Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Ahad, 22 Januari 2017

Sotong Celup Tepung yang tak meletop-letop bila digoreng

Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Sotong goreng tepung ni memang feveret saya bila masa belajar dulu. Sementelah masa tu tak berapa pandai masak dan harga sotong masa tu murah lagi, maka ianya sering dibuat. Tapi masa tu saya guna tepung instant yang ada dibeli di sebuah kedai di Ampang. Bertabah betul saya time tu nak masak. Asyik meletup-letup aje sotong tu bila digoreng. Memang sudip panjang standby aje dan kadar nak melarikan diri dari letupan sotong memang kerap.

Dan setelah hampir 12 tahun tak buat, tetiba saya teringin nak makan, Maka, saya godek le pak google, dan akhirnya saya cuba salah satu resipi yang ada. Alhamdulillah, kadar letupan sotong tu bila dalam kuali dapat dikurang. Lega hati akak deknon... :)

So, here are the ingredients to make Sotong Goreng Tepung yang kadar letupannya amatlah kurang :)

Bahan-bahan:
1. 10 ekor sotong saiz sederhana besar.
2. 1 1/2 cawan kecil tepung gandum
3. 1/2 cawan kecil tepung jagung
4. 5 sudu besar tepung beras
5. Garam secukup rasa
6. Serbuk lada sulah suka hati nak taruk banyak or sikit
7. Serbuk lada hitam suka hati nak taruk banyak mana
8. 1 sudu kecil serbuk kunyit secukupnya
9. 1 biji telur pada suhu bilik. Kocok
10. Garam secukup rasa
11. Minyak untuk menggoreng

Penyediaan:
1. Bersihkan sotong dan hiris kasar. Toskan.
2. Campurkan semua bahan kecuali telur dan sotong.
3. Panaskan minyak dengan api sederhana.
4. Ambil sekeping sotong dan gaulkannya ke dalam adunan tepung sebentar kemudian salut dengan telur dan sadurkan kembali dengan adunan tepung. Masukkan dalam minyak panas.
5. Goreng hirisan sotong lain seperti tadi tapi jangan goreng banyak sangat dalam satu-satu masa. Goreng 5-6 hirisan sotong sahaja. Ini bagi memastikan sotong masak sekata, tidak menyerap minyak sangat dan warnanya cantik (akak pernah dapat sotong goreng tepung macam cekodok warnanya k. Sakit hati akak)
6. Bila warna sudah keemasan, angkat dan toskan atas tisu atau jaring. Siap.

Happy cooking 

Almento Saudi, Makanan Timur Tengah


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Alhamdulillah. Dapat juga saya praktik buat almento ni. Dah lama tengok resipi ni di dalam buku 'Di Sebalik Niqab' oleh Puan Roza Roslan. Dan resipi ni, saya buat dengan 2 orang anak saudara perempuan saya. Sebaik adiknya yang kecil balik dari sekolah, dan saya dah siap settlekan doh almento ni, saya tanya mereka, "Sape nak tolong maksu masak?" Dan dua-duanya menyahut teruja. Lepas suruh mereka mandi dan saya siapkan bahan-bahan untuk inti almento, saya ajak mereka belajar buat bersama.

Gigih mereka melenyek dan cuba mengembangkan doh tu. Siap ada video pendek hantar kat abang mereka yang belajar di Mesir. 

Ini saya attach resipi almento saudi yang ada dalam buku Di Sebalik Niqab. Jika ada antara anda yang inginkan beberapa resipi menarik dan kisah penulis ketika menetap seketika di Madinah, boleh dapatkan buku ini di Bukuislamikdiskaun. Semua buku yang dijual diberikan DISKAUN 12% dan semuanya BARU. :)

Ini resipinya. Saya ambil gambar lebih mudah untuk anda follow stepnya.

Ini rupa almento saya yang batch ke -3 keluar dari kukusan. Yang 1st & 2nd batch, anda faham-faham ajelah cubaan kali pertama + bila anak-anak saudara yang kecil turut buat sekali. Ada panjang, ada kecik, ada isi sikit, ada terlebih isi, ada senget. Learning process katakan... :)

Happy cooking

Sabtu, 21 Januari 2017

Gado-gado atau Pecal yang sihat


Assalammualaikum & Salam Sejahtera semua.

Gado-gado or pecal, resipi ini saya lihat di Instagram Che Mat sungguhnya menggoda selera saya. Entah kenapa mood rajin saya pun sampai. So, inilah hasilnya. Alhamdulillah... menjadi juga 1st time saya membuatnya :)
Che mat, tq untuk resipi yang best & gambar yang mampu membuatkan saya ter'rajin'.

Bahan-bahan kuah kacang:
1. 1 1/2 cawan kacang tanah tumbuk (goreng dulu tanpa minyak, buang kulit dan tumbuk atau kisar)
2. 1/3 cawan jus asam jawa
3. 4 camca besar gula melaka yang dihiris halus
4. 2 cawan air (kot rasa kurang, tambahkan sikit)
5. 1 cawan santan
6. 1 helai daun limau purut
7. Garam secukup rasa
8. Gula jika perlu

Bahan-bahan kisar halus untuk kuah:
1. 10 biji bawang merah
2. 2 ulas bawang putih
3. 3 batang serai, hiris
4. 1 genggam udang kering, rendam dalam air panas 10 minit dan toskan
5. 1/2 inci lengkuas
6. 15 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas 10 minit dan toskan
7. 1 inci kunyit hidup

Bahan-bahan gado-gado / pecal:
1. 3 biji kentang, kupas dan rendam
2. 2 keping tempe dipotong kiub. Gaul sedikit dengan garam dan serbuk kunyit.
3. 5 biji telur
4. 10 tangkai kacang panjang. dikerat pendek
5. 1/2 biji kubis bulat saiz kecil, hiris kasar
6. 2 keping tauhu
7. 1 biji timun / timun jepun


Penyediaan kuah:
1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). 
2. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, guna api kecil dan kacau sentiasa. 
3. Masak hingga naik minyak. Tuang air, kacau dan biarkan mendidih. 
4. Masukkan kacang tanah tumbuk, daun limau purut, kacau dan biarkan mendidih. 
5. Tambah jus asam jawa, gula melaka dan santan. Kacau hingga rata dan masak dengan api sederhana hingga kuah pekat sedikit. 
6. Perasakan dengan garam secukupnya dan jika perlu masukkan sedikit lagi gula. Masak seketika dan tutup api.

Penyediaan gado-gado / pecal:
1. Tauhu dan tempe digoreng hingga kuning keemasan, angkat dan toskan. 
2. Kacang panjang dan kobis dicelur berasingan dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam. Celur hingga lembut dan toskan. 
3. Kentang direbus hingga empuk, sejukkan dan potong kiub. 
4. Telur direbus, kupas dan belah dua setiap sebiji. Jika nak telur yang anda rebus itu senang dikopek atau orang panggil silky smooth, letakkan sedikit garam dalam air rebusan telur tu. 
5. Timun dicuci, dan hiris nipis. 
6. Susun bahan-bahan ini di dalam pinggan besar atau bekas besar ikut cara anda.

Happy cooking 

Agar-agar Lumut yang Ohsem


Assalammualaikum & Salam Sejahtera semua...

Dah lama teringin nak makan agar-agar ni bila nampak IG rakan dari Indonesia tepeknya. Bila tengok bahan-bahannya, 'Eh, macam mudah'.

Jom saya kongsikan resipinya. InsyaAllah semua peringkat umur suka specially makan time cuaca panas. Nyaman...

Bahan-bahan:
1. 30gm agar-agar (saya beli yang panjang2 tu)
2. 250gm gula pasir
3. 10 helai daun pandan & kisar. Tapis & ambil airnya dalam 130ml
4. 2 biji telur ayam pada suhu bilik (kocok / pecahkan)
5. 1500ml air
6. santan (1 biji kelapa atau 1 santan kecil kotak)
7. Pewarna hijau pandan (nak boost up the colour kalau hijau pandan anda tak menyerlah masa masak)

Penyediaan:
1. Satukan semua bahan dalam periuk dan masak di atas dapur guna api sederhana.
2. Gaul perlahan-lahan hingga nampak sedikit mendidih.
3. Berhenti kacau dan biarkan dalam 30 saat dan matikan api. Masukkan adunan tadi dalam loyang atau bekas yang tahan panas.
4. Biarkan seketika di luar (hingga kurang panasnya) dan kemudian masukkan ke dalam peti sejuk. Potong agar-agar selepas 2 jam. :)

Happy cooking

Selasa, 10 Januari 2017

Jangan Putus Asa, Tenang & Ingat Hadiah yang Allah Berikan


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Air mata, semua manusia pasti akan mengalirkannya sama ada sewaktu kecil atau dewasa, susah atau senang, gembira atau duka. Namun, naskhah buku 'Usahawan Akhirat' mampu membuatkan air mata saya mengalir atas banyak sebab ketika membacanya. Setiap kali bab-bab tertentu dibaca, ia bagaikan ulang tayang akan kekurangan diri di masa lampau, sekarang dan terfikir akan apakah keadaannya di masa hadapan. Mampukah saya berubah? Mampukah saya memaafkan manusia yang mengguris hati saya? Mampukan saya menjadi manusia lebih baik dari dulu? Mampukah saya menjatuhkan ego saya? Adakah saya sudah bersedia untuk bertemu dengan Allah dengan membawa pelbagai beban yang ada?


Setiap kali ada bab-bab penting yang perlu saya ingati, saya akan lipat sedikit di penjuru buku. Ia untuk mengingati kembali kata-kata yang perlu saya jadikan sempadan atau ingatan jika buku ini saya baca kembali.

Ada suatu bab dalam buku ini yang ingin saya kongsikan dengan anda semua yang BERSERABUT FIKIRANNYA, SUSAH HATINYA, RUSUH JIWANYA. Jawapannya ada diberikan Allah untuk membantu kita...

Ketika kita mengeluh,"Eee... Aku penat sangat," Allah menjawab:
"Dan Dialah yang menjadikan malam untukmu (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirahat dan Dia menjadikan siang untuk bangkit berusaha." (Surah Al-Furqan 25:47)

Ketika kita mengeluh, "Beratnya dugaan ini, tidak sanggup rasanya aku..."Allah menjawab:
"Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya..." (Surah Al-Baqarah 2:286)

Ketika kita mengeluh, "Serabutnya..." Allah menjawab:
"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenang." (Surah Ar-Rad 13: 28)

Ketika kita mengeluh, "Apa yang aku buat ini semuanya sia-sia," Allah menjawab:
"Sesiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah sekalipun pastinya ia akan melihat balasannya." (Surah Al-Zalzalah 99:7)

Ketika kita mengeluh, "Tiada seorang pun mahu menolong aku..." Allah menjawab:
"Berdoalah (mintalah) kepadaKu, nescaya Aku kabulkan untukmu". (Surah al-Ghafir 40:60)

Ketika kita mengeluh, "Aku sedih sangat..." Allah menjawab:
"Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah berserta kita." (Surah At-Taubah 9:40)

Jumaat, 6 Januari 2017

Sebarkan ilmu demi kemajuan manusia. Jangan kedekut ilmu.

Jom baca kisah menarik ini. Ilmu yang ada adalah untuk dimanfaatkan..

Dia yang ingin memadamkannya...
Abdullah bin Wahab al-Misri datang ke Iskandariah untuk menjaga keselamatan negeri itu di sempadan. Maka rakyat Iskandar datang kepadanya dan meminta beliau untuk mengajar mereka ilmu. Namun, beliau menjawab, “Ini negeri ibadah.”

Beliaupun menumpukan kepada ibadah di samping tugasnya mengawal keselamatan negeri. Dua hari kemudian, seseorang menemui beliau & memberitahu: “Aku bermimpi melihat tuan di dalam sebuah masjid besar menghadap Masjidilharam. Di dalamnya ada Baginda Rasulullah, di sebelah kanan ada Sayidina Abu Bakar dan di sebelah kirinya Sayidina Umar. Kamu duduk di hadapan Baginda.”

Lelaki itu memberitahu lagi, “Di dalam masjid itu juga ada lampu-lampu yang bersinar dengan terang sekali. Kemudian salah satu lampu itu terpadam. Lalu Rasulullah berkata kepadamu: ‘Bangunlah Abdullah, nyalakan lampu itu’. Engkaupun menghidupkannya. Kemudian, perkara sama berlaku pada lampu-lampu lain. Selepas beberapa hari, aku lihat kesemua lampu dalam masjid itu hampir padam. Abu Bakar berkata: ‘Ya Rasulullah, tidakkah engkau melihat lampu-lampu itu?’ Jawab Rasulullah: ‘Ini perbuatan Abdullah. Dia yang ingin memadamkannya.’”

Sejurus mendengar cerita mimpi itu, menangislah Abdullah. Orang itu berkata, “Aku datang untuk menggembirakanmu. Kalau aku tahu mimpi itu membuatmu sedih, aku tidak akan datang menemuimu.”

Abdullah menjawab: “Tidak mengapa. Mimpi itu peringatan bagiku. Aku menganggap ibadah lebih penting daripada menyebarkan ilmu. “

Sejak hari itu, beliau tidak mengabaikan tugas menyebarkan ilmu. Beliau mengabdikan diri kepada rakyat Iskandariah dengan menjadi sumber ilmu.

(Rujukan: Tartib al-Madarik, al-Qadhi Iyad)

Pengajaran: Menyebarkan ilmu adalah ibadah yang penting lagi utama. Umat tidak akan maju jika orang yang berilmu menyimpan ilmunya dan tidak mengajar kepada orang lain.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...