Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Kentang Panggang Berlapis


Assalammualaikum & Selamat Hari Raya Aidil Fitri semua...

Pejam celik pejam celik, dah sambut hari raya lagi kita ni. Masa memang amat pantas berlalu. Rasanya baru aje raya, dah raya lagi. Rasa macam baru aje kahwin, tup tup, dah hampir 8 tahun. Sungguh cepat masa berjalan sekarang ini. Ia antara tanda kiamat yang disebut oleh Baginda s.a.w pada kita.

Kali ini, saya nak kongsikan 1 resipi mudah untuk anda semua cubanya. Saya ambil dari buku 'Bukan Sekadar Resipi'. Dah lama nak cuba, tapi asyik lupa aje.

Exactly, jika anda lihat resipi ni, ia seakan-akan macam buat lasagna cuma kulit lasagna digantikan dengan kentang russet dan lapisannya tak banyak selang seperti lasagna. Saya cuba masa 2 hari sebelum raya. Alhamdulillah jadik. Suami dan keluarga saya suka... accept my father. Benda pelik-pelik ni, takkan mungkin dia cubanya. Tekak melayu katakan... :)

Bahan-bahan:
1. 4 biji kentang russet. Kentang ni, kulit luar dia agak kesat tau. (saya beli kat Giant Ampang Point)
2. 5 senduk besar sos bolognese (kuah speghatti tu)
3. 5 senduk besar sos putih (boleh cari resipi lasagna sebelum ni ya)
4. 1/2 mangkuk parutan keju cheddar (dek kerana takde, saya guna parmesan skit campur mozarella)
5. 1/2 mangkuk parutan keju mozarella.
6. 1 biji tomato. Kalau tomato tu saiz kecik, kena 2 lah ya.
7. Daun parsli.


Penyediaan:

  1. Panaskan ketuhar dalam 170-180 darjah. Api atas bawah
  2. Buang kulit kentang dan hiris kentang bulat-bulat. Jangan tebal sangat dan jangan nipis sangat. Rendamkan dalam air biasa selepas hiris. Ini bagi membuatkan warna kentang tak lebam bila dibiarkan.
  3. Kemudian, dalam bekas pembakar, susun kentang pada lapisan pertama. Curahkan sos bolognese ke atas lapisan kentang tersebut. Taburkan pula parutan keju cheddar (saya tabur parmesan & mozarella skit)
  4. Susun hirisan kentang lagi di atas keju bagi lapisan kedua dan curahkan pula sos putih.
  5. Susun kentang dan hirisan tomato di atas sos putih tadi dan taburkan hirisan daun parsli serta parutan keju mozarella di atasnya.
  6. Kemudian, bakar di bahagian tengah rak ketuhar dan bakar selama 1 jam atau sehingga keju mozarella perang.
Happy cooking....

Puding soya buah-buahan

Assalammualaikum,

Saya jumpa resipi ni dalam blog juicycafe. Nampak macam sedap dan menyelerakan aje. Apa lagi, saya pun try lah sempena buka puasa kali ini. Jom saya kongsikan resipinya.

Bahan-bahan:
1 liter air soya kotak
20 gm agar-agar tali (potong kecil)
100 gm gula kastor
1 sdk perasa vanila
1 helai daun pandan
1 sdk tepung arrow root @ tepung jagung - gaul dengan sedikit air
6-7 biji buah rambutan (dek kerana musim rambutan kat kampung ayah saya, saya rembat aje apa ada kat dapur tu)
1 tin buah-buahan cocktail
Daun pudina - hiasan


Penyediaan:
1. Sediakan bekas tupperware dan beberapa bekas transparent yang kecil & sesuai.
2. Susun dan ratakan buah-buahan campuran di dalam bekas. Potong isi rambutan tu dari bijinya. Ketepikan seketika.


3. Dalam periuk besar satukan air soya, agar-agar, gula, vanilla dan daun pandan. Panaskan ia dengan api sederhana. Gaul sehingga sebati dan agar-agar larut atau separuh larut.
4. Masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau. Biarkan ia mendidih sebentar dan tutup api. Ada sesetengah agar-agar memang sukar nak larut, maka biarkan aje.
5. Tapiskan adunan tadi agar agar-agar yang tidak larut dapat diasingkan. Kemudian, tuang dalam bekas berisi buah-buahan tadi. Hiaskan dengan daun pudina di atasnya.

 

Happy cooking...

Perang, MH17 & Tanda Kiamat

Assalammualaikum.

Malaysia dan dunia amnya dikejutkan dengan banyak berita sedih dalam sebulan Ramadhan ini.
Pertamanya, kita, umat Islam keseluruhannya dan rakyat di dunia dikejutkan dengan berita Isreal membuat seorang kanak-kanak lelaki Palestin dengan menyiksa dan membakar kanak-kanak tersebut atas alasan yang tidak munasabah. Dan bermula dari detik itu, peperangan kembali meletus antara Palestin dan Israel.

Tanpa ada rasa sekelumit perikemanusiaan, Israel membedil dan membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua dan rakyat Palestin dengan 'kononnya' senjata canggih dan mahal mereka. Namun, pertolongan Allah itu tetap datang dalam keadaannya yang tersendiri.

Kecanggihan penangkis roket / senjata Iron Dome & kereta kebal Merkava tidak mampu melawan semangat jihad yang lahir dalam diri pejuang Palestin ini. Semangat jihad, pertolongan dari Allah dan doa serta bantuan kemanusiaan dari seluruh pelusuk dunia, secara tidak langsung membantu mereka untuk terus bertahan demi agama, bangsa dan tanahair.

Moga kemenangan milik mereka.

Daripada Said bin Zaid r.a., Nabi Muhammad s.a.w bersabda; "Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya, ia adalah syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, ia adalah syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya, ia adalah syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya, ia adalah syahid."
(Riwayat At-Tirmizi & An-Nasa'i).






Dan, pada hari Khamis malam pula, Malaysia dikejutkan sekali dengan berita sedih. Kali ini berkenaan dengan penerbangan MAS MH17, yang ditembak jatuh ketika sedang berada di udara Ukraine atau mungkin Rusia. Pergolakan yang berlaku antara Ukraine dan Rusia ini telah membawa kemalangan yang diluar jangkaan kerana ia melibatkan nyawa orang awam dari pelbagai negera. Semua penumpang dan anak kapal telah mati dalam insiden tersebut. Satu tamparan hebat buat Malaysia bagi kali kedua selepas kehilangan MH370 dahulu. Moga, mereka yang telah meninggal dunia, bagi Muslim, mereka ditempatkan dikalangan hamba-hambaNYA yang soleh dan dirahmati. Dan buat mereka yang bukan beragama Islam, takziah saya ucapkan pada keluarga mangsa.



Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda; "Hari Kiamat tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak terjadi 'Al-harj'. Sahabat bertanya, "Apakah al-harj itu wahai Rasullullah?" Nabi s.a.w menjawab, "Peperangan demi peperangan."
(Riwayat Ibnu Majah)

Buah Utrujjah, rasanya lazat dan baunya sedap

Assalammualaikum semua.
Satu ilmu baru telah diberikan Allah kepada saya pagi tadi melalui Medical Hadis dari Al-Quran Al-Karim Amazing. Ia berkenaan buat utrujjah.

Daripada Abu Musa al-Asya’ari, bahawa Nabi s.a.w. bersabda "Orang mukmin yang membaca al-Qur’an umpama buah al-utrujjah (sejenis buah limau). Baunya harum dan rasanya enak. Orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an umpama buah kurma, ia tidak mempunyai bau tetapi rasanya sedap dan manis. Orang munafiq yang membaca al-Qur’an umpama buah raihanah(sejenis pokok). Baunya sedap tetapi rasanya pahit. Orang munafiq yang tidak membaca al-Qur’an umpama petola atau labu, ia tidak mempunyai bau dan rasanya pahit." (Riwayat al-Bukhari)

'Buah utrujjah? Apa tu? Tak pernah dengar pun?' antara kata-kata yang terlintas difikiran sebaik membaca medical hadis dan khasiat buah tersebut. Pantas saya capai telefon dan google nama buah tersebut. Dan Alhamdulillah, Allah mempertemukan saya dengan rupa buah tersebut dan keseluruhan hadis yang menyatakan tentang. Subhanallah, Allahu Akbar.

Rupanya seakan buah limau atau lemon tetapi bila diperhatikan betul-betul, kulitnya agak sedikit berkedut dan antara kulit dan isinya, ada kulit putih yang agak tebal. Keistimewaan buah ini adalah baunya yang harum dan rasanya yang enak. Sehinggakan kulitnya orang akan hiris nipis-nipis untuk mengharumkan persekitaran dan membuatkanya sebagai minyak wangi.



Ini antara yang dapat saya kongsikan dari blog saudara Syahidan Haron tentang buah ini.


Dalam hadis ini, terdapat 4 bidalan dan perumpamaan yang boleh dijadikan renungan kepada orang yang mencari hidayah dan petunjuk Allah s.w.t. bidalan-bidalan tersebut ialah :
Orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya.
Orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an tetapi beriman dan beramal dengan isi kandungannya.
Orang munafiq yang membaca al-Qur’an tetapi tidak beramal dengan isi kandungannya
Orang munafiq yang tidak membaca al-Qur’an serta tidak beramal dengan isi kandungannya

1 Golongan pertama
Nabi Muhammad s.a.w. mengumpamakan golongan yang pertama iaitu orang mukmin yang membaca al-Qur’an dan beramal dengan isi kandungannya sebagaial-utrijjah, iaitu sejenis buah limau yang mempunyai bau yang wangi dan sedap, di samping rasanya yang enak dan lazat. Keadaan ini menunjukkan bahawa golongan mukmin tersebut adalah terdiri daripada mereka yang telah sampai kepada tahap kesempurnaan dalam keimanan mereka yang luhur dan murni kepada Allah s.w.t sama ada dari sudut zahir mahupun batin.(lihat Min Kunuz al-sunnah, oleh Muhammad Ali al-sabuni, hlm.71)
Menurut al-Mubarakfuri dalam tuhfat al-Ahwazi, golongan Mukmin yang membaca al-Qur’an diumpamakan sebagai al-utrujjah kerana buah ini adalah buah yang terbaik, selain memiliki saiz yang besar, mempunyai rupa yang cantik serta mempunyai rasa yang enak. Kelazatannya boleh dirasai walaupun belum menjamahnya.( lihat tuhfat al-Ahwazi, 8/138-139)
Begitulah cantik dan indahnya mereka yang berdamping dengan al-Qur’an sehingga diibaratkan dengan buah yang enak dan lazat serta mempunyai bau yang amat menyelerakan yang menjadi idaman setiap manusia.

2 Golongan kedua
Manakala golongan yang kedua pula iaitu orang mukmin yang tidak membaca al-Qur’an tetapi beriman dengan isi kandungannya, Nabi s.a.w. telah mengumpamakan mereka dengan buah kurma, yang mempunyai rasa yang enak tetapi tidak mempunyai bau. Seharusnya diketahui bahawa bau terhadap sesuatu makanan itu adalah pembuka selera kepada makanan tersebut. Seterusnya, hal ini menunjukkan bahawa golongan Mukmin ini adalah terdiri daripada mereka yang suci batinnya kerana penuh dengan keimanan, laksana rasa kurma yang sedap, namun pada zahirnya tidak sedemikian kerana mereka tidak membaca ayat-ayat Allah s.w.t., laksana kurma yang tidak mempunyai bau.(lihat al-sabuni, Min Kunuz al-Sunnah, hlm.71).

3 Golongan ketiga
Berdasarkan hadis tersebut golongan ketiga iaitu golongan munafiq yang membaca al-Qur’an tetapi tidak beramal dengan isi kandungannya adalah seperti yang telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu diumpamakan sebagai buahraihanah(sejenis pokok). Apabila seseorang itu memakan buah dari pokokraihanah akan merasakan buah tersebut tersangat pahit dan tidak sedap dimakan walaupun baunya harum. Samalah seperti golongan munafiq yang membaca al-Qur’an pada zahirnya menampakkan dirinya sebagai seorang yang takut dan taat kepada perintah Allah tetapi pada hakikatnya mereka hanya berpura-pura mentaati dan mengikuti perintah Allah kerana untuk memperlihatkan kepada orang sekeliling mereka bahawa mereka adalah tergolong dari golongan yang sentiasa beribadat dan mentaati perintah Allah s.w.t.

4 Golongan keempat
Golongan keempat yang diumpamakan Nabi sebagai buah petola yang mempunyai bau yang busuk dan mempunyai rasa yang pahit adalah golonganmunafiq yang tidak membaca al-Qur’an dan mereka tidak mengamalkan isi kandungannya, mereka merupakan golongan yang paling bawah sekali martabatnya dalam hadis tersebut lantaran cara hidup mereka yang tidak menzahirkan cara kehidupan Islam serta setiap perbuatan yang mereka lakukan adalah untuk diperhatikan dan menunjuk-menunjuk kepada orang yang berada di sekelilingnya apatah lagi bagi golongan munafiq seperti ini yang langsung tidak menzahirkan dirinya sebagai seorang yang berpegang dengan ajaran-ajaran di dalam al-Qur’an.

SEBAB-SEBAB PENGGUNAAN TAMTHIL DALAM HADIS
Rasulullah s.a.w. menggunakan metode alegori dalam penyampaian sesuatu maklumat yang hendak disampaikan untuk memudahkan memahami dan menjelaskan sesuatu fakta agar pendengar akan rasa tertarik terhadap penyampaian tersebut di samping Nabi menggunakan amthal berkaitan unsur alam iaitu buah-buahan kerana ia menjadi makanan manusia dan manusia lebih tahu akan perbezaan rasa dan kelebihan buah-buahan tersebut, jadi penggunaanamthal ini lebih terkesan kepada hati para pendengar.Perumpamaan daripada hadis tersebut dapat membezakan individu-individu yang membaca al-Qur’an dan tidak membacanya yang terdiri daripada golongan orang yang beriman dan orang munafiq.

Antara sebab lain Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan ayat-ayat tamsil dalam penyampaian hadis kepada para sahabat adalah kerana kebanyakan bangsa dan kabilah Arab pada ketika itu gemarkan kepada syair-syair atau ayat-ayat yang mempunyai maksud yang mendalam dan mudah difahami serta penyampaian yang menarik. Oleh sebab itu, ramai golongan penyair yang terkenal pada zaman itu, ingin mendengar dan melihat Nabi Muhammad s.a.w. berpidato atau berkhutbah kerana isi kandungannya yang padat dan kemas di samping mempunyai uslub dan gaya bahasa yang menarik seperti mana ayat-ayat tamsil pada hadis yang diriwayatkan oleh abi musa al-ash’ari di atas.

Selain itu, penggunaan tamthil di dalam hadis tersebut juga dapat mendorong dan menarik minat seseorang itu menjadi lebih bersungguh-sungguh untuk membaca al-Qur’an dan mengamalkan isi kandungannya, di samping mengelakkan seseorang itu tergolong daripada orang munafiq yang hanya membaca al-Qur’an tetapi tidak mengamalkannya atau yang tidak membaca al-Quran dan tidak mengamalkannya lantaran mereka diumpamakan seperti buah raihanah dan buah petola.

Khasiat buah utrujjah:
1. Bermanfaat jika diletakkan di pakaian, ia dpt mencegah gegat.
2. Baunya dapat membersihkan secara semulajadi udara yg kotor & wabak penyakit.
3. Mengeluarkan bau yg wangi jika dimasukkan ke dalam mulut.
4. Dicampurkan dlm makanan sebagai penyedap.
5. Dapat melancarkan pencernaan.
6. Isinya dapat menurunkan panas di perut & sesuai bagi orang yg mengalami gangguan hempedu.
9. Rendaman bijinya dapat menangani racun yg ganas.

Rujukan: 
Al-Quran Al-Karim Amazing. 2013. Surah At-Taubah m/s 400. Karangkraf Sdn Bhd. Shah Alam, Selangor.
http://penerajuhati.blogspot.com/2012/04/amthal-golongan-orang-yang-membaca-al.html

p/s: jika ada yang tahu mana nak dapatkan buah ni di KL atau Selangor atau area berdekatannya, maklumkan saya ya :)

Adab Menegur...

Assalammualaikum.

Menegur dan di tegur, implikasi dan penerimaannya adalah berbeza bagi setiap orang. Manusia akan menerima dengan baik bilamana si penegur menegur dengan cara berhikmah dan berkata lembut. Namun, ada juga teguran diberikan dengan keras. Sebagai contoh bilamana ia melibatkan Allah dan Rasul. Apa pun, adab dan sopan perlu seiring dalam menegur, menasihati dan memberikan pendapat agar matlamat tercapai seperti yang dimahukan.

Saya ingin kongsikan beberapa kisah dalam buku Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia yang ditulis oleh Umat Mohammad Noor. Moga kita semua mendapat iktibar dalam menegur rakan sekeliling kita dan keluarga kita & jauhlah dari berburuk sangka.


Nasihat yang disampaikan tanpa adab yang betul, bukan sahaja menimbulkan salah faham, bahkan perkelahian dan diikuti dengan perpecahan. Salah satu adab menegur adalah menyampaikan nasihat itu di tempat tersembunyi. Jika menasihati seseorang di hadapan orang ramai, ia akan membuatkannya berasa malu.

Fudhail bin 'Iyadh (w. 187h) berkata: "Seseorang mukmin menutupi lalu menasihati. Seorang pendosa mengistiharkan lalu mencela."

Imam Asy-Syafie berkata: "Sesiapa yang menasihati secara sembunyi-sembunyi, maka ia benar-benar menasihati. Sesiapa yang menasihatimu di khalayak ramai, ia sebenarnya sedang menghinamu."

Suatu hal yang harus diingat, seorang pemberi nasihat seharusnya sentiasa memeriksa dirinya, adakah dia menginginkan kebaikan untuk orang yang dinasihati itu atau dia sebenarnya menginginkan kebaikan untuk dirinya sendiri?

Jika dia berbangga ketika nasihatnya dijalankan dan marah ketika ditolak, maka itu petanda dia tidak ikhlas. Orang yang ikhlas kerana Allah, tidak akan marah jika kata-katanya didengari. Dia mungkin sedih, namun tidak ada alasan untuk marah.

"Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka adalah dosa."
(Surah Al-Hujurat: 12)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa tidak semua prasangka adalah dosa. Sebahagiannya memang dibolehkan sebab ia melahirkan sikap waspada dan berhati-hati. Namun begitu, kebanyakan prasangka selalu beriringan dengan sifat-sifat tercela.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Berjaga-jagalah kamu daripada prasangka. Sesungguhnya prasangka adalah bisikan yang paling dusta."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Imam Asy-Syafie berkata, "Sesiapa yang ingin menutup hidupnya dengan kebaikan, maka jagalah selalu sangkaan baik kepada manusia."

Roti John requested by Ayah Mertuaku

Assalammulaikum & Salam Sejahtera untuk anda semua.

Kalau baca tajuk entri tu, sure dah tahu permintaan siapa resipi saya kongsikan kali ini. Tak lain tak bukan, ayah mertuaku a.k.a Hj Nazar.

Kiranya, ini antara makanan dia dah approve sodap den ni masak. Hehehe... kiranya sama standard dengan orang meniaga le tu kan. Kalau tak sedap, rasanya memang takkan dia request soh masak untuk family ni sempena buka puasa hari ini. Bukan sikit tau saya masak. 20 ketul. Diulangi, 20 ketul. Menitik-nitik peluh dibuatnya. Dah macam sauna jap rasanya. Nasib le Allah beri idea, masak 2 roti serentak dek kerana saiz roti ini adalah saiz untuk masukkan hotdog aje... Thank you Allah...

So, untuk anda semua, roti john yang insyaAllah sedap dan dijamin puas hati, bolehlah cuba resipi ni ya. Plus, jangan lupa berselawat atau beristighfar ketika memasak. Moga -moga rezeki yang dibuat untuk keluarga, diredhai oleh Allah dan menjadi darah daging yang berkat.

Bahan-bahannya (untuk 10 ketul roti ya):

  1. 1 pek roti hotdog. Saya beli kat pasaraya Giant aje. Dalamya ada 10 ketul.
  2. 6 biji telur
  3. 1 keping daging cincang. Saya guna jenama Ramly.
  4. 1 biji bawang besar dipotong dadu
  5. 3-4 urat daun bawang dan daun sup dipotong halus (takyah le halus sangat ya)
  6. 1/2 sudu besar garam halus
  7. 1/2 sudu besar serbuk lada putih (optional)
  8. 1/4 cawan air kosong. (jangan banyak sangat air sebab takut adunan akan jadi cair. Sedang2 gitu)
  9. Sos cili
  10. Mayonis
  11. Minyak masak
Penyediaan:
1. Pecahkan semua biji telur ke dalam satu mangkuk sederhana besar. Campurkan daging, bawang, daun bawang & daun sup, garam, serbuk lada putin dan air ke dalam bekas berisi telur tadi. Gaul atau pukul adunan sehingga mesra.


2. Panaskan kuali leper dengan api paling perlahan sekali. 
3. Sementara menunggu kuali panas, potong bahagian tengah roti bersaiz hotdog tadi. Tapi jangan dipotong putus. Tinggalkan sedikit agar senang bila dimasak nanti, kita buka dan tutupnya. Habiskan potongan semua roti. 
4. Letak minyak sedikit di atas kuali dan ratakannya bila kuali confirm panas. Bila minyak dah panas dalam setengah minit gitu, tuang sesenduk adunan bahan-bahan tadi ke atas kuali. Macam kat dalam gambar di bawah ya. Jika kuali macam saya, boleh masak dua adunan telur sekaligus. 


5. Bila adunan dah kelihatan separuh masak, ambil roti yang dipotong tadi dan kembangkannya ke atas telur yang sedang masak. Tekan perlahan-lahan roti di atas telur tersebut. Ia bagi memastikan roti melekat dengan telur tersebut (saya tekan dengan tangan aje, insyaAllah tak panas).


6. Bila anda agak yang telur bahagian bawah dah garing atau senang cerita, anda angkat sedikit untuk intainya, maka terbalikkan roti tersebut bawah ke atas pula. As usual, macam gambar kat bawah.


7. Tekan-tekan sedikit bahagian roti yang dah diterbalikkan tu agar bahagian atas roti yang terbalik tu pula yang garing-garing sedikit. Dalam setengah minit gitu. Kemudian, katup kembali roti tersebut macam biasa dan letak atas pinggan. Kalau tak nak katup pun tak apa sebab lepas tu kita nak taruk sosnya juga kan. Tapi dek kerana saya punya banyak sangat, makanya jimatkanlah ruang atas pinggan tu kejap.


8. Setelah selesai memasak roti john tersebut semuanya, maka, proses meletak sos pun bermula. Tang ni, ikut suka anda nak letak sos apa. Saya letak sos cili, mayonis dan sedikit sos jalepeno (yang ni saya buh sikit aje sebab takut ada yang tak tahan pedas). Dan tada... boleh dipotong dua atau makan begitu sahaja...

Happy cooking...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...