Assalammualaikum semua. Sewaktu saya membaca Majalah Solusi Isu ke-31, artikel berkaitan dengan Surah Al-Fatihah ini menarik hati saya. Dan saya terpanggil untuk berkongsikannya dengan anda semua. Jom kita baca dan amalkannya. Moga-moga segala usaha kita diizinkan Allah.
Al-Quran ialah ubat bagi segala jenis penyakit jasmani dan rohani, penyakit dunia dan akhirat, tetapi tidak semua orang mendapat taufik untuk menggunakannya. Jika seorang pesakit mahir menggunakan Al-Quran untuk merawat dan mengubat penyakitnya berserta dengan keyakinan, keimanan dan memenuhi syarat-syaratnya, pasti penyakit itu "lari" dan tidak datang lagi selama-lamanya.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Isra' ayat 82 yang bermaksud: "Dan kami turunkan daripada Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang zalim melainkan kerugian."
Dalam surah Yunus pula, Allah berfirman pada ayat 57 yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang ada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman."
Dua ayat Al-Quran yang disebutkan di atas merupakan dalil yang membolehkan ruqyah (jampi) dengan Al-Quran dan doa-doa. Hakikat ruqyah ialah seseorang berdoa kepada Allah s.w.t. untuk meminta kesembuhan.
Kelebihan Ibu Al-Quran
Al-Fatihah ialah pembuka Al-Quran. Ia menjadi rukun dalam setiap rakaat solat. Surah ini mempunyai banyak kelebihan yang disebut dalam beberapa hadis.
Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a., beliau berkata: "Ketika malaikat Jibrail sedang duduk bersama Rasullullah s.a.w., tiba-tiba terdengar suara pintu dibuka di atasnya. Jibrail kemudiannya mendongak ke langit dan berkata: 'Itu ialah suara pintu langit dibuka dan sebelumnya tidak pernah dibuka sama sekali melainkan pada hari ini.' Lalu turun satu malaikat dari pintu tersebut yang mana malaikat itu tidak pernah turun melainkan pada hari ini.
"Maka ia menemui Rasullullah s.a.w dan berkata: 'Hendaklah engkau bergembira dengan 2 cahaya yang diberikan kepadamu, yang tidak pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelummu iaitu Surah Al-Fatihah dan beberapa ayat pada akhir surah Al-Baqarah. Tidaklah engkau membaca satu huruf pun daripada kedua-duanya melainkan apa yang engkau pohon pasti akan dimakbulkan oleh Allah."
Kesembuhan dengan Al-Fatihah.
Dari hadis diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Sa'id al-Khudri, beliau mengkhabarkan:
Sesungguhnya beberapa orang sahabat Nabi sedang dalam perjalanan. Mereka singgah di salah satu kampung dan mereka meminta menjadi tetamu di kampung tersebut. Malangnya penduduk di situ tidak mahu menerima mereka sebagai tetamu. Tiba-tiba ketua penduduk mereka digigit binatang berbisa. Mereka berusaha dengan berbagai cara untuk mengubatinya tetapi tidak berhasil. Ada daripada kalangan mereka yang mencadangkan sesuatu: "Cuba kamu berjumpa beberapa orang lelaki tadi (para sahabat), mungkin ada daripada kalangan mereka yang pandai berubat."
Para penduduk pun bertemu mereka dan bertanya: "Ketua kami disengat binatang berbisa dan kami telah berusaha dengan pelbagai cara tetapi tidak berhasil. Adakah sesiapa daripada kamu yang pandai berubat?"
Salah seorang sahabat menjawab: "Ya saya boleh me'ruqyah' (menjampi). Tetapi tadi kamu enggan menerima kami sebagai tetamu. Aku tidak akan mengubatinya melainkan jika kamu memberikan upah."
Akhirnya mereka berdamai dan penduduk kampung menjanjikan beberapa ekor kambing sebagai upah. Seorang sahabat membacakan Ummul Kitab, lalu mengumpulkan ludahnya dan meludahkannya kepada ketua kampung tersebut. Lalu ia pun sembuh. Maka penduduk tersebut memberikan kambing-kambing tersebut kepada para sahabat.
Mereka berkata: "Kami tidak akan mengambil upah sehingga kami bertanya kepada Nabi s.a.w." Lalu mereka bertanya kepada Baginda. Rasulullah tersenyum lalu bersabda: "Siapakah yang memberitahu kamu bahawa Al-Fatihah itu ruqyah (jampi)? Ambillah kambing-kambing tersebut dan berikan kepadaku satu bahagian daripadanya."
Ibn Qayyim al-Jawziyyah bercerita bahawa beliau pernah menderita sakit di Makkah. Ketika itu beliau tidak menemui doktor atau ubat, lalu beliau minum air zamzam dan membaca surah Al-Fatihah berkali-kali, kemudian beliau meminum air zamzam lagi. Ternyata penyakit yang beliau deritai sembuh sepenuhnya. Setelah itu beliau mengubati setiap penyakitnya dengan air zamzam dan dengan membaca surah Al-Fatihah berkali-kali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan