Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Za'atar Palestin, rempah za'atar yang digunakan dalam masakan orang timur tengah specially Palestin. Rempah ini asalnya saya kenal sewaktu terlihat video Bisan di Tiktok sewaktu awal perang 7 Oktober. Saya lihat dia letak sejenis serbuk dalam roti pitanya. Dan bila tonton di Youtube, benda yang sama pengulas share tentang za'atar ni. Jadinya saya cuba cari di kedai Berkat Madinah di Ampang.
Cari di rak tak jumpa. Saya tanya pembantu kedai, adakah jual za'atar dan sumac? Dia tunjukkan sumac yang tengah direstock. Alhamdulillah jumpa. Dan bila jumpa za'atar Palestin kat area bawah sekali rak besar, lagi happy rasa hati. So, ini menu yang saya gunakan za'atar sebagai bahan.
Bahan:
3 1/2 cawan tepung gandum
1/2 paket yis
1 cawan air suam
1 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam
Minyak zaitun
Penyediaan:
1. Masukkan yis ke dalam air suam. Kacau dan rehatkan dalam 10 minit.
2. Masukkan tepung gandum, gula dan garam ke dalam mangkuk besar. Gaul dan masukkan yis yang sudah kembang tadi. Kacau dan uli sehingga menjadi doh. Masukkan satu sudu kecil minyak zaitun dan uli lagi. Masukkan doh dalam bekas dan rehatkan doh selama sejam.
3. Sambil menunggu doh kembang, sediakan bancuhan za'atar. Dalam satu mangkuk kecil, masukkan 2 sudu besar za'atar. Tuang minyak zaitun ke dalamnya dan kacau sehingga ia kelihatan mencair. Maksud saya bancuhan tidak pekat. Za'atar ini rasanya sedikit masin dan kuat rasa rempahnya jadi disarankan minyak zaitun diletakkan lebih sedikit. Dah siap, ketepikan.
4. Panaskan oven pada suhu 200 Celcius. Selepas sejam, uli kembali doh yang sudah naik dua kali ganda tu. Kemudian, bahagikan doh kepada 4 bahagian untuk 4 roti. Uli doh yang pertama guna pencanai. Dapatkan ketebalan roti yang anda mahukan. Selepas itu, tekan-tekan permukaan doh dengan jari agar berlekuk sedikit.
5. Ratakan bancuhan za'atar minyak zaitun tadi ke atas doh (jangan terlalu tebal) dan tinggalkan sedikit bahagian tanpa saduran keliling roti. Letak doh atas loyang dan bakar selamat 6-8 minit (bergantung pada saiz roti dan ketebalannya). Setelah masak, keluarkan dan biarkan sejuk sebentar. Potong macam pizza dan makan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan