Assalammualaikum & Salam Sejahtera semua.
Entry kali ini buat anda:
Suami
Isteri
Workaholic
Manusia punya cita-cita tinggi
Walau sesibuk mana anda dengan kerja atau mengejar cita-cita, jangan lupa pada orang tersayang yang sentiasa menyokong kita. Bagi suami, isteri tulang belakangnya. Bagi isteri, suami adalah pendokongnya. Bagi workaholic & manusia punya cita-cita tinggi, ahli keluarga dan sahabat rapat adalah orang yang sama-sama naik & turun dengan kita.
Ada satu kisah yang disampaikan oleh mama saya buat panduan kita.
Pada satu majlis perkahwinan yang dihadiri, bapa pengantin perempuan secara tidak langsung telah menceritakan sedikit kisah hidupnya kepada tetamu. Katanya, "walaupun sesibuk mana kamu bekerja atau mengatur hidup, dan walau sesibuk mana kamu mengejar citi-cita dan impian, jangan lupa pada isteri atau pasangan di rumah. Jangan sampai satu tahap nanti, kita tidak mampu untuk putarkan kembali saat indah bersama. Kerana saat indah itu telah diambil oleh Allah selama-lamanya..."
Ya... atuk saudara saya telah cuba mengingatkan anak perempuannya dan juga barangkali hadirin tentang apa yang berlaku pada dirinya. Dia tidak mahu perkara yang sama berulang kembali. Hanya kerana kita bersemangat & bercita-cita dalam kerjaya & ingin mencapai sesuatu dalam hidup, kita lupa akan orang tersayang yang sentiasa sabar menanti kita pulang dan bertanya khabar walaupun sekadar hanya soalan, "awak sihat hari ini?"
Arwah nenek saudara saya itu meninggal dunia akibat penyakit kanser. Dia tidak menceritakan pada suaminya tentang penyakit yang dideritai sehinggalah kanser sudah merebak pada peringkat 4. Barangkali dia tidak mahu si suami terganggu dengan kerjanya, tidak terganggu kehidupannya dan tidak terganggu dalam memberikan yang terbaik kepada negara. Dan bila sudah sampai peringkat 4, segalanya sudah terlambat. Masa yang berbaki hanya tinggal sedikit. Cinta yang disemai dari sekolah mula diuji kesetiaan dan keprihatinannya. Dan akhirnya, arwah nenek saudara saya itu pergi jua meninggalkan suami & anak-anak yang diharap dapat menyerikan hidup suami ketika dia tiada.
Bila mendengar kisah ini, saya terbayangkan wajah atuk saudara saya itu yang pasti pedih hatinya ketika meluah rasa. Rasa yang selama ini dibendung sejak bertahun lama.
Cinta, adakala ia menjadi sumber kekuatan kita. Cinta adakala menjadi penyuntik semangat kita. Cinta adakala mengajar kita untuk tidak berputus asa. Dan Cinta, mampu membuatkan diri kita menderita jika tidak tahu mengawalnya.
Moga kita semua dikurniakan Allah cinta sejati padaNYA dan memiliki pasangan yang saling cinta-mencintai walau apa pun keadaan jatuh bangun kita. Al-fatihah buat arwah nenek...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan