Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Jumaat, 11 Mac 2016

Hamka: Ulama, Pemimpin Sasterawan; 4.5 Bintang untuk naskhah ini


Assalammualaikum & Salam Sejahtera.

Saya baru aje habiskan naskhah buku HAMKA ini. Buku ini pada ada ketikanya amat cepat pembacaannya oleh saya dan ada ketika, slow. Mungkin ada part tertentu yang membuatkan saya macam mood ke laut bila bacanya.

Melalui naskhah ini, secara tidak langsung kita mengenali susuk tubuh lelaki yang dikenali sebagai HAMKA. Dia lelaki biasa-biasa sahaja pada awal umur kanak-kanak dan remajanya. Dia seorang kanak-kanak yang agak nakal, tidak minat belajar dan lebih suka kepada puisi dan syair. Namun, pada satu titik tertentu, perubahan mula berlaku pada diri, pemikiran, agama dan persepsinya. Dia perlahan-lahan bertukar menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab, lebih menghargai ilmu dan agama, punya semangat nasionalis yang tinggi meskipun ditekan oleh Belanda, Jepun mahupun rakan kenalannya sendiri dan dia juga menjadi seorang yang berpendirian tetap.

Hubungan baik yang terjalin dengan semua orang membuatkan HAMKA senang didekati. Ketika Jepun menjajah Indonesia, meskipun ada beberapa perkara tidak disenanginya dengan cara Jepun namun, HAMKA ada cara tersendiri yang mampu membuatkan beliau secara tidak langsung mudah diterima pegawai tertinggi Jepun untuk menjadi sahabat.

Pandangan serong orang sekeliling pasti ada namun ia mampu ditangani dengan berhemah. Ada ketika beliau disisihkan di Medan sebaik Jepun kalah dan Belanda mula mahu menguasai. Beliau cuba berbaik sangka dan ingin menyatakan tentang kemerdekaan Indonesia pada masa itu tetapi sambutan dingin yang diterima atas tindakan yang diambil sebelum ini telah membuatkan penduduk setempat tidak yakin padanya. Maka, HAMKA kembali pada bidang penulisan. Itu sahaja pada kala itu membuatkan dia bahagia. Melalui penulisan, beliau berjuang memartabatkan agama, bangsa dan negara dari terus dijajah.

Perjalanan hidup, politik dan keluarga beliau agak panjang. Buku ini mengkisahkan tentang personaliti dan sejarah HAMKA secara am. Bagi saya, ia memang sesuai untuk pembaca yang mahu mula mengenali dirinya. Semangatnya untuk berjuang demi kemerdekaan Indonesia sungguh luar biasa. Semangat setiakawannya juga sukar dipertikaikan. Sifat pamaaf yang ada padanya memang sukar dicari pada manusia lain. Apa sahaja yang pernah dilakukan oleh sahabatnya sebelum ini, Soekarno, sewaktu menjadi Presiden yang menyebabkan dia terpenjara selama 2 tahun 4 bulan, dimaafkan dengan lapang dada sehingga sanggup menunaikan permintaan terakhir Soekarno untuk menjadi imam bagi solat jenazahnya.


HAMKA juga pernah difitnah untuk karyanya "Tenggalamnya Kapal Van Der Wijck'. Beliau difitnah memplagiat karya tulisan penulis dari Perancis. Namun, pada akhirnya orang ramai mengetahui perkara sebenar hatta orang yang pernah memfitnahnya itu meminta agar bakal suami anak gadisnya yang ingin memeluk Islam agar belajar & memahami Islam dengan HAMKA sendiri.

Terhasilnya Tafsir Al-Azhar sebanyak 30 juzuk sewaktu HAMKA di dalam tahanan. 

Surah An-Nur ayat 26 ada menyatakan:
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

Dan HAMKA dikurnikan seorang isteri yang cukup sesuai, sepadan dan sanggup bersusah payah dengan beliau. Siti Raham memang wanita hebat. Di bab-bab tertentu dalam buku ini anda akan lihat betapa cekalnya wanita ini menjaga keluarganya dan keperluan suaminya. Ada satu ketika, satu kisah ini terus mengingatkan saya akan surah An-Nur di atas. 
'HAMKA mendapat tawaran menjadi duta besar di Arab Saudi. Beliau seperti ingin menerimanya bila mana semua anak-anaknya setuju dengan apa yang disampaikan. Tetapi sebaliknya berlaku apabila Siti Raham memberi jawapan sebaliknya. Dia tidak gembira. Alasan yang diberikannya mampu membuat HAMKA termenung.

Jawapan Siti Raham kenapa perlu HAMKA menolak menjadi duta besar di Arab Saudi. 

Subhanallah, she is very strong and intelligent woman. Moga Allah kurniakan rahmat dan kasih sayangNYA pada dia.

Untuk anda yang belum kenal siapa HAMKA dan ingin mengetahui serba sedikit tentang lelaki hebat ini, saya sarankan anda dapatkan naskhah ini. Untuk pergi lebih jauh, dapatkan karya-karya HAMKA yang lain yang sudah ada di Malaysia. Moga kita semua berusaha menjadi sebaik HAMKA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...