Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Roti John, Menu murah & mudah


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Home-made roti john.
Bila suami kau suka-suka hati 'selet' sos & mayo kat roti, tu pasal sos meleleh bagai masa ambil gambar roti john ni. 

Jika anda ada masa, cubalah buat sendiri, lebih puashati.
Jimat.
Boleh letak apa sahaja untuk inti dan sos yang disukai.
Boleh makan berulangkali.

Bahan:
6 keping roti hotdog
4 biji telur suhu bilik
1/2 cawan daging cincang
1 biji lobak merah disagat
3 tangkai daun bawang & sup dihiris
1/2 sudu kecil garam
Sedikit minyak untuk memasak
Sos cili
Mayonis

Penyediaan:
1. Potong roti hotdog tapi jangan putus. Ketepikan
2. Dalam satu mangkuk, masukkan daging cincang, lobak merah, daun sup, daun bawang, telur & garam. Kacau hingga mesra.
3. Panaskan kuali leper atau non-stick. Letak sesudu besar minyak dan ratakan atas permukaan kuali. Setelah panas, masukkan bancuhan telur tadi. Ratakan sebesar roti hotdog yang dikembangkan.
4. Setelah permukaan telur agak masak (masih ada sedikit kawasan berair) tekap roti hotdog yang dikembangkan. Tekan2 sedikit dengan sudip agar ianya melekat. Masak dalam 1 minit dan kemudian terbalik. Masak dalam 30 saat (agar tidak berminyak sangat) & angkat letak dalam piring.
5. Setelah itu, letakkan sos cili & mayonis. Ratakan. Takup roti & belah dua. Siap menu roti john kita.

Gulai Lemak Pucuk Paku


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Dah lama tak masak, ini menu yang teringin semalam, gulai lemak pucuk paku. Sometimes gulai oldies ni memang pemecah selera. Kalau ada kicap, lagi sedap saya makan. Ada popodam atau keropok, lagi on...

Bahan:
1 ikat pucuk paku. Ambil bahagian lembut
5 biji cili padi
1/2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu kecil serbuk kunyit /kunyit hidup
1 keping asam keping
1 batang cili merah
1 kotak santan kelapa 200ml
2 cawan air
1 1/2 sudu kecil garam

Penyediaan:
1. Kisar bawang besar, bawang putih, cili padi, serbuk kunyit dengan 1/2 cawan air. Kemudian masukkan dalam kuali.
2. Masak pada api sederhana. Setelah mendidih, masukkan pucuk paku baki air. Kacau seketika.
3. Selepas itu, masukkan santan, asam keping & cili merah. Masak hingga kuah mendidih kecil. Kacau sentiasa. Kemudian, masukkan garam secukup rasa. Masak seketika gulai lemak pucuk paku & siap.

Ikan Talapia Panggang


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Dek kerana mama dok teringin makan ikan panggang, kita try buat resipi dari @matgebu ni, ikan talapian panggang. Itupun menderhaka apa yang patut sebab barang takde.
Yang teringin, boleh try buat ek.

Bahan2:
1 ekor talapia dikerat dua
Aluminium foil
1/2 camca teh pes asam jawa
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 camca besar sos ikan
1 camca teh gula
3 camca besar air

Bahan kisar halus:
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 batang serai
4 biji cili merah

Bahan cili kicap
1/2 biji bawang besar didadu
10 biji cili padi, hiris kecil
1/2 biji limau nipis, perah jusnya
1/2 camca besar sos ikan
2 camca besar kicap lemak manis
1 camca besar air masak

Penyediaan:
UNTUK PES SAMBAL :
Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan-bahan kisar halus hingga harum, masak dengan api kecil dan kacau sentiasa. Tambah pes asam jawa, air, serbuk kunyit, sos ikan dan gula. Kacau sebati dan masak hingga naik minyak. Matikan api dan sejukkan sebentar
IKAN PANGGANG:
Ikan talapia di cuci bersih. Kemudian lumur rata-rata ikan dengan sambal tadi. Perap dalam 5 minit. Panaskan periuk ajaib. Ambil aluminium foil yang dipotong ikut saiz ikan dan letakkan ikan diatasnya lalu balut. Bakar dengan api kecil selama 12 minit. Tutup api dan hidangkan ikan talapia panggang ini.
CILI KICAP :
Satukan semua bahan2 untuk cili kicap, kacau hingga rata dan boleh hidangkan bersama ikan panggang. Siap.

Popiah Goreng / Lumpia / Spring Rolls


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Popiah goreng atau lumpia, buat sendiri puashati.
Dek kerana ramai dalam rumah yang berpuasa ganti & sunat, kita buat sikit kuih untuk kudapan berbuka.

Bila buat sendiri, rasa puashati sebab ianya tak serupa dengan gerai jual kuih yg sanggup potong sebiji pisang sampai 3 potongan kecil (akak baru terkena jumaat lepas bila beli kuih). Pedih hati nengok cenggini rupa orang berniaga. 

Jom buat sendiri. Boleh jimat beringgit-ringgit & boleh goreng berkali-kali (boleh bersedekah lagi jika banyak portionnya). 

Bahan:
1 pek kulit popia (saya guna 25 keping aje) suhu bilik
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
2 dada ayam dihiris & didadu isinya
1 biji lobak merah dipotong dadu
1/2 cawan air
3 batang saderi dipotong dadu
1/2 batang kentang didadu
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil lada hitam
3 sudu minyak untuk menggoreng

Penyediaan:
1. Panaskan minyak guna api sederhana. Tumis bawang besar & bawang putih. Setelah naik bau, masukkan isi ayam. Masak hingga air ayam berkurangan & ayam sedikit garing.
2. Kemudian masukkan lobak merah. Kacau seketika & masukkan pula air. Masak lobak merah dalam 5 minit. Selepas itu masukkan pula batang saderi & kentang. Kacau sayuran hingga semua mesra.
3. Masukkan pula garam & lada hitam. Kacau & masak dalam 1 minit. Tutup api & pindahkan dalam mangkuk. Biarkan sejuk sebentar.

Isi popiah yang sudah dimasak. Kita sejukkan kejap.

4. Sediakan semangkuk kecil air untuk dijadikan gam pada kulit popiah yang akan digulung. Kemudian, kopek kulit popiah yang melekat sekeping demi sekeping. Letak atas pinggan besar.

5. Ambil sesudu besar isi sayuran tadi & letak di atas kulit popiah di bahagian tengah. Kemudian lipat kulit di bahagian bawah ke atas menutupi inti. Lipat pula kiri & kanan kulit popiah & kemudian gulung hingga hampir hujung. Sapukan sedikit air guna jari pada hujung kulit popiah & gulung hingga habis. Buat hingga habis inti.


6. Panaskan minyak pada suhu sederhana. Kemudian goreng popiah hingga keemasan. Toskan popiah goreng kita & siap untuk dihidang & dimakan dengan sos atau begitu sahaja.

Kari Telur, semua orang pun makan.


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Untuk anda yang takde idea nak masak apa atau telur aje stok yang tinggal atau teringin nak makan roti cicah kari & telur, boleh cuba resipi kari telur ni. Kos memasak pun takdelah mahal mana. 

Bahan:
8 biji telur rebus & kupas
1/3 cawan minyak untuk menumis
1 keping asam gelugur
1 cawan santan (1 kotak kecil)
2 sudu besar rempah kari daging
1 biji bawang besar sihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1 tangkai daun kari, dilurut
2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
1 biji tomato hiris 6

Bahan2 kisar:
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
3/4 inci kunyit hidup
3 biji cili merah

Penyediaan:
1. Bancuh bahan kisar halus, rempah kari & gaul hingga menjadi pes. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dalam periuk, tumis hirisan bawang besar, bawang putih & daun kari hingga sedikit garing. Masukkan pes rempah, kacau rata & masak hingga naik minyak. Guna api kecil.
3. Kemudian, tuangkan air, kacau & biar mendidih. Setelah mendidih, masukkan telur rebus & asam gelugor. Kacau rata dan masak sekejap.
4. Tuang pula santan, kacau perlahan dan biar mendidih. Setelah mendidih sedikit, masukkan garam secukupnya & sedikit gula. Kacau sesekali & biar kuah mendidih dalam 4 ke 5 minit. Masukkan tomato. kacau seketika & tutup api. Siap kari telur kita.

Bihun Goreng / Mihun Goreng


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Tetiba pagi ni rasa lapar bagai digaru-garu dinding perut. Macam mana nak dapat berat bawah 60kg camni. Kalau tak makan kang, kena gastrik & angin masuk terus pening seharian.
 
Tapi dek kerana keperluan perut & pentingnya sarapan, maka saya decide masak bihun goreng untuk family. Bahagia aje masing-masing makan.

Ni resipinya. Boleh cuba.

Bahan:
Bahan tumis:

1 genggam cili kering direbus
1/2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 cawan air
= Kisar semuanya

1 mangkuk bihun yang direndam
4 sudu besar minyak sayuran
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar kicap manis
2 keping fishcake dihiris
5 biji fish ball dipotong dua
1 sudu besar gula
2 sudu kecil garam
Apa sahaja jenis sayur anda nak letak (parutan lobak merah, sawi, batang saderi etc)
1 batang cili merah dihiris
2 biji telur digoreng dadar & dipotong

Penyediaan:
1. Panaskan minyak. Masukkan bahan tumisan & tambah setengah cawan air lagi. Masak cili dalam 15 minit. Kacau sekali sekala.
2. Kemudian masukkan cili sos & kicap. Gaul seketika & masukkan pula fishcake & fishball. Kacau & biarkan ianya masak seketika.
3. Selepas itu, masukkan gula & garam. Seketika kemudian, masukkan bihun yang ditoskan & kacau bihun hingga mesra. Masukkan pula sayur. Kacau bihun goreng anda dalan 3-5 minit atau hingga anda puas hati. Matikan api, senduk bihun dalam mangkuk/pinggan besar & taburkan hirisan telur & cili merah. Siap bihun goreng. 

Lempeng, menu feveret mama yang sedap dan mudah


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Lempeng, kalau balik Ampang, mama suka minta saya buat menu ni. Katanya rindu zaman kecil makan kuih ni. Ialah, dulu arwah atuk saya meninggal muda, accident, jadi arwah nenek kena kerja keras untuk bantu anak-anak yang sekolah teruskan hidup. 

Lempeng ni enak makan dengan kuah kari dan sambal. Dan bila tengok ada baki kuah kari ayam & sambal bilis, makanya kita melempenglah pagi ni. Mama boleh makan 2 keping pagi dan 2 keping lagi tengahari bila dah teringin.

Bahan:
1. 2 cawan tepung gandum
2. 2 1/2 cawan air
3. 1 biji telur
4. 1 tangkai cili merah dihiris
5. 1/2 labu bawang besar dihiris dadu
6. 1 sudu kecil garam
7. 1 sudu besar minyak zaitun

Penyediaan:
1. Masukkan semua bahan dalam satu mangkuk dan gaul hingga mesra.
2. Panaskan kuali leper dan kemudian tuang sesenduk adunan ke atasnya. Bila adunan kelihatan mula mengering tepinya, terbalikkan untuk masak bahagian sebelah. Tekan sedikit sekali sekala & kemudian angkat. Masuk adunan sehingga habis. Siap menu lempeng simple kita.

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...