Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Jumaat, 30 November 2018

Chipodeh @ Chicken Podeh @ Chicken Pedas Panggang


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Ni semua gara2 banner iklan kat Texas Chicken semalam. Iklan burger sos chipotle. Kalau ikutkan tekak Asia Tenggara, chipotle ni tak pedas mana. Pedas lagi cili padi kita, cili siam & cili di Flores, Indonesia. Itu memang tahap pedas tak hengat.

So, encik suami yang tengah diet, dia buat AYAM PANGGANG CHIPODEH ini salai atas kuali leper aje. Serious sedap. Enak makan macam tu aje, buat inti untuk tortilla hatta boleh letak atas mi goreng pedas (saya dah try tadi). Ini resipinya.

Bahan:
4 keping boneless chicken
1 cawan cili padi dikisar/ditumbuk sederhana kasar
1 sudu besar paprika
1 sudu besar lada hitam
1 sudu besar garlic powder
2 sudu besar minyak zaitun
1 sudu kecil garam
1 sudu besar madu
Sedikit minyak zaitun untuk salai/saute atas kuali

Penyediaan:
1. 4 keping bahagian dada ayam tersebut anda cucuk dengan garfu di beberapa tempat. Ini bagi memastikan ayam yang diperap akan masuk jus bahan campuran ke dalamnya (sekeping dada ayam tu just cucuk 2-3 tempat aje). Jika nak cucuk lebih pun boleh untuk pastikan bahagian isi dalam ayam diserap bahan perapan.
2. Campurkan dalam satu mangkuk, cili padi, paprika, lada hitam, garlic powder, minyak zaitun & garam. Gaul hingga mesra & sadurkan semuanya pada ayam. Perap ayam ini sekurangnya 30 ke 40 minit.
3. Untuk menyalai atau omputih panggil 'saute', guna kuali leper atau pan yang lebar. Panaskan sedikit minyak zaitun & salai daging ayam sekeping atau 2 keping serentak. Balik-balikkan ayam tersebut agar masak & jika kelihatan kering, sapukan / sudukan sedikit baki bahan perapan tadi agar ayam lembab. Setelah sudah pasti masak, angkat & biarkan sejuk seketika & boleh hiris untuk dimakan.

Khamis, 29 November 2018

Potato Gratin @ Kentang Bakar dengan parutan keju


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Enak makan begitu sahaja atau cicah dengan roti.
Untuk anda yang tak mahu makan nasi, boleh cuba ganti dengan kentang. Kenyang juga. 
Untuk resipi ni, it takes dalam 1 jam 20 macam tu untuk siap. Bergantung pada portion kentang & tahap kegaringan yang diingini.

Jika anda suka berkuah, just guna susu & mentega aje. Tapi nak lebih pekat, anda boleh guna heavy cream atau tambah sedikit tepung (jika guna susu & mentega). Ini resipi yang ada kuah sikit.


Bahan:
4-5 biji kentang dihiris
2/4 cawan mentega cair
Sedikit mentega untuk saduran bekas
1 1/2 cawan susu
1/2 sudu kecil thyme/oregano
1/2 sudu kecil paprika
1/2 sudu kecil lada hitam
1/2 sudu kecil garam
1/2 cawan keju Parmesan (jika takde, ganti ajelah keju apa yang ada, kita yang makan kan...😉)
Kertas aluminum
2 loyang saiz sederhana & besar

Penyediaan:
1. Guna api sederhana, panaskan susu & mentega dalam kuali kecil. Setelah sedikit mendidih, masukkan garam, lada hitam, paprika & thyme. Kacau sebentar sehingga mendidih & tutup api.
2. Panaskan oven pada suhu 200°c.
3. Untuk bekas pembakar/loyang, sapukan mentega seluruh dalamnya. Ketepikan.
4. Dalam mangkuk berasingan, masukkan kentang dihiris, kemudian tuang kuah panas tadi. Kacau sebentar & masukkan keju parmesan. Kacau hingga sekata & pindahkan kentang yang disalut tadi ke dalam loyang pembakar. Susun elok-elok & kemudian tuang baki kuah ke atasnya. Tutup loyang pembakar dengan kertas aluminum & buka sedikit hujungnya untuk kemasukan haba.
5. Letakkan loyang bertutup kertas aluminum ke dalam loyang besar. Ia untuk memastikan kuah yang akan mendidih tadi tidak merosakkan oven anda. Masuk dalam oven. Bakar dalam 40 minit.
6. Setelah 40 minit, buka kertas aluminum sepenuhnya & bakar kentang dalam 20-25 minit hingga permukaan menjadi kuning keemasan. Setelah masak, keluarkan & biarkan ia sejuk seketika. Siap dihidang.

p/s: jika nak rasa lain skit, boleh aje letak rempah Maggi Pedas kat dalam kuah masa masak susu tadi

Rabu, 28 November 2018

Cheesy Vege Sandwich


Assalammulaikum & Salam Sejahtera,

Bila susah sangat nak dapatkan sandwich yang marvelous sekali pandang, makanya I make my own + kakak ipar share YouTube dari India.

Bahan2 & cara membuatnya saya tepek sini.

Bahan sandwich. Jika ada yang anda nak tambah atau ganti, silakan. Ikut citarasa masing-masing.

Hiris atau potong bahan sandwich. Ini untuk inti sandwich.

Untuk inti sandwich yang dicampur tadi, letak bahagian tengah. Untuk extra best, cheese & chilli flakes boleh tabur bahagian atas (jika ada lebihan cheese yang anda parut)

Untuk dapatkan sandwich yang BEST:
  •  Guna roti putih YANG MAMPAT ATAU BERAT berbanding yg ada di kebanyakan kedai (sedih akak tengok roti putih yg lembut tu buat sandwich / french toast).
  • Gunakan juga SAYUR FRESH kerana ia MURAH.
  • JANGAN KEDEKUT masa sapukan mentega / mayo / sos untuk isi sandwich 
  • Guna OVEN untuk cairkan keju. Jika xde oven, boleh aje guna pan yang leper macam pinggan tu. Letak sandwich atasnya, percikkan air sedikit & telungkupkan mangkuk besi untuk tutup. Dalam 1-2 minit, keju akan mencair. 
  • Oleh kerana kita orang Asia, makanya nak pedas. Boleh letak LADA HITAM, LADA PUTIH, PAPRIKA & CHILLY FLAKES untuk rasa lebih kaw. 
  • Boleh guna APA SAHAJA JENIS KEJU yang Ada. Tapi selalunya orang akan guna Mozzarella, Cheddar atau Gruyere. 
  • Boleh letak AYAM PANGGANG jika suka.

Selasa, 27 November 2018

Keledek Panggang Dengan Madu & Kayu Manis


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Kudapan untuk diet.
Ambil masa dalam 1/2 jam aje dah boleh makan.

Bahan:
3 biji keledek, dibuang kulit & didadu.
1/4 cawan minyak zaitun
1/4 cawan madu
2 sudu kecil serbuk kayu manis
Garam & lada hitam secukup rasa.

Penyediaan:
1. Panaskan oven pada suhu 185°c
2. Letakkan keledek didadu di atas tray. Tuang minyak zaitun, madu, kayu manis, garam & gula ke atas keledek. Gaul semua sekali hingga mesra. Kemudian masukkan dalam oven & bakar dalam 25-30minit hingga keledek masak/lembut.
3. Setelah masak, pindahkan dalam pinggan besar & renjis sedikit minyak zaitun di atas keledek. Siap.

Ikan Kembung Gulai Taucu


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Dah lama tak makan menu ni. Tetiba teringat. So, apalagi, gigih cari barang kat pasar tadi. Nasib ada.
Dulu saya memang tak makan gulai ni, tapi mungkin kerana peredaran semasa, dah jadi suka :)

Bahan:
4 ekor ikan kembung disalut garam kunyit.
1 biji bawang besar dihiris bulat
2 ulas bawang putih, hiris
1 tangkai cili merah dihiris kasar
5-6 tangkai cili hijau dibelah tengah tapi jangan putus.
2 sudu besar taucu
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap lemak manis
2 cawan air
Minyak untuk menumis

Penyediaan:
1. Ikan digoreng, tapi jangan sampai garing. Ketepikan bila dah masak.
2. Panaskan 3 sudu besar minyak masak. Tumis bawang putih & bawang besar hingga naik bau. Kemudian masukkan cili merah & cili hijau yang dibuang bijinya. Kacau seketika.
3. Masukkan pula taucu & sos tiram. Kacau sebentar & masukkan air. Masak kuah hingga mendidih.
4. Setelah mendidih, masukkan kicap. Kacau seketika & masukkan ikan. Kacau perlahan-lahan & rasa. Jika tawar, boleh tambah garam atau gula secukup rasa. Kacau sebentar & boleh diangkat. Siap

Selasa, 20 November 2018

Air Laici Berlemon dengan Pudina


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Air laici berlemon dengan pudina a.k.a lychee lemon with mint leaves drink. 
Dek kerana baki laici ada + baru beli sepasu daun pudina, makanya kita try minuman ni.
Very refreshing.

Bahan:
1. 1/2 biji lemon diperah
2. 4-5 biji buah laici dalam tin
1/4 cawan air gula laici
1/2 cawan air gula (ambil 2 sudu besar gula & letak air panas. Kacau hingga larut)
1 1/2 cawan air sejuk
3 helai daun pudina
Hirisan lemon & setangkai kecil daun pudina utk hiasan
Kiub ais

Penyediaan:
1. Masukkan perahan air lemon, air gula laici, air gula biasa, daun pudina serta air sejuk. Kacau hingga mesra.
2. Kemudian masukkan buah laici. Kacau. Letak lemon & setangkai pudina untuk hiasan.

Isnin, 19 November 2018

Lemon Roast Chicken @ Ayam Panggang Madu


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Simple dish. Preparation dalam 10 minit pastu 'sumbat' dalam oven 40 minit (let the oven do the work).
Enak makan dengan nasi, buat sandwich, buat chicken burger atau makan dengan gravy kesukaan.

Bahan:
5-6 ketul bahagian ayam (lap dengan tisu supaya kering dari air)
1 biji lemon dihiris 5-6
2 sudu besar minyak zaitun
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil thyme
1 biji bawang holland dihiris

Penyediaan:
1. Panaskan oven pada suhu 190°c.
2. Masukkan ayam yang telah dilap kering tadi dalam bekas pembakar/tray. Salut ayam dengan minyak zaitun, garam, lada hitam & daun thyme.
3. Kemudian, masukkan hirisan lemon & bawang holland di celah-celah ayam. Masukkan dalan oven. Masak dalam 35-40 minit. Siap.

Ahad, 18 November 2018

Maggi Goreng Pedas


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Bila dah xde idea nak masak apa, tetiba teringat Maggi dalam gobok. So, kita masak Maggi Pedas dengan cara menumis ya. 
If nak pedas, boleh guna semua bahan perencah dalam paket Maggi tu tapi jika ada budak kecil atau orang tua nak makan sekali, kurang kuantitinya. Kesian depa sakit perut nanti. .

Bahan:
3 paket Maggi Pedas
2 ulas bawang putih dihiris
2 biji bawang merah dihiris
2 sudu cili giling
1/2 cawan air
1 biji tomato dipotong dadu
6 biji fishball dihiris
2 biji telur
3 sudu besar kicap
1/2 cekak daun kucai / daun bawang atau apa aje sayur
1 biji cili merah dihiris
3 sudu besar minyak utk menumis

Penyediaan:
1. Rebus Maggi dahulu kemudian toskan. Ketepikan seketika.
2. Dalam kuali, guna api sederhana, panaskan minyak. Setelah panas, masukkan bawang merah & bawang putih. Tumis seketika & kemudian masukkan cili giling. Kacau seketika & masukkan air & tomato. Kacau & biarkan cili masak sebentar.
3. Selepas cili mendidih & sedikit garing, masukkan pula perencah Maggi Pedas semuanya (saya cuma guna 2 paket aje sbb ada budak & orang tua) dan kicap. Kacau dan biarkan masak sebentar. Masukkan pula, fishball. Kacau & kemudian masukkan pula telur. Kacau perlahan-lahan hingga telur menjadi sedikit keras & barulah masukkan maggi, sayur & cili merah. Kacau hingga mesra & siap

Sabtu, 17 November 2018

Kerabu Pucuk Paku


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

1st time saya buat. Subhanallah sedapnya. Kena kat tekak.
Bukan nak puji diri tapi resipi saya ambil di website RASA, sedap bila dicuba.
Ini resipinya. Boleh le cuba.

Bahan:
2 ikat pucuk paku. Ambil bahagian lembut
1 biji kelapa parut putih disangai
1 biji bawang besar
3 tangkai lada merah
Sesudu besar udang kering direndam seketika
3 biji limau kasturi / 1/4 lemon
Sedikit belacan digoreng
1 sudu kecil lada hitam
Garam dan gula secukup rasa

Penyediaan:
1. Ambil bahagian pucuk paku yang muda, basuh & kemudian celur sehingga layu. Toskan.
2. Tumbuk bawang besar, cili merah, belacan & udang kering hingga lumat.
3. Dalam mangkuk lain, satukan kelapa putih, jus limau kasturi/lemon, garam & gula. Gaul mesra & kemudian masukkan bahan tumbuk. Gaul mesra. Masukkan pula pucuk paku dan gaul mesra lagi. Dah siap gaul, masukkan dalam mangkuk bersih. Siap dihidang.

Jumaat, 16 November 2018

Susu Pandan Laici


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Really refreshing. Minuman dari Ho Chi Minh yang saya cuma add on buah laici.
Akak menderhaka skit resipi dari Vietnam ni.

Minuman 1 gelas.
Bahan:

2 sudu besar susu pekat
3 sudu besar susu cair
2 sudu besar paste pandan (beli kat kedai bakery)
4-5 laici
2 sudu besar air manisan laici dalam tin
1 cawan air panas
Ais

Penyediaan:
1. Masukkan susu pekat, susu cair & paste pandan. Kacau sehingga sebati. Masukkan pula air panas. Kacau hingga sebati.
2. Kemudian masukkan laici & air manisannya. Kacau. Masukkan pula ketulan ais ikut berapa banyak anda suka. Siap.

p/s: kalau tak jumpa kordial pandan di tempat anda, blend aje daun pandan yang ada. Tapi pastikan ianya pekat & jangan cair sangat.

Khamis, 15 November 2018

Mihun Bakso


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Dek kerana Rudy tak makan nasi malam-malam, kita ganti dengan bihun + bakso.

1kg meatball, RM13.
Banyak isinya. Masak separuh aje haritu.
Ini resipinya kot nak try.

Bahan:
6 - 8 kaki ayam / 2 bahagian dada ayam
1/2 kg meatballs (dlm 18-22 biji)
2 inci halia, dititik*
4 ulas bawang putih, diketuk*
1 batang serai, dititik*
1 kuntum bunga lawang*
5 kuntum bunga cengkih*
2 biji buah pelaga*
1 kiub pati ayam (optional)*
1 camca teh lada hitam kisar
4 liter air (atau secukupnya)
1 sup bunjut Adabi
1 biji kentang, kupas dan potong kiub
1 batang lobak merah
1/2 bihun yang sudah dicelur.

Penyediaan:
1. Kaki / dada ayam dicuci bersih dan kerat. Masukkan ke dalam periuk bersama air dan bahan-bahan bertanda (*), kacau dan masak hingga menggelegak, kemudian sederhanakan api dan terus merenih selama 45 minit (kalau kurang kuah, tambah air lagi) jika ada seakan-akan buih timbul dipemukaan sup, keluarkan.
2. Kemudian, masukkan meatballs, sup bunjut, lada hitam kisar, lobak merah dan kentang. Masak lagi hingga kentang empuk & meatball masak dalamnya. Email dimakan dengan cili kicap.

Meatballs Sandwich


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Dek kerana ada baki kuah Bolognese & meatballs, makanya kita men'sandwich'kan ia.
Moral of the story, masak lebih meatballs, makanya boleh buat menu lain 😁😁

Bahan:
3 roti hotdog
Mentega/planta
Tomato
Apa jenis sayur yang anda suka
Bebola daging (Meatballs Bolognese)
Sos dijorn mustard (biji sawi)

Penyediaan:
1. Sapukan mentega di bahagian tengah roti hotdog yang dipotong. Panaskan atas kuali leper. Sekejap aje. Bagi dia sedikit garing. Angkat.
2. Kemudian, letakkan sayur hijau & tomato. Lepas itu, letakkan 4 ketul bebola daging & sos Bolognesenya sedikit. Paipkan pula dijorn mustard. Jika suka, paipkan juga mayonis. Siap.

Selasa, 6 November 2018

Pumpkin Tart @ Tart Labu


Assalammualaikum & Salam Sejahtera

Baki labu bawa balik dari Bandung ada lagi, makanya kita try buat tart labu.

Untuk buat tart atau pie labu, labu yang perlu anda gunakan adalah LABU MANIS bukan labu untuk masak sayur. Boleh juga guna puri labu dalam tin.
Untuk tart shells tu, saya beli yang dah siap (senang skit kerja). Tart ini sedap dimakan sejuk2 dan enak juga diletakkan whipping cream.

Bahan:
2 cawan puri labu
50 tart shell
3 biji telur
1/2 cawan gula perang
3/4 cawan susu cair (evaporated milk)
1/2 sudu kecil serbuk kayu manis
1 sudu kecil parutan halia
1/4 sudu kecil garam 

Penyediaan:
1. Panaskan oven pada 185°c. Alaskan tray dengan baking sheet. Ketepikan.
2. Dalam satu mangkuk besar, masukkan puri labu & telur. Kacau hingga mesra. Kemudian, masukkan gula perang. Kacau lagi hingga mesra.

Puri Labu. Labu dibakar & dihancurkan. 

3. Selepas itu, masukkan susu cair, serbuk kayu manis, parutan halia & garam. Gaul mesra hingga sebati.


4. Guna skop aiskrim dan senduk adunan ke dalam satu persatu tart shell. Susun rapat2 dalam tray dan bakar lebih kurang 20-23 minit.


5. Setelah masak, biarkan ia sejuk seketika. Kemudian simpan di dalam fridge dalam 3-4 jam. Enak dimakan sejuk.

Isnin, 5 November 2018

Key Lime Tart @ Tart Limau Nipis


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Dek kerana asyik dok tertayang cara buat key lime pie kat Food Network akhirnya try juga. Cuma pie tertukar jadi tart sbb pie crust dah habis kat kedai bakery.

Senang aje rupanya membuatnya. Semua orang boleh buat. Yang PENTING, minimum kena simpan tart tu dlm 4 jam dalam fridge baru boleh makan. Lagi sejuk, lagi sedap.

Bahan:
50 tart shells
4 kuning telur
1 1/2 sudu besar parutan kulit limau nipis
1 tin susu pekat
1/2 cawan air perahan limau nipis
Dulang pembakar & kertas alas

Penyediaan:
1. Panaskan oven pada suhu 180°c.
2. Letakkan kertas alas pada dulang pemby. Ketepikan.


3. Dalam satu mangkuk, masukkan kuning telur & parutan kulit limau. Pukul bahan campuran hingga mesra & sedikit kembang. Kemudian, masukkan 1 tin susu pekat manis. Kacau hingga mesra. Selepas itu, masukkan pula air perahan limau nipis. Kacau hingga mesra.


4. Ambil 1 tart shell & isikan bahan adunan tadi menggunakan scoop aiskrim. Ulang kerja hingga semua tart penuh atas dulang. Kemudian, masukkan ke dalam oven & bakar selama 8-9 minit.


5. Setelah masak, letak atas jaring atau alas & biarkan ia sejuk. Sebaik sejuk, pindahkan ke dalam bekas & letak dalam fridge. Biarkan minimum 4 jam baru sedap dimakan.


Ahad, 4 November 2018

Frittata @ Telur Dadar Berinti


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Hidangan Itali yang diperbuat daripada telur dadar goreng berinti. Ala2 macam omelette.
Makanan ini sesuai untuk sarapan atau makan malam & ia memang kenyang. As a starter pun ok.
Nak makan begitu sahaja boleh, nak makan dengan sos pun boleh atau makan dengan nasi.

Bahan:
7 biji telur
1 biji bawang Holland dihiris
1 biji bawang putih dihiris
1 biji kentang rebus dipotong dadu
1 biji tomato potong dadu
1 batang lobak merah diparut
7 helai daun halba dihiris (optional)
7 helai daun selasih dihiris (optional)
7 hiris cili jalapeno jeruk (jika tiada, ganti apa sahaja sayur berjeruk atau kimchi)
1 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil lada hitam
3 sudu besar minyak zaitun

Penyediaan:
1. Panaskan minyak guna api sederhana & guna frying pan bertangkai. Setelah minyak panas, masukkan bawang Holland & bawang putih. Goreng seketika. Kemudian masukkan kentang rebus. Goreng sebentar.


2. Dalam mangkuk lain, masukkan telur, tomato, lobak merah, daun halba, daun selasih, cili jalapeno, garam & lada hitam. Kacau hingga sebati. Kemudian, masukkan bahan ini ke dalam pan berisi kentang tadi. Kacau perlahan-lahan & kemudian ratakan. Masak hingga bawah telur garing. JANGAN GUNA API BESAR. Nanti inti tak masak betul.


3. Untuk menterbalikkan telur, guna spatula untul lihat bawahnya. Jika ok, ambil piring & telangkupkan pada atas periuk. Selepas itu, dengan pantas terbalikkan telur ke atas pinggan. Kemudian, masukkan kembali telur di bahagian belum masak ke dalam kuali secara perlahan-lahan. Jika comot tak apa. Masak lebih kurang 1-2 minit. Setelah masak, letakkan atas pinggan besar atau papan pemotong.
4. Biarkan sejuk sebentar dan potong ikut suka.


Sabtu, 3 November 2018

Eggs & Pepperoni Sandwich


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Bila sampai satu tahap korang takde feel nak makan nasik, mi, bihun atau kuehtiaw. Makanya roti adalah best solution.
Simple & boleh makan time sarapan, tengahari, minum petang atau kudapan malam.

Bahan:
8 potong roti
Planta / butter
1/2 cawan kepingan pepperoni
3 biji telur
2 biji tomato dihiris
Sayur salad disiat sedikit
Secubit garam, paprika & garlic powder
Minyak zaitun
Sos cili


Penyediaan:
1. Goreng pepperoni dengan sedikit minyak zaitun. Setelah masak, ketepikan dalam piring.
2. Kita buat pula scrambled eggs. Dalam satu mangkuk, masukkan telur, garam, paprika & garlic powder. Kacau telur hingga mesra & masakkan atas kuali yang ada baki minyak zaitun tadi. Scrambled eggs kan ia. Angkat & ketepikan.
3. Kemudian, sapukan mentega/butter pada roti. Selepas itu, letakkan hirisan tomato, 2-3 sudu scrambled eggs, letakkan pula 5 keping pepperoni, paipkan sedikit sos atasnya & kemudian letak sayur salad. Katup bahan tapi dengan satu lagi roti yang disapu mentega dalamnya. Siap.

Jumaat, 2 November 2018

Jagung & Kelapa Parut


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Menu kudapan mak mertua buat. Menu ringkas yang disukai oleh anak-anak dia serta cucu.

Jagung ni saya beli di Taiping. Punyalah murah, RM10 dapat 10-12 tongkol, makanya kami beli 2 plastik. Puas hati makan lepas tu. 

Untuk yang nak try, boleh cuba.
Bahan:
6 tongkol jagung direbus empuk
1 biji kelapa parut (ambil putih sahaja)
1/2 sudu kecil garam
1 sudu besar gula

Penyediaan:
1. Potong jagung dari tongkolnya. Masukkan dalam satu mangkuk besar. Masukkan pula kelapa parut, gula & garam. Gaul mesra & siap. Enak dimakan begitu sahaja sama atau sejuk-sejuk. 

Sambal Ikan Tenggiri & Terung


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Menu ringkas. Ikan + sayur. Saya lebih suka menu ikan & seafood berbanding ayam atau daging. Ia kontra dengan Encik Hubby saya. Dan selalunya, saya suka ikan kecil & biasa, tapi dia suka ikan besar & mahal. Katanya dia tak suka tercari-cari tulang ikan.

So, kalau dia makan pun, dia tibai terung tu aje. Ngeeee...

Bahan:
1 ekor ikan tenggiri dipotong
1 cawan cili padi
2 tangkai cili besar
3 ulas bawang putih
1/2 sudu belacan
1 cawan air
2 batang terung dikerat 3 & dibelah dua
2 asam keping
Gula garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng

Penyediaan:
1. Basuh bersih ikan & sadurkan dengan garam kunyit. Ketepikan. Kisar bawang, cili & belacan dengan sedikit air. Kisar jangan halus sangat. Ketepikan.
2. Dalam kuali, masukkan 1 cawan minyak. Setelah panas, goreng sebentar terung dalam 2-3 minit. Terbalik-balikkan & kemudian toskan dan masuk dalam mangkuk. Ketepikan.
3. Goreng ikan tenggiri. Setelah sedikit garing, angkat, toskan & masukkan dalam mangkuk berisi terung tadi.
4. Keluarkan 2/3 minyak panaskan tadi. Kemudian masukkan bahan kisar. Masak hingga sedikit garing. Masukkan pula asam keping. Kacau sebentar & masukkan garam & gula secukup rasa.
5. Setelah cili sedikit garing, masukkan ikan & terung. Gaul mesra seketika & kemudian tutup api. Siap.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...