Entry kali ini sebenar saya terpanggil untuk kongsikan sesuatu yang menarik selepas melihat satu rancangan di tv tadi. Seorang panel seolah-olah menyatakan pentingnya kaya untuk dapat membuat kebaikan. Bila dia berkata-kata seperti itu, saya teringat akan Rasulullah s.a.w. takut umatnya menjadi kaya. Ini kerana cabaran mereka yang kaya lebih hebat berbanding sederhana atau miskin. Sukar untuk mendapat manusia yang kaya tetapi kekal amal ibadatnya atau lebih baik. Kita boleh lihat pada kisah-kisah seperti Abdul Rahman bin Auf dan Abu Bakar As-Siddiq. Dan kita juga boleh rujuk akan kisah Qarun, Firaun & beberapa kisah lagi tentang dugaan atau ujian melalui kekayaan yang ditimpakan ke atas mereka.
Kali ini, saya ingin kongsikan tentang satu kisah Sahabat Nabi s.a.w yang cukup sederhana hingga tiada siapa pun menyangka dia seorang yang hebat.
Pada tahun 16H, Madain jatuh ke tangan kaum Muslimin. Bandar Persia yang sangat indah & kaya raya ini berjaya ditundukkan oleh Sa'ad Bin Abi Waqqas. Berita kemenangannya segera dikirimkan kepada Khalifah Umar Al-Khattab di Madinah.
Ahli Madain yang masih beragama Majusi mula bertanya-tanya siapakah yang akan diutuskan oleh Umar untuk menjadi penguasa baru bagi bandar yang sangat besar ini? Tidak lama kemudian, surat daripada Umar tiba lalu ia dibaca kepada semua ahli Madain.
Umar menulis, "Aku telah mengutus Huzaifah bin Al-Yaman kepada kalian. Tunduk & patuhlah kepadanya."
Apabila mendengar isi surat ini, penduduk Madain mula berfikir, "Tentulah orang ini sangat terhormat." Mereka bercadang untuk menyambut Huzaifah secara besar-besaran.
Pada hari kedatangan Huzaifah, tokoh-tokoh Madain keluar dengan berpakaian mewah untuk menyambutnya. Kenderaan dan perarakan telah dihias indah. Namun, setelah menunggu sejak dari pagi hingga petang, mereka tidak menemui sesiapa yang mereka sangka utusan Umar itu. Mereka hanya melihat seorang lelaki Arab yang menunggang keldai sambil menyimpang kaki dan memakan roti kering meminta izin untuk masuk ke Madain. Mereka membiarkan ia berlalu tanpa mempedulikannya.
Mereka benar-benar terperanjat. Mereka baru sedar bahawa 'lelaki Arab yang miskin' yang tidak dipedulikan itu rupa-rupanya penguasa Madain yang baru. Mereka segera berlari & mengejar Huzaifah untuk meminta maaf kepadanya.
Kehormatan seseorang bukan terletak pada penampilan dirinya tetapi ia terletak dalam "prestasi kerja" yang telah dicapai. Huzaifah menjelaskan bahawan kesederhanaan yang menjadi gaya hidupnya itu merupakan ajaran Rasulullah s.a.w.
Rujukan: Umar Muhammad Noor. 2011. Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia. Telaga Biru. Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan