Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Jumaat, 19 Mei 2017

Tolaklah dengan cara yang lebih baik. Allah suka.

Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Pagi Jumaat yang indah ini, saya kongsikan sedikit ilmu dari buku Setia Dengan Kebenaran tulisan Hasrizal Abdul Jamil yang baru dibaca.

Bab kedua buku ini telah sedikit menyentap hati & akal waras saya. Dengan ujian yang baru menimpa saya seminggu ini, ia membuat terbit air mata (akak ter'emo' sikit dek non... hehehe...).

Meh saya kongsi.
Moga ada manfaat buat semua & moga kita semua masuk ke Syurga milikNya. Amin...

Fussilat: Seni Bertarung Untuk Menang Dan Bahagia

Semua orang mahu menang. Ada yang mahu menang untuk kepentingan sendiri. Ada yang mahu menang untuk memenangkan apa yang diperjuangkan. Dua-dua itu benar.

Kita yakin dengan kebenaran itu kita bahagia.
Biarpun sering terjadi, kemenangan kita itu datang bersamanya derita.

Kita sukar untuk percaya, bahawa Allah, Tuhan kita sudah menjelaskan kaedah menang yang ampuh & pasti berhasil. Kaedah yang disalah tanggap sebagai naif, malah klise bagi sebahagian pula.
Iaitu kaedah MENUMPASKAN KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN.

Baca perlahan-lahan untuk tadabbur ayat ini:

'Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.'
(Surah Fussilat 41: 34)

Pertama
Kebaikan & kejahatan tidak sama.
Itu harus jelas terlebih dahulu. Jelas perbezaan antara kebaikan & kejahatan.

"Ahh, buruk baik sama aje!" kata A. Kata-katanya salah.
"Kalau dia buat jahat, kita balaslah cara jahat. Baru buku bertemu ruas!" Kata B. Kata-katanya juga salah.

Salah kerana kebaikan itu Allah suka. Allah redha. Ia membawa ke syurga.
Salah kerana kejahatan itu Allah benci. Allah murka. Ia membawa ke neraka.

Satu tindakbalas kita mendekatkan diri ke Syurga.
Satu tindakbalas kita mendekatkan diri ke Neraka.

Kedua
"Balaslah kejahatan yang dikenakan ke atas kamu dengan sesuatu yang lebih baik..."

Setelah jelas mana yang baik mana yang jahat, pilih tindakbalas yang sesuai. Pilihlah tindakbalas yang lebih baik berbanding dengan kejahatan yang dikenakan ke atas kita. Apa sahaja, asalkan yang lebih baik daripada kejahatan. Serendah-rendah kebaikan pun tidak mengapa, asalkan bukan yang jahat.

Apa pilihan yang lebih baik itu?

i. Menyayangi orang yang menganiaya kita?
Itu makam tinggi. Mungkin ramai yang tidak mampu. Malah kebanyakan manusia tidak mampu. Hanya Allah yang Maha Mampu. Setelah manusia berdosa meminta ampun dan Dia ampunkan, Dia sayang pula kepada insan itu. Mana mungkin kita mampu mengasihi orang yang menzalimi kita.
Tetapi kalau mampu, itu memang hebat. Memang tinggi.

ii. Berbuat baik kepada yang menganiaya kita?
Tidaklah kasih tetapi kejahatan kita balas dengan kebaikan. Walaupun dengan hati yang luka dan inisiatif yang dipaksa. Membelakangkan kecederaan emosi. Dia campak sampah ke rumah kita, balasannya adalah kita hantar kuih ke rumah dia. Ini juga tinggi, bukan calang-calang orang mampu melakukannya.
Tetapi kalau mampu, itu memang hebat. Memang tinggi.

iii. Baik kepada yang menganiaya kita?
Tidaklah sampai menghadiahkan kuih kepada si dia yang melonggokkan sampah ke halaman rumah kita. Tetapi cukup dengan mengawal air muka. Paksa diri untu senyum. Urut dada untuk maafkan. Keluar ke halaman, bersihkan sampah yang dilonggok itu dan jika mood tengah baik, bersihkan sekali sampah di halaman rumah si dia.
Dia hendak marah dan terus benci, terpulang.
Kita biasa-biasa sahaja. Berlapang dada.
Ini serendah-rendah ukhuwwah. Masih dalam lingkungan ukhuwwah. Persaudaraan yang berkadar langsung dengan iman, tandanya iman masih berfungsi menyelamatkan persahabatan.
Mungkin boleh buat. Namun banyak perlu bermujahadah.

iv. Mencegah diri dari bertindak jahat?
Tetap mahu bertindak. Tetapi bertindaklah dengan tindakan baik. Jahatnya si dia perlu dibendung, maka dia perlu diberikan amaran. Mungkin perlu dibuat aduan. Mungkin perlu diambil tindakan undang-undang dan saman.

Kita bertindak.
Tetapi tindakan kita beralaskan kewarasan. Kita bertindak mengikut saluran. Pilih saluran yang efektif. Saluran yang sampai kepada tuntutan agama terhadap kemungkaran iaitu mencegah. Dan bukan sekadar mencegah, malah mengubah. Mengubah mungkar menjadi maaruf.

Dan dalam mana-mana pilihan di atas, kita tidak lupa berdoa. Memohon kepada Allah agar melembutkan hatinya. Sebagai mukmin, kita bukan hanya mahu orang yang kita sayang sama-sama masuk Syurga. Malah kita juga mahu orang yang kita benci, berubah dan sama-sama masuk Syurga.

Siapa yang mahu menghantar manusia ke Neraka?
Namun, kalau boleh bukan kita yang menghantarnya.

Sebab menyelamatkan seseorang daripada Neraka, amat besar ganjarannya, malah membantu pula usaha kita untuk ke Syurga.

Ketiga
JanjiNya ialah:
Jika antara kamu dan dia ada permusuhan, membalas kejahatan dengan kebaikan akan mengubah lawan menjadi kawan.
Bukan sekadar kawan, tetapi kawan yang akrab.

Masakan tidak, kita bukan sekadar kawan biasa, kita kawan yang membantu bekas lawan itu daripada terjerumus ke Neraka, kepada mampir menuju Syurga.
Itulah kawan sejati.

2 ulasan:

  1. Masa muda minat sangat baca buku, sekarang ni kurang dah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kak ina, Baca sedikit takpe. Untuk ilmu kita pada hari itu dari Allah. Sama seperti kita baca Al-Quran, ada firmanNya yang Dia mahu kita tahu masa itu sebagai panduan

      Padam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...