Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Menu sihat termudah, sup sayur campur campak apa suka


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Menu sup sayur campur selalunya adalah menu termudah apabila menjamu keluarga dan tetamu. Menu sayur ini boleh dimakan bukan sahaja dengan nasi tetapi juga dengan bihun, mi ataupun pasta.

Untuk pilihan sayurnya, terpulang kepada individu mahu masukkan apa. Jika anda suka ayam atau makanan laut, boleh juga diletakkan sekali di dalamnya. Pada saya, boleh aje letak semua jenis sayur yang ada dalam peti sejuk. Untuk minyak memasak, anda boleh pilih sama ada ingin guna minyak kelapa sawit, minyak jagung ataupun minyak zaitun. Terpulang kepada diri masing-masing. Cuma versi saya, saya masak guna minyak zaitun sebab kuantiti yang digunakan tidak sebanyak mana. Kiranya ini menu sihat saya untuk keluarga.

Bahan:
1/2 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris/dadu
1 batang lobak merah dipotong bulat
2 batang saderi potong serong
5 jambak sawi batang pendek asingkan sayur dan batangnya
1 biji tauhu goreng dipotong dadu
8 biji fish ball
3 urat daun bawang
1 cawan cendawan
1 kiub pati ikan bilis
10 biji tomato kecil
Sedikit cili padi
3 sudu minyak zaitun
1 1/2 liter air
Garam secukup rasa


Penyediaan:
1. Panaskan minyak zaitun dalam periuk. Setelah panas, tumis bawang besar dan bawang putih. Setelah naik bau, masukkan lobak merah. Masukkan 1 liter air. Masak sehingga air mendidih beberapa minit.
2. Setelah mendidih, masukkan batang saderi. Kacau sebentar dan masukkan pula batang sawi dan kiub pati ikan bilis. Biarkan sayur sedikit lembut dan kacau sekali sekala.
3. Masukkan pula tauhu, bebola ikan, cili padi, sawi dan baki 1/2 liter air. Kacau sebentar dan masukkan daun sup, cendawan dan perasakan dengan sedikit garam.
4. Setelah mendidih, masukkan tomato. Kacau dan tutup api. Sedia untuk dihidang sup sayur campur kita.

Gulai lemak rebung madu dengan udang, resipi mudah semua suka


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Menu kampung gulai lemak rebung madu dengan udang ini buat suami saya bertambah nasi bila makan. Jarang dia suka lauk kampung sayur dan udang ni.

Saya memang suka gulai rebung. Jika makan di luar, jika kedai nasi campur tu ada lauk rebung, pasti saya amik (jika nampak tempting). Dan rezeki kali ni, bila ke pasar, jumpa rebung putih. Kata abang koboi (abg yg jual sayur kampung ni suka pakai topi koboi), rebung ni tak bau dan elok sangat. Nak makan gitu aje pun boleh. Yang jenis putih ni bermusim.

So, apalagi, terus beli 2 pek. Masak untuk buka puasa dua family. Resipi mudah ini saya ambil di web @matgebu . Sedap kejadiannya bila dah masak.

Bahan:
800 gram rebung
200gm udang
2 batang serai, dititik
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam keping
500 liter air
300 ml pati santan
Garam & gula secukup rasa

Bahan kisar halus:
4 biji cili merah
2 inci kunyit hidup
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih


Penyediaan:
1. Rebung dicuci dan direbus dalam air mendidih yang dimasukkan sedikit garam. Rebus hingga rebung lembut, dan kemudian toskan. Udang digunting muncung tajamnya.
2. Masukkan rebung dan serai dalam periuk. Tambah bahan kisar halus dan kacau. Tuang air hingga rebung tenggelam dan masak hingga mendidih. Masukkan asam keping dan daun kunyit. Masukkan udang, kacau dan masak hingga udang berubah warna.3
3. Tuangkan santan, kacau hingga rata dengan api sederhana. Masukkan garam secukup rasa. Kacau sebentar. Tutup api dan siap untuk dihidang.

Pakora, kudapan masyarakat dari Pakistan dan India yang popular di Malaysia


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Pakora atau pakoda, jemput-jemput resipi dari India. Ada negara panggil pakora, ada juga yang panggilnya pakoda. Apapun, ia benda yang sama. Aroma bau rempah ratus memang semerbak satu rumah bila menggoreng. Mama di tingkat atas pun bila turun terus excited nak makan. Jika anda nak letak daun ketumbar, kobis, daun kari, boleh aje.

Bahan:
1 cawan tepung kacang kuda (gram flour)
1/2 cawan tepung beras
1 biji kentang dihiris memanjang
1/2 batang lobak merah dihiris panjang
1 mangkuk kecil bayam yang dipotong kasar
1 biji bawang besar dihiris
1 batang cili merah dihiris
1 batang cili hijau dihiris
2 biji bawang putih + 2 inci halia, ditumbuk lumat
1 sudu kecil ketumbar + jintan manis, ditumbuk
1/2 sudu kecil serbuk kari
1/4 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 sudu kecil garam
1 biji telur
3/4 cawan air (kepekatan sederhana)
Minyak untuk menggoreng



Penyediaan:
1. Dalam mangkuk besar, masukkan semua bahan yang dipotong dan ditumbuk. Masukkan air. Gaul dan buat adunan yang tak cair dan tak pekat sangat.
2. Panaskan minyak dengan api sederhana. Bila minyak panas, guna sudu besar, gaul adunan sebentar dan masukkan sesudu campuran tadi ke dalam minyak. Sekali goreng, masukkan dalam 4-5 sudu sahaja campuran bahan tadi.
3. Goreng pakora hingga nampak garing kedua-dua belah bahagian. Setelah masak, angkat dan toskan. Goreng hingga habis adunan. Pakora enak dimakan dengan sos, chatney pudina atau begitu sahaja.

Gulai lemak labu dan bayam, kombinasi naikkan selera makan orang tua


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Menu gulai lemak labu selalunya disukai oleh orang tua kebanyakkannya. Mereka suka kerana bila makan dengan nasi, labu itu sendiri sudah lembut dan tak perlu susah mengunyah. Gigi masing-masing udah tak kuat dan gusi pun tak boleh kunyah benda keras, jadinya, labu antara sayur yang mudah untuk kunyah dan hadam.

Mama suka gulai labu. Tapi dek kerana sejak dia banyak makan ubat dan kurang selera makan, dia cuma boleh makan seketul dua aje. Jika anda ada menjaga orang tua, boleh cuba menu ini untuk bantu mereka ada selera sedikit untuk makan. Ada labu dan ada bayam.

Bahan:
1 biji labu saiz kecil. Potong ikut saiz diingini.
1/2 ikat bayam di cuci bersih
4 ulas bawang merah
12 tangkai cili padi
1 inci kunyit
1 tangkai cili merah
1 kotak kecil santan
1 helai daun kunyit
2 cawan air
Garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Kisar bawang merah, cili padi dan kunyit dengan 1 cawan air hingga lumat. Masukkan dalam kuali bersama dengan labu. Masak hingga separuh lembut.
2. Masukkan daun kunyit, bayam cili merah dan santan serta 1 cawan air. Masak dan kacau selalj hingga mendidih. Masukkan garam secukup rasa. Kacau sebentar dan tutup api. Letakkan gulai lemak labu dan bayam ini dalam bekas yang sesuai untuk hidangan.

Laksa asam, resipi mertua yang mampu tambah bermangkuk bila hadap


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Kali ni nak kongsi resipi laksa asam pula. Lama tak update blog ni sebenarnya. Password asyik lupa aje lepas kena hacked dulu. Syukur harini dapat masuk balik. Oh ya, jika nak tengok resipi lain, buku best, boleh ke website saya, www.alfimohd.com. Separuh resipi yang ada di sini saya letakkan di sana juga :)

Selepas 5 bulan tak bersiaran, ini saya sharekan resipi feveret keluarga mertua. Family suami mostly suka laksa asam. Sementelah ayah mertua orang utara. Ini resipinya.

Bahan kuah:
1 tin ikan sardin
7 keping asam gelugor
1 kuntum bunga kantan, dibelah 4
1 genggam daun kesom
1 batang serai, diketuk
1 liter air
Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar halus:
2 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
1 inci belacan
5 batang cili merah
1 liter air

Bahan lain untuk laksa:
1 pek laksa kering yang direbus
5 biji telur rebus
1 batang timun diracik
1 biji bawang besar didadu/dihiris
1 tangkai cili merah dihiris
6 helai daun salad dipotong kasar
5 biji limau kasturi dibelah dua

Penyediaan:
1. Sediakan periuk dan masukkan bahan-bahan kisar halus, serai & asam gelugor. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
2. Masukkan sardin tin dan air dalam pengisar. Kisar hingga halus. Kemudian, masukkan isi ikan, daun kesom & bunga kantan ke dalam periuk tadi. Kacau rata & biarkan mendidih pada api sederhana selama lebih kurang 15 minit.
3. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap & rasa, jika ok dan masukkan laksa dalam mangkuk dan ceduk kuahnya. Hidangkan bersama bahan sampingan lain.

Sambal paru orang noghori, lagi pedas lagi best


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Sambal paru orang noghori yang pedas dan menyengat. Saya dah suami memang penggemar paru. Cuma selalunya kami beli dan makan di luar. Jika masak pun, mertua saya selalu buat rendang. Jadi, suami aje yang makan, saya kureng skit. 

Malam raya lepas, adik ipar saya masak sambal paru. Sedap plak rasanya. Raya kedua pula, dia masak sambal paru versi merah pulak. Sedap juga tapi tak cukuplah sebab kami meraikan tetamu yang datang beraya. Jadinya, saya order dengan ali ikan sekilo paru. Apalagi, puas hati dapat makan berulang. 


Bahan:
1 kilo paru direbus 2 jam dan kemudian dihiris nipis
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
2 batang serai dititik
4 batang cili merah
1 genggam cili padi
1 keping asam keping / 1/2 cawan air asam
5 helai daun limau purut dikoyak kasar
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menggoreng dan memasak


Penyediaan:
1. Paru yang direbus dihiris nipis. Kemudian, sadurkan dengan serbuk kunyit dan garam. Goreng paru sehingga 80% garing (jangan garing sangat, nanti keras, susah nak makan).


2. Sambil menunggu paru siap digoreng, sediakan bahan sambal. Kisar bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit hidup dengan sedikit air. Selepas paru siap digoreng, guna kuali baru, letakkan setengah cawan minyak masak. Panaskan minyak dan kemudian masukkan bahan kisar tadi. 
Masak sehingga sedikit garing.
3. Sementara tunggu garing, kisar kasar cili merah, cili padi dan sedikit air. Setelah bawang tadi garing, masukkan pula cili kisar. Masak sehingga pecah minyak.
4. Selepas itu, masukkan serai dan asam keping. Kacau sebentar dan biarkan ia masak.


5. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Masukkan pula daun limau purut. Kacau sebentar dan masukkan paru yang digoreng tadi. Jika ingin ada kuah, masukkan sedikit air. Kacau hingga semuanya mesra dan tutup api. Siap untuk dihidang. 



Ayam goreng berempah ala kedai nasi kukus


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Menu ayam goreng berempah ala kedai nasi kukus yang semerbak mewangi. Kali ni, saya gunakan resipi dan teknik adik ipar saya yang pandai masak. She's a good cooker. Jadinya, bila dia balik beraya ni, saya belajar benda baru dengan dia. Dan syukur, teknik dia ajar kali ni membuatkan rumah jadi harum macam kedai nasi kukus 😆😆

Bahan:
1 ekor ayam dipotong ikut saiz yang disukai
3 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci lengkuas
2 sudu besar serbuk kunyit
1 1/2 sudu kecil garam
7 batang serai
1 sudu besar rempah kari
1 sudu besar biji ketumbar
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
3 tangkai daun kari
Sedikit air untuk kisar bahan
Minyak untuk menggoreng


Penyediaan:
1. Masukkan ke dalam pengisar bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, serai, biji ketumbar, jintan manis, jintan putih dan sedikit air. Kisah hingga 90% lumat. Tips penting: Tapis bahan kisar ini dan masukkan hanya bahan kisar tanpa air ke dalam mangkuk berisi ayam. 
2. Masukkan serbuk kunyit, garam, rempah kari dan 1 tangkai daun kari ke dalam mangkuk ayam. Gaul mesra kesemua bahan tadi. Perap sekurang-kurangnya 2 jam.



3. Bila hendak menggoreng, panaskan minyak dalam kuali guna api sederhana. Tips penting: Goreng ayam sahaja tanpa bahan kisar rempah ratus tadi. Setelah semua ayam siap digoreng, barulah goreng bahan kisar lumat tadi. Goreng guna api sederhana dan masukkan baki daun kari 2 tangkai tadi ketika menggoreng. Goreng sehingga warna bertukar menjadi coklat. Angkat dan tapis minyaknya. 
4. Setelah minyak tersejat, taburkan rempah goreng tadi ke atas ayam goreng. Hiaskan dengan daun kari dan cili padi.


Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...