Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI
Memaparkan catatan dengan label Cuti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cuti. Papar semua catatan

Cuti-cuti / Ziarah Ho Chi Minh hari ke -4


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Kali ni kami ke Chu Chi Tunnel yang tempatnya dalam 1 jam perjalanan menaiki bas dari HCM. Dapatlah kiranya kami lihat suasana HCM lagi. Chu Chi Tunnel ni antara hot spot untuk tourists ziarah. Ia memiliki sejarah berdarah untuk warganegara Vietnam.

Cu Chi Tunnel, terowong bawah tanah yang menempatkan jaringan persembunyian & penempatan penduduk Vietnam ketika Perang US-Vietnam dahulu.

Terowong yang dibina pada awal 1940an ketika perang melawan pendudukan Perancis digunakan & digali lagi hingga mampu mencecah panjangnya terowong sehingga 121km. Dari Saigon sehingga ke utara Vietnam demi melawan tentera Amerika yang menjajah secara kasar (seolah seperti penjajahan negara Iraq, Afghanistan, Palestine). Terowong ini memang sangat kecil. Kiranya orang yang bertubuh kecil & kurus sahaja yang lepas masuk. Namun demi pengunjung & pengajaran, saiz terowong tertentu dibesarkan mengikut saiz orang Eropah/Amerika.

Rahsia terowong ini hanya 1% didedahkan pada umum dan selebihnya hanya diketahui oleh pihak tentera. Di kawasan Cu Chi Tunnel ini, pengunjung dapat melihat sisa tinggalan perang seperti senapang pelbagai jenis, bom tangan, bom yang dilepaskan dari kapal terbang & kereta kebal, senjata yang digunakan Tentera Vietcong & Tentera Vietnam Utara, jenis perangkap yang digunakan tentera Vietnam dalam mempertahankan negara, rupa bentuk keadaan setiap terowong ketika zaman perang (ruang menjahit, ruang memasak, ruang mesyuarat, ruang pembuatan senjata, ruang kediaman, logistik). Serius, kami yang datang sebentar sahaja sudah rasa tidak selesa inikan mereka yang hidup bertahun di bawah tanah. Namun kami tabik dengan semangat mereka mempertahankan negara menggunakan apa sahaja senjata & cara untuk melawan (ngeri tengok buluh runcing dalam jerangkap samar mereka).

Penerangan tentang keadaan Chu Chi Tunnel disampaikan oleh tourist guide kem ini. Kurusnya orang Vietnam ini hingga dapat lolos masuk ke lubang yang kecil dan membina penempatan di bawah tanah. Very unpredictable. Itu yang membuatkan salah satu faktir orang Amerika kalah dalam peperangan ini.

Antara jenis jerangkap samar yang dibuat oleh tentera Vietcong untuk membunuh dan mencederakan askar Amerika.

Bayangkan, kurusnya orang zaman perang dulu. Rasanya budak umur 5-6 tahun muat masuk ke dalam tu. 

Contoh askar Vietcong yang diluar penempatan bawah tanah. 

Jerangkap samar yang dibina pada pintu masuk. Kiranya jika ada askar musuh buka pintu, dan kesudahannya mereka akan terkena jerangkap berpaku ini. Ngeri.... Memang tiada malam pertama bagimulah jika terkena ;)

Ini contoh ruang bawah tanah untuk menghasilkan bom baru dari bom lama yang sudah tak boleh digunakan. Mereka fully utilised apa yang ada. 

Pihak Chu Chi Tunnel buat 2 terowong yang sudah dibesarkan saiznya. Satu sepanjang 20 meter & satu lagi 60 meter. Dan encik hubby akhirnya cuba torowong yang 20 meter. Keluar aje dia, berpeluh sakan. Dan bila dilihat, semua pengunjung yang cuba, keluar-keluar aje terus rasa lega sebab dah tak perlu berpanas, lemas, sakit peha (sehari lepas tu Rudy kena) & berpeluh sakan. Bayangkan penduduk Vietnam yang bertahun dok dalam tu.

Di kem ini juga anda boleh cuba untuk menembak. Pilih aje nak guna senapang yang jenis apa & anda bayar ikut jenis jumlah peluru yang dibeli. Ada juga dijual barangan cenderahati semasa perang seperti peluru, bom tangan dan lain-lain. Tapi, saya sarankan jika nak beli, beli aje yang peluru kecil kerana jika anda beli yang besar, alamatnya kena buang kat kastam di airport. Kami dah terkena. Nasib baik staf airport kata itu cuma souvenir, makanya lepas. Kami ternampak satu bekas kaca yang penuh dengan barang larangan yang kena buang kat situ. Kebanyakannya belian cenderahati Chu Chi Tunnel.

Ini souvenir yang membuatkan encik hubby kena tahan. Peluru ni harganya dalam RM10 rasanya (akak tak ingat). Coke Kopi tu pula hanya ada di Vietnam. Makanya, silalah beli untuk cuba. 

Jika anda ke sini, saya sarankan bawa topi dan air mineral. Cuaca agak panas. Namun, dihujung lawatan, kita dihidangkan dengan ubi kayu rebus cicah asam & gula serta teh o tawar. Menu zaman perang. Nanti jangan lupa berikan sedikit tips selepas makan ya :)

Selesai lawatan di sini, kami & rombongan lain dibawa ke kedai makan halal berhampiran. Alhamdulillah, menu dah tersedia. Di sini anda boleh melepas hajat & juga bersolat.

Settle urusan di kedai makan sini, kami balik semula ke HCM. Dah sampai bandar, kami split. Kami berdua Rashid bawakan ke masjid di bandar HCM manakala grup tadi dibawa ke kedai kain yang mula-mula kami sampai dulu.

Masjid di tengah bandar HCM ini tak ramai jemaahnya. Sementelah penduduk Islam di sini tak ramai. Jadinya bila bersolat asar berjemaah, hanya sebaris sahaja. Mungkin yang lain tak dapat nak join sebab waktu kerja belum habis.

Usai solat jemaah, kami naiki kereta sewa yang disewa Rashid untuk ke airport. Alhamdulillah, selesai sudah urusan ziarah kami di HCM. Ada rezeki lagi, mungkin kami ke sini.

Cuti-cuti / Ziarah Ho Chi Minh Hari-3


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Kali ni, trip kami agak touching skit. Serius, saya pun tak sangka kali ni, emosi saya jadi sangat tidak stabil melihat kesan akibat perang US-Vietnam. Sepertimana kita sedih dengan peperangan yang berlaku di Syria, Afghanistan, Myanmar & tempat-tempat lain, itulah yang saya rasa. All the emotion mix-up just in one place, War Remments Museum.

Perang US-Vietnam yang bermula tahun 1954 itu telah menyebabkan banyak kerosakan kedua-dua buah negara. US yang beranggapan bahawa mereka polis dunia mahu menyekat perkembangan komunis yang berada di Vietnam. Dan kesudahannya, US kalah teruk dan sehingga sekarang mereka masih malu untuk menceritakannya. Even Presiden US yang mengarahkan peperangan ini hanya sebentar sahaja menyandanga jawatan Presiden. Mungkin akibat tekanan antarabangsa & juga dalaman membuatkan dia jatuh.

Berbalik pada lawatan tadi, mula-mula masuk muzium ni, ok lagi. Tambahlah ilmu serba sedikit tentang sejarah Vietnam, Ho Chi Minh, askar US yang tak mahu join perang dan lain-lain. Tapi bila sampai aje kat tingkat atas, saya dah terdiam bila lihat tinggalan bom tangan, bom, senapang, machine gun, peluru & macam-macam lagi. Hati mula terusik bila melihat gambar-gambar kekejaman askar US pada orang tempatan. Itu belum lagi apa yang dilakukan pada kanak-kanak, wanita & orang tua. Ada satu lubang perigi batu diletakkan di dalam muzium. Dan bila dibaca sejarahnya, rupanya dalam lubang perigi tersebut telah dibunuh berbelas orang rakyat Vietnam terdiri daripada wanita & kanak-kanak.

Senjata yang digunakan semasa peperangan. Barangkali ada yang sudah membunuh manusia di muncungnya.  

Antara gambar-gambar perang yang diambil semasa peperangan. Manusia adakala sangat kejam. Teringat akan pertanyaan Jibrail pada Allah tentang awal kewujudan manusia. Tapi... Allah sudah berikan jawapanNya.

Dan dalam ketika saya seorang membaca bait-bait ayat di setiap gambar, emosi mula terganggu. Entah kenapa, air mata perlahan-lahan terbit. Ya, ia bukan paksaan tapi dari hati yang benci akan peperangan dan rasa kasihan pada mereka yang terkesan pada peperangan ini.

Selalu jenis-jenis bom ini hanya dilihat dalam wayang US tapi kali ini depan mata saya melihatnya. Tak terbayang bagaimana perasaannya bila bom yang dipegang, dilontar & ada yang membunuh.

Ini antara kesan fizikal yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Vietnam akibat gas Agen Orange yang berisi herbicide & defoliant. Time ni, air mata dah tak boleh kawal-kawal. Puaslah akak kesat-kesat dek non.

Sedih, sebak, nak marah, benci, sayu, semua ada dalam hati ini. I hate war. Tak ada yang membawa kebaikan langsung...

Yang paling nak buat saya bercucuran air mata, bila masuk dalam satu galeri kecil yang menjual hasil kraftangan orang OKU perang Vietnam. Sedang saya tengok-tengok dan belek-belek, tiba-tiba terpandang wajah lelaki yang sedang bermain electronic piano keyboard. Ya Allah! Time ni saya rasa macam nak pengsan dan nak meraung. Wajah lelaki tersebut RATA. Hanya ada lubang hidung & mulut. Terus saya teringat ayat Allah yang mampu meratakan wajah kita pada hari akhirat nanti di dalam al-quran. Saya cuba control diri. Mengiakan encik hubby memilih barangan yang sesuai dan lekas-lekas nak keluar dari situ. Cuba elakkan dari menangis teresak-esak. Dan bila keluar sahaja, tears burst out. Lutut rasa longgar.

Dan sepanjang keluar dari situ, mood saya dah hilang. Asyik terfikir-fikir tentang kesan buruk perang, tentang lelaki yang rata wajahnya dan mereka yang cacat akibat agen orange. Usai lawatan dalam kompleks muzium, kami dibawa oleh Rashid ke satu bangunan kecil di belakang muzium. Rupanya di situ ada diletak gilotin/guillotine untuk memenggal kepala penjenayah perang, ada sangkar kecil yang menempatkan banduan, penjara dan lain-lain. Subhanallah, tak terbayang akan minda akan azab yang terpaksa ditanggung. Saya tak sanggup nak mendaki naik ke penjara atas. Takut kaki tak cukup kuat bila melihat suasana kelam di dalamnya. Ngeri pun ada.

Selesai urusan lawatan kami di muzium ini, Rashid bawa kami ke Pejabat Pos era pemerintahan Perancis yang masih beroperasi hingga kini. Ia bukan pejabat pos biasa-biasa, ia sangat 'luar biasa'.

  •  Daya tarikan pelancongan yang tersendiri untuk pelancong tempatan & luar negara
  • Masih beroperasi seperti biasa dalam menghantar bungkusan, surat, poskad & bil
  • Bangunan lama yang masih terpelihara
  • Kanak2 sekolah rendah & tadika dibawa ke sini & diajar cara untuk mengepos surat & poskad
  • Dijual pelbagai jenis cenderahati tempatan seperti poskad, duit syiling & kertas lama, duit syiling & kertas baru, fridge magnet, keychain, setem lama & baru dll
  • Tempat menarik untuk ambil gambar konvo
Jika ke sini, anda boleh cuba hantar poskad ke Malaysia untuk tersayang. Harga poskad dalam VND5000 & caj pos dalam VND21000.

Meriah sangat suasana kat luar pejabat pos ni. Orang tempatan & pelancong suka ambil gambar belatar belakangkan bangunan lama terpelihara ni.

Kaunter penjualan poskad, cenderahati, setem, wang lama dan lain-lain. Just pilih mana berkenan di hati.

Jom kita try hantar poskad pada orang tersayang di Malaysia... :)

Haruslah cuba ilmu baru :)

Poskad ni, kami terima selepas dalam sebulan dari tarikh penghantarannya. Ok lah... 

Lepas dah merayap kat Pejabat Pos HCM ni, kita ke sebelah kanan bangunan. Ada Bookstreet. Ini yang saya dok tanya dengan Rashid. Alhamdulillah... suka dapat ke sini.

Di Malaysia patut ada 1 jalan yang menempatkan buku-buku tempatan agar menggalakkan semua lapisan rakyat, umur & warganegara membaca. Boleh dijadikan juga salah satu daya tarikan pelancong selain menjana ekonomi, sama seperti di Ho Chi Minh. Di sini, 80% buku-buku & cenderahati yang dijual adalah hasil tempatan & selebihnya berbahasa Inggeris.
Hidupkan kembali budaya membaca.

Pemandangan yang sangat best bila tengok deretan buku-buku, majalaha & cenderahati kat sini.  

Sambil baca buku atau meeting, boleh lepak kat kedai kopi di sini. Mimpi indah untuk ulat buku ;)



Sempatlah kami beli kopi vietnam yang sedap kat sini sambil lepak-lepak. Ada budak-budak muda yang satu grup dengan kami pun sakan amik gambar.

Settle aje merayap kat sini, kami balik bilik. Rehat kejapa sebab encik hubby pening. Petangnya kami merayap lagi pasar Ben Thanh dan beli beg besar. Nasib dapat harga murah. Heheheh...

Malam pula, lepas Isyak, kami berdua request dengan Rashid untuk makan malam dengan menaiki cruise. Nak lihat pemandangan HCM pada waktu malam. So, kami ditemani oleh seorang rakan Rashid yang juga boleh berbahasa melayu. Alhamdulillah, kami dihidangkan dengan buah-buahan segar sementelah restorang tersebut ada menyediakan menu tidak halal. Kiranya meja kami diasingkan sedikit dari orang lain. Pemandangan malam HCM memang cantik.

Kami tak sangka yang suasana malam cukup meriah dengan lampu-lampu neon dari bangunan-bangunan tinggi dan jambatan. Angin sejuk dari hujan petang tadi memang nyaman.

Cruise ini ambil masa dalam 45 minit begitu untuk buat pusingan. Pueh hatilah kami cuci mata.

Cuti-cuti / Ziarah Ho Chi Minh Hari Ke-2


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Ini aktiviti hari ke-2 ziarah kami di Ho Chi Minh. Gigih saya nak recall balik memori 4 bulan lepas. Kena tengok gallery dalam henset baru teringat.

Pada hari ke-2 ni, kami berjalan ke Sungai Mekong dan perkampungan di sana. Perjalanan ambil masa sejam dari HCM ke jeti Sungai Mekong. Makanya, sepanjang perjalanan, dapatlah kiranya kami lihat keadaan HCM di pinggir bandar & kampung. Dan oleh kerana kami ni bukan spesis shopping, makanya bila agent singgah 2 tempat shopping sebelum tiba di destinasi, kami masuk kejap2 aje dalam kedai & beli cenderahati untuk keluarga. Kami bawa duit memang untuk melancong/ziarah bukan shopping makanya slot untuk ke arah itu amatlah kurang, hehehe....

Nampak tak muka encik hubby balas whatsapp kakak dia yang soh beli barang. Gigih... Hehehe... Tapi jika memang anda ingin dapatkan tudung, telekung, kain & lain-lain pada harga murah, HCM is the place. :)

Dalam perjalanan ke Sungai Mekong, dapatlah kami sedikit ilmu ketika di sana. Antaranya:
1. Di sini sudah dibuat highway untuk ke kawasan Sungai Mekong. Tiang-tiang tinggi dibina untuk support highway tanpa mengganggu kawasan kampung serta pertanian penduduk di bawahnya.
2. Kelihatan banyak kubur-kubur di kawasan tanah lapang atau sawah padi. Menurut travel agen kami, Hanafi (seorang anak muda yang baru habis belajar sekolah agama di Terengganu), rakyat Vietnam mengkebumikan ahli keluarga mereka di kawasan tanh mereka sendiri & mereka tidak ada tanah perkuburan khusus seperti di Malaysia.
3. Di tepi jalan, banyak kelihatan bendera negara Vietnam & Komunis berselang seli. Mereka sedikit mengamalkan konsep seperti komunis tapi lebih berlembut berbanding dahulu.
4. Stesen minyak di sini kecil & kebanyakannya adalah brand tempatan.

Kuburan batu nisan yang anda boleh lihat jika ke Sungai Mekong

Sebaik tiba di jeti Sungai Mekong, kami tidak perlu menunggu lama sangat kerana agen kami telah settlekan segala tiket. Perjalanan dari jeti ke kampung tradisional seberang mengambil masa dalam 5 minit. So, merasalah kami tiupan angin sungai Mekong.

Ini antara bot yang boleh membawa pelancong. Satu bot boleh memuatkan dalam 10-15 orang penumpang.

Bot ini sedikit kecil. Mungkin kerana jumlah kami yang hanya 5 orang. Tips, jika anda ingin menjaga aurat dari bersentuh dengan bukan muhrim ketika naik & turun bot, sila bawa sarung tangan. :)

Antara barangan tradisional ukiran yang dijual. Di sini ada pelbagai jenis barangan dijual di gerai-gerai kecil yang tersusun cantik & bersih. Ada gerai menjual pakaian, buah-buahan, kraftangan dan juga air tonik serangga berbisa seperti ular & kala jengking.

Selepas anda melalui beberapa gerai, anda akan dibawa ke sebuah gerai yang agak panjang menghidangkan air teh & madu floral vietnam. Di sini anda boleh cuba untuk memegang papan kayu yang dipenuhi oleh lebah bunga, seperti yang encik hubby pegang tu. Jika anda berminat, boleh juga membeli madu yang dijual.

Settle aktiviti dengan lebah ni, kami dibawa ke satu ruang mendengar aktiviti lagu-lagu rakyat oleh penyanyi Vietnam. Mereka mendendangkan bukan sahaja lagu bahasa mereka tetapi juga lagu bahasa Inggeris serta bahasa Melayu. Di sini, anda dihidangkan beberapa piring buah-buahan tempatan seperti ciku, buah naga, nanas, tembikai & betik yang boleh dimakan begitu sahaja atau dicolek dengan gula garam yang disediakan. Dan kali ni, kami berlima berpakat untuk menikmati sebiji durian Vietnam. Kongsi-kongsi duit & rasa. Buahnya sedap & berlemak tapi kurang manis. Allah ciptakan buah yang sama tapi barangkali berlainan rasanya bila ditanam di sesebuah negara.
Selesai sahaja mereka menyanyi, anda boleh berikan sedikit sumbangan kepada mereka. Ada bekas yang diedarkan kepada pelancong.

Selepas itu, kami semua dibawa untuk menaiki kereta kuda. Pengalaman yang menarik. Pelancong akan dibawa meronda seketika perkampungan kecil di situ & berpatah balik. Aktiviti selepas itu pula adalah menaiki sampan menyusuri sungai kecil Mekong. Satu sampan muat dalam 5 orang. 2 tukang kayuh & 3 pelancong. Anda dapat menyusuri sungai ini lebih kurang dalam 5 minit.

Menurut Hanafi, gaji pendayung sampan di sini dalam RM3 satu trip & ianya dikongsi berdua. Jika dapat 2 trip, makanya mereka akan dapat RM6 & dibahagi dua. Kiranya hanya RM3 = VND16850. Makanya Hanafi sarankan mungkin kita berikan sedikit tip kepada mereka agar dapat meringankan sedikit beban kewangan mereka.

Cuaca agak panas di Sungai Mekong, jadinya silalah pinjam topi mereka. Nanti jangan lupa beri tip ya :)

Selesai aje bab naik sampan, kami dibawa ke tempat pemprosesan candy kelapa / manisan kelapa & aiskrim kelapa. Di sini kita dapat melihat gula-gula kelapa dibuat secara tradisional. Jika nak jadikan buah tangan pada keluarga & rakan ofis, anda boleh beli 5 paket pada harga VND100 000.

Ini manisan kelapa yang dimasak hampir 3 jam. Ada dijual di Malaysia tapi jarang-jarang jumpa. Maka, dek kerana dah lama saya tak makan, belilah kat sini. RM5 sepaket.

Usai aktiviti kat sini, kami naik bot balik dan kembali ke jeti. Travel agen kami bawa kami ke sebuah restoran halal untuk makan tengahari & solat. Di sini, kami dihidangkan dengan nasi putih berlauk udang masak blackpepper, kari ayam yang sedap & pekat, sayur & juga telur dadar. Alhamdulillah kenyang.

Settle makan & solat, kami pulang semula ke HCM. Dan sebelum sampai ke hotel, kami minta singgah sebentar di kedai menjual barangan sukan. Yang ni dah masuk kawasan HCM. Dan merayap sini, barulah kami balik. Dan malamnya pula, terjadilah aktiviti seperti semalam. Makan & shopping. Ngeee....

Nanti kita sambung Day-3

Cuti-cuti / Ziarah Ho Chi Minh Hari Pertama


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, saya & suami berkesempatan untuk bercuti serta melawat Ho Chi Minh, Vietnam pada 6 May yang lalu. Ia satu pengalaman yang menarik. Lambat sangat dapat share dalam blog sebab nak kena bercerita. Dalam IG & FB dah selamat saya share serba sedikit.

Sebelum mula, untuk pakej ke Ho Chi Minh ni, kami guna agen di sana. Kenalan suami yang propose. Oleh kerana kami dah beli flight + hotel di Expedia, makanya pakej kami dengan Rashid travel agent hanya RM480/pax untuk 4H3M. Boleh whatsapp Rashid di nombor ini, +8491 85135 72.

Pakej termasuk:
1. Pengangkutan sepanjang trip
2. 8 kali makan (3x sarapan, 2x makan tengahari, 3x makan malam)
3. Ada tour guide yang boleh berbahasa melayu
4. Tips tour guide
5. Tiket Feri & sampan ke Mekong River
6. Tiket masuk Chu Chi Tunnel
7. Makan Minum tour guide

Jika ingin minta Rashid sediakan hotel, harganya RM600/pax untuk hotel 2 bintang area Jalan Malaysia, berdekatan Ben Than Market (unless anda request untuk hotel yang lebih mahal). Dan katanya, jika ada yang nak pergi by group 11 orang, dia akan beri free everything untuk orang ke 11 (buy 10 free 1 gitu).

Untuk trip kali ni, kami cuba elak ambil flight yang depaturenya jam 7.30 pagi. Serik memikirkan tahap payah kami nak bangun pagi & bergegas ke airport. Kali ni, flight kami dalam jam 8.40 begitu.

Sampai di airport Ho Chi Minh / Saigon, keadaannya seperti di airport Kota Kinabalu (tak lari jauh sangat rupanya). Ramai rupanya orang Malaysia yang bercuti di sana. Dan Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar sepanjang berada di airport. Kami di sambut oleh Rashid yang fasih berbahasa melayu & mudah diajak berbual. Dia bersungguh bercerita tentang sejarah Vietnam, Ho Chi Minh dan keadaannya dahulu & sekarang pada kami berdua & 3 orang lain rakyat Malaysia bersama kami. Dan on the way kami ke destinasi pertama, dapatlah kiranya saya melihat suasana sibuk bandaraya HCM dengan motosikal yang banyak. Kiranya kalau saya nak melintas jalan, mahu ambil masa.

Destinasi pertama kami adalah kedai pakaian yang menjual pelbagai jenis baju kurung, baju melayu, blouse, tudung dll. Kat sini, confirm kami berdua ambil masa sekejap aje. Dalam 20-25 minit sahaja. Dan ditakdirkam Allah, rupanya 3 orang rakyat Malaysia yang bersama kami tadi shopping untuk Hari Raya Aidil Fitri. Terpaksalah kami melepak dalam van dekat sejam (nasib van tu ada internet, takdelah boring sangat + saya pun ada bawa buku).

Settle everything, kami dibawa ke hotel penginapan, Hotel Silverland untuk rehat & refresh dalam setengah jam macam tu & kemudian Rashid bawa kami makan di restoran di Jalan Nguyen An Ninh atau pelancong panggil Jalan Malaysia. Alhamdulillah, kenyang kami makan nasi goreng, popiah Vietnam & minum air pandan susu yang sedap. Dek kerana dah masuk dalam pakej bab makan kami, so, kami select aje menu yang ada.

Lepas makan, kami balik & rehat sebentar di bilik. Lepas asar aje, kami ke Ben Thanh Market yang hanya berjalan kaki dalam 2 minit sahaja. Lepas ronda-ronda kawasan dalam market, kami merayap sekitar kawasan Ben Thanh dengan berjalan kaki. Makanya dapatlah kami melihat kehidupan masyarakat Vietnam di kawasan bandar.

Suasana di dalam Pasar Ben Thanh. Ada pelbagai barangan, buahan, makanan, kopi, cenderamata, pakaian dan lain-lain dijual di sini. Anda boleh tawar-menawar kerana harga yang diberi kadangkala tidak masuk akal. Namun, tawarlah dengan berkata baik bukan berlagak sombong atau berkata kasar. Jika sekadar mahu melihat, maklumkan sahaja. Mereka tidak akan marah. Alhamdulillah, kami berdua tidak menghadapi masalah dengan sesiapa di sini. Penting juga jika anda beragama Islam, bacalah doa masuk pasar. Minta perlindungan dariNya.

Cenderahati di sini memang banyak berbanding tempat lain & anda boleh pilih. 

Jika dilihat dari luar, Pasar Ben Thanh ini tak ubah seperti kawasan kedai di Chow Kit. Ia berada di tengah-tengah bandar & dikelilingi bangunan tinggi. 

Bila kami berjalan, dapatlah kami lihat karenah & kemajuan negara ini. Paling terkini, projek yang sedang mereka jalankan ialah usahasama antara kerajaan Vietnam & Jepun dalam menyediakan lrt bawah tanah yang menghubungkan lapangan terbang hingga ke tengah bandar Ho Chi Minh. Memudahkan kita semua di Ho Chi Minh bergerak.

Taman rekreasi di sini bersih & menyediakan alatan bersenam untuk orang awam. Plus, siap ada orang belajar tomoi di tengah padang & juga taichi. Jelas, mereka mahu rakyat mereka sihat. Orang-orang di sini juga kelihatannya bersaiz kecil & susah mencari orang berbadan gemuk. Jika anda nak beli pakaian, sila beli saiz sekali ganda anda. Contohnya jika anda saiz L, belilah saiz XL atau XXL.

Suasana petang di Bandar HCM. Rehat & riadah.

Settle kami meronda, kami balik ke hotel. Rehat, solat maghrib & isyak. Lepas selesai urusan dengan DIA, kami ke restoran yang dimaklumkan Rasyid dalam whatsapp. Hanya berjalan kaki sahaja. Alhamdulillah, amat mudah mendapat makanan halal di sini. Ada banyak deretan kedai makan halal di jalan Malaysia & sekitarnya. Jika anda backpacker, boleh aje anda guna apps di henset. Ini paling penting. Meskipun harga makanan sedikit mahal (contoh jika nasi goreng ikan masin di Malaysia RM5, di sana dalam RM7-RM9), tapi portionnya atau kuantiti nasi dalam pinggan memang banyak. InsyaAllah kenyang. Plus, rasanya juga sedap. Mereka menjaga kualiti makanan. Pernah sekali saya minta set burger. Dan bila makanan sampai, dalam pinggan tersebut berisi burger dengan daging ayam dan telur mata serta french fries yang banyak. Nasi lemak, mi kari, nasi goreng, memang banyak portionya. Kiranya boleh aje jika nak berkongsi.

Salah satu restauran yang menyajikan makanan halal kepada umat Islam. InsyaAllah nasi lemak, nasi goreng, mi kari hatta roti canai instant pun ada dijual di sini. Harga, insyaAllah berpatutan.

Susu pandan. Bila saya nampak menu air ni, terus order sebab kat Malaysia macam tak jumpa. Subhanallah, sedapnya. Dan beberapa hari dok sini, rupanya bukan saya sorang ketagih, tapi ada beberapa orang lain pun sama.

Vietnam sangat terkenal dengan kopi mereka. Kebanyak orang Vietnam akan minum kopi at least segelas kopi sehari (kot yang tak suka kopi, memang takkan minumlah. Macam orang kita gak). Jika anda melihat sekitar HCM atau dalam perjalanan dari airport ke bandar, anda akan dapat perhatikan begitu banyak kedai kopi. Ada yang dalam satu deret bangunan terdapat 2-3 kedai kopi. They are so addicted. Bila dah ke sini, haruslah anda cuba kopi mereka. Jika anda mengantuk dan minum kopi mereka, confirm malam itu anda STILL BOLEH TIDUR NYENYAK. Ia tidak seperti sesetengah kopi yang membuatkan kita terbeliak biji mata walaupun dah jam 3 pagi. 

Settle aje makan, kami pun merayaplah ke Night Market Jalan Malaysia & di tepi Pasar Ben Thanh. Subhanallah, ramai sungguh manusia berbilang kaum, pelbagai warna kulit dan agama. Masing-masing berjalan melihat suasana pasar yang happening di HCM serta bersungguh-sungguh membuat 'aksi melontar' membeli barang. Rupanya, setelah berborak dengan seorang kakak yang saya jumpa di sebuah kedai kain, dia maklumkan saya yang ramai rakyat Malaysia akan shopping kain, tudung, telekung dan macam-macam barang lagi pada hari Jumaat, Sabtu & Ahad malam. Dan lebih meriah lagi suasananya serta barangan menjadi murah selepas jam 10 malam di sana. 

Seperti apa yang dikata, memang betul. Sebaik aje waktu menginjak jam 10, para pekedai mula menjual longgok tudung, telekung, cenderamata & entah apa benda lagi pada harga lelong di tepi jalan. Tudung yang sebelumnya berharga RM25 di dalam kedai bertukar harga menjadi RM20-RM22 (bergantung pada jenama & kualiti). MasyaAllah, masa ni lah yang tetiba rasa ngeri tengok akak-akak, makcik-makcik ni bershopping. Bukan 3-5 keping tudung atau telekung dibeli tapi berbelas malahan berpuluh. Serius. Saya ngeri & terkejut. Dalam hati berkata, 'banyaknya duit depa... Bisnes ke?'

Nampak tak suasana tu? Ini keadaan pada jam 10.30 malam. Perasan tak ada orang berkerumun di tepi jalan? Perasan tak ada tikar kecil di sebelah kanan jalan? Itu semua harganya sudah dijual longgok. Jika anda bawa RM100 untuk beli tudung, anda boleh dapat dalam 6-8 helai tudung jenama Neelofa, Duck, Ariani dan Bokita. 

Jika dah ke sini, anda boleh cuba rasa kebab Vietnam ni. Sedap & harganya macam kebab kat Malaysia aje. 

Info:
1. Jika sudah ke sini, haruslah cuba makanan mereka yang halal. Dari situ kita akan menghargai makanan kita & belajar tentang makanan negara lain.
2. Oleh kerana Vietnam terkenal dengan kopinya, maka, Coca-cola Coffee telah dicipta khas untuk mereka. Sedap. Kami dah rasa & siap bawa balik lagi.
3. Jika anda nak beli blouse, selalunya 3 pasang blouse boleh dapat dalam RM100.
4. Untuk makanan laut seperti udang, saiz yang ada dalam nasi, sambal, mi kari adalah besar. Sini, hargannya agak murah.
5. Ketika shopping & berjalan di bandar HCM, bukan setakat wanita perlu hati-hati tetapi juga lelaki. Ini kerana encik hubby tiba-tiba dipelawa oleh 'father chicken' untuk melanggan. Terkejut dia bila dipeluk dari sisi oleh 'father chicken' tersebut.
6. Untuk beli international charger phone (kot le terlupa bawa), boleh beli di kedai serbaneka sini. Harganya dalam VND21000.

Settle cerita hari pertama saya... Nanti kita sambung...

Cuti-cuti Banda Aceh Day 4


Assalammualaikum & Salam Sejahtera...

Ini hari terakhir kami di Banda Aceh. Subhanallah, sekejap aje masa berlalu. Rasa macam baru aje check-in di KLIA2 dah nak balik. Tapi, itulah lumrah. We need to face everything whether we like it or not.  Nikmatilah hidup selayaknya sebagai hambaNya.

Hari ni kami check out dalam jam 8.30 pagi. Check-out awal sikit agar mudah nak terus ke Bandara (airport) nanti. Our 1st pit stop ialah Kapal di Atas Rumah di Lampulo. Kapal ini sekarang betul-betul terletak di kawasan perkampungan masyarkat Lampulo. Menurut sejarah, 59 nyawa terselamat di atas kapal ini saat tsunami berlaku termasuklah tuan rumah. Kapal ini terseret hampir 1 km dari tempatnya. Jika diikutkan sejarah, ada kapal lain juga terseret di kawasan perkampungan ini tapi menjadikan kapal ini unik kerana ia betul-betul terletak di atas rumah. So, pihak berkenaan di Banda Aceh membangunkan tempat ini sebagai tempat tarikan sejarah buat semua (tuan rumah ini pun turut mengizinkan).

Oh ya, ada satu kisah menarik yang diceritakan di papan kenyataan mereka. Rupanya, ketika air mulai surut ada seekor buaya besar berada di bawah kapal mereka. Dan saya rasa, buaya tu sekarang ada kat Zoo Aceh. Ngeee...

Jika anda datang ke sini, anda akan lihat keadaan di dalam ruang rumah yang masih dikekalkan. Namun, di satu ruang di dalam rumah, satu banner besar menyenaraikan nama-nama mangsa korban tsunami yang dikenalpasti. Itu yang dikenalpasti tau, tak termasuk yang tak dikenali. Hampir 1000 orang. Allahu Akbar... Moga roh mereka dicucuri rahmat.

Di luar kawasan ini, dibina satu platform berjalan kaki untuk memudahkan pengunjung melihat kapal ini dengan lebih dekat dan mengambil gambar. Turut disediakan di area bawah platform, papan kenyataan yang menceritakan tentang sejarah kapal atas rumah ini berserta dengan gambar. Di situ juga ada peniaga kecil yang menjual buku-buku tentang sejarah tsunami dan juga sejarah Aceh. Anda boleh aje beli guna duit Rupiah atau RM. Berhampiran dengan tapak kapal ini, ada 2 buah gerai kecil menjual cenderahati. Harganya ok juga (kot le tak cukup key chain / fridge magnet yang dibeli).

Dari kejauhan dah nampak kapal ini. Betapa tingginya ia tersadai.

Platform dibina di sebelah kanan untuk memudahkan pengunjung mengambil gambar tempat bersejarah ini.

Batu bersurat tentang kisah Kapal Tsunami Lampulo ini. 

Batu penyanggah dibina untuk mengukuhkan letak kapal ini. Jika dilihat, dek hadapan kapal ini di atas bilik mandi rumah. 

Antara senarai nama-nama mangsa yang terkorban. Bila lihat nama-nama ini, tak terbayang bagaimana jenazah yang banyak dijumpai bergelimpangan di serata tempat. Innalillah... 

Papan kenyataan yang menceritakan serba sedikit tentang sejarah kapal ini ketika tsunami 2004 

Anda boleh tulis nama pelawat di sini dan jika berminat, boleh membeli sekeping sijil kenang-kenangan. Buku-buku yang dijual menarik untuk bacaan anda. 

Kot ada tak cukup cenderahati yang dibeli atau tak sempat nak beli sebelum ini, boleh aje singgah di gerai kecil ini. Harga key chain & fridge magnet dalam Rp5000 sebiji manakala beg,kopi, topi, bergantung pada saiz. 

Macam comel pulak beca ni depan Kapal Atas Rumah. Akak saje amik gambar kenang-kenangan.

Selesai aje kami di sini, kami teruskan perjalanan ke Jalan Sri Ratu Safiatuddin, Peunayong untuk beli cenderahati yang special untuk ahli keluarga yang tercicir dari list (sudah ada ahli keluarga baru itu yang kakak ipar saya terlupa). Yang menariknya, ketika Shah bawa kami mengikut jalan kampung yang menyusuri jeti menangkap ikan, suasana sangat tenang dan unik. Dan tiba-tiba mata kami berempat terpandang susunan ikan-ikan fresh yang saiznya sangat besar di tepi jalan. Memang besar. Tak pernah lagi saya tengok saiz ikan tu kat Pasar Nilai 3. Rasanya panjang seekor ikan dalam saiz meja makan untuk 6 orang. Nasiblah kita orang dalam kereta dan kejar masa, kalau tidak confirm kami dah minta Shah berhenti sebab nak tengok ikan tu. So, anda boleh letak dalam list melancong untuk pergi ke kawasan ini. Just feel the new experience.

Once dah sampai Jalan Sri Ratu Safiatuddin ni, sederet tu ada macam-macam kedai cenderahati dan kopi untuk dibeli. So, pick any yang mana suka. Untuk panduan, masa saya beli ni, harga untuk belian 3 t-shirt biasa dalam sekitar Rp100000. Jika nak yang kualiti ok sikit, sehelai dalam Rp80000. Jika nak beli kopiah (untuk kedua2 ayah saya), harga 1 kopiah dalam Rp30000. Kat area sini ada dijual kopi aceh pelbagai jenis (pilih aje mana yang nak beli), t-shirt, baju batik, kain pelekat, kopiah, fridge magnet, key chain, rencong kecil, beg, aksesori wanita, telekung dan juga kudapan seperti dodol & lontong paris.

Kedai ni ada all in one barang cenderahati. 


After settle aktiviti shopping, kami ke Muzium Tsunami Aceh pula. Ramai juga pengunjung hari ni. Mungkin sebab hari Sabtu, ada yang bercuti. Tiket lawatan untuk dewasa dalam Rp10000. Sebelum kita masuk ke dalam muzium, kita 'dihidangkan' dengan bangkai helikopter yang musnah ketika tsunami. Helikopter ini ingin menyelamatkan mangsa pada awalnya tapi tidak mampu melawan hebatnya kuasa tsunami waktu itu. Permulaan masuk ke dalam muzium, kita akan melalui satu lorong gelap yang sedikit lembab. Terasa air memercik pada pengunjung. Ia mungkin seperti keadaan tsunami pada waktu itu atau mungkin juga maksud tersiratnya, mangsa yang masih hidup menghadapi suasana kelam yang menakutkan untuk terus hidup, namun, walau bagaimanapun keadaannya, ada cahaya di hujung jalan sana.


Heli ini turut menjadi mangsa. Saksi bisu pada kejadian yang berlaku.

Berpuluh standing screen tv memaparkan detik-detik yang berlaku ketika tsunami melanda

Selepas melalui lorong tersebut, kami tiba di sebuah bilik yang menempatkan berpuluh standing screen tv yang merakamkan detik-detik ketika tsunami berlaku. Semua pengunjung terpaku menonton video pendek yang ditayang. Encik hubby sempat rakam tayangan tersebut.

Selepas itu, kami memasuki 'Fighting Room'. Bilik yang agak suram. Bilik ini dibina seperti cerobong. 2/3 dari dinding bilik ini tertulis nama-nama mereka yang terkorban manakala 1/3 lagi kosong. Di puncak bilik tertulis kalimah Allah. Menunjukkan bahawa hanya dia yang tahu selebihnya dan hanya pada Dia sahaja tempat mereka yang hidup meminta pertolongan untuk terus survive. Di bilik ini berkumandang bacaan ayat suci al-quran.



Kemudian kami tiba di Jambatan Harapan (Hope Bridge). Di atas lelangit jambatan ini, tergantung 52 buah bendera negara-negara yang membantu mangsa tsunami pada waktu itu. Simboliknya pula, jambatan ini dibina meninggi ke atas seolah-olah menunjukkan bahawa musibah yang berlaku mampu membangunkan Aceh kembali perlahan-lahan dengan bantuan dari semua pihak. Selepas melintasi jambatan ini, kita disajikan dengan tayangan video berdurasi 10 minit tentang keadaan tsunami pada ketika itu sehingga bantuan mula tiba. Takde kata-kata yang mampu diungkapkan. Hanya sebak menakung dada.

Selepas itu kita akan masuk ke beberapa bilik yang menempatkan bukti-bukti penting ketika tsunami, peperangan yang pernah berlaku di Aceh, kisah-kisah silam tentang kerajaan Aceh serta miniatur yang direka khas untuk menunjukkan bagaimana tika dan saat tsunami menghentam Aceh.

Kat sini pun akak serba salah nak senyum ke idak depan kamera. Udahnya ambil biasa aje untuk kenangan.

Ungkapan dalam ini sungguh mendalam. Kita sebagai umat Islam dan percaya pada pembalasan Allah, pasti akan mengakuinya secara tidak langsung. Fikirkanlah...

Ruangan yang menempatkan kisah-kisah tsunami dan sejarah Aceh. Tayangan di tv itu pula adalah temuramah dengan mangsa tsunami yang masih hidup. 

Bukti bergambar yang dikumpulkan untuk tatapan umum 

Ini menarik. Jika sebelum tsunami, nilai produksi perikanan di Aceh rendah namun selepas musibah tersebut, perlahan-lahan angka meningkat sehingga sekarang. No wonder kami nampak ikan yang besar di jeti. Benarlah seperti firman Allah, setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Bila dan bagaimana, hanya Dia mengetahui.  

Pahlawan Aceh yang termahsyur demi menjaga kedaulatan Aceh


Di tingkat 3 muzium pula menempatkan ruang untuk orang awam mengetahui tentang gempa bumi gunung berapi di Indonesia, plus ada kedai souvenir. Tang ni kami tak sempat nak naik sebab masa terhad (ni semua ada sebab kena datang Aceh lagi ni akan datang... hehe...).

Shah kemudiannya bawa kami ke satu lagi tempat kunjungan pelancong iaitu PLTD Apung. Yang ni pun takde rezeki nak masuk dalam sebab rupanya ia dibuka pada umum sehingga 12 tengahari aje. Alahai... kita ambil gambar dari luar aje. Menurut sejarah, di bawah kapal ini masih ada jenazah yang tidak dapat dikeluarkan. Mereka bersemadi terus di bawahnya. Moga Allah merahmati mereka yang bersemadi di bawah kapal besar ini. Amin...

Kapal PLTD Apung 1 ini beratnya 2600 ton. Ia adalah kapal penjana elektrik buat rakyat Aceh pada waktu itu. Kapal ini terseret hampir 5km dari tempat asalnya iaitu di Pelabuhan Ulee Lheue. 

Kemudian, Shah bawa kami ke tempat letaknya kubah masjid yang terdampar di tengah kawasan sawah padi. Memang keliling kawasan ini hanya ada penempatan penduduk kampung dan sawah padi bukit. Catatan menyatakan ia terdampar sejauh 2.5km dari tempat asalnya iaitu masjid Jamek di Kampung Lamteungoh. Maha Suci Allah, hanya air yang Allah kirimkan untuk menghanyutkan kubah yang beratnya 80 ton itu.

Kubah ini terdampar di kawasan kampung dan sawa padi 


Bayangkan kawasan keliling kubah ini digenangi air yang melimpah. Allahu Akbar...

Our last pit-stop selepas selesai melawat tempat bersejarah Aceh ialah Kedai Makan Ayam Pramugari. Kenapa dipanggil ayam pramugari, anda google aje k. Banyak ceritanya di internet. Tapi memang sedap aje makan di sini di kala perut tengah lapar dan dihidangkan dengan lauk yang panas-panas.

Ayam pramugari dan gulai daging kambing dengan nangka. Alhamdulillah sedap. Plus, dagingnya tidak berbau. Pandai orang ni masak.

Gulai kari ayam. 

Air timun teruk dan air sirap betik+buah kabung+cincau. Sedap...

Selesai makan, Shah terus bawa kami ke Bandara Antarabangsa Sultan Iskandar Muda. Selesai sudah percutian kami. Moga ilmu bermanfaat yang dipelajari di sini dapat kami praktikkan dan ianya juga dapat membantu anda sedikit sebanyak untuk merancang di sana.

InsyaAllah jika ada rezeki pada masa akan datang (dan rezeki anda juga), kami teringin nak ke Rumah Cut Nyak Dien, Makam Sultan Iskandar Muda, Benteng Iskandar Muda & Benteng Indraprata, Muzium Aceh, jeti tempat naik ikan berhampiran Peunayong, Taman Gunongan, Taman Putroe Phang (Puteri Pahang) dan of course ke Pulau Rubiah untuk ngetest snorkeling.

Anyway, ada banyak tempat menarik di Aceh ini cuma kita tidak mengetahuinya sangat kerana informasi yang terhad.

InsyaAllah, jika ada ke tempat lain lagi, kami akan kongsikan.

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...