Assalammualaikum & Salam Sejahtera.
Kacang pool, menu sedap dari selatan.Pertama kali makan menu ni masa di kedai Semangkuk. Sedap sangat rasa. Dan sejak kedai ni dah takde, makanya kenalah belajar masak sendiri. Alhamdulillah menjadilah juga walaupun stok kacang merah takde.
Ini resipinya. Oh ya, siapa-siapa yang ada alergi kacang panggang ni, sila ganti dengan kacang yang sesuai ya.
Bahan:
200 gram daging cincang
1 tin kacang pool
1 tin kecik baked bean
1 1/2 camca besar kari daging
1 camca besar serbuk ketumbar
1 camca teh lada hitam ditumbuk
5 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*(*dikisar halus)
Garam & gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
1 1/2 cawan air
Bahan hidangan:
Roti naa, roti perancis atau apa aje jenis roti yang kemudiannya dipanggang
Bawang besar, didadu kecil
Cili benggala kuning didadu
Cili hija dihiris
Limau kasturi dibelah dua
4 biji telur mata
Penyediaan:
1. Kacang pool, diramas hingga hancur, tak perlu sampai halus sangat. Ketepikan.
2. Satukan bahan kisar halus dengan rempah kari daging & ketumbar, kacau rata hingga menjadi pes. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan minyak & biarkan ia panas. Kemudian, tumis pes rempah, kacau rata & masak hingga naik minyak.
3. Masukkan daging kisar & masak dengan api sederhana hingga daging berubah warna & kering airnya. Tambah sos tomato, kacau rata & tuang air. Kacau rata & biarkan mendidih.
4. Masukkan kacang pool &baked beans. Kacau perlahan. Tambah lada hitam, kacau & masak hingga pekat. Perasakan dengan garam secukupnya & jika sedap boleh matikan api.
5. Cedok kacang pool secukupnya ke dalam mangkuk sesuai. Hias dengan bawang besar, cili hijau, cili benggala & telur mata. Perah jus limau nipis ke atasnya. Sedia untuk dimakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan