Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Nasi kosong & ayam sahaja

Assalammualaikum...

Entri kali ini bukan berkaitan dengan resipi. Entri kali ini lebih kepada rasa bersyukur sangat atas pemberian Allah kepada saya. Nikmat Allah yang mana hendak kita nafikan...

Saya dan hubby makan tengahari di sebuah kedai makan berhampiran dengan USIM. Kami kadang-kadang suka ke situ kerana lauknya yang banyak, rasanya bolehlah tahan dan harganya juga berpatutan. Kawasan pelajar, rasanya anda sedia maklum yang harga dan kuantiti makanannya memang menarik :)

Masa saya dan hubby hampir selesai makan, tiba-tiba muncul sekumpulan pelajar USIM yang baru selesai ko-kurikulumnya (berdasarkan pakaian yang dipakai). Masa tu takde apa-apa yang menarik sangat. Tapi, sebaik saya duduk kembali selepas cuci tangan, saya terpandang sekumpulan pelajar lelaki dalam 6 orang duduk berhampiran dengan meja kami.

Entah bagaimana, mata saya tiba-tiba tertancap pada pinggan seorang pelajar. Saya pandang. Agaknya dalam 2-3 kali. Lepas tu, saya pandang pula rakan yang duduk di hadapannya. Menu mereka sama. Saya memandang pula pada rakan mereka yang seorang lagi. Ok, ada perbezaan. Untuk pelajar lain, saya tidak perasan tapi terlindung. Dua orang pelajar tersebut hanya makan berlaukkan nasi putih, ayam goreng dan kuah. Tiada sayur. Tiada lauk lain meskipun kedai yang kami makan tersebut, rasanya ada dekat 50 jenis lauklah.

Ya Allah, sedih saya lihat. Saya tahu mereka bukan mereka memilih makanan. Mereka kurang wang saku. Mereka terpaksa berjimat untuk makan. Hanya itu yang mereka mampu. Bila melihat situasi tersebut, saya teringat zaman sewaktu saya belajar dulu. Ya. Saya pernah tempuhi dan alami apa yang mereka rasa. Saya kurang wang. Saya terpaksa ikat perut untuk jimat duit. Saya terpaksa menahan segala macam nafsu untuk berbelanja. Dan pernah sekali, saya hanya makan nasi kosong, berlaukkan telur dan ikan bilis goreng serta kicap. Adakala, saya hanya dapat makan maggi dan roti putih dicelup dengan kuah maggi untuk menghilang lapar. Untuk beberapa ketika...

Memang rasa sedih. Tapi jika difikirkan kembali, semua itu memberi pengajaran dan pengalaman yang tidak boleh ditukar ganti. Allah memberi saya pengalaman itu untuk saya hayati, rasai dan pada masa yang sama bersyukur kerana meskipun saya hanya makan nasi kosong berlauk sedikit tetapi masih ada pelajar yang tiada langsung duit untuk membeli makanan berbuka puasa. Sehinggakan seorang sahabat saya yang baik, memberika separuh daripada makanannya kepada pelajar tersebut. Ya Allah... jika difikirkan kembali, saya masih beruntung. Beruntung yang amat.

Bila melihat orang miskin atau kurang kemampuan, fikiran saya mula kembali pada masa lalu. Adakala saya terkilan dengan status rakan-rakan di FB yang Allah telah kurniakan mereka sedikit nikmat kemewahan hidup berbanding dulu. Mereka lupa yang mereka dulu bagaimana. Mereka lupa yang masih ada manusia yang yang perlukan pertolongan mereka. Mereka lupa semuanya itu nikmat dari Allah untuk dikongsikan dengan orang lain. Mereka lupa kerana mereka sudah senang.

Saya sayang rakan-rakan dan ahli keluarga saya. Moga Allah memberikan hidayah dan membuka pintu hati mereka kembali untuk melihat akan kesengsaraan orang lain. Membantu mereka yang kurang upaya kerana mereka dahulu pernah sebegitu.... Dan yang paling penting, bantu membantu itu memberi ganjarang yang tidak terperi indahnya oleh Allah di dalam jiwa...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...