Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Sloppy joe's bebola daging, peminat daging dan budak-budak pasti suka


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Sloppy Joe's tapi versi lain skit kali ni. Kekadang bila asyik makan nasi, kita nak cuba resipi lain untuk merasa pula. Dan ini resipi mudah saya dan suami suka masak dan makan, sloppy joe's. Cuma kali ni, kami letak bebola daging. Lebih kurang macam Subway juga cuma everything meat. Anda cubalah, rasanya budak-budak dan orang yang suka daging mesti suka makan bila dah hadap.

Bahan:
6 roti hotdog dibelah dua tapi tak putus. Sapukan mayo dalamnya & bakar atas kuali leper.
18 biji bebola daging
30 keping pepperoni disalai tanpa minyak
1 keping daging kisar
1 tangkai cili merah dihiris
1/2 biji bawang besar didadu
3 ulas bawang putih didadu
1/2 cawan air
1 1/2 cawan sos tomato atau tomato puri
2 sudu besar gula perang
2 sudu besar sos cili
2 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil pepper flakes
1 sudu kecil lada hitam
Garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Masak daging kisar dalam kuali tanpa minyak. Guna api sederhana. Masak hingga air daging sedikit mengering & daging tidak berketul.
2. Kemudian, masukkan cili merah & bawang besar serta putih. Masak seketika. Selepas itu, masukkan air & sos tomato/tomato puri. Masak hingga mendidih. Masukkan pula bebola daging. Kacau dan biarkan sebentar.
3. Setelah itu, masukkan gula perang, serbuk cili, pepper flakes, sos cili, garam & lada hitam. Kacau hingga mesra. Masak guna api perlahan selama 15-20 minit. Kacau sekali sekala. Setelah mendidih, tutup api. Letakkan roti hotdog dalam piring, letakkan kepingan pepperoni di tengah roti dan kemudian masukkan isi sloppy joes dengan bebola daging. Enak dimakan begitu sahaja atau jika anda suka, boleh paipkan mustard diatasnya. Selamat mencuba.

Menulis jurnal kesyukuran, antara terapi diri untuk kekal positif dan sangka baik

 


Menulis jurnal kesyukuran merupakan antara terapi saya berusaha mengekalkan diri untuk positif dan bersangka baik. Alhamdulillah, sudah melebihi 3 tahun saya menulis jurnal kesyukuran ini. Rasanya semenjak covid-19 bermula. Sebelum ini, masa belajar di sekolah menengah dan beberapa tahun di universiti, saya ada menulis diari. Cuma bezanya antara diari dan jurnal kesyukuran, diari, saya banyak meluahkan rasa tidak puas hati, sedih dan stres berbanding rasa syukur atau perkara baik. Saya berhenti menulis diari pada waktu itu kerana diejek oleh rakan sebilik kerana menulis diari. Saya tak ingat apa dia kata, tapi akibat kata-katanya itu, saya berhenti menulis (jika difikirkan balik, hikmahnya, saya tidak meneruskan diri menulis perkara-perkara negatif). 

Mungkin ada susur galur atau DNA dalam gen ibubapa atuk nenek saya sebelum ini yang suka menulis, jadi tabiat menulis ini sukar dihentikan. Daripada menulis jurnal akademik sehinggakan ke buku cerita kanak-kanak, novel pendek, blog hingga ke status di medsos, saya terus menulis. Dan oleh kerana menulis mampu membebaskan jiwa saya untuk berkongsi ilmu yang ada, berkongsi kisah yang menarik juga mendokumenkan travelog kisah diri, Allah perkenalkan saya dengan gratitude journal atau jika diterjemahkan ke Bahasa Melayu sebagai Jurnal Kesyukuran. 

Satu malam, sedang saya scroll website Big Bad Wolf yang sedang buat promosi akhir tahun (rasanya akhir tahun), saya jumpa satu buku murah bertajuk 'A simple act of gratitude'. Saya baca sinopsisnya. Menarik. Jadi, saya belilah sekali dengan novel inggeris yang lain. Bila dapat buku ni, saya baca skit. Mula-mula macam tak berapa faham sebab penulisnya menceritakan tentang masalah-masalah yang dihadapi sekelilingnya. Selepas masuk bab kedua dan ketiga, baru saya seronok membacanya sehinggalah bab akhir. 


Saya mempraktikkan perlahan-lahan apa yang ditulis dalam buku ni. Saya ditakdirkan jumpa sekotak kad direka khas untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita hajati. Dalam box ni ada 20 keping kad berserta sampul. Terus saya beli. Jadinya, kad-kad ini saya tulis ucapan terima kasih dan kata-kata semangat dan berikan kepada beberapa orang ahli keluarga saya bila kami berjumpa semula selepas beberapa bulan tak berjumpa dan kena kuarantin (masa ni tahun covid melanda ya). Tak lama lepas tu, saya berusaha meminta alamat kawan-kawan sekolah. Saya berikan mereka kad ucapan Selamat Hari Raya dan duit raya syiling (mereka happy menerimanya). Masa ni saya belum menulis jurnal kesyukuran lagi. Waktu awal-awal ini, saya juga berusaha untuk mengucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang ditemui dan membantu saya. Kerana, tanpa mereka, urusan saya pasti tergendala atau tersekat.

Tak lama lepas tu, tengah dengar Spotify dari Oprah Winfrey, saya terdengar kisah beliau bercerita tentang Gratitude Journal dan kelebihan menulisnya. Jadinya, saya cuba cari info tentang gratitude journal ni dan cari buku yang ada berkaitan dengannya. Dan terima kasih sekali lagi kepada Big Bad Wolf kerana telah memperkenalkan saya pada buku 'The gratitude diaries' karya Janice Kaplan. 

Bila baca buku ni dalam 3 bab pertama, saya rasa seperti tak sabar-sabar untuk menulis jurnal kesyukuran. Bukan sahaja tak sabar untuk menulis tetapi juga belajar menghargai orang sekeliling dan mengucapkan kata-kata baik. Saya mulakan dengan menulis jurnal dalam buku nota hardcover hadiah daripada bank. Dari situ, setiap hari saya cuba menulis 3-5 perkara baik yang berlaku kepada diri. Sambil menulis, saya tetaplah membaca info lain tentang kesyukuran dan buku motivasi. Kerana, saya mahu hidup dalam keadaan yang hatinya aman, tidak berdendam atau cemburu juga ingin perbaiki diri mana yang kurang. 

(kita sambung kembali dalam kisah ke-2)

Spaghetti Carbonara, resipi dari Chef Sabri


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Spaghetti carbonara, antara masakan pasta yang saya dan suami suka. Menu mudah ini saya jumpa di VTT Chef Sabri. Bila tengok bahan-bahannya, terus rasa nak buat. Sesekali masak ala chef, rasa berbaloi dengan bahannya. Jika yang sedikit mahal pun harganya adalah cooking cream dan keju parmesan (itupun tak guna banyak, masa tabur aje). Minyak zaitun tu jika tak ada, boleh aje ganti dengan minyak masak yang lain. No problem.

Untuk spaghetti carbonara ni, kita dah ubah sedikit ikut citarasa masyarakat Malaysia. Oleh kerana rakyat Malaysia mostly suka makanan pedas, maka, Chef Sabri masukkan lada hitam dan chili flakes. Baru ada umph!



Bahan-bahan:
1 pek spaghetti direbus al dante
3 sudu besar minyak zaitun
3 ulas bawang putih dicincang
1/2 biji bawang besar didadu
2 keping dada ayam dipotong kasar
5 biji meatball dihiris kasar
5 ekor udang dibuang kulit
1 genggam cendawan enoki
1 sudu besar lada hitam yang dikisar
2 sudu besar chili flakes
1 sudu besar mix herbs
3 cawan cooking cream
1 biji kuning telur
1 sudu kecil garam
1/2 sudu serbuk perasa/pati ayam

Jus kedondong asam boi segarkan badan yang lesu


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Jus kedondong asam boi, penyegar tekak bila-bila masa. Bila adik ipar kata pokok kedondong kat kampung berbuah lebat, apalagi, dia bawah balik sikit haritu masa gathering birthday abah.

Buah ini berbentuk bujur, hijau kekuningan dan sedikit warna hitam. Banyak ditemui di Malaysia, Indonesia, Sri Lanka, India, Thailand, Jamaica dan Barbados. Senang cerita di negara kawasan garisan khatulistiwa. Hasil kajian menunjukkan, buah kedondong ini baik untuk:
  1. Meningkatkan sistem imunisasi
  2. Kesihatan jantung
  3. Baik untuk penglihatan
  4. Membantu masalah pencernaan
  5. Melawan jangkitan pada kulit
Bahan:
12 biji buah kedondong
5 biji asam boi
4 biji limau kasturi, perah jusnya
2 liter air
1/2 cawan gula pasir
Kiub ais secukupnya

Penyediaan:
1. Cuci buah kedondong hingga bersih atau boleh juga kikis dengan pisau. Potong kecil isi buah dan buang bijinya. Masukkan dalam pengisar. Masukkan gula pasir
2. Rendam asam boi dengan air panas dalam 5 minit. Kikis isinya yang telah direndam tadi & buang bijinya. Masukkan dalam pengisar (buat 2 kali jika pengisar/blender jus kecil).
3. Masukkam air asam boi dalam pengisar & kisar hingga buah kedondong hancur. Tapis air sebelum masuk ke dalam jag.
4. Perahkan jus limau kasturi serta masukkan kiub ais & kacau. Sedia untuk dinikmati jus kedondong yang segar ni.

Sotong goreng tepung rangup macam kat Kuala Perlis


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Sotong goreng tepung jadi igauan. Sejak balik dari Kuala perlis 2 tahun lepas, suami saya kalau pergi kedai makan, kekadang dia akan request sotong goreng tepung. Tapi jika tak sama, dia macam frust. Katanya, sotong goreng tepung Kuala Perlis memang sedap. Nombor satu dalam ranking dia. Katanya, "enak ratah gitu aje. Macam makan ayam goreng."

Entah macam mana, rezeki saya terjumpa Tiktok Chef Crack. Saya save resipi tu. Dan bila ada masa baru ni, saya cuba buat. Alhamdulillah sedap. Rangup. Kadar letupan sotong tu pun kurang (teringat masa muda dulu saya masak sotong goreng tepung di rumah sedara di Labuan, meletup-letup sotong tu dalam kuali. Terjerit-jerit saya. Hahaha...)

Jadinya, ini bahan sotong goreng tepung Chef Crack yang anda boleh cuba. Hopefully anda suka juga menu makanan laut ni.

Bahan:
300gm sotong (cuci dan potong ikut saiz kesukaan)
Garam
1 sudu kecil baking powder.
Bahan Perap:
1 biji telur
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
Lasa sulah
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 sudu kecil serbuk cili
Garam
Air sejuk

Bahan tepung kering:
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung jagung

1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1/2 sudu kecil serbuk cili
Garam

Penyediaan:

1. Perap sebentar sotong dengan garam dan baking powder dalam 15 minit. Selepas itu, basuh dan toskan hingga kering.
2. Campur bahan basah dalam satu mangkuk dan adunan jangan cair sangat. Masukkan sotong. Gaul dan perap dalam peti ais sebentar dalam 10 minit.
3. Masukkan bahan kering dalam satu mangkuk. Masukkan minyak menggoreng dalam kuali dengan guna api sederhana. Keluarkan sotong diperap.
4. Setelah minyak panas, masukkan sotong diperap tadi dalam adunan kering dan sadurkannya. Masukkan dalam minyak panas dan goreng sehingga keemasan. Setelah masak, angkat dan toskan. Selesaikan baki menggoreng sotong yang lain sehingga habis.

Spicy pasta dengan ayam dan fishcake, menu diet bila rasa kena diet


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Kali ni saya cuba resipi spicy pasta dengan ayam dan fishcake baru dari Tiktok. Oleh kerana suami saya sedikit tidak sihat dan doktor sarankan dia turunkan sedikit berat badan, makanya, gigih saya cari dan cuba kembali resipi baru yang sesuai untuk kami. Beberapa menu pasta saya cari dan cuba.

Resipi asalnya guna pasta linguine tapi dek kerana rumah saya ada spaghetti, maka saya buat spaghetti pedas lah. Senang. Jika anda nak guna pasta lain seperti, angel hair, tagliatelle, fettuccini, penne atau rigatoni, boleh aje. Janji pasta. Ini resipinya anda boleh cuba.

Bahan:
1/2 bungkus spaghetti direbus al dante
3 sudu besar minyak zaitun
2 ulas bawang putih
5 batang daun parsli (asingkan batang & daun)
2 sudu besar chili flakes
1 sudu kecil pati ikan bilis/ 1/2 kiub pati ikan bilis
1 cawan air rebusan pasta
2 keping fishcake
2 keping dada ayam
Garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Panaskan kuali & letakkan minyak zaitun. Setelah panas, masukkan bawang putih & batang daun parsli. Kacau sebentar.
2. Masukkan chili flakes & pati ikan bilis ke dalam kuali. Tumis sebentar. Kacau dan masukkan pula air rebusan pasta dan isi ayam. Kacau & biarkan mereneh.
3. Masukkan pula pasta, fishcake, daun parsli dan garam secukup rasa. Kacau. Jika rasa nak pedas lagi, boleh tambah chili flakes. Gaul mesra & siap untuk dihidang serta dinikmati bersama tersayang.

Salad buah-buahan, kudapan sihat tak kira masa


Assalammualaikum dan salam sejahtera. Salad buah-buahan, menu kudapan sihat paling mudah. Letak apa sahaja buah-buahan yang anda suka. Letakkan juga sedikit madu. Salad buah-buahan paling sesuai dan sihat untuk seisi keluarga.

Bahan:
1 biji buah limau sunskist
1 biji buah epal merah
1 biji buah pear
12 biji buah anggur hijau
2 tangkai daun pudina
2 sudu besar madu lebah

Penyediaan:
1. Potong buah-buahan saiz kiub. Masukkan dalam bekas besar. Masukkan beberapa helai daun pudina. Gaul mesra. 'Drizzle' madu lebah atas buah-buahan. Siap untuk dinikmati.

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...