Semua manusia dan makhluk Allah amat perlukan kasih sayang. Kasih sayang adalah satu anugerah yang cukup istimewa yang diberikan olehNya kepada kita. Betapa kasih dan sayangnya Rasulullah saw kepada umatnya sehinggakan di saat akhir baginda menyebut perkataan umatku umatku. Betapa baginda risau akan umatnya yang seringkali lupa akan kasih sayang Allah kepada mereka.
Allah, kasih sayangnya seluas alam semesta. Tiada tolok bandingnya. Jika Allah tidak kasih dan sayang kepada hambaNYA, sudah pasti sekaligus Dia timpakan kita dengan amarahnya. Tetapi Dia cukup penyabar (iaitu sifat Allah yg ke-99). Dia berikan tempoh untuk kita agar dapat memperbaiki diri dan berusaha mendapatkan keredhaanNya. Setiap ujian yang diberikanNya adalah semata-mata untuk menguji keimanan dan ketaatan kita serta memperbaiki kelemahan diri kita sebelum ini. Ingatlah, setiap ujian yang diberikan sama ada positif atau negatif, pasti ada hikmahnya. Cuma terkadang, setelah beberapa ketika baru kita mengetahuinya.
Kasihnya ibu membawa ke syurga. Itu ungkapan yang sering kita dengar. Rasulullah saw seringkali mengingatkan kita agar patuh kepada perintah ibu selepas menuruti perintah Allah dan Rasulnya. Ibu akan rasa sedih jika melihat anaknya sedih, muran dan tidak bermaya. Dia akan cuba segala cara untuk memastikan si anak kembali ceria dan gembira. Jadi, janganlah kita tersalah sangka jika ibu kita sering marah2 juga. Ini kerana dia mahu kita tahu sempadan yang baik dan buruk. Memberi panduan agar jika dia tiada di depan mata, si anak pasti mengikuti apa yang pernah dipintanya sebelum ini.
Kasih sayang tidak mampu diperolehi dengan wang ringgit. Kasih sayang amat mahal nilainya. Tidak semua orang memiliki kasih sayang dari orang yang diingini. Tetapi... kasih sayang yang hakiki hanyalah kepada Allah yang satu. Tanpa kasih sayang daripadaNya, kita tidak akan mampu bernafas, menghirup udara yang segar, melihat alam yang indah ini, mempunyai keluarga dan rakan-rakan yang baik dan yang paling penting, kita tidak akan hidup di dunia ini. Hargailah kasih sayang yang ada meskipun hanya secebis. Dan berikanlah kasih sayang milik kita hanya kepadaNya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan