Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Perang, MH17 & Tanda Kiamat

Assalammualaikum.

Malaysia dan dunia amnya dikejutkan dengan banyak berita sedih dalam sebulan Ramadhan ini.
Pertamanya, kita, umat Islam keseluruhannya dan rakyat di dunia dikejutkan dengan berita Isreal membuat seorang kanak-kanak lelaki Palestin dengan menyiksa dan membakar kanak-kanak tersebut atas alasan yang tidak munasabah. Dan bermula dari detik itu, peperangan kembali meletus antara Palestin dan Israel.

Tanpa ada rasa sekelumit perikemanusiaan, Israel membedil dan membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua dan rakyat Palestin dengan 'kononnya' senjata canggih dan mahal mereka. Namun, pertolongan Allah itu tetap datang dalam keadaannya yang tersendiri.

Kecanggihan penangkis roket / senjata Iron Dome & kereta kebal Merkava tidak mampu melawan semangat jihad yang lahir dalam diri pejuang Palestin ini. Semangat jihad, pertolongan dari Allah dan doa serta bantuan kemanusiaan dari seluruh pelusuk dunia, secara tidak langsung membantu mereka untuk terus bertahan demi agama, bangsa dan tanahair.

Moga kemenangan milik mereka.

Daripada Said bin Zaid r.a., Nabi Muhammad s.a.w bersabda; "Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya, ia adalah syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, ia adalah syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya, ia adalah syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, ia adalah syahid."
(Riwayat At-Tirmizi & An-Nasa'i).






Dan, pada hari Khamis malam pula, Malaysia dikejutkan sekali dengan berita sedih. Kali ini berkenaan dengan penerbangan MAS MH17, yang ditembak jatuh ketika sedang berada di udara Ukraine atau mungkin Rusia. Pergolakan yang berlaku antara Ukraine dan Rusia ini telah membawa kemalangan yang diluar jangkaan kerana ia melibatkan nyawa orang awam dari pelbagai negera. Semua penumpang dan anak kapal telah mati dalam insiden tersebut. Satu tamparan hebat buat Malaysia bagi kali kedua selepas kehilangan MH370 dahulu. Moga, mereka yang telah meninggal dunia, bagi Muslim, mereka ditempatkan dikalangan hamba-hambaNYA yang soleh dan dirahmati. Dan buat mereka yang bukan beragama Islam, takziah saya ucapkan pada keluarga mangsa.



Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda; "Hari Kiamat tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak terjadi 'Al-harj'. Sahabat bertanya, "Apakah al-harj itu wahai Rasullullah?" Nabi s.a.w menjawab, "Peperangan demi peperangan."
(Riwayat Ibnu Majah)

Buah Utrujjah, rasanya lazat dan baunya sedap

Assalammualaikum semua.
Satu ilmu baru telah diberikan Allah kepada saya pagi tadi melalui Medical Hadis dari Al-Quran Al-Karim Amazing. Ia berkenaan buat utrujjah.

Daripada Abu Musa al-Asya’ari, bahawa Nabi s.a.w. bersabda "Orang mukmin yang membaca al-Qur’an umpama buah al-utrujjah (sejenis buah limau). Baunya harum dan rasanya enak. Orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an umpama buah kurma, ia tidak mempunyai bau tetapi rasanya sedap dan manis. Orang munafiq yang membaca al-Qur’an umpama buah raihanah(sejenis pokok). Baunya sedap tetapi rasanya pahit. Orang munafiq yang tidak membaca al-Qur’an umpama petola atau labu, ia tidak mempunyai bau dan rasanya pahit." (Riwayat al-Bukhari)

'Buah utrujjah? Apa tu? Tak pernah dengar pun?' antara kata-kata yang terlintas difikiran sebaik membaca medical hadis dan khasiat buah tersebut. Pantas saya capai telefon dan google nama buah tersebut. Dan Alhamdulillah, Allah mempertemukan saya dengan rupa buah tersebut dan keseluruhan hadis yang menyatakan tentang. Subhanallah, Allahu Akbar.

Rupanya seakan buah limau atau lemon tetapi bila diperhatikan betul-betul, kulitnya agak sedikit berkedut dan antara kulit dan isinya, ada kulit putih yang agak tebal. Keistimewaan buah ini adalah baunya yang harum dan rasanya yang enak. Sehinggakan kulitnya orang akan hiris nipis-nipis untuk mengharumkan persekitaran dan membuatkanya sebagai minyak wangi.



Ini antara yang dapat saya kongsikan dari blog saudara Syahidan Haron tentang buah ini.


Dalam hadis ini, terdapat 4 bidalan dan perumpamaan yang boleh dijadikan renungan kepada orang yang mencari hidayah dan petunjuk Allah s.w.t. bidalan-bidalan tersebut ialah :
Orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya.
Orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an tetapi beriman dan beramal dengan isi kandungannya.
Orang munafiq yang membaca al-Qur’an tetapi tidak beramal dengan isi kandungannya
Orang munafiq yang tidak membaca al-Qur’an serta tidak beramal dengan isi kandungannya

1 Golongan pertama
Nabi Muhammad s.a.w. mengumpamakan golongan yang pertama iaitu orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya sebagaial-utrijjah, iaitu sejenis buah limau yang mempunyai bau yang wangi dan sedap, di samping rasanya yang enak dan lazat. Keadaan ini menunjukkan bahawa golongan mukmin tersebut adalah terdiri daripada mereka yang telah sampai kepada tahap kesempurnaan dalam keimanan mereka yang luhur dan murni kepada Allah s.w.t sama ada dari sudut zahir mahupun batin.(lihat Min Kunuz al-sunnah, oleh Muhammad Ali al-sabuni, hlm.71)
Menurut al-Mubarakfuri dalam tuhfat al-Ahwazi, golongan Mukmin yang membaca al-Qur’an diumpamakan sebagai al-utrujjah kerana buah ini adalah buah yang terbaik, selain memiliki saiz yang besar, mempunyai rupa yang cantik serta mempunyai rasa yang enak. Kelazatannya boleh dirasai walaupun belum menjamahnya.( lihat tuhfat al-Ahwazi, 8/138-139)
Begitulah cantik dan indahnya mereka yang berdamping dengan al-Qur’an sehingga diibaratkan dengan buah yang enak dan lazat serta mempunyai bau yang amat menyelerakan yang menjadi idaman setiap manusia.

2 Golongan kedua
Manakala golongan yang kedua pula iaitu orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an tetapi beriman dengan isi kandungannya, Nabi s.a.w. telah mengumpamakan mereka dengan buah kurma, yang mempunyai rasa yang enak tetapi tidak mempunyai bau. Seharusnya diketahui bahawa bau terhadap sesuatu makanan itu adalah pembuka selera kepada makanan tersebut. Seterusnya, hal ini menunjukkan bahawa golongan Mukmin ini adalah terdiri daripada mereka yang suci batinnya kerana penuh dengan keimanan, laksana rasa kurma yang sedap, namun pada zahirnya tidak sedemikian kerana mereka tidak membaca ayat-ayat Allah s.w.t., laksana kurma yang tidak mempunyai bau.(lihat al-sabuni, Min Kunuz al-Sunnah, hlm.71).

3 Golongan ketiga
Berdasarkan hadis tersebut golongan ketiga iaitu golongan munafiq yang membaca al-Qur’an tetapi tidak beramal dengan isi kandungannya adalah seperti yang telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu diumpamakan sebagai buahraihanah(sejenis pokok). Apabila seseorang itu memakan buah dari pokokraihanah akan merasakan buah tersebut tersangat pahit dan tidak sedap dimakan walaupun baunya harum. Samalah seperti golongan munafiq yang membaca al-Qur’an pada zahirnya menampakkan dirinya sebagai seorang yang takut dan taat kepada perintah Allah tetapi pada hakikatnya mereka hanya berpura-pura mentaati dan mengikuti perintah Allah kerana untuk memperlihatkan kepada orang sekeliling mereka bahawa mereka adalah tergolong dari golongan yang sentiasa beribadat dan mentaati perintah Allah s.w.t.

4 Golongan keempat
Golongan keempat yang diumpamakan Nabi sebagai buah petola yang mempunyai bau yang busuk dan mempunyai rasa yang pahit adalah golonganmunafiq yang tidak membaca al-Qur’an dan mereka tidak mengamalkan isi kandungannya, mereka merupakan golongan yang paling bawah sekali martabatnya dalam hadis tersebut lantaran cara hidup mereka yang tidak menzahirkan cara kehidupan Islam serta setiap perbuatan yang mereka lakukan adalah untuk diperhatikan dan menunjuk-menunjuk kepada orang yang berada di sekelilingnya apatah lagi bagi golongan munafiq seperti ini yang langsung tidak menzahirkan dirinya sebagai seorang yang berpegang dengan ajaran-ajaran di dalam al-Qur’an.

SEBAB-SEBAB PENGGUNAAN TAMTHIL DALAM HADIS
Rasulullah s.a.w. menggunakan metode alegori dalam penyampaian sesuatu maklumat yang hendak disampaikan untuk memudahkan memahami dan menjelaskan sesuatu fakta agar pendengar akan rasa tertarik terhadap penyampaian tersebut di samping Nabi menggunakan amthal berkaitan unsur alam iaitu buah-buahan kerana ia menjadi makanan manusia dan manusia lebih tahu akan perbezaan rasa dan kelebihan buah-buahan tersebut, jadi penggunaanamthal ini lebih terkesan kepada hati para pendengar.Perumpamaan daripada hadis tersebut dapat membezakan individu-individu yang membaca al-Qur’an dan tidak membacanya yang terdiri daripada golongan orang yang beriman dan orang munafiq.

Antara sebab lain Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan ayat-ayat tamsil dalam penyampaian hadis kepada para sahabat adalah kerana kebanyakan bangsa dan kabilah Arab pada ketika itu gemarkan kepada syair-syair atau ayat-ayat yang mempunyai maksud yang mendalam dan mudah difahami serta penyampaian yang menarik. Oleh sebab itu, ramai golongan penyair yang terkenal pada zaman itu, ingin mendengar dan melihat Nabi Muhammad s.a.w. berpidato atau berkhutbah kerana isi kandungannya yang padat dan kemas di samping mempunyai uslub dan gaya bahasa yang menarik seperti mana ayat-ayat tamsil pada hadis yang diriwayatkan oleh abi musa al-ash’ari di atas.

Selain itu, penggunaan tamthil di dalam hadis tersebut juga dapat mendorong dan menarik minat seseorang itu menjadi lebih bersungguh-sungguh untuk membaca al-Qur’an dan mengamalkan isi kandungannya, di samping mengelakkan seseorang itu tergolong daripada orang munafiq yang hanya membaca al-Qur’an tetapi tidak mengamalkannya atau yang tidak membaca al-Quran dan tidak mengamalkannya lantaran mereka diumpamakan seperti buah raihanah dan buah petola.

Khasiat buah utrujjah:
1. Bermanfaat jika diletakkan di pakaian, ia dpt mencegah gegat.
2. Baunya dapat membersihkan secara semulajadi udara yg kotor & wabak penyakit.
3. Mengeluarkan bau yg wangi jika dimasukkan ke dalam mulut.
4. Dicampurkan dlm makanan sebagai penyedap.
5. Dapat melancarkan pencernaan.
6. Isinya dapat menurunkan panas di perut & sesuai bagi orang yg mengalami gangguan hempedu.
9. Rendaman bijinya dapat menangani racun yg ganas.

Rujukan: 
Al-Quran Al-Karim Amazing. 2013. Surah At-Taubah m/s 400. Karangkraf Sdn Bhd. Shah Alam, Selangor.
http://penerajuhati.blogspot.com/2012/04/amthal-golongan-orang-yang-membaca-al.html

p/s: jika ada yang tahu mana nak dapatkan buah ni di KL atau Selangor atau area berdekatannya, maklumkan saya ya :)

Adab Menegur...

Assalammualaikum.

Menegur dan di tegur, implikasi dan penerimaannya adalah berbeza bagi setiap orang. Manusia akan menerima dengan baik bilamana si penegur menegur dengan cara berhikmah dan berkata lembut. Namun, ada juga teguran diberikan dengan keras. Sebagai contoh bilamana ia melibatkan Allah dan Rasul. Apa pun, adab dan sopan perlu seiring dalam menegur, menasihati dan memberikan pendapat agar matlamat tercapai seperti yang dimahukan.

Saya ingin kongsikan beberapa kisah dalam buku Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia yang ditulis oleh Umat Mohammad Noor. Moga kita semua mendapat iktibar dalam menegur rakan sekeliling kita dan keluarga kita & jauhlah dari berburuk sangka.


Nasihat yang disampaikan tanpa adab yang betul, bukan sahaja menimbulkan salah faham, bahkan perkelahian dan diikuti dengan perpecahan. Salah satu adab menegur adalah menyampaikan nasihat itu di tempat tersembunyi. Jika menasihati seseorang di hadapan orang ramai, ia akan membuatkannya berasa malu.

Fudhail bin 'Iyadh (w. 187h) berkata: "Seseorang mukmin menutupi lalu menasihati. Seorang pendosa mengistiharkan lalu mencela."

Imam Asy-Syafie berkata: "Sesiapa yang menasihati secara sembunyi-sembunyi, maka ia benar-benar menasihati. Sesiapa yang menasihatimu di khalayak ramai, ia sebenarnya sedang menghinamu."

Suatu hal yang harus diingat, seorang pemberi nasihat seharusnya sentiasa memeriksa dirinya, adakah dia menginginkan kebaikan untuk orang yang dinasihati itu atau dia sebenarnya menginginkan kebaikan untuk dirinya sendiri?

Jika dia berbangga ketika nasihatnya dijalankan dan marah ketika ditolak, maka itu petanda dia tidak ikhlas. Orang yang ikhlas kerana Allah, tidak akan marah jika kata-katanya didengari. Dia mungkin sedih, namun tidak ada alasan untuk marah.

"Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka adalah dosa."
(Surah Al-Hujurat: 12)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa tidak semua prasangka adalah dosa. Sebahagiannya memang dibolehkan sebab ia melahirkan sikap waspada dan berhati-hati. Namun begitu, kebanyakan prasangka selalu beriringan dengan sifat-sifat tercela.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Berjaga-jagalah kamu daripada prasangka. Sesungguhnya prasangka adalah bisikan yang paling dusta."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Imam Asy-Syafie berkata, "Sesiapa yang ingin menutup hidupnya dengan kebaikan, maka jagalah selalu sangkaan baik kepada manusia."

Roti John requested by Ayah Mertuaku


Assalammulaikum & Salam Sejahtera untuk anda semua.

Kalau baca tajuk entri tu, sure dah tahu permintaan siapa resipi roti john saya kongsikan kali ini. Tak lain tak bukan, ayah mertuaku a.k.a Hj Nazar.

Kiranya, ini antara makanan dia dah approve sodap den ni masak. Hehehe... kiranya sama standard dengan orang meniaga le tu kan. Kalau tak sedap, rasanya memang takkan dia request soh masak untuk family ni sempena buka puasa hari ini. Bukan sikit tau saya masak. 20 ketul. Diulangi, 20 ketul. Menitik-nitik peluh dibuatnya. Dah macam sauna jap rasanya. Nasib le Allah beri idea, masak 2 roti serentak dek kerana saiz roti ini adalah saiz untuk masukkan hotdog aje... Thank you Allah...

So, untuk anda semua, roti john yang insyaAllah sedap dan dijamin puas hati, bolehlah cuba resipi ni ya. Plus, jangan lupa berselawat atau beristighfar ketika memasak. Moga -moga rezeki yang dibuat untuk keluarga, diredhai oleh Allah dan menjadi darah daging yang berkat.

Bahan-bahannya (untuk 10 ketul roti john ya):

  1. 1 pek roti hotdog. Saya beli kat pasaraya Giant aje. Dalamya ada 10 ketul.
  2. 6 biji telur
  3. 1 keping daging cincang. Saya guna jenama Ramly.
  4. 1 biji bawang besar dipotong dadu
  5. 3-4 urat daun bawang dan daun sup dipotong halus (takyah le halus sangat ya)
  6. 1/2 sudu besar garam halus
  7. 1/2 sudu besar serbuk lada putih (optional)
  8. 1/4 cawan air kosong. (jangan banyak sangat air sebab takut adunan akan jadi cair. Sedang2 gitu)
  9. Sos cili
  10. Mayonis
  11. Minyak masak
Penyediaan:
1. Pecahkan semua biji telur ke dalam satu mangkuk sederhana besar. Campurkan daging, bawang, daun bawang & daun sup, garam, serbuk lada putin dan air ke dalam bekas berisi telur tadi. Gaul atau pukul adunan sehingga mesra.


2. Panaskan kuali leper dengan api paling perlahan sekali. 
3. Sementara menunggu kuali panas, potong bahagian tengah roti bersaiz hotdog tadi. Tapi jangan dipotong putus. Tinggalkan sedikit agar senang bila dimasak nanti, kita buka dan tutupnya. Habiskan potongan semua roti. 
4. Letak minyak sedikit di atas kuali dan ratakannya bila kuali confirm panas. Bila minyak dah panas dalam setengah minit gitu, tuang sesenduk adunan bahan-bahan tadi ke atas kuali. Macam kat dalam gambar di bawah ya. Jika kuali macam saya, boleh masak dua adunan telur sekaligus. 


5. Bila adunan dah kelihatan separuh masak, ambil roti yang dipotong tadi dan kembangkannya ke atas telur yang sedang masak. Tekan perlahan-lahan roti di atas telur tersebut. Ia bagi memastikan roti melekat dengan telur tersebut (saya tekan dengan tangan aje, insyaAllah tak panas).


6. Bila anda agak yang telur bahagian bawah dah garing atau senang cerita, anda angkat sedikit untuk intainya, maka terbalikkan roti tersebut bawah ke atas pula. As usual, macam gambar kat bawah.


7. Tekan-tekan sedikit bahagian roti yang dah diterbalikkan tu agar bahagian atas roti yang terbalik tu pula yang garing-garing sedikit. Dalam setengah minit gitu. Kemudian, katup kembali roti tersebut macam biasa dan letak atas pinggan. Kalau tak nak katup pun tak apa sebab lepas tu kita nak taruk sosnya juga kan. Tapi dek kerana saya punya banyak sangat, makanya jimatkanlah ruang atas pinggan tu kejap.


8. Setelah selesai memasak roti john tersebut semuanya, maka, proses meletak sos pun bermula. Tang ni, ikut suka anda nak letak sos apa. Saya letak sos cili, mayonis dan sedikit sos jalepeno (yang ni saya buh sikit aje sebab takut ada yang tak tahan pedas). Dan tada... boleh dipotong dua atau makan begitu sahaja roti john ni.

Happy cooking...

Poach egg untuk sarapan

Assalammualaikum. Agak lama juga tak update. Agak sibuk dalam 2 minggu ini.
Alhamdulillah, Allah izinkan saya untuk menulis lagi dalam blog ini.

Kali ini, saya ingin kongsikan resipi memasak telur carak @ merenih telur. Dalam bahasa Inggerisnya, poach egg. Cara masakan dan menu telur ini saya lihat dalam rancangan Masterchef dan juga Food Network. Bagusnya rancangan ini, ia membuatkan kita mengenali resipi-resipi baru dan juga resipi menarik di serata dunia. Sometimes, cooking makes me happy and thrill. Kita dapat praktikkan ilmu baru, mestilah teruja kan.

Poach egg a@ poached egg ini lebih kurang macam telur separuh masak kita cuma telur separuh masak kita bila dipecahkan, putihnya akan keluar cair terus bersama kuning. Tapi untuk poach egg ini, anda akan memasaknya di dalam air panas bila sudah dipecahkan telur tersebut. Untuk tahu poach egg anda menjadi, bila dipecahkan kuningnya, ia akan meleleh keluar macam dalam gambar di bawah.



Ini resipinya.

Bahan-bahan:
1. Telur 2-3 biji
2. Garam dalam 2 sudu besar
3. Cuka buah (saya guna Heinz) dalam 2 sudu besar
4. Air

Penyediaan:
1. Panaskan air dalam periuk lebih kurang 2-3 inci (bergantung pada ketinggian periuk anda. Kalau periuk besar, banyak le air gunanya. kalau kecil, sedikitlah airnya).
2. Bila air mula mendidih, letak garam dan cuka ke dalamnya. Kacau perlahan-lahan hingga garam larut.
3. Bila dah larut, sederhanakan api dapur.  Kemudian, pecahkan sebiji telur ke dalam mangkuk kecil.
4. Sebelum masukkan telur, kacau air tersebut ikut arah lawan jam perlahan-lahan. Jadinya ia seperti berpusar. Setelah itu, masukkan telur perlahan-lahan ke dalam periuk dan biarkan pusaran air itu membalut telur kuning. Jika anda lihat ia sedikit berbalut, boleh kacau air tersebut lagi tetapi perlahan-lahan kerana takut telur putih akan pecah dan merebak. Masak dalam 3-4 minit.
5. Sediakan semangkuk air sejuk. Setelah telur putih masak, angkat perlahan-lahan telur tersebut dan letakkannya ke dalam air sejuk. Ia bagi menyejukkan telur dengan segera dan agar telur kuning tidak masak di dalam pada suhu panas air tadi.
6. Bila sudah sejuk, tapis telur tadi, dan letakkan di dalam pinggan atas hidangan yang anda inginkan. Poach egg ni sesuai anda makan waktu sarapan, minum petang atau makan malam (makan tengahari rasanya jarang orang cari sebab orang nak makan berat). 


Happy cooking...

Moga Allah merahmati rohnya di sana


Assalammualaikum.

Dari DIA kita datang, kepada DIA juga kita akan kembali.

My beloved mak ngah @ Hasnah Mahmud telah selamat kembali ke rahmahtullah pada Jumaat lalu jam 12.10 pagi.

Tiada kata yang sesuai dapat diungkapkan betapa saya sayang dan rindukan dia. Dia pengganti mama bila mama pergi ke Mekah dahulu, ibu saudara yang memahami dan sentiasa murah dengan senyuman dan ketawa. Dia antara orang yang sering menyarankan saya membaca buku pelbagai penulis dan genre. We just sharing the same interest. Yes, we both love reading.

Mendengar cerita dari anaknya tentang arwah di saat akhir kematiannya sehinggalah di kebumikan, rasanya dia diberi oleh Allah husnul khatimah @ kesudahan yang baik. Moga Allah membantunya menjalani urusan hitungan di alam sana.

Ampunkan dosa-dosa mak ngah ya Allah...

Resipi Butter Chicken khas untuk ahli keluarga yang tak berapa makan makanan laut.


Assalammualaikum... Alhamdulillah, menjadi juga saya mencuba resipi baru butter chicken dari isteri sepupu saya (both of them just get married).

Bila nampak gambar lauk dan resipinya ditepek kat dalam facebook & hari ni pula memang saya kena masak di dapur untuk makcik-makcik kenit yang balik sekolah nanti, makanya saya cubalah resipi butter chicken ni. Resipinya lebih kurang dengan butter prawn cuba kali ni versi ayam dan berkuah.

Bahan-bahan:
1. Ayam dalam 10 ketul (potong ikut suka)
2. 1 sudu besar serbuk kari
3. 3-4 inci kunyit hidup yang ditumbuk lumat / 1 sudu besar serbuk jintan putih (dek kerana takde kunyit kat rumah ni, saya guna jintanlah)
4. 2 sudu besar tepung jagung
5. 1 sudu kecil garam
6. 4-5 sudu besar butter @ mentega
7. 1/2 biji bawang besar dihiris halus
8. 3 tangkai daun kari
9. 6-7 biji cili padi dihiris nipis (kalau nak pedas, tambahlah ikut suka).
10. 1/2 tin susu cair / 1/2 kotak susu full cream (susu cair takde, saya ganti dengan susu full cream)
11. 1 sudu besar susu pekat
12. Gula & garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Perap ayam dengan serbuk kari, kunyit / jintan, tepung jagung & garam. Perap dalam 2-3 jam.
2. Goreng ayam macam biasa. Jangan terlalu garing sangat. Sedang-sedang gitu.
3. Dalam kuali lain, masukkan butter bila kuali panas.
4. Bila butter cair, masukkan bawang dan goreng sedikit garing. Kemudian masukkan cili padi dan daun kari.
5. Bila dah naik bau, masukkan susu cair / susu biasa serta susu pekat. Jika rasa nak kuah lebih, tambahkan aje susu cair / susu full cream tu ya.
6. Bila dah mendidih sedikit, masukkan pula ayam yang sudah digoreng tadi. Tarukkan juga garam dan sedikit gula secukup rasa. Tapi rasanya garam tu kena lebih sikit sebab susu yang banyak akan membuatkan ia tawar.
7. Biarkan api sederhana perlahan dan kacau. Bila dah mendidih dan ayam sedikit lembut dan rasa pun ada umph!, bolehlah ditutupkan api dapurnya dan dihidangkan...

Nampak bahannya macam banyak tapi ia semua mudah diperolehi dan memang senang & sedap. Cubalah resipi butter chicken ni. InsyaAllah tak mengecewakan.

Happy cooking...

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...