak, toskan dan letak ke tepi dahulu.
3. Panaskan minyak di dalam kuali. Bila minyak panas, masukkan bawang merah dan putih. Goreng sehingga sedikit garing dan naik bau.
4. Masukkan pula cili giling. Kacau dan tambahkan 1/4 cawan air. Ia bagi memastikan cili dimasak dengan mudah dan tidak hangit.
5. Setelah cili giling mendidih dalam 1-2 minit, tambah sos cili, sos tomato, sos tiram dan kicap. Kacau hingga sebati. Tambahkan sedikit air jika kelihatan agak kering. Tambah gula dan garam secukup rasa.
 6. Kemudian. campakkan potongan hotdog dan fish cake ke dalam kuali. Gaul hingga kelihatan ia separuh masak. Kemudian, pecahkan telur ke sisi adunan yang sedang dimasak. Bila lihat telur sudah agak garing dan hotdog serta fish cake sudah masak, masukkan makaroni, sayur dan cili padi ke dalamnya. Gaul sehingga mesra. Jika kering, tambahkan sedikit air dan kicap. Gaul.
7. Bila kelihatan makaroni sudah mesra dengan semua bahan dan sayurnya juga sudah masak, padamkan api dapur. Hidangkan makaroni goreng pedas anda ke dalam pinggan. Jika suka, boleh tabur bawang goreng di atasnya.

Happy cooking...

Jemput-jemput jagung untuk semua...

Assalammualaikum semua...

Saya percaya, most of Malaysian citizen pernah makan jemput-jemput. Tak kiralah jemput-jemput bawang, jemput-jemput bilis, jemput-jemput jagung, jemput-jemput sayur atau apa aje namanya dan campurannya. Dan kali, saya nak kongsikan resipi jemput-jemput jagung sedap yang Alhamdulillah disukai oleh kami sekeluarga serta anak-anak sedara. Percaya atau tidak, jemput-jemput ini, saya buat 2 pinggan dan akhirnya hubby saya yang balik kerja hanya dapat makan 3 ketul aje. 3 ketul aje yang ditinggalkan dek depa untuk hubby saya. Apo nak dikato... sabar ajelah...

Akhirnya, beberapa hari kemudiannya, saya masak lagi dan banyak le yang hubby saya dapat makan... :)
Suka suka suka...

Jom kita try resipi dari mak ngah saya yang sedap, rangup & lembut isinya ini.

Bahan-bahan:
1. 1 tongkol jagung.
2. 1 biji bawang besar.
3. Ikan bilis dalam separuh genggam sahaja.
4. Tepung gandum 2-3 cawan (bergantung pada saiz jagung anda)
5. 1 biji telur
6. 1/2 sudu kecil garam
7. Secubit baking powder. Yang ini jangan banyak tau sebab kalau banyak, minyak akan meresap dalam jemput-jemput.
8. Secubit serbuk kunyit
9. 2-3 cawan air. Yang ini pun bergantung pada adunan. Jika adunan pekat, tambah sedikit air. Jika adunan cair, tambah tepung pula. Pastikan adunan tu tidak terlalu pekat atau cair ya.
10. Minyak untuk menggoreng.

Penyediaan:
1. Campurkan semua bahan kecuali minyak untuk menggoreng tu. Gaul hingga adunan tidak pekat atau cair ya. Sedang sedang gitu. Biarkan dalam 10-15 minit agar bahan-bahan dalam adunan mesra sebentar.
2. Panaskan minyak dalam kuali dan bila minyak sudah panas, masukkan adunan sesudu demi sesudu. Jangan banyak sangat tau takut nanti bila nak terbalikkan agak sukar.
3. Bila adunan sudah nampak keperangan dan masak, angkat dan toskan atas tisu agak minyak dapat disejat.
4. Hidangkan jemput-jemput ini dengan sos cili sahaja atau jika ingin kelainan, boleh cuba letakkan sos cili dengan mayonis atau sos lada hitam dengan mayonis. Pergh! Sure mereka yang makan, rasa nak lagi dan lagi dan lagi... :)

Happy cooking

Terung Goreng Tepung Bercili @ Begun Bahaja Dhaka

Salam semua...

Resipi ini saya ambil dari facebook Puan Roza Roslan @ tuan empunya buku Aroma Antara Benua.

Masa saya tengok resipinya dulu di dalam buku (buku yg saya punya sudah diberikan kepada saudara terdekat kerana rasanya dia lebih memerlukan dari saya), dah teringin hendak mencubanya. Cuma kadangkala ada rasa takut jika anak-anak sedara tidak suka. Budak-budak, faham-faham sahajalah kalau bab sayur ni. Alergik sungguh. Sudahnya saya cuba masakan ini di rumah mama saya.

Meskipun mama saya tak makan terung ni sangat sebab ada masalah angin, but, she said ok gak rasanya :) Good impression tu by my masterchef... weee... Bila dicicah dengan sos pula, wah... memang best specially bila makan time panas-panas. Marvelous gituuuu... :) :) :)

Jom saya kongsikan dengan anda semua resipi simple dari Puan Roza ini + rakannya di FB beliau.

Bahan-bahan:
1. 2 batang terung panjang
2. 1 cawan tepung gandum
3. 2 sudu besar tepung beras
4. 1 biji hirisan bawang besar
5. Daun sup/saderi (ikutlah banyak mana yang anda suka)
6. Sesudu kecil rempah kari
7. Sesudu kecil serbuk cili
8. Garam secukup rasa
9. Gula sedikit
10. Minyak masak / minya mustard (minnyak mustard ni memang susah nak dapat. Mungkin di kedai masakan tertentu atau kedai menjual barangan masakan india, ada)

Penyediaan:
1. Potong terung nipis sahaja.
2. Campur semua bahan dan gaul dengan sedikit air. Jangan cair sangat atau pekat sangat. Sedang-sedang gitu.
3. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Hah! Tang minyak ni, jangan banyak sangat sebab terung adalah buah yang senang menyerap minyak. Ambil 3-4 sudu besar sahaja dulu. Jika minyak semakin kurang bila memasak, tambah sedikit demi sedikit.
4. Celup terung ke dalam adunan tepung dan masuk satu per satu. Jika sudah dilihat garing, terbalikkan segera kerana tidak mahu terung anda menyerap minyak sangat.
5. Angkat terung yang sudah dimasak dan letak di atas tisu segera agar minyak diserap sedikit ke atas tisu.
6. Ambil piring dan letak sos cili di atasnya. Dannn... jom colekkkk... :)

Happy cooking & eating...

Jam baru yang lebih baik.. Jam Tawaf

Salam semua...

Saya nak kata baru tapi tak le baru sangat. Jam tangan yang dihadiahkan suami bulan 4 lalu hilang masa bersolat di area R&R nak ke Ipoh (alah yang ada kedai buah besar tu, Simpang Pulai kot). Tercicir dari poket beg tangan. Sedihnya, jangan cerita le. Tapi, sabarrr... Pasti ada sebab Allah hilangkan jam saya tu. Dan... ianya memang bersebab yang baik. Saya dapat ganti yang lebih baik meskipun murah sikit berbanding yang suami belikan. Jam tangan tawaf keluaran Hijra Timepiece.

Inilah jam tangan saya yang baru. Saya beli yang bertulisan jawi. 

Jam tawaf ini pernah saya dengar, lihat & baca di FB. Ada rakan yang telah memakainya dan menceritakan kebaikannya. Tapi, masa tu, saya tak amik port sangat. Sebab jam lama masih ada dan takkan saya hendak membazir pula. Dan, bilamana jam lama itu hilang, mulalah saya menggelupor sebab asyik-asyik tengok tangan sebab nak tengok jam. Dapat pulak jam dashboard hubby pula rosak, lagilah bersabar.

Maka, 'pertemuan' saya dengan jam ini bermula masa TV Alhijrah buat ulangtahun di Putrajaya. Saya dan hubby ke sana, berjalan2. Dan akhirnya, lelaki yang membuka booth menjual Jam Tawaf ini approach hubby. So, dari situlah kami mula mendapat info dengan lebih detail + memang perasaan nak beli jam tangan baru tu membuak-buak. Masa jurujual lelaki tu cerita all the kelebihan, saya dah excited nak beli tapiii... yang stainless steel untuk wanita habis pulak... Kena tunggu 2 minggu lagi. Apa lagi, tunggu ajelahkan...

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya jam ni tadi. Itupun berfikir-fikir nak beli ke tidak sebab sumber kewangan agak terhad bulan ni. Namun, bila fikiran positif & negatif jumble up in my mind, saya selawat 3 kali dan perlahan-lahan ambil yang positif. I must buy this watch coz of try to follow ketetapan Allah tentang sebelah kanan & tawaf, ikut sunnah Nabi dan juga saya perlukannya.

So, if sesiapa yang berkenan dengan jam ini, boleh aje ke FB mereka Hijra Timepieces dan call mereka sendiri. Ada juga FB agen mereka yang boleh anda hubungi. Ofis mereka dekat area Gombak yang bersempadan dengan Sentul.

Ini antara contoh-contoh jam tawaf yang dijual. Di atas & sebelah kanan bawah adalah jam dinding manakala kiri bawah adalah jam tangan jenis strap yang tangan lasak. Untuk kulit atau stainless steel, boleh ke FB mereka untuk lihat gambarnya.

Semuanya bermula dari kanan. Kita tawaf di Kaabah, elektron di dalam struktur atom, balapan dan juga pokok yang menjalar.

Hidup Sederhana Lebih Terhormat, Lebih Mulia

Assalammualaikum & Selamat Sejahtera semua.

Entry kali ini sebenar saya terpanggil untuk kongsikan sesuatu yang menarik selepas melihat satu rancangan di tv tadi. Seorang panel seolah-olah menyatakan pentingnya kaya untuk dapat membuat kebaikan. Bila dia berkata-kata seperti itu, saya teringat akan Rasulullah s.a.w. takut umatnya menjadi kaya. Ini kerana cabaran mereka yang kaya lebih hebat berbanding sederhana atau miskin. Sukar untuk mendapat manusia yang kaya tetapi kekal amal ibadatnya atau lebih baik. Kita boleh lihat pada kisah-kisah seperti Abdul Rahman bin Auf dan Abu Bakar As-Siddiq. Dan kita juga boleh rujuk akan kisah Qarun, Firaun & beberapa kisah lagi tentang dugaan atau ujian melalui kekayaan yang ditimpakan ke atas mereka.

Kali ini, saya ingin kongsikan tentang satu kisah Sahabat Nabi s.a.w yang cukup sederhana hingga tiada siapa pun menyangka dia seorang yang hebat.

Pada tahun 16H, Madain jatuh ke tangan kaum Muslimin. Bandar Persia yang sangat indah & kaya raya ini berjaya ditundukkan oleh Sa'ad Bin Abi Waqqas. Berita kemenangannya segera dikirimkan kepada Khalifah Umar Al-Khattab di Madinah.

Ahli Madain yang masih beragama Majusi mula bertanya-tanya siapakah yang akan diutuskan oleh Umar untuk menjadi penguasa baru bagi bandar yang sangat besar ini? Tidak lama kemudian, surat daripada Umar tiba lalu ia dibaca kepada semua ahli Madain.

Umar menulis, "Aku telah mengutus Huzaifah bin Al-Yaman kepada kalian. Tunduk & patuhlah kepadanya."

Apabila mendengar isi surat ini, penduduk Madain mula berfikir, "Tentulah orang ini sangat terhormat." Mereka bercadang untuk menyambut Huzaifah secara besar-besaran.

Pada hari kedatangan Huzaifah, tokoh-tokoh Madain keluar dengan berpakaian mewah untuk menyambutnya. Kenderaan dan perarakan telah dihias indah. Namun, setelah menunggu sejak dari pagi hingga petang, mereka tidak menemui sesiapa yang mereka sangka utusan Umar itu. Mereka hanya melihat seorang lelaki Arab yang menunggang keldai sambil menyimpang kaki dan memakan roti kering meminta izin untuk masuk ke Madain. Mereka membiarkan ia berlalu tanpa mempedulikannya.


Setelah letih menunggu, ahli Madain bertanya kepada seorang Muslim yang kebetulan mereka temui, "Di manakah gabenor kalian?" Orang itu segera menjawab, "Huzaifah sejak tadi telah masuk ke Madinah."

Mereka benar-benar terperanjat. Mereka baru sedar bahawa 'lelaki Arab yang miskin' yang tidak dipedulikan itu rupa-rupanya penguasa Madain yang baru. Mereka segera berlari & mengejar Huzaifah untuk meminta maaf kepadanya.

Kehormatan seseorang bukan terletak pada penampilan dirinya tetapi ia terletak dalam "prestasi kerja" yang telah dicapai. Huzaifah menjelaskan bahawan kesederhanaan yang menjadi gaya hidupnya itu merupakan ajaran Rasulullah s.a.w.

Rujukan: Umar Muhammad Noor. 2011. Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia. Telaga Biru. Kuala Lumpur.

Mac & Cheese yang menggoda

Assalammualaikum everyone...

Kali ni saya nak kongsikan 1 resipi menarik buat anda yang menggemari CHEESEEEE...
Saya dan suami memang suka makanan yang ada cheese @ keju. Cuma tang makan cenggitu aje, maaf le, tak berapa nak gemar tapi kalau taruk dalam makanan, kami memang pantes makannya. Hehehe...

Dek kerana teringin nak makan mac & cheese dah beberapa kali, cuma kat Nilai ni takde Kenny Rogers, makanya terpaksa relalah saya mencari resipi ni kat food network asia & youtube. Cari yang simple. Tak yah nak masuk-masuk dalam oven.


Bahan-bahannya:
1. Makaroni 'elbow' 1/2 paket
2. 1/4 mentega (buttercup)
3. 2 sudu tepung gandum / serbaguna
4. 3 cawan susu (saya sarankan guna susu biasa jangan guna HL sebab bau dia agak manis & kuat. Saya dah terbeli, so, jgn ikut saya utk susu dalam gambar di atas tu ya).
5. 3/4 cawan keju cheddar yang diparut
6. 1/4 cawan keju mozarela / parmesan yang diparut
7. 1 kelopak brokoli
8. 6 batang candawan butang yang dipotong dadu
9. Garam & Lada Hitam ikut rasa

Penyediaan:
1. Rebus makaroni sehingga lembut / masak. Jangan lembik sangat tau sebab takut nanti bila dah campur dalam adunan susu & keju, akan bertambah lembik makaroni tu. Buang airnya dah toskan.
2. Rebus brokoli yang telah dipotong ikut suka. Toskan.
3. Dalam periuk lain, cairkan mentega dengan api sederhana perlahan. Setelah mentega cair, letak tepung gandum dan gaul sehingga lembut & tidak berbintil-bintil. Masak dalam 2 minit & pastikan ia tidak berwarna coklat sangat.
4. Kemudian, tambah susu dalam masakan & kacau seketika.
5. Selepas itu, letak keju cheddar & mozarella/parmesan ke dalam periuk. Kacau sehingga cair.
6. Setelah cair keju dan sedikit mendidih, letakkan makaroni ke dalam kuah keju tersebut berserta dengan brokoli dan cendawan. Gaul sehingga mesra. Perlahankan api ya.
7. Letakkan garam & lada hitam ikut citarasa di lidah anda. Gaul seketika sehingga mesra dan padamkan api.
8. Perlahan-lahan pindahkan mac & cheese tersebut ke dalam pinggan anda yang menarik tertarik kau memang da boom. :) Selamat untuk dimakan panas-panas. Kalau sejuk tu, pi le letak balik dalam microwave ya :)

Happy cooking...

Kebab Roti Labenese yang simple tapi mengenyangkan


Assalammualaikum readers...

Kali ini saya nak kongsikan 1 resipi mudah untuk anda semua yang mungkin rasa tak nak makan nasi. Nak rasa kelainan sedikitlah katakan...

Exactly, lebenese bread @ roti lebenon ni saya nampak masa ke kedai jualan barangan harian Arab di Berkat Madinah area kawasan Ampang. 1st time pergi dulu saya just beli madu, air oren jenama Rani tu, coklat dan barbican. Masa saya dok tilik-tilik apa ada kat kedai tu, tiba-tiba mata ni tertancap pada seorang pekerja yang sedang menyusun plastik-plastik roti. Saya pun ke rak tersebut selepas dia selesai. Wahh... ada macam-macam jenis roti dengan harga yang agak murah. Ada roti arab, roti lebenon, roti iraq, roti iran, roti keras dan entah apa lagi saya pun tak ingat tapi memang menariklah. Baru saya tahu bahawa setiap negara mempunyai roti mereka sendiri untuk dijadikan makanan ruji.. Dan untuk kali ke-2 nya saya ke kedai ni, saya pun belilah labenese bread & arabic bread. Dan malam tadi saya buat kebab menggunakan hotdog dan salami ayam bersama buah zaitun peram masam (pickle). Alhamdulillah, suami, saya dan mertua sukakannya :)
Jom saya kongsikan resipinya:

Bahan-bahan:
1. Roti Lebenese 5 keping. (Jika tiada roti Lebenese ini, saya sarankan anda guna sahaja roti tortilla yang ada juga dijual di pasaraya. Besar dan lebarnya lebih kurang sahaja cuma roti labenese ni agak tebal).
2. Hotdog ayam 5 batang. (Jika tak suka ayam, boleh aje guna daging)
3. Salami ayam atau daging
4. Buah zaitun masam yang diperam. Jika ada yang ori, lebih bagus lagi tapi di Malaysia ni memang sukar nak dapat. Potong kecil-kecil dan buang bijinya.
5. Sos cili
6. Mayonis
7. Serbuk lada sulah

Penyediaan:
1. Rebus hotdog sehingga masak. Toskan.
2. Letakkan sekeping roti lebenese di atas pinggan besar. Tuang sos cili dan satu sudu kecil mayonis. Ratakan sos & mayonis di kawasan tengah roti sahaja.
3. Letakkan salami ayam di atas campuran sos & mayonis.
4. Taburkan buah zaitun yang dipotong di atas salami. Kemudian, potong sebatang hotdog kepada 2. Letakkan di atas salami ayam dan disisi taburan buah zaitun.
5. Tuangkan sedikit sos cili lagi dan taburkan sedikit lada sulah diatas hotdog dan buah zaitun.
6. Lipat kiri dan kanan roti dahulu dan kemudiannya barulah digulung dari bawah ke atas. Tada.... siap untuk dimakan. :)

Happy cooking...

Cinnamon Rolls yang lembut dan sedap


Cinnamons rolls tahun 2013. 1st attempt.

Alhamdulillah... berjaya juga saya buat roti cinnamon rolls ni.
Saya bukanlah seorang yang pandai memasak. Nak buat roti, tak pernah seumur hidup membuatnya kecuali buat pizza instant atau puding roti. Saya lebih suka buat masakan yang tidak memerlukan saya menguli roti atau yang sewaktu dengannya. I'm not a pro makanya tak nak lah membazirkan bahan.

Namun, dek kerana dah ditakdirkan makan cinnamon rolls yang adik saya buat masa cuti Hari Raya Aidil Adha hari tu, maka, akhirnya saya terjebak dalam aktiviti menguli tepung ni. Itupun sebab dah teringin sangat nak makan dan for sure kat Nilai takde orang jual cinnamon rolls. Saya godek-godek le You Tube dan akhirnya terjumpalah resipi yang akan-akan macam my sister buat. Jom saya kongsikan resipinya.

Bahan-bahan:
1. 1 paket kecil yis
2. Tepung gandum (beli yg pek 1kg tu. Saya guna brand faizah kerana ia kurang peluntur)
3. 250gm mentega
4. 1 cawan susu (saya guna jenama Anchor)
5. 2 cawan gula perang
6. 1 sudu besar serbuk kayu manis
7. 1/2 cawan air
8. 1 sudu kecil garam
9. 1 1/2 cawan gula kastor
10. 2 biji telur (suhu bilik)
11. Sedikit minyak sayuran / masak. Untuk diratakan di dalam dulang pembakar.
12. 2 buah dulang pembakar.

Penyediaan:
1. Masukkan susu ke dalam periuk kecil. Masak sehingga kelihatan buih-buih kecil. Kemudian masukkan 1/2 dari mentega. Dalam 200gm. Kacau sehingga mentega cair. Padamkan api dan biarkan ia sejuk sebentar.
2. Letak yis dalam cawan air suam & kacau. Biarkan yis mengembang dalam 10 minit.
3. Untuk menguli, sediakan mangkuk besar. Campurkan di dalam bekas 3 cawan tepung gandum, gula kastor, garam dan telur. Gaul bahan-bahan tadi agar ia mesra. Kemudian masukkan air dan yis. Kacau. Selepas itu, curah sedikit demi sedikit bahan campuran susu dan mentega ke dalam adunan tepung. Curah sehingga habis campuran susu dan mentega tersebut.
4. Tambah sedikit demi sedikit tepung bila adunan masih cair. Tambah tepung dan uli sehinggalah ia agak kental. Jika sudah tidak boleh diuli di dalam mangkuk, letakkan adunan tepung tadi di atas papan atau meja yang sudah ditabur dengan sedikit tepung. Uli sehingga lembut dan tidak melekat di tangan.
5. Kemudian, bulatkan adunan tersebut dan bahagikan adunan kepada dua. Untuk 2 dulang pembakar.
6. Dalam bekas lain, sediakan campuran serbuk kayu manis dan gula perang. Gaul agar ianya bercampur. Letak ke tepi dahulu.
7. Ambil satu adunan dan mula leperkan adunan menggunakan rolling pin. Leperkan sehingga 0.5cm atau jangan nipis dan tebal sangat. Sedang-sedang aje.
8. Setelah itu, sapukan baki mentega di atas adunan tepung yang leper tadi. Ratakan. Selepas itu, ratakan campuran gula dan serbuk kayu manis tadi di atasnya. Pastikan anda rata ke seluruh permukaan kecuali tinggalkan bahagian tepi setiap sudut. Ia bagi memudahkan proses ketika menggulung dan memotong.
9. Untuk menggulung, mulakan pada bahagian yang lebar. Gulung perlahan-lahan sehingga hampir ke hujung. Di bahagian hujung akhir nanti, sapukan sedikit air sebagai gam pada adunan gulungan tersebut. Setelah itu, gulung sehingga habis.
10. Sapukan minyak ke dalam dulang pembakar. Sapu rata ke setiap bahagian.
11. Kemudian anda potong gulungan tersebut selebar 2 jari. Dan potongan tersebut disusun ke dalam dulang pembakar. Setelah penuh diisi, tutup dulang tersebut dengan plastik atau kain lembab dan biarkan ia 2-3 jam untuk kembang. Kalau nak masak esok, boleh aje simpan dalam peti ais sehingga sehari semalam.


Yis akak hidup. Nampak tak wap tu....

12. Setelah kembang, bakar adunan roti tersebut ke dalam ketuhar antara 180c. Bakar lebih kurang 20-25 minit atau apabila cinnamon rolls sudah keperangan permukaannya.
13. Keluarkan dari ketuhar dan biarkan sejuk seketika. Potong roti cinnamon rolls tersebut mengikut petak-petak yang ada padanya atau bila teringin nak makan.

Frosting / Glaze:
Bahan:
1 1/2 cawan gula icing
4 sudu besar mentega (suhu bilik)
1/2 cawan cream cheese
1/2 sudu kecil garam

Penyediaan:
Gaul guna whisk semua bahan dalam mangkuk sehingga adunan memekat dan halus. Sapukan frosting tadi di atas cinnamon rolls yang belum dipotong (dalam loyang).

Rupa cinnamon rolls masa mula-mula masuk dalam dulang... My 1st attempt dolu.

Cinnamon rolls with frosting. Just paipkan aje frosting tu. Inipun terasa kemanisannya.

HAPPY COOKING

Resipi Kimbap @ Sushi @ Pulut Gulung untuk semua :)

Assalammualaikum semua...

Dek kerana fenomena Korea ni dah hampir 3 tahun dan sehingga sekarang ini masih lagi kuat (mana taknya, siapa yang kaki 2 days 1 night atau Running Man mesti tunggu aje cerita tu bila time slotnya), saya pun tetiba ada rasa macam nak buat kimbap. Kan dah gi ngetest makan kimbap kat 2 kedai makan korea sebelum ni, so, rasa tu memang tak larilah kan. Masuk aje dek tekak ni.

Dan sudah ditakdirkan Allah, tetiba kawan saya di FB pun sarankan saya buat aje kimbap sendiri. Dia pun dok sarankan beras mana yang sesuai dan siaran kat you tube mana yang patut digunakan untuk cara memasaknya. Dan... Alhamdulillah, masa Hari Raya Aidil Adha baru ni, saya dan adik perempuan saya akhirnya berjaya membuat kimbap korea. Seronok gitu...
Dan yang paling seronoknya, bila our parents yang bukannya suka sangat makan benda pelik2 ni akhirnya menyumbat juga kimbap ke mulut dalam seketul dua. Mak mertua adik saya pun boleh aje makan kimbap ni. Kami suka suka suka tengok mereka makan.... Mungkin barangkali beras yang digunakan rasanya sedikit macam pulut. Itu yang mereka suka dan boleh masuk ke mulut.

Jom saya kongsikan bahan-bahan untuk buat kimbap ni. InsyaAllah senang. :)

Bahan-bahan:


1. Beras short grain (saya guna jenis Sumo mcm gambar di atas). Beras ni ketot-ketot aje tau. Lagi ketot dari beras yang kita biasa makan di Malaysia.
2. Seaweed atau rumpai laut yang dileperkan (alah... macam dalam gambar di atas). Pastikan anda cari yang ada logo halal ya sebab kalau yang semuanya bahasa asing, susah juga sebab tak tau kandungan apa yang ditulis dalam bahasa tu).
3. Minyak bijan
4. Minyak masak (sedikit aje gunanya)
5. Telur 2-3 biji (bergantung berapa banyak anda nak buat kimbap ni)
6. Sebatang lobak merah
7. Sebatang timun
8. Sosej (ayam atau daging, bergantung pada mana yang anda suka)
9. Sedikit garam
10. Bamboo mat atau dalam bahasanya tikar bamboo kecil (boleh le kot ayat ni, hehehee...)

Cara-cara penyediaan (Gambar penyediaan ada di bawah ya. Silalah scroll... :

  1.  Masak nasi dalam 3 pot. Cuci beras macam kita selalu masak tu. Selalunya kalau 3 pot beras, airnya mesti 6 pot. Dan selalunya, jika 3 pot beras anda masak, anda akan dapat dalam 6 gulung panjang kimbap tu.
  2. Masa menunggu beras masak, kita goreng telur dadar. Tarukkan secubit garam dalam adunan telur tu. Goreng seperti biasa. Potong memanjang bila sudah masak.
  3. Buang kulit lobak merah dan potong memanjang seperti mana macam telur juga.
  4. Untuk timun pula, potong kedua-dua hujungnya dan potong memanjang seperti lobak tadi cumanya, jangan ambil bahagian tengah timun yang berair. Tak sesuai untuk diletakkan dalam kimbap. Takut cepat basi. Potong memanjang timun tersebut, Jangan nipis sangat tau. At least, sebesar saiz jari kelingking.
  5. Sosej pula, anda potong empat bahagian memanjang. Sama seperti timun dan lobak.
  6. Goreng lobak merah yang dipotong ke dalam kuali yang diletakkan sedikit minyak. Sedikit aje tau. Kemudian angkat dan ketepikan.
  7. Goreng sosej pula dengan minyak yang sedikit. Setelah agak masak, angkat dan ketepikan. Saya sarankan anda lap minyak yang ada pada sosej dan lobak agar ia tidak terlalu berminyak di dalam gulungan kimbap. Untuk kesihatan juga kan...
  8. Setelah nasi masak, dan agak suam-suam, masukkan ke dalam satu mangkuk besar dan titiskan sedikit minyak bijan ke atas beras dan letakkan beberapa cubit garam. Tang ni, ikut citarasa anda. Kiranya suka rasa tawar, kurangkan garam. Tapi kalau nak sedap, suka-suka hatilah bak kata Chef Amar... Gaul nasi, garam dan minyak minyak itu agar mesra. 
  9. Ambil papan pemotong atau pinggan besar dan letakkan bamboo mat ke atasnya dan letakkan pula sekeping seaweed ke atasnya. Letakkan sedikit nasi yang telah digaul tadi sedikit demi sedikit di atas seaweed dan benyekkan nasi tersebut. Macam gambar kat bawah ni. Benyek keliling kepingan seaweed tu tapi yang dihujung tu jangan taruk banyak sangat sebab takut bila digulung nanti, nasi terkeluar di hujungnya. Tak cantik sangat dah kimbap tu dan membazirlah kan... 
  10. Kemudian, ambil timun dan letakkan ditepi sekali. Ambil sosej, telur dan lobak merah dan letakkan rapat-rapat. Ala-ala macam bertindan.
  11. Bila hendak menggulung, pastikan tangan anda menggulung perlahan-lahan sambil menekan isi kimbap agar tidak terkeluar. Sambil menggulung, tekan sedikit kuat di bamboo mat berisi kimbap tersebut agar seaweed, nasi dan isi kimbap mampat. Gulung pelahan-lahan hingga ke hujung. dan kemudian gelek ke hadapan dan ke belakang bamboo mat berisi kimbap tu. 
  12. Setelah selesai menggulung, kimbap anda akan kelihatan panjang. Untuk memotongnya, potong saiznya sebesar ibu jari. Kalau rasa nak tebal, bolehlah potong ikut suka-suka hati... :)
  13. Dah siap potong semua, bolehlah dihidangkan di atas pinggan panjang atau bulat. Enak dimakan dengan mayonis, sos black pepper dan paling 'hebat' sekali adik saya buat, dibantainya makan dengan sambal tumis ikan bilis. Hehehe...







HAPPY COOKING EVERYONE...

Nasi kosong & ayam sahaja

Assalammualaikum...

Entri kali ini bukan berkaitan dengan resipi. Entri kali ini lebih kepada rasa bersyukur sangat atas pemberian Allah kepada saya. Nikmat Allah yang mana hendak kita nafikan...

Saya dan hubby makan tengahari di sebuah kedai makan berhampiran dengan USIM. Kami kadang-kadang suka ke situ kerana lauknya yang banyak, rasanya bolehlah tahan dan harganya juga berpatutan. Kawasan pelajar, rasanya anda sedia maklum yang harga dan kuantiti makanannya memang menarik :)

Masa saya dan hubby hampir selesai makan, tiba-tiba muncul sekumpulan pelajar USIM yang baru selesai ko-kurikulumnya (berdasarkan pakaian yang dipakai). Masa tu takde apa-apa yang menarik sangat. Tapi, sebaik saya duduk kembali selepas cuci tangan, saya terpandang sekumpulan pelajar lelaki dalam 6 orang duduk berhampiran dengan meja kami.

Entah bagaimana, mata saya tiba-tiba tertancap pada pinggan seorang pelajar. Saya pandang. Agaknya dalam 2-3 kali. Lepas tu, saya pandang pula rakan yang duduk di hadapannya. Menu mereka sama. Saya memandang pula pada rakan mereka yang seorang lagi. Ok, ada perbezaan. Untuk pelajar lain, saya tidak perasan tapi terlindung. Dua orang pelajar tersebut hanya makan berlaukkan nasi putih, ayam goreng dan kuah. Tiada sayur. Tiada lauk lain meskipun kedai yang kami makan tersebut, rasanya ada dekat 50 jenis lauklah.

Ya Allah, sedih saya lihat. Saya tahu mereka bukan mereka memilih makanan. Mereka kurang wang saku. Mereka terpaksa berjimat untuk makan. Hanya itu yang mereka mampu. Bila melihat situasi tersebut, saya teringat zaman sewaktu saya belajar dulu. Ya. Saya pernah tempuhi dan alami apa yang mereka rasa. Saya kurang wang. Saya terpaksa ikat perut untuk jimat duit. Saya terpaksa menahan segala macam nafsu untuk berbelanja. Dan pernah sekali, saya hanya makan nasi kosong, berlaukkan telur dan ikan bilis goreng serta kicap. Adakala, saya hanya dapat makan maggi dan roti putih dicelup dengan kuah maggi untuk menghilang lapar. Untuk beberapa ketika...

Memang rasa sedih. Tapi jika difikirkan kembali, semua itu memberi pengajaran dan pengalaman yang tidak boleh ditukar ganti. Allah memberi saya pengalaman itu untuk saya hayati, rasai dan pada masa yang sama bersyukur kerana meskipun saya hanya makan nasi kosong berlauk sedikit tetapi masih ada pelajar yang tiada langsung duit untuk membeli makanan berbuka puasa. Sehinggakan seorang sahabat saya yang baik, memberika separuh daripada makanannya kepada pelajar tersebut. Ya Allah... jika difikirkan kembali, saya masih beruntung. Beruntung yang amat.

Bila melihat orang miskin atau kurang kemampuan, fikiran saya mula kembali pada masa lalu. Adakala saya terkilan dengan status rakan-rakan di FB yang Allah telah kurniakan mereka sedikit nikmat kemewahan hidup berbanding dulu. Mereka lupa yang mereka dulu bagaimana. Mereka lupa yang masih ada manusia yang yang perlukan pertolongan mereka. Mereka lupa semuanya itu nikmat dari Allah untuk dikongsikan dengan orang lain. Mereka lupa kerana mereka sudah senang.

Saya sayang rakan-rakan dan ahli keluarga saya. Moga Allah memberikan hidayah dan membuka pintu hati mereka kembali untuk melihat akan kesengsaraan orang lain. Membantu mereka yang kurang upaya kerana mereka dahulu pernah sebegitu.... Dan yang paling penting, bantu membantu itu memberi ganjarang yang tidak terperi indahnya oleh Allah di dalam jiwa...


Roti telur berinti keju & tuna

Salam semua...

Sarapan pagi, sesuatu yang kadang2 memeningkan kepala saya dan keluarga. Apa ya nak makan pagi ni? Kedai tu takde jual makanan ni ke? Asyik nasik lemak aje dan roti canai, takde masakan lain yang best ke kat kedai tu?

Itulah antara soalan2 yang sering saya dan keluarga dok ulang2 cakap untuk waktu pagi. Dan Alhamdulillah, Allah berikan saya idea untuk buat sandwich pula satu hari ini :)

Meh saya kongsikan resipi roti telur berinti keju dan tuna ini dengan anda semua... InsyaAllah sedap dan mengenyangkan.

Bahan2:
1. 4 keping roti putih (saya guna Gardenia dan mungkin anda ada roti lain yg digemari)
2. 2 biji telur
3. 2 keping keju cheddar atau cheesdale
4. 1 tin kecil tuna. Saya guna yang rasa pedas tu. Adakala saya guna yg bermayonis.
5. Sos cili
6. Mayonis
7. Lada sulah
8. Garam
9. Tomato

Cara-caranya:
1. Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan letak lada sulah sedikit berserta garam. Pukul telur sehingga kembang.
2. Panaskan kuali leper dengan sedikit minyak.
3. Celup sekeping sekeping roti di dalam telur tadi depan dan belakang dan masak di atas kuali leper. Masak roti depan dan belakang.
4. Selesai memasak roti, susun 4 keping roti tadi di atas pinggan besar. Letakkan setengah sudu kecil sos cili dan mayonis. Ratakan ke atas permukaan roti.
5. Letak tuna pedas bermayonis atau tuna mayonis di atas roti. Ratakannya. Kemudian letakkan sekeping keju di atas tuna tadi. Belahan tomato kemudiannya diletakkan di atas lepisan keju tadi. Jika tidak suka tomato, boleh tukar dengan sayur lain yang anda suka.
6. Tutup lapisan tomato tadi dengan sekeping roti yang sudah disapu sos cili dan mayonis. Potong separuh roti bersegitiga seperti di atas. Dannnn... makan time...

Ice lemon tea with honey and peppermint leaf

Assalammualaikum semua.

Pagi ni saya nak kongsikan 1 resipi minuman yang baru di'approve' sedap dek hubby saya. Selalunya kalau minum di kedai, pasti ada yang kurang atau terlebih.


Bahan-bahan untuk 1 jag:
1. Lemon - 1 biji
2. 1 uncang teh boh
3. Gula secukup rasa
4. Madu dalam 1-2 sudu. Ikut rasa
5. Daun pudina 6-7 helai
6. Air panas dan suam
7. Kiub ais

Cara-caranya:
1. Rendam 1 uncang teh boh ke dalam jag. Ais panas dalam separuh jag ya.
2. Setelah teh kembang, perah lemon untuk jusnya. Ambil 3/4 daripada buah lemon tersebut.
3. Taruk 3 sudu teh gula. Kacau sehingga larut. Tanbah air suam dalam suku jag lagi dan kacau sehingga sebati.
4. Tambah 2 sudu madu ke dalam air dan kacau sehingga larut.
5. Letakkan daun pudina yang sudah dibasuh ke dalam jag. Baki belahan lemon tadi turut dimasukkan ke dalam jag ya. Jangan diperah. Biar ia meresap sendiri di dalam air.
6. Simpan di dalam peti ais dalam setengah jam untuk sejukkan sedikit airnya.
7. Untuk minum, letakkan 2-3 kiub ais ke dalam gelas dan tuang air tadi ke dalamnya. Jangan lupa baca bismillah sebelum menyisipnya :)

Happy trying and drinking...


Kedai Makanan Korea Sweetree Yang Sedappp...

Assalammualaikum semua...
Saya baru aje ngetest makanan korea sekali lagi. After 2 years tak makan makanan mereka, hanya order kimbab aje dengan my sis kat kedai Pak Z dulu, kali ni saya dan my sis makan kat satu kedai makanan halal korea di Ampang, Sweetree namanya.


Exactly, kedai ni hubby saya yang jumpa masa kita orang dok survey2 kedai western best kat Ampang. Sekali dia terjumpa kedai Sweetree ni bila google. Dia kata kedai ni bukan setakat ada western aje tapi makanan korea dan mi pun ada. Tapi, oleh kerana faktor nak mencari di waktu malam di dalam keadaan hujan, rasanya rentikan ajelah. Ada yg bergaduh dalam kereta kang sebab tak jumpa jalan. Hehehe...

Dan akhirnya, saya sampai juga ke kedai Sweetree ni hari Rabu lalu. Masa lepas ambil stok dengan my sis.
Ni gambor dekorasi dalam kedai tu ya... Comel kannn...


Masa mula-mula saya nak melangkah ke kedai ni, tiba-tiba terdengar suara lelaki menyebut "annyeonghaseyo". Terus saya pandang dan senyum pada dia serta menunduk. Saya tak tau nak balas apa. Dah sah kena korek pakcik google pasni belajar nak jawab apa... :)

Kami pun ambil tempat facing kaunter salad tu. Alah... kat tempat lelaki baju putih dalam gambar atas tu duduk. Terus lelaki Korea tu berikan kami menu dan membiarkan kami sebentar. Tilik punya tilik menu tu, tetiba aje saya ternampak menu sambal udang petai dan kangkung goreng belacan. Eh! Ada jugak makanan melayu malaysia kat sini? Wah... Ni kalau ajak my mum yg dah serik makan makanan korea tu, mesti mau...
Tilik punya tilik makanan dalam tu, rupanya bukan setakat ada korean dan western food tetapi juga Malaysian food, sorbet dan pelbagai jenis minuman yg memang menarik tertarik kau memang da boom lah. Sediakan fulus sahaja ya...

Akhirnya kami berdua pun pilih le makanan ni... tengok gambar kat bawah tau...

Kimchi Chee Gea & Rice. Kimchi tauhu ni sedap dan bolehlah masuk ke tekak saya. Side dishes yang ada 4 jenis tu pun ok. Dari kiri piring, kimchi, kacang panjang goreng, sosej goreng dengan carrot, kacang botol goreng udang kering. Sedap...

Kimbab BBQ Sauce. Kalau saya, berilah apa kimbab pun, boleh aje masuk kat tekak ni. InsyaAllah...

Yang mangkuk besar gedabak tu, namanya Ja Jang Myan, mi masak kicap apa ntah dalam tu my sis order. 

Besar giler kan mangkuk mi tu. Masa waitress tu berjalan bawak mangkuk besar tu, saya dah terbeliak bijik mata. Biar betul nak bagi orang makan dalam mangkuk tu? Siapa punya? Dan bila datang aje ke meja kami, hamik kau, my sis punya rupanya. Tersengih-sengih dan ketawa kecil saya dan dia bila tengok mangkuk tu dan isinya. "Besar giler mangkuk. Tak padan dengan isi. Macam mana kau nak makan tu?" tanya saya. My sis dah tersengih panjang... Tak sangka giler. Apa lagi, kita orang terus le amik gambar bekas makanan yang super duper besar tu dan letak dalam FB dan Instagram. Rupanya, bila dah habis makan, my sis kata, bagusnya mangkuk besar ni, tudung kita tak terpercik dengan kuah mi. Semua ke dalam balik. Oooo... Itu fungsinya ya... Hehehe...

Oh, lupa nak bagi tau. Sebelum kita makan, tiba-tiba akan datang waitress kedai tu bawak satu bekas berisi tuala putih dan juga segelas air kosong. Saya pun tanya untuk apa semua ni. Rupa2nya, tuala yang diberi tu, tuala suam-suam panasnya. Untuk lamp tangan. Manakala segelas air kosong tu pula untuk membasuh tangan juga sudah selesai makan. Haaaa... menarik tak. Dan yang membuatkan saya dan my sis kagum kejap, waitress datang lagi dan bawakan kami semangkuk bubur nasi. Saya pun tanya, "Did I requesting this?" Dan jawapannya, " IT'S FREE MADAM."  FREEEEE... OK. Ada kau dapat makanan lain selain kita order kat kedai lain di Malaysia ni? If ada pun, cuma tambah air pepsi or coke kat fast food restaurant. Rasanya dalam banyak-banyak kedai saya dan hubby merayap jalan-jalan cari makan, rasanya kedai ni yang layanannya lain dari yang lain. Most of the time, sama aje...

So, hari sabtu baru ni, saya bawa hubby saya pula ke kedai tersebut sebelum balik ke rumah parents saya. Dia pun admit yang suasana kedai korea ini are very welcoming dan dia suka tengok cara bos dan anak buah bekerja. Dan ada menu yang amat-amat hubby saya suka. Dan saya pun suka juga :) Meh saya kongsikan apa yang dimakan hari tu dan yang saya amat sarankan.

Ice green tea latte yang sedap. Dalam banyak2 benda yang kami makan hari tu, dia beri air ni nombor 1 paling sedap.

Coconut Sorbet yang memang terasa sangat rasa kelapanya. Hubby kata rasa sorbet ni macam aiskrim kelapa yang Wall's pernah ada dulu.

Yang ini saya tak ingat namanya tapi ia makanan korea. Siapa yang minat daging, really suggested sebab daging dia lembut sangat. Dan hubby saya yang tolong habiskan sebab saya dah kenyang makan nasiknya dan kimbab.

Lagi satu, sebelum terlupa, rupanya kedai Sweetree ni ada masuk dalam rancangan Jalan-Jalan Cari Makan TV3. Mungkin masa tayangan untuk kedai ni, saya dah hubby merayap ke tempat lain dan tak tengok tv.

Ni le gambor bukti menunjukkan JJCM ada mai. Kalau si pengacara ni makan, saya memang suka. Bersungguh-sungguh dan nampak kesedapannya...

So, jika ada sesiapa yang teringin nak rasa makanan korea yang sedap, ada western dan masakan melayu (kot le kalau kita bawak mak ayah kita, depa still cari masakan malaysia), pi lah kedai ni. InsyaAllah perasaan puashati itu ada. Hopefully mereka dapat maintain servis yang baik dan makanan yang sedap. :)

Kentang Bakar: Test resipi baru


Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya mencuba memasak resipi kentang bakar ini. Dah lama teringin. Dan Alhamdulillah, dalam buku Puan Roza Roslan, Aroma Antara Benua ada terselit resipi ini. Bestttt...

1st time saya makan baked potato atau kentang bakar ini masa saya beli di pasar malam di Bangi. 2-3 tahun dululah. Masa tengok orang tu jual, saya macam tertarik sebab ada macam2 rasa. Belilah seketul untuk rasa diri sendiri n hubby. Ok juga rasanya dan bercadang nak try le masak nanti. Dan sudahnya, after a few years, barulah Allah izinkan... :)

Dan Alhamdulillah, rupa-rupanya, kentang bakar ini disukai juga oleh anak2 sedara hubby saya yang kecik. Ingatkan nak beri seketul sorang, Rupanya depa boleh makan 2 ketul setengah sorang (yg seketul tu, depa kongsi). Tu ada potensi lain kali depa request tu...

Jom saya kongsikan resipinya yang di ambil dari buku Aroma Antara Benua (I really suggest kepada anda yang baru belajar memasak atau intermediate macam saya dapatkan buku ni. Memang menarik).


Bahan2 masakan untuk 5 orang makan (kalau ramai, tambahlah bahan ikut kesesuaian):
1. 5 biji kentang bersaiz besar (russet)
2. 1 sudu minyak masak / minyak zaitun
3. Garam & serbuk lada putih secukupnya
4. Kerajang aluminium (saya guna Diamond yg kotak kecil)

Bahan2 Isi topping kentang:
1. 5 sudu kecil mentega
2. 3 sudu sos bolognese / daging cincang
3. Parutan keju cheddar / mozarella
4. 3 sudu besar jagung manis
5. 1 tin tuna bermayonis
6. Sos lada hitam (saya guna jenama Puteri)

Penyediaan:
1. Panaskan ketuhar pada suhu 190C/375F. Sementara itu, cuci kentang bersih-bersih dan lubangkan sekelilingnya dengan garpu. Saya sarankan lubang banyak sedikit agar kentang cepat empuk isi dalamnya.
2. Sapu setiap biji kentang dengan minyak masak/zaitun dan garam. Kemudian bungkus dengan kerajang aluminum setiap satu secara berasingan. Masukkan ke dalam bekas tahan ketuhar dan bakar selama 45 minit atau sehingga kentang empuk.
3. Jika menggunakan ketuhar gelombang mikro, gunakan suhu kuasa tinggi selama 5-10 minit tanpa membungkus kentang dengan kerajang aluminium. Sesetengah ketuhar telah menyediakan set menu untuk kentang bakar.
4. Apabila kentang telah empuk, keluarkan dan belah dua tetapi tidak putus. Gemburkan isi kentang dengan menggunakan garfu. Taburkan sedikit garam, lada putih dan suku sudu kecil mentega setiap satu. Gemburkan rata-rata.
5. Kemudian, masukkan ke dalam setiap biji kentang, isi topping yang berlainan. Oleh kerana keluarga saya suka daging black pepper, maka, saya goreng daging cincang dan campurkan sos lada hitam.
6. Bagi topping berisi keju cheddar, masukkan semula ke dalam ketuhar gelombang mikro selama 1-2 minit untuk mencairkannya.
7. Hidangkan ketika masih panas.

HAPPY COOKING UNTUK KELUARGA & ORANG TERSAYANG... :)

Memanah itu sukan sunnah yang menarik

Rasulullah s.a.w bersabda: "Ajarilah anak-anakmu berkuda, berenang dan memanah." 
(Riwayat Bukhari & Muslim)


Alhamdulillah, hari ini saya nak kongsikan 1 lagi entri menarik tentang aktiviti saya dan hubby. Kami dah mula belajar memanah dalam sebulan sebelum Ramadhan. Dan alhamdulillah, aktiviti ini kami teruskan kembali selepas sebulan lebih meninggalkannya kerana berpuasa & beraya. :)

Exactly, jika diikutkan, doktor yang merawat hubby saya slip disc dahulu ada sarankan suami saya belajar berenang kerana ia elok untuk membetulkan dan menguatkan tulang belakang. Tapi, oleh kerana kami masa itu tidak tahu yang ia sukan sunnah Nabi dan kami beranggapan ianya satu sukan yang mahal serta kami tidak berkemampuan, maka kami biarkan aje. Hubby pun hanya amalkan senaman yang diajar aje.

Dan, entah bagaimana, satu hari, Allah tiba-tiba mengetuk minda saya dan hubby. Kami tiba-tiba teringin untuk mengamalkan sukan sunnah Nabi selepas kami mengetahui tentangnya. Setelah berfikir dan berbincang, akhirnya kami decide untuk belajar memanah. Nak menunggang kuda, hubby tak boleh sebab slip dics, nak berenang, saya pula tak berani dengan air. Hehehe...

Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami untuk belajar sukan sunah ini. Daripada masa mencari sehinggalah berjumpa dengan tempat belajar memanah sekarang, meskipun ada sedikit kesukaran, tapi Dia membantu mempermudahkan.

Masa mula-mula belajar dan nak dapat arm guard sendiri, amik kau, lebam-lebam jugaklah tangan tu. Tapi, itu yang membuatkan pembelajaran itu sesuatu yang menarik. We learn the hard way in learning process dan itu yang membantu kita sebenarnya untuk mengingati aplikasi pembelajaran.

Pernah satu ketika, saya dan sepupu berbual tentang sukan sunah nabi (beliau sudah menghantar anak-anaknya belajar berenang & berkuda). Beliau berkata, "Kau tahu Rina, kalau kau perasan, sukan sunnah Nabi ni sukan eksklusif. Kau tengok menunggung kuda & polo, berapa harga kuda dan yurannya. Berenang, tengok berapa hadiah yang ditawarkan dan diiktiraf dalam sukan dunia. Memanah, kau tengok alatannya dan yurannya di kelas tertentu kat Malaysia ni. Boleh tahan bukan."

Saya mengangguk. Mengiakan. Sukan sunnah ini memang sudah diangkat menjadi sukan bertaraf dunia oleh negara bukan Islam. Tapi di negara Islam, ianya dianggap enteng dan tidak penting. Bukan itu sahaja, yuran yang dikenakan adakala mahal dan tak masuk akal. Maka, dari situ, orang tertentu sahaja yang mampu mengamalkannya dan golongan kurang berkemampuan, hanya melihat di dalam tv, baca di majalah dan tengok di internet sahaja.

Saya amat berharap agar satu ketika nanti, sukan sunnah Nabi akan menjadi ikutan 90% umat Islam di dunia dan ianya dapat diamalkan dengan mudah oleh semua golongan. Affordable is the key word.

Oh ya, If ada antara pembaca ingin belajar memanah dan tinggak di area KL Selangor dan Nilai, bolehlah belajar memanah di tempat saya & hubby belajar di Kajang. Boleh cari di FB, Kelab Memanah Kajang (Archery Kajang), insyaAllah yurannya amat berpatutan dan harga alatan memanah boleh dirunding berdasarkan kemampuan dan kehendak anda. :)

Sekarang, kelab ini sudah berpindah ke Sekolah Rendah Saujana Impian, Kajang. So, boleh terus ke sana ya untuk info. Hari Sabtu dan Ahad pagi hingga tengahari mereka berlatih.

Memanah ini membantu kita bukan sahaja fokus untuk menembak dengan tepat tetapi juga sabar dari segi minda dan pergerakan. 

Malaysia murah & kaya...


Assalammualaikum pembaca di blog ni.

Jika lihat kepada tajuk blog kali ini, pasti ada tertanya-tanya betulkah Malaysia ni murah dan kaya? Harga barang, jangan ceritalah, selalunya naik bila harga minyak naik. Tahap ekonomi Malaysia, kadang naik kadang turun. Memang tak menentu. Tang kaya, kaya apa Malaysia ni?

Sebenarnya, persepsi Malaysia ini bukan daripada pandangan mata saya tapi pada pandangan mata kasar seorang 'Pembantu Rumah Indonesia' yang membantu mama saya baru-baru ini. Kami sempat juga berbual bila ada masa terluang ketika tetamu tidak ramai masa open house baru ini.

Entah bagaimana, tiba-tiba dia berkata tentang sesuatu yang menyentak minda saya. Ini antara perbualan kami:
Pembantu rumah: Orang Malaysia ni murah dan kaya ya kak.
Saya: Kenapa kata macam tu?
Pembantu rumah: Di sini perempuan senang dapat kerja. Lelaki pun sama juga. Orang pun tak berapa kedekut.
Saya: Di sini mmg perempuan dan lelaki boleh dikategori mudah dpt kerja cuma rajin atau tidak. Malu atau tidak mahu. Tapi tentang kedekut tu, lain orang lain pengalamannya.
Pembantu rumah: Saya di Indonesia dulu kerja jual rumput aje kak.
Saya: Apa? (dlm hati dah musykil. Kerja apa pulak tu).
Pembantu rumah: Saya jual rumput untuk beri lembu makan.
Saya: Oklah tu. Bulan2 mesti dapat gaji juga. Cuma tak banyaklah kan...
Pembantu rumah: Gajinya hanya dapat bila lembu yg diberi makan sudah besar dan blh dijual. Kadang 2-3 tahun baru dapat gajinya.
Saya: Erk! Habis tu, selagi tak jual, tak dpt hasillah ya?
Pembantu rumah: Ia kak. Tiada gaji.

Aduhai... memang terdiam sebentar saya bila mendengar jawapannya. Bagaimana mereka ini survive dalam hidup? Bagaimana pula dengan kaum lelaki mereka? Mereka kerja apa? Apa yang mereka makan setiap hari? Dan macam2 lagi persoalan yang mengasak minda saya.

Satu lagi perbualan antara kami yang membuatkan saya lagi rasa lain macam:
Pembantu rumah: Bila bekerja di Malaysia ni, baru saya dapat minum milo, teh, kopi dan minuman lain. 
Saya: Ooo... kiranya masa di sana, minum air kosong sahajalah ya?
Pembantu rumah: Ia kak. Kami tidak mampu untuk beli semua itu. 

Aduhhh... lagi saya rasa beruntungnya saya lahir di dunia ini. Punya ibu dan ayah yang mampu menyekolahkan saya, dapat minum & makan pelbagai jenis makan dari kecil hingga dewasa, mampu tukar pakaian hari raya setiap tahun meskipun sepasang sahaja dan mampu memiliki apa yang tidak dimiliki oleh pembantu rumah tadi. Tidak dapat saya bayangkan diri saya jika berada di tempatnya. Terpaksa ke negara orang merantau demi mencari rezeki yang halal demi membantu keluarga di sana. Berkali-kali juga dia ucapkan terima kasih kepada mama saya ketika mama bekalkan dia banyak makanan lebihan open house dan upah kepadanya. 

Bagi kita, upah sebanyak RM70 itu apalah sangat untuk kerja setengah hari. Tapi, bagi pembantu rumah Indonesia itu, ia sudah amat besar dan tak ternilai harganya untuk dia meneruskan kelangsungan hidup di Malaysia dan menyimpan untuk keluarganya.
Moga Allah sentiasa melindungi dia & keluarga walau di mana pun dia pergi selepas ini.

Selamat Hari Raya & 4 bintang untuk Digital Fortress


Selamat Hari Raya semua...
Alhamdulillah, kita semua dah selesai tanggungjawab dengan Allah dalam menunaikan rukun Islam ke-3 & ke-4 (zakat tu ya). Raya kali ini agak panjang kerana jatuh pada hari Khamis. 4 hari jugalah pekerja semua bercuti panjang. Untuk saya pula, adalah dalam 6 hari bercuti. Itupun adalah yang dah sent emel hari raya ketiga. Tapi, jawab kemudianlah ya. Mood raya on the go lagi sekarang ni. :)

Tiap kali cuti lama sikit dah tentulah time ni saya curi2 masa nak mengkhatamkan beberapa buku yang dibeli. Dan buku pertama yang habis dibaca kali ni adalah buku Digital Fortress oleh Dan Brown. Buku ni saya beri 4 bintang. Ok le tu kan. Banyak bintangnya. Kalau tak best memang saya tak kongsi dalam blog ni.

Buku ni saya beli time Pesta Buku Popular kat KLCC Convention sebelum raya hari tu. Ada 2 lagi buku saya beli time tu. Itu pun tunggu masa nak baca. Tapi Inferno, tunggu dia buat soft cover. Masih sayang lagi duit ni nak keluarkan RM65 untuk buku hard cover tu. :)

Buku DF (Digital Fotress) ni, pada awalnya mengisahkan tentang sepasang kekasih yang sepatutnya ber'dating' di satu tempat. Entah macam mana, tunang dia ni call. Kata yang dia ada hal penting sangat dan terpaksa terbang waktu itu juga. Cik kak ni frust le. Tapi tengah dia tunggu tunangnya call bila dah touch down, alih-alih bos besar dia pulak call. Kata ada perkara penting dah berlaku. Terpaksalah dia datang ke ofis time hari Sabtu tu (cuti waktu tu, so paham2 ajelah tahap kemalasan nak ke ofis). :)

Dan bila dah jumpa big boss, rupanya mereka berhadapan dengan satu masalah besar. Iaitu mereka dapat detect 1 kod rahsia yang mana mesin rahsia mereka TRANSLTR tak dapat nak terjemahkan. Unbreakable. Rupa-rupanya, kod rahsia tu disebarkan oleh ex-worker NSA yang tak suka dengan apa yang dilakukan oleh mereka terhadap orang awam iaitu mampu membaca dan memintas semua emel tanpa pengetahuan pemilik emel sendiri. Kiranya privasi kita dah takde.

Pada awalnya Ensei Tankado ni, blackmail lah big boss ni (Strathmore) agar beritahu kewujudan mesin tersebut kepada dunia. Bila big boss tak mahu, apa lagi, diapun mulalah melancarkan Digital Fortress. Bila TRANSLTR baca kod ni, dia tak boleh decrypt maksud kod tu. Selalunya TRANSLTR just ambil masa 3-6 minit sahaja untuk pecahkan kod rahsia tapi kali ini selepas 15 jam, masih tak dapat lagi pecahkan. Kiranya kod ni memang hebatlah.

So, start dari situlah si Susan (heroin) & David Becker (hero) ni dan pekerja NSA bertungkus-lumus nak settlekan masalah yang melibatkan pertahanan ketenteraan perkomputeran US dan segala macam rahsia yang ada dalam databank.

Untuk lebih mengetahui akan thrillernya kisah ini, silalah beli buku ini ataupun pinjam dengan kengkawan ataupun sewa kat kedai buku.

Suka + Tak Suka = Gabungan terbaik dari Allah

Salam semua...
Sebentar tadi saya baru aje membalas beberapa emel pelanggan. Dan ada 1 emel pelanggan yang mencuit hati dan minda saya. Ia tentang pekerjaan saya. Dan jawapan saya pada emel tersebut, "Alhamdulillah, Allah beri saya 'pekerjaan' yang saya suka dari kecil.

'Pekerjaan' ini jika saya imbas kembali segalanya ke belakang, ia bukan mudah. Selepas zaman saya menyambung pengajian peringkat diploma, laluan saya kelihatan lain sedikit. Lain yang saya minta, lain yang ALlah berikan pada saya. Dan di alam pekerjaan sebenar pula, laluannya agar sukar tapi masa itu saya tidak tahu mengapa Allah berikan saya pekerjaan tersebut. Life goes on and I need to face it. Ketika menyambungkan pelajaran sekali lagi, saya diberikan oleh Allah sesuatu yang saya amat tidak suka. Sesuatu yang mengambil masa untuk saya menyesuaikan diri. Kali ini, laluannya memang amat sukar dan mencabar sehingga saya terjatuh & mengambil masa untuk bangun (sehingga ke hari ini pun masih ada sisanya).

Ketika saya memasuki alam perkahwinan, ianya juga out of my imagination. Apa yang cuba dicari dan mahu, Allah tidak beri dengan senang. Ada banyak laluan sukar. Namun, sedikit demi sedikit, Allah berikan saya dan mengajar saya cara terbaik untuk menggapai impian lama. Pada masa itu, apa yang ada sekarang, memang tidak terduga. Tetapi, dengan cara itu, ia mendekatkan saya kembali kepadaNYA. Dia memberikan saya sesuatu yaang saya suka pada awalnya dan kemudian memberikan sesuatu yang saya tidak suka pada kemudiannya. Dan gabungan suka + tidak suka itu rupanya memberi impak yang diluar jangkaan.

Allah knows what best for His servant.
"…dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya". (Surah Al-Baqarah ayat 216.)

Alhamdulillah, meskipun masih bertatih dan cuba belajar menerima, saya sentiasa berharap agar Allah sentiasa membantu saya memperbaiki diri dan belajar menerima. Gabungan dari pemberian kasih sayang dan takdir Allah ini, telah memberikan saya hasil yang halal, pekerjaan yang baik dan dalam masa yang sama berkongsi sesuatu dengan orang lain. Moga impian saya dan suami untuk masa hadapan tercapai. Dengan cara bagaimana, pastinya itu rahsia dari Dia...


7 tahun yg bermakna...


Alhamdulillah... Hari ini genap 7 tahun ulangtahun perkahwinan saya dan hubby. Pejam celik pejam celik, eh! 7 tahun dah ya. Sekejap sahaja rasanya. Ya... dalam masa sekejap itu, pelbagai pengalaman, ilmu, rasa, emosi dan dugaan kami hadapi. Adakala kami berjaya dan gembira namun, adakala kami kecundang dan menangis juga. That is all about married. Sharing, caring and support each others is the ingredient to make the marriage wonderful and colourful and also meaningful.

Dugaan dan cabaran, jangan cerita. Just two of us know. Outsiders, we try to hide from them. Just smile and laugh in front of them. Gembirakan orang lain kan salah satu sunah nabi. Mungkin itu yang kami mampu :)

Anyway, for those people out there, yang sentiasa bercinta dengan pasangan hidup masing-masing, just enjoy the moments we spend with them. Kita tidak tahu apa akan berlaku dalam masa sehari, seminggu, sebulan, setahun ataupun sepuluh tahun akan datang. At least, we have the sweetest memories with the one we love most. Even, dapat solat berjemaah & makan semeja juga adalah satu kenangan yang indah Allah berikan pada kita untuk nikmati.

So couple... enjoy the life & love with your partner selagi hayat dikandung badan...

5 bintang untuk kembara 'Di Mana Bumi Dipijak'


Assalammualaikum semua...
Petang-petang sambil tunggu waktu berbuka ni, saya nak maklumkan yg 1 lagi buku telah mencapai tahap 5 bintang melalui pembacaan saya. Buku ini dah lama dibeli cuma masa untuk membaca tu 'kureng' mengizinkan. Jangan katakan kerja, buku lain yang dibeli pun tunggu masa untuk dibaca (punyalah banyak stok, bacanya aje yg blm sempat lagi. hehehe...)

Buku ini mengisahkan tentang kembara penulis merantau ke banyak tempat di dunia. Antaranya seperti Turki, Bosnia Herzgovina, Makkah dan Madinah, Syria, daerah-daerah di negara China, Thailand, Australia dan Bangladesh. Cara penceritaan dalam buku ini membuatkan saya berasa seperti dapat merasai sendiri keunikan dan kecantikan tempat yang dilawati. Bukan itu sahaja, saya seolah-olah turut dapat merasa kemesraan penduduk tempatan yang ditemui oleh penulis. Senyuman mereka, tutur kata mereka, tingkah mereka, tanpa sedar telah membuat saya tersenyum dan berasa teruja untuk bertemu mereka. Nak tahu kenapa saya senyum & teruja? Buku ini turut menyelitkan sekali wajah penduduk tempatan yang ditemui penulis dan gambar-gambar tempat-tempat yang dilawati atau ziarah. Saya rasa seolah-olah saya dah melancong ke semua tempat melalui buku ini.

Perkongsian kisah penulis ini telah turut sama membuka minda saya tentang beberapa perkara. Salah satunya tentang ilmu. Menurut penulis, "Ilmu itu rahmat & jahil itu tanda keruntuhan. Setiap orang Islam yang baik akan sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuannya terutama ilmu-ilmu yang membantu mendekatkan mereka kepada rahmat & kasih sayang Allah."Aduhai... rasanya tentang ilmu agama, saya memang tidak sebagus mereka yang belajar di sekolah agama atau memang dididik dengan pendidikan agama yang terbaik. Namun, semakin saya meningkat dewasa, Alhamdulillah, Allah tunjukkan saya beberapa perkara yang perlu saya perbaiki dan bertemu dengan orang yang dapat membantu saya menuju kepadaNya dan Baginda Rasul s.a.w. Moga Allah sentiasa melorong saya dan memberi saya kekuatan.

Saya bersetuju dengan penulis di akhir buku ini. Kembara akan mendekatkan diri seseorang bukan sahaja kepada dirinya sendiri bahkan kepada alam sekeliling dan yang paling penting sekali kepada Allah. Di sini, konsep tawakal atau berserah diri sepenuhnya kepada Allah amat penting. Hanya Dia tempat bergantung di kala kita susah atau terkapai-kapai.

Untuk saya huraikan buku ini dengan lebih terperinci, rasanya tidak adil. Hilanglah 'surprise'nya. Namun, dalam banyak-banyak tempat yang dilawati penulis, 3 tempat yang saya suka pemandangan ciptaan Allah yang diselitnya. Pertamanya, sudah tentu Masjidil Haram & Masjid Nabi, keduanya di Mae Long di utara Thailand dan juga Bagdad Cafe di Syria (tapi rasanya mana mungkin saya dapat ke sini pada waktu pergolakan ini. Tempat itu pastu sudah hancur dibuat oleh askar Assad).

So, people out there, atau mereka yang suka mengembara, saya amat-amat sarankan untuk anda membaca buku ini. Bukan sahaja bagus untuk perkongsian ilmu tentang tempat-tempat tersebut tetapi ianya lebih dari itu. Meh saya kongsikan a few pictures yang saya ambil dari 'pakcik google' antara tempat yang dilawati oleh penulis.

Bosnia Herzagovina

Selat Bosphorus, Turki

Pemandangan dari Bagdad Cafe, Syria

Mae Salong, Thailand

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...