Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Bubur Pulut Hitam kegemaran kami


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Bubur pulut hitam, bubur yang semua orang dalam rumah suka.
Rumah Ampang & rumah Nilai favourite dessert. Mesti laku keras jika buat.
Paling sedap makan time sejuk2. Rasa macam makan aiskrim. Tak perlu dah nak beli aiskrim pulut hitam. Buat sendiri, bermangkuk-mangkuk boleh hadap. 

Bahan:
2 cawan pulut hitam, rendam sekitar 3 jam
2 cawan gula
1 helai daun pandan, disimpul
700ml air
250ml santan kotak
1/4 sudu garam

Penyediaan:
1. Masukkan air ke dalam periuk & rebus pulut hitam yang direndam tadi hingga kembang sekitar 20 - 25 minit. Kacau sekali sekala.
2. Setelah pulut hitam kembang, masukkan gula . Kacau seketika & kemudian masukkan santan kotak. Jika terasa bubur agak pekat, masukkan 1-2 cawan tambahan air (yang ni ikut suka). Masukkan garam dan masak hingga mendidih.
3. Senduk bubur pulut hitam dalam mangkuk. Pati santan (jika suka) sudukan sedikit ke atas bubur sebelum dihidang. Siap. .

Jika suka sejuk, setelah bubur pulut hitam ni agak suam, masukkan dalam fridge & biarkan dalam 1-2 jam sebelum dinikmati. 

Tiramisu sedap


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Dah bertahun tak buat tiramisu ni, tetiba teringin nak makan. Ialah, beli kat kedai dapat skit aje. Meh sini akak buat, sebekas besar dapat. 

Bahan-bahan agak mudah dan masaknya tidak lama. Cuma kena masukkan dalam fridge 2-4 jam untuk bekukan adunan keju & telur. Saya ambil resipi tiramisu ni dari @foodnetwork 

Tip penting jika buat tiramisu:
1. Telur mesti pada suhu bilik. Jika tak ia tak akan kembang cantik.
2. Tiada kuning telur dalam putih telur bila diasingkan. Kerana jika ada, putih telur tak mahu menggebu.
3. Pastikan bekas anda guna untuk kembangkan putih telur (mixer bowl) tidak sejuk & basah. Kerana jika salah satu ada, kadar untuk menggebukan putih telur tak menjadi.

Bahan:
720ml air kopi suam
225g mascarpone cheese
5 biji telur asingkan putih & kuning
400g biskut savoiardi / ladyfingers
113g gula kastor
2 sudu gula untuk letak dalam air kopi tadi
1/4 sudu kecil garam
1 sudu besar serbuk koko 40g coklat keras diparut untuk hiasan

Penyediaan:
1. Sediakan air kopi + 2 sudu gula. Kacau & letakkan dalam mangkuk & biarkan ia sejuk pada suhu bilik.
2. Masukkan kuning telur & 45g gula dalam 1 mangkuk & pukul adunan guna hand mixer hingga adunan mesra berkrim. Masukkan pula keju mascarpone dalam adunan & gaul hingga mesra guna mixer.
3. Dalam mangkuk lain, campurkan putih telur & pukul hingga putih telur kembang. Kemudian masukkan garam & gula. Pukul adunan hingga gebu. Kemudian masukkan adunan putih telur tadi ke dalam adunan kuning telur. Kacau perlahan-lahan hingga mesra.
4. Celup biskut savoiardi ke dalam kopi & susun satu persatu dalam loyang / bekas. Jangan celup lama sangat, sekadar sekali celup aje sebab kita tak mahu ia terlalu lembab.
5. Selepas susunan pertama, sapukan adunan keju di atas biskut. Kemudian tapis serbuk koko dan taburkan atas adunan keju. Kemudian buat sekali lagi seperti langkah pertama.
6. Bahagian atas sekali, letakkan adunan keju & tapis serbuk koko & hias dengan sedikit coklat parut.
7. Tutup tiramisu dengan plastik wrap & biarkan sejuk & beku selama 2-4 jam dalam fridge.

Gulai Lemak Ayam, 30 minit aje masa masaknya.


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Menu gulai lemak ayam ni jika makan letak dengan kicap atau sambal belacan, pergh! memang tak pandang kiri kanan bila makan. Siap bertambah lagi. Kalau family saya, yang suka menu ni, suami, adik ipar dan anak-anaknya. Menu ni mudah aje. Nak masak pun tak amik masa lama. Kiranya dalam 30 minit dah siap untuk dapatkan ayam dan kentang yang lembut. Kalau nak cepat siap lagi, potong ayam kecil sedikit saiznya.

Ini resipi gulai lemak ayam versi saya. Bolehlah anda cuba.

Bahan:
1/2 ekor ayam dipotong & dibersihkan
1 liter air
2 biji kentang dipotong 6
1 kotak kecil santan
2 keping asam keping
1 biji tomato dipotong 6
Garam secukup rasa
3 sudu besar minyak untuk menumis

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu kecil serbuk kunyit / 2 inci kunyit hidup
Sedikit air

Penyediaan:
1. Panaskan kuali pada api sederhana. Masukkan minyak. Setelah panas, masukkan bahan kisar. Masak seketika hingga bahan naik bau.
2. Kemudian masukkan ayam dan biarkan ia digoreng seketika (bagi mematikan darah & menghilangkan bau hanyirnya). Jika keadaan sedikit kering, masukkan 1/2 cawan air. Kacau seketika & biarkan.
3. Selepas itu, masukkan 1 liter air. Kacau seketika & masak hingga mendidih. Masukkan juga 2 sudu santan bagi mesrakan ayam dengan kuah. Kacau sekali sekala.
4. Masukkan pula kentang. Masak hingga kentang separuh empuk & ayam sedikit lembut. Selepas itu, masukkan santan 1 kotak (tambah air lagi 1/2 kotak). Masukkan juga asam keping. Kacau agar tidak bertahi minyak & kentang empuk. Masukkan 1-2 sudu kecil garam / secukup rasa. Setelah masak, masukkan tomato. Kacau seketika & siap gulai lemak ayam untuk dinikmati.

Roti John, Menu murah & mudah


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Home-made roti john.
Bila suami kau suka-suka hati 'selet' sos & mayo kat roti, tu pasal sos meleleh bagai masa ambil gambar roti john ni. 

Jika anda ada masa, cubalah buat sendiri, lebih puashati.
Jimat.
Boleh letak apa sahaja untuk inti dan sos yang disukai.
Boleh makan berulangkali.

Bahan:
6 keping roti hotdog
4 biji telur suhu bilik
1/2 cawan daging cincang
1 biji lobak merah disagat
3 tangkai daun bawang & sup dihiris
1/2 sudu kecil garam
Sedikit minyak untuk memasak
Sos cili
Mayonis

Penyediaan:
1. Potong roti hotdog tapi jangan putus. Ketepikan
2. Dalam satu mangkuk, masukkan daging cincang, lobak merah, daun sup, daun bawang, telur & garam. Kacau hingga mesra.
3. Panaskan kuali leper atau non-stick. Letak sesudu besar minyak dan ratakan atas permukaan kuali. Setelah panas, masukkan bancuhan telur tadi. Ratakan sebesar roti hotdog yang dikembangkan.
4. Setelah permukaan telur agak masak (masih ada sedikit kawasan berair) tekap roti hotdog yang dikembangkan. Tekan2 sedikit dengan sudip agar ianya melekat. Masak dalam 1 minit dan kemudian terbalik. Masak dalam 30 saat (agar tidak berminyak sangat) & angkat letak dalam piring.
5. Setelah itu, letakkan sos cili & mayonis. Ratakan. Takup roti & belah dua. Siap menu roti john kita.

Gulai Lemak Pucuk Paku


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Dah lama tak masak, ini menu yang teringin semalam, gulai lemak pucuk paku. Sometimes gulai oldies ni memang pemecah selera. Kalau ada kicap, lagi sedap saya makan. Ada popodam atau keropok, lagi on...

Bahan:
1 ikat pucuk paku. Ambil bahagian lembut
5 biji cili padi
1/2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 sudu kecil serbuk kunyit /kunyit hidup
1 keping asam keping
1 batang cili merah
1 kotak santan kelapa 200ml
2 cawan air
1 1/2 sudu kecil garam

Penyediaan:
1. Kisar bawang besar, bawang putih, cili padi, serbuk kunyit dengan 1/2 cawan air. Kemudian masukkan dalam kuali.
2. Masak pada api sederhana. Setelah mendidih, masukkan pucuk paku baki air. Kacau seketika.
3. Selepas itu, masukkan santan, asam keping & cili merah. Masak hingga kuah mendidih kecil. Kacau sentiasa. Kemudian, masukkan garam secukup rasa. Masak seketika gulai lemak pucuk paku & siap.

Ikan Talapia Panggang


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Dek kerana mama dok teringin makan ikan panggang, kita try buat resipi dari @matgebu ni, ikan talapian panggang. Itupun menderhaka apa yang patut sebab barang takde.
Yang teringin, boleh try buat ek.

Bahan2:
1 ekor talapia dikerat dua
Aluminium foil
1/2 camca teh pes asam jawa
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 camca besar sos ikan
1 camca teh gula
3 camca besar air

Bahan kisar halus:
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 batang serai
4 biji cili merah

Bahan cili kicap
1/2 biji bawang besar didadu
10 biji cili padi, hiris kecil
1/2 biji limau nipis, perah jusnya
1/2 camca besar sos ikan
2 camca besar kicap lemak manis
1 camca besar air masak

Penyediaan:
UNTUK PES SAMBAL :
Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan-bahan kisar halus hingga harum, masak dengan api kecil dan kacau sentiasa. Tambah pes asam jawa, air, serbuk kunyit, sos ikan dan gula. Kacau sebati dan masak hingga naik minyak. Matikan api dan sejukkan sebentar
IKAN PANGGANG:
Ikan talapia di cuci bersih. Kemudian lumur rata-rata ikan dengan sambal tadi. Perap dalam 5 minit. Panaskan periuk ajaib. Ambil aluminium foil yang dipotong ikut saiz ikan dan letakkan ikan diatasnya lalu balut. Bakar dengan api kecil selama 12 minit. Tutup api dan hidangkan ikan talapia panggang ini.
CILI KICAP :
Satukan semua bahan2 untuk cili kicap, kacau hingga rata dan boleh hidangkan bersama ikan panggang. Siap.

Popiah Goreng / Lumpia / Spring Rolls


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Popiah goreng atau lumpia, buat sendiri puashati.
Dek kerana ramai dalam rumah yang berpuasa ganti & sunat, kita buat sikit kuih untuk kudapan berbuka.

Bila buat sendiri, rasa puashati sebab ianya tak serupa dengan gerai jual kuih yg sanggup potong sebiji pisang sampai 3 potongan kecil (akak baru terkena jumaat lepas bila beli kuih). Pedih hati nengok cenggini rupa orang berniaga. 

Jom buat sendiri. Boleh jimat beringgit-ringgit & boleh goreng berkali-kali (boleh bersedekah lagi jika banyak portionnya). 

Bahan:
1 pek kulit popia (saya guna 25 keping aje) suhu bilik
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
2 dada ayam dihiris & didadu isinya
1 biji lobak merah dipotong dadu
1/2 cawan air
3 batang saderi dipotong dadu
1/2 batang kentang didadu
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil lada hitam
3 sudu minyak untuk menggoreng

Penyediaan:
1. Panaskan minyak guna api sederhana. Tumis bawang besar & bawang putih. Setelah naik bau, masukkan isi ayam. Masak hingga air ayam berkurangan & ayam sedikit garing.
2. Kemudian masukkan lobak merah. Kacau seketika & masukkan pula air. Masak lobak merah dalam 5 minit. Selepas itu masukkan pula batang saderi & kentang. Kacau sayuran hingga semua mesra.
3. Masukkan pula garam & lada hitam. Kacau & masak dalam 1 minit. Tutup api & pindahkan dalam mangkuk. Biarkan sejuk sebentar.

Isi popiah yang sudah dimasak. Kita sejukkan kejap.

4. Sediakan semangkuk kecil air untuk dijadikan gam pada kulit popiah yang akan digulung. Kemudian, kopek kulit popiah yang melekat sekeping demi sekeping. Letak atas pinggan besar.

5. Ambil sesudu besar isi sayuran tadi & letak di atas kulit popiah di bahagian tengah. Kemudian lipat kulit di bahagian bawah ke atas menutupi inti. Lipat pula kiri & kanan kulit popiah & kemudian gulung hingga hampir hujung. Sapukan sedikit air guna jari pada hujung kulit popiah & gulung hingga habis. Buat hingga habis inti.


6. Panaskan minyak pada suhu sederhana. Kemudian goreng popiah hingga keemasan. Toskan popiah goreng kita & siap untuk dihidang & dimakan dengan sos atau begitu sahaja.

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...