Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Bagaimana Menulis Jurnal Kesyukuran Mengubah Cara Otak Melihat Hidup


Menulis jurnal mampu mengubah cara otak kita melihat hidup dan menukar perspektif negatif kepada positif. Betul ke pernyataan ni? Dalam hidup yang serba pantas hari ini, ramai antara kita semakin terbeban dengan tekanan kerja, tanggungjawab keluarga, keletihan emosi dan tuntutan sosial. Kadang-kadang kita terasa seolah-olah hidup hanya penuh kekurangan — tidak cukup masa, tidak cukup tenaga, tidak cukup pencapaian, tidak cukup rehat dan macam-macam lagilah yang tidak cukup. Namun, ada satu amalan kecil yang mampu mengubah cara kita melihat dunia dan cara otak memproses pengalaman harian: menulis jurnal kesyukuran.

Kenapa saya menekankan tentang menulis mampu merubah otak kita untuk menukar perspektif? Adakah dapatan daripada mana-mana kajian menyatakan tentang kesahihan perkara ini? Ada pengalaman orang-orang tertentu ke yang boleh dijadikan sandaran?

Mungkin kelihatan terlalu mudah hanya dengan menulis perkara yang kita syukuri, kita sudah mengubah cara berfikir. Tetapi di sebalik amalan kecil menulis inilah terdapat perubahan biologi dan emosi yang sangat besar. Saya sendiri rasai perubahannya setelah lebih 4 tahun mengamalkan terapi menulis ini. Ia bukan datang sehari atau seminggu. Ia mengambil masa sekurangnya 66 hari. Terdapat kajian daripada UCLA, Harvard, Berkeley University, University of Utah, Universitas Brawiya Malang dan beberapa kajian klinikal luar menunjukkan sedikit masa perlu diambil untuk merubah cara otak, fikiran dan tabiat kita. Sedikit masa perlu diambil kerana kita sedang melatih otak, emosi dan tabiat kita untuk berubah kepada sesuatu yang sedikit sukar untuk berubah kerana telah sebati dengan hidup. Kesannya bukan berlaku dalam sehari, tetapi perlahan-lahan membentuk cara otak bekerja, sehingga akhirnya kita lebih cenderung melihat kebaikan daripada keburukan, lebih nampak peluang daripada masalah, lebih bersabar dan lebih menghargai kehidupan daripada mengeluh tentang kekurangan yang kononnya ada.

Otak Dibentuk oleh Apa yang Kita Fokuskan
Kajian neurosains menunjukkan bahawa otak manusia mempunyai keupayaan untuk berubah mengikut tabiat dan fokus kita. Proses ini dipanggil neuroplasticity. Apabila kita sentiasa memberi perhatian kepada sesuatu, sama ada emosi negatif atau positif — otak membina “laluan” atau corak baharu yang menjadi kebiasaan. Sebagai contoh, jika selalunya kita membaca al-Quran hanya 2 mukasurat sehari tetapi kita ingin merubah atau upgrade diri dengan membaca al-Quran 3 mukasurat sehari, secara tidak langsung kita menyuruh otak dan badan kita untuk fokus pada tabiat baru yang ingin diubah. Di sini, otak secara tidak langsung bersedia untuk merubah apa yang kita kehendaki.

Apabila kita sering mengeluh, mengkritik diri, atau membandingkan hidup dengan orang lain, otak akan menjadi lebih cekap memproses rasa tidak puas hati. Kita melatih diri untuk melihat banyak kekurangan berbanding kekuatan yang dimiliki. Jika ini tidak dibenteras, lama-kelamaan, otak mencari apa sahaja yang salah lebih cepat daripada apa yang betul.

Sebaliknya, apabila kita menulis jurnal kesyukuran, kita melatih otak untuk mencari perkara-perkara baik yang berlaku setiap hari. Pada mulanya mungkin sukar kerana otak atau fikiran kita belum biasa.

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...