Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Adab Menegur...

Assalammualaikum.

Menegur dan di tegur, implikasi dan penerimaannya adalah berbeza bagi setiap orang. Manusia akan menerima dengan baik bilamana si penegur menegur dengan cara berhikmah dan berkata lembut. Namun, ada juga teguran diberikan dengan keras. Sebagai contoh bilamana ia melibatkan Allah dan Rasul. Apa pun, adab dan sopan perlu seiring dalam menegur, menasihati dan memberikan pendapat agar matlamat tercapai seperti yang dimahukan.

Saya ingin kongsikan beberapa kisah dalam buku Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia yang ditulis oleh Umat Mohammad Noor. Moga kita semua mendapat iktibar dalam menegur rakan sekeliling kita dan keluarga kita & jauhlah dari berburuk sangka.


Nasihat yang disampaikan tanpa adab yang betul, bukan sahaja menimbulkan salah faham, bahkan perkelahian dan diikuti dengan perpecahan. Salah satu adab menegur adalah menyampaikan nasihat itu di tempat tersembunyi. Jika menasihati seseorang di hadapan orang ramai, ia akan membuatkannya berasa malu.

Fudhail bin 'Iyadh (w. 187h) berkata: "Seseorang mukmin menutupi lalu menasihati. Seorang pendosa mengistiharkan lalu mencela."

Imam Asy-Syafie berkata: "Sesiapa yang menasihati secara sembunyi-sembunyi, maka ia benar-benar menasihati. Sesiapa yang menasihatimu di khalayak ramai, ia sebenarnya sedang menghinamu."

Suatu hal yang harus diingat, seorang pemberi nasihat seharusnya sentiasa memeriksa dirinya, adakah dia menginginkan kebaikan untuk orang yang dinasihati itu atau dia sebenarnya menginginkan kebaikan untuk dirinya sendiri?

Jika dia berbangga ketika nasihatnya dijalankan dan marah ketika ditolak, maka itu petanda dia tidak ikhlas. Orang yang ikhlas kerana Allah, tidak akan marah jika kata-katanya didengari. Dia mungkin sedih, namun tidak ada alasan untuk marah.

"Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka adalah dosa."
(Surah Al-Hujurat: 12)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa tidak semua prasangka adalah dosa. Sebahagiannya memang dibolehkan sebab ia melahirkan sikap waspada dan berhati-hati. Namun begitu, kebanyakan prasangka selalu beriringan dengan sifat-sifat tercela.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Berjaga-jagalah kamu daripada prasangka. Sesungguhnya prasangka adalah bisikan yang paling dusta."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Imam Asy-Syafie berkata, "Sesiapa yang ingin menutup hidupnya dengan kebaikan, maka jagalah selalu sangkaan baik kepada manusia."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...