Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Berdoa kerana kebaikannya


Assalammualaikum...

Subhanallah, Allahu Akbar... Dia Tuhan Semesta Alam dan hanya padaNYA tempat memohon kasih dan rahmat serta belas kasihan.

Kesihatan tubuh badan adalah rezeki dan nikmat tidak ternilai dari Allah. Kita akan amat menghargainya apabila kita berada dalam kondisi tidak sihat, sakit atau demam. Masa itu, barulah kita rasa, "Ya Allah, seronoknya masa sihat dahulu. Bila sakit ini, terasa yang diri ini amat lemah sangat."
Tapi, dalam pada masa yang sama, jangan dilupa bahawa kesakitan, demam atau rasa diri tidak sihat adalah salah satu tanda Allah sayangkan kita juga. Dia mahu dengar hambaNYA meminta dan berharap hanya padanya.

Semalam, makcik saya yang saya panggil mak ngah, sedang bergelut dengan kesakitan akibat sakit di dalam badannya. Doktor menyatakan yang pankreasnya ada masalah. Dan sejak petang semalam sehingga saat entri ini ditulis, dia masih di dalam wad ICU. Doktor terpaksa tidak sedarkan dia atau erti kata mudah, komakan dia sebentar. Ini kerana dia mahu mak ngah berehat dan tidak risau akan kesihatan yang sedang ditanggungnya.

Allahu Akbar, bila dengar beritanya semalam dari mama saya, Allah sahaja yang tahu perasaan ini. Saya sayangkan dia macam saya sayangkan mama saya. Dia seorang ibu saudara yang amat baik. Dari kecil sehingga dewasa saya banyak melihat kebaikannya. Saya dan anak ketiganya sebaya maka hubungan kami amat rapat. Bila mama dan abah saya mengerjakan haji sewaktu saya di tingkatan 3, adakala dia menjaga kami dan kami tinggal di rumahnya sebentar. Adakala waktunya juga, mama dan abah izinkan saya dan adik lelaki saya tinggal di rumahnya untuk beberapa hari bila cuti sekolah bermula. Dia bawa kami dua beradik dan anak-anaknya berjalan, buatkan kami pakaian, masakkan kami masakan yang sedap dan yang paling penting, dia layan kami dengan baik dan jarang meninggikan suara.

Ya Allah, hati saya sangat sedih kala ini. Bukan saya sahaja tetapi adik lelaki saya juga. Dia sanggup turun dari Bota malam tadi dan tiba di KL jam 1.30 pagi semata-mata hendak menziarahinya tengahari tadi. Kami berdua amat sayangkan dia.

Ya Allah, saya semakin sebak dan menangis bila tadi saya temankan pakcik saya yang OKU bertemu dengan kakaknya. Bila saya minta pakcik saya doakan untuk mak ngah, dia angkat tangan sedikit dan dia genggam tangannya dan terus dia menangis. Menangis, barangkali kasihan melihat keadaan kakaknya yang terbaring tidak sedarkan diri. Menangis kerana teringat akan kebaikan kakaknya yang sentiasa menjaga kebajikannya sehingga sekarang.

Ya Allah, saya memohon agar mak ngah diberikan kesihatan yang baik untuk jangkamasa yang telah ditentukan untuknya. Jika Allah mengambil haknya kembali, saya pohon agar dia ditempatkan di kalangan hambaNYA yang dirahmati, disayangi dan diredhai... Rina sayang mak ngah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...