Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

5 bintang untuk Ikon Syabab yang bermanfaat

Assalammualaikum semua,

Kali ini saya nak kongsikan 1 buku yang mendapat 5 bintang dari saya. Buku Ikon Syabab oleh Umar Muhammad Noor terbitan Telaga Biru.


Buku tulisan Umar Muhammad Noor memang saya dan suami senangi. Perkongsian ilmu menerusi kisah-kisah terdahulu dan pengajaran darinya membuatkan kami berdua rasa amat seronok membacanya dan berasa ilmu semakin bertambah (mungkin tak semuanya diingati tetapi tetap ada 1-2 kisah yang diselitkan terkena pada diri sendiri sebelum ini).

Semakin baca semakin suka. Penyampaian yang santai, contoh mudah yang diberi, kisah orang-orang alim terdahulu dan animasi yang sesuai membuatkan pembacaan menjadi seronok. Kisah-kisah yang dikongsikan tentang betapa pentingnya semangat orang muda membuatkan saya terasa yang masih belum terlambat untuk saya mempraktikkan. Bak kata ilmuwan terdahulu, belajar itu tugas sepanjang hayat. Maka, saya kembali untuk belajar memperbaiki diri demi memperbaiki agama dan ilmu serta praktikaliti. Mungkin mengambil masa tapi usaha tetap usaha.

Di sini saya selitkan antara 1 kisah menarik untuk bacaan anda :)

Generasi Salaf Generasi Membaca. Setiap Masa, Setiap Tempat
Imam Ahmad bin Yahya, seorang pakar tafsir yang dikenali sebagai gelaranTsa'lab (w. 291H), selalu membawa buku ke mana-mana beliau pergi. Setiap kali dijemput ke walimah, beliau mensyaratkan agar tuan rumah menyiapkan baginya tempat khas untuk meletakkan buku dan membaca.

Ibnu Rusyd (w.595H), ahli fiqah dan falsafah terkenal. Beliau terkenal selalu membaca buku setiap saat. Tidak pernah beliau meninggalkan buku selama hidupnya kecuali 2 malam iaitu malam beliau menikah dan malam ayahnya meninggal dunia.

Adz-Dzahabi menceritakan dalam Siyar A'lam an-Nubala bahawa setiap kali 'Amr bin Bahr al-Jahizh (w. 250H) memegang sebuah buku, beliau akan membacanya dari awal hingga akhir walau apapun jenis buku.

Menurut Ibn Khaldun, buku ialah cermin ketamadunan. Orang-orang primitif zaman batu dahulu tidak memiliki buku untuk dibaca. Mereka hanya memiliki huruf-huruf dan gambar-gambar yang mereka goreskan di atas batu. Apabila buku diciptakan, manusia seolah-olah memasuki satu anjakan baharu dalam sejarah kehidupan mereka.

Jika buku cermin ketamadunan maka membaca adalah ciri manusia moden. Orang yang suka membaca terdedah kepada pelbagai ilmu dan idea baharu yang belum pernah dimiliki. Semakin banyak yang mereka baca, semakin luas dan cerdas minda mereka.

Pada pendapat saya, setiap ibu bapa perlu menghadiahkan buku ini kepada anak-anak sebagai bahan bacaan. Moga ilmu yang dikongsikan di dalam buku ini dapat dipraktikkan oleh anak-anak anda mahupun anda juga. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...