Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Isnin, 18 Julai 2022

Mee Goreng Basah InsyaAllah sedap


 Assalammualaikum & Salam Sejahtera Semua...

Ni semua gara-gara rudy dok bukak YouTube rancangan best in the world. Sekali keluar makanan mi goreng n mi berkuah. Dan pagi tadi, rezekilah dapat masak menu baru dari @matgebu . Sedap sangat rasanya.

Ini resipinya jika anda nak cuba. Saya gunakan apa yg ada di dapur.

Bahan:
200 gram mi kuning
2 ekor sotong, hiris bulat
10 ekor udang dibuang kepala
1 keping dada ayam di potong dadu
1 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dicincang
3 tangkai sawi batang pendek dikerat kasar
2 biji telur, dipukul sedikit
3 sudu besar minyak masak
1 camca besar cili kisar
1 camca besar sos tiram JALEN
1 camca besar sos cili JALEN
2 canca besar kicap pekat JALEN
2 sudu besar kicap cair
2 cawan air rebusan tulang (guna kiub pati lembu)
Hirisan cili merah & bawang goreng untuk hiasan

Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang merah & bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar & masak hingga cili garing. Masukkan ayam & kacau mesra. Biarkan seketika & baru masukkan udang & sotong. Gaul mesra.
2. Masukkan sos tiram & sos cili, kacau rata & tolak ke tepi kuali. Masukkan telur & biar hingga telur kental, hancurkan & gaul rata. Masukkan kicap pekat, kacau & tambah mi kuning, gaul mesra.
3. Masukkan sawi, kacau lagi & perasakan dengan kicap cair. Akhir sekali tuang air rebusan tulang. Kacau & masak sebentar. Jikaok boleh matikan api. Hias dengan hirisan cili merah & bawang goreng.

Selasa, 5 Julai 2022

Spaghetti goreng pedas, campak apa aje isinya


 Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Teringin nak makan spaghetti. Tapi memikirkan kat kedai dapat skit aje dan kekadang rasa tak berapa kena dengan tekak, makanya, moh le kita masak sendiri. Boleh le ngulang makan berkali-kali.

Rasa nak pedas, kome boleh le letak cili flakes & cili kering tu banyak skit 😁

Bahan:
1 pek spaghetti direbus al dante
10 biji vongole
8-10 ekor udang
4 ekor sotong kerat 3
4 batang sosej dipotong serong
2 kiub ikan bilis
10 tangkai cili kering dipotong 3
1 biji bawang besar didadu
3 ulas bawang putih didadu
1/2 cili benggala dihiris & kerat 3
1 1/2 cawan air rebusan spaghetti
1/2 biji lemon
4 sudu besar minyak zaitun
3 sudu besar kicap soya cair
2 sudu kecil chili flakes (nak pedas, letak le banyak mana suka)

Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dahulu & kemudian bawang putih. Selepas itu, masukkan cili kering. Masak seketika & masukkan pati ikan bilis. Kacau hingga patinya hancur.
2. Masukkan pula kicap soya cair & jus lemon. Kacau hingga mesra. Masukkan vongole, udang, sotong & sedikit air rebusan. Kacau seketika & kemudian tutup dengan penutup periuk. Biarkan ia masak dalam 3-4 minit.
3. Angkat penutup & gaul. Masukkan spaghetti & gaul lagi. Kemudian, masukkan cili benggala & 1 sudu kecil chili flakes. Gaul hingga mesra. Tutup api & hidang dalam pinggan besar. Siap.

Isnin, 4 Julai 2022

Kueh tiaw goreng cina ala sarawakian


 Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Resipi ni saya cuba bila tengok YouTube dari @globalgibbon . Lepas dia promo apa yang best kat Kuching, dia pi lepak makan kat restoran kawan dia. Kawan dia pula, baik hati, tunjuk cara masa kueh tiaw goreng ni.

Saya excited nak cuba sebab resipi ni takde letak cili boh. Just ganti lada sulah/lada putih je.
Ni resipinya (saya adalah ubah skit)

Bahan:
1 pek kueh tiaw
1/2 biji bawang besar dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
2 batang fish cake / boleh letak fish ball / kerang / ayam
4 sudu besar kicap manis
2 sudu besar kicap masin
1 sudu besar kicap pekat
2 biji telur
1 genggam daun kucai dipotong
1 genggam taugeh (jika suka)
1/2 batang cili merah dihiris
1 sudu besar lada sulah/lada putih
Sedikit minyak untuk menggoreng

Penyediaan:
1. Panas sedikit minyak. Masukkan kueh tiaw ke dalam kuali. Kacau seketika & masukkan kicap manis. Kacau hingga mesra dalam 1-2 minit. Angkat & ketepikan.
2. Kemudian, masukkan sedikit minyak dalam kuali tadi. Setelah panas, masukkan bawang merah & bawang putih. Gaul sekejap & masukkan pula hirisan fish cake/ fish ball/ayam. Masak sebentar. Kemudian, masukkan 2 biji telur & masak seketika.
3. Setelah telur masak, masukkan kueh tiaw tadi ke dalam kuali. Masukkan juga kicap cair, kicap pekat, lada sulah & cili merah. Kacau lagi & kemudian masukkan daun kucai & taugeh. Kacau sebentar & siap untuk dihidang.

Ahad, 3 Julai 2022

Udang masak lemak kacang buncis, protein dan sayur bersatu


 Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Lama sangat tak update personal blog ni. Saya ada masuk kelas untuk belajar bisnes. Jadinya kekangan nak memasak, ambil gambar & update dalam blog ni terpaksa diperlahankan sikit. Ini pun saya copy paste aje dari IG personal saya 😁

Menu ni simple je. Gulai lemak udang dengan kacang buncis.
Dek kerana menu ni ada udang & ada sayur, senang skit masak. Jimat masa. Ini resipinya.

Bahan:
1/2kg udang yang dibuang kepala & kulitnya
7-8 tangkai kacang buncis dipotong serong
1 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
250ml santan
1 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
2 sudu besar minyak masak

Bahan kisar halus:
1/2 biji bawang besar
1 inci kunyit hidup
2 tangkai cili merah
10 tangkai cili padi
1 cawan air

Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Setelah panas, masukkan bahan kisar halus ke dalam periuk bersama serai yang diketuk dan santan cair (2 sudu besar santan pekat + 1 cawan air). Kacau rata dan masak hingga mendidih.
2. Masukkan kacang buncis. Masak seketika & masukkan udang, kacau rata dan masak hingga udang berubah warna dan nanas lembut. Masukkan daun kunyit dan tuang pati santan. Kacau hingga mendidih.
3. Perasakan dengan garam dan sedikit gula. Biarkan mendidih dengan api kecil dan kacau untuk elakkan santan pecah. Masak sebentar & tutup api.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...