Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
Jumaat, 17 April 2015
Nasihat Memang Pahit...
Assalammualaikum & Salam Sejahtera semua.
Saya ada baca satu bab kecil di dalam buku 'Dalam Hati Ada Syurga' terbitan Telaga Biru. Ia berkenaan dengan nasihat. Nasihat adakala dapat diterima dengan baik dan adakala sebaliknya. Bergantung pada bagaimana disampaikan dan diterima.
Jom saya kongsikan kisah dalam buku ini. Moga ia membantu saya dan anda untuk belajar bersabar dan cara menasihat yang betul.
Tersebutlah kisah seorang pelajar berasal dari Andalus bernama al-Ghazi bin Qais. Beliau datang ke Madinah untuk menimba ilmu daripada para ulama di kota ini. Selama di negerinya, beliau sering mendengar kebesaran nama-nama ulama Madinah, namun belum pernah berjumpa dengan mereka.
Suatu hari, apabila sedang duduk di Masjid Nabawi di Madinah, al-Ghazi melihat seorang lelaki masuk ke dalam masjid. Orang itu terus sahaja duduk tanpa melakukan solat tahiyatul masjid terlebih dahulu. Al-Ghazi segera menegur orang itu. Beliau berkata, "Wahai lelaki, bangkit dan solatlah dua rakaat. Dudukmu di dalam masjid tanpa melakukan solat tahiyatul masjid petanda bahawa engkau orang yang jahil hukum agama."
Cukup kasar nasihat ini. Namun begitu, orang yang dinasihatinya tidak berkata apa-apa. Beliau hanya bangkit lalu melakukan solat seperti yang disuruh. Selesai solat, beliau lalu duduk bersandar pada sebuah tiang masjid. Tidak lama kemudiam, al-Ghazi melihat para pelajar mula memasuki masjid. Anehnya, seorang demi seorang duduk mengelilingi lelaki yang ditegurnya tadi sehingga membentuk satu kumpulan yang cukup besar.
Al-Ghazi menjadi tertanya-tanya, siapa sebenarnya lelaki ini? Beliau lalu mendekati seorang murid dan bertanya kepadanya, "Siapakah orang ini?" Pelajar itu menjawab, "Beliau ialah Ibnu Abi Zi'b. Beliau seorang imam pakar fiqah dan tokoh ulama terhormat di Madinah."
Al-Ghazi bagai disambar petir. Beliau berasa sangat malu sebab baru sahaja mencela seorang ulama besar Madinah. Justeru, beliau segera mendatangi Ibnu Abu Zi'b dan meminta maaf kepadanya. Namun, apakah respon ulama besar ini? Beliau hanya berkata, "Wahai saudaraku, engkau tidak salah. Engkau hanya menyuruhku melakukan kebaikan lalu aku mematuhi perintahmu."
Demikian kisah ini diceritakan oleh al-Hafiz Ibnu Abdil Barr dalam kitab at-Tamhid lima fi al-Muwaththa' min al-Ma'ani wa al-Asanid.
Apabila kali pertama membaca kisah ini, kekaguman penulis kepada Ibnu Abi Zi'b semakin bertambah. Beliau sangat pandai menundukkan nafsu sehingga emosinya menuruti perintah akalnya. Hal ini demikian kerana nasihat sangat berat di telinga dan di hati. Apalagi jika nasihat tersebut dibungkus dengan kata-kata yang kasar dan kesat. Kebanyakan orang pasti enggan menerima nasihat yang disampaikan dengan cara seperti itu.
Namun, Ibnu Abi Zi'b boleh menerimanya. Mengapa? Hal ini demikian kerana beliau melihat kepada kandungan nasihat, bukan kepada siapa yang memberi nasihat atau bagaimana nasihat itu disampaikan.
Para ulama berkata, "Orang yang paling mencintaimu ialah orang yang selalu menasihatimu."
Pada masa yang sama, sesiapa yang hendak membari nasihat mestilah berhemah. Ia mesti sedar bahawa nasihat adalah sesuatu yang sangat berat untuk diterima dengan mudah. Oleh itu, sebaiknya jangan diberatkan dengan kata-kata-kata yang kasar & sikap yang biadap. Hindarilah sikap kasar al-Ghazi kerana tidak semua orang memiliki kejernihan hati seperti Ibnu Abi Zi'b.
Rujukan:
Umar Muhammad Noor. 2014. Dalam Hati Ada Syurga. Telaga Biru Sdn Bhd. Kuala Lumpur.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan