Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Sabtu, 12 Julai 2014

Buah Utrujjah, rasanya lazat dan baunya sedap

Assalammualaikum semua.
Satu ilmu baru telah diberikan Allah kepada saya pagi tadi melalui Medical Hadis dari Al-Quran Al-Karim Amazing. Ia berkenaan buat utrujjah.

Daripada Abu Musa al-Asya’ari, bahawa Nabi s.a.w. bersabda "Orang mukmin yang membaca al-Qur’an umpama buah al-utrujjah (sejenis buah limau). Baunya harum dan rasanya enak. Orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an umpama buah kurma, ia tidak mempunyai bau tetapi rasanya sedap dan manis. Orang munafiq yang membaca al-Qur’an umpama buah raihanah(sejenis pokok). Baunya sedap tetapi rasanya pahit. Orang munafiq yang tidak membaca al-Qur’an umpama petola atau labu, ia tidak mempunyai bau dan rasanya pahit." (Riwayat al-Bukhari)

'Buah utrujjah? Apa tu? Tak pernah dengar pun?' antara kata-kata yang terlintas difikiran sebaik membaca medical hadis dan khasiat buah tersebut. Pantas saya capai telefon dan google nama buah tersebut. Dan Alhamdulillah, Allah mempertemukan saya dengan rupa buah tersebut dan keseluruhan hadis yang menyatakan tentang. Subhanallah, Allahu Akbar.

Rupanya seakan buah limau atau lemon tetapi bila diperhatikan betul-betul, kulitnya agak sedikit berkedut dan antara kulit dan isinya, ada kulit putih yang agak tebal. Keistimewaan buah ini adalah baunya yang harum dan rasanya yang enak. Sehinggakan kulitnya orang akan hiris nipis-nipis untuk mengharumkan persekitaran dan membuatkanya sebagai minyak wangi.



Ini antara yang dapat saya kongsikan dari blog saudara Syahidan Haron tentang buah ini.


Dalam hadis ini, terdapat 4 bidalan dan perumpamaan yang boleh dijadikan renungan kepada orang yang mencari hidayah dan petunjuk Allah s.w.t. bidalan-bidalan tersebut ialah :
Orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya.
Orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an tetapi beriman dan beramal dengan isi kandungannya.
Orang munafiq yang membaca al-Qur’an tetapi tidak beramal dengan isi kandungannya
Orang munafiq yang tidak membaca al-Qur’an serta tidak beramal dengan isi kandungannya

1 Golongan pertama
Nabi Muhammad s.a.w. mengumpamakan golongan yang pertama iaitu orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya sebagaial-utrijjah, iaitu sejenis buah limau yang mempunyai bau yang wangi dan sedap, di samping rasanya yang enak dan lazat. Keadaan ini menunjukkan bahawa golongan mukmin tersebut adalah terdiri daripada mereka yang telah sampai kepada tahap kesempurnaan dalam keimanan mereka yang luhur dan murni kepada Allah s.w.t sama ada dari sudut zahir mahupun batin.(lihat Min Kunuz al-sunnah, oleh Muhammad Ali al-sabuni, hlm.71)
Menurut al-Mubarakfuri dalam tuhfat al-Ahwazi, golongan Mukmin yang membaca al-Qur’an diumpamakan sebagai al-utrujjah kerana buah ini adalah buah yang terbaik, selain memiliki saiz yang besar, mempunyai rupa yang cantik serta mempunyai rasa yang enak. Kelazatannya boleh dirasai walaupun belum menjamahnya.( lihat tuhfat al-Ahwazi, 8/138-139)
Begitulah cantik dan indahnya mereka yang berdamping dengan al-Qur’an sehingga diibaratkan dengan buah yang enak dan lazat serta mempunyai bau yang amat menyelerakan yang menjadi idaman setiap manusia.

2 Golongan kedua
Manakala golongan yang kedua pula iaitu orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an tetapi beriman dengan isi kandungannya, Nabi s.a.w. telah mengumpamakan mereka dengan buah kurma, yang mempunyai rasa yang enak tetapi tidak mempunyai bau. Seharusnya diketahui bahawa bau terhadap sesuatu makanan itu adalah pembuka selera kepada makanan tersebut. Seterusnya, hal ini menunjukkan bahawa golongan Mukmin ini adalah terdiri daripada mereka yang suci batinnya kerana penuh dengan keimanan, laksana rasa kurma yang sedap, namun pada zahirnya tidak sedemikian kerana mereka tidak membaca ayat-ayat Allah s.w.t., laksana kurma yang tidak mempunyai bau.(lihat al-sabuni, Min Kunuz al-Sunnah, hlm.71).

3 Golongan ketiga
Berdasarkan hadis tersebut golongan ketiga iaitu golongan munafiq yang membaca al-Qur’an tetapi tidak beramal dengan isi kandungannya adalah seperti yang telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu diumpamakan sebagai buahraihanah(sejenis pokok). Apabila seseorang itu memakan buah dari pokokraihanah akan merasakan buah tersebut tersangat pahit dan tidak sedap dimakan walaupun baunya harum. Samalah seperti golongan munafiq yang membaca al-Qur’an pada zahirnya menampakkan dirinya sebagai seorang yang takut dan taat kepada perintah Allah tetapi pada hakikatnya mereka hanya berpura-pura mentaati dan mengikuti perintah Allah kerana untuk memperlihatkan kepada orang sekeliling mereka bahawa mereka adalah tergolong dari golongan yang sentiasa beribadat dan mentaati perintah Allah s.w.t.

4 Golongan keempat
Golongan keempat yang diumpamakan Nabi sebagai buah petola yang mempunyai bau yang busuk dan mempunyai rasa yang pahit adalah golonganmunafiq yang tidak membaca al-Qur’an dan mereka tidak mengamalkan isi kandungannya, mereka merupakan golongan yang paling bawah sekali martabatnya dalam hadis tersebut lantaran cara hidup mereka yang tidak menzahirkan cara kehidupan Islam serta setiap perbuatan yang mereka lakukan adalah untuk diperhatikan dan menunjuk-menunjuk kepada orang yang berada di sekelilingnya apatah lagi bagi golongan munafiq seperti ini yang langsung tidak menzahirkan dirinya sebagai seorang yang berpegang dengan ajaran-ajaran di dalam al-Qur’an.

SEBAB-SEBAB PENGGUNAAN TAMTHIL DALAM HADIS
Rasulullah s.a.w. menggunakan metode alegori dalam penyampaian sesuatu maklumat yang hendak disampaikan untuk memudahkan memahami dan menjelaskan sesuatu fakta agar pendengar akan rasa tertarik terhadap penyampaian tersebut di samping Nabi menggunakan amthal berkaitan unsur alam iaitu buah-buahan kerana ia menjadi makanan manusia dan manusia lebih tahu akan perbezaan rasa dan kelebihan buah-buahan tersebut, jadi penggunaanamthal ini lebih terkesan kepada hati para pendengar.Perumpamaan daripada hadis tersebut dapat membezakan individu-individu yang membaca al-Qur’an dan tidak membacanya yang terdiri daripada golongan orang yang beriman dan orang munafiq.

Antara sebab lain Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan ayat-ayat tamsil dalam penyampaian hadis kepada para sahabat adalah kerana kebanyakan bangsa dan kabilah Arab pada ketika itu gemarkan kepada syair-syair atau ayat-ayat yang mempunyai maksud yang mendalam dan mudah difahami serta penyampaian yang menarik. Oleh sebab itu, ramai golongan penyair yang terkenal pada zaman itu, ingin mendengar dan melihat Nabi Muhammad s.a.w. berpidato atau berkhutbah kerana isi kandungannya yang padat dan kemas di samping mempunyai uslub dan gaya bahasa yang menarik seperti mana ayat-ayat tamsil pada hadis yang diriwayatkan oleh abi musa al-ash’ari di atas.

Selain itu, penggunaan tamthil di dalam hadis tersebut juga dapat mendorong dan menarik minat seseorang itu menjadi lebih bersungguh-sungguh untuk membaca al-Qur’an dan mengamalkan isi kandungannya, di samping mengelakkan seseorang itu tergolong daripada orang munafiq yang hanya membaca al-Qur’an tetapi tidak mengamalkannya atau yang tidak membaca al-Quran dan tidak mengamalkannya lantaran mereka diumpamakan seperti buah raihanah dan buah petola.

Khasiat buah utrujjah:
1. Bermanfaat jika diletakkan di pakaian, ia dpt mencegah gegat.
2. Baunya dapat membersihkan secara semulajadi udara yg kotor & wabak penyakit.
3. Mengeluarkan bau yg wangi jika dimasukkan ke dalam mulut.
4. Dicampurkan dlm makanan sebagai penyedap.
5. Dapat melancarkan pencernaan.
6. Isinya dapat menurunkan panas di perut & sesuai bagi orang yg mengalami gangguan hempedu.
9. Rendaman bijinya dapat menangani racun yg ganas.

Rujukan: 
Al-Quran Al-Karim Amazing. 2013. Surah At-Taubah m/s 400. Karangkraf Sdn Bhd. Shah Alam, Selangor.
http://penerajuhati.blogspot.com/2012/04/amthal-golongan-orang-yang-membaca-al.html

p/s: jika ada yang tahu mana nak dapatkan buah ni di KL atau Selangor atau area berdekatannya, maklumkan saya ya :)

7 ulasan:

  1. Mana boleh dapat utk beli atau nak tanam dirumah.?

    Siti
    019 9368373

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya pun tak sure puan. Tapi rasanya buah ni byk di timur tengah

      Padam
  2. nak tanam kat rumah....kat mana bolih dptkan pokok ni?

    BalasPadam
  3. Maktih: Saya pun tak pasti ada ke jual di Malaysia.

    BalasPadam
  4. MasyaAllah sesungguhnya tiada keraguan bg yg yakin

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...