Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Mari cuba tauhu sumbat


Tada! Hari ni saya nak kongsikan satu resipi yang memang disukai oleh saya dan keluarga. Tauhu sumbat. Dari saya, hubby, anak sedara, bapak sedara sampailah ke atuk, semuanya suka tauhu sumbat ni. Jom saya kongsikan resipi mak mertua saya.

Bahan2nya:
1. Tauhu (Ikut sukalah nak berapa. Kalau ramai, beli banyak)
2. Cili kering (dalam 20 ke 25 helai)
3. Bawang besar 1 biji
4. Bawang putih (5 ke 7 biji)
5. Kacang tanah (400gm ke 500gm. Kalau suka kuah kacangnya, beli le dlm sekilo)
6. Garam
7. Gula
8. Air suam

Mula-mula goreng tauhu anda. Jangan potong dulu. Lepas tu, goreng cili kering. Jangan sampai hangusnya. Selepas itu, cili kering tersebut dikisar sekali dengan bawang besar dan kecil. Taruk garam sedikit dan gula sesudu besar.

Kacang tanah pun mestilah digoreng. Rasa-rasa dah asyik meletup aje kacang-kacang tu, angkatnya. Tak pun bila nampak macam dah garing dalam 5 minit, dah boleh angkat. Kalau anda rajin, bolehlah tumbuk kacang-kacang tu. Tapi kalau rasa rajin sikit aje, tumbuk separuh, kisar separuh (jangan lupa taruk air sikit tau masa kisar. agar kacang lembut sikit). Macam yang saya buat. Hehehehe...

Pabila dah siap kisar semua kacang, campurkan kacang tersebut dengan bahan-bahan cili kering dan lain-lain tadi. Taruk air suam jika kelihatan agak pekat.

Untuk isi tauhu, celur taugeh dan racik timun halus-halus. Tauhu pula dipotong tiga segi dan potong sedikit bahagian dalamnya. Dan apa lagi, sumbatlah tahu tu dengan timun dan taugeh yang telah digaul. Dan Tada! Dah siap.


Hah! Si makcik ni mesti nak interframe sekali bila nampak saya dok sibuk amik gambar. Memang pantang nampak kamera. Ade aje gaya tunjuk lesung pipitnya tu.

Anyway, selamat mecuba...

Cara mudah jadikan ruang sempit kelihatan luas

Meh sini semua. Kali ni saya nak kongsikan beberapa tips yang diperoleh dari majalah Impiana bulan Oktober 2010. Info ni saya dapat gara-gara hubby saya baca majalah ni bila kami tidur di rumah mama saya. Apa lagi, tumpang dua kaki lah.

Jom kita kongsi tip-tipnya:
  1. Warna ruang: Apabila anda cuba menjadikan bilik atau ruang sempit kelihatan luas, peraturan memilih warna adalah mudah. Warna putih, kuning dan warna-warna pastel (lembut) kegemaran anda boleh dijadikan pilihan utama. Warna-warna cerah ini akan membiaskan cahaya dan secara tidak langsung menjadi ruang tersebut kelihatan luas.
  2. Cermin & Kaca: Kedua-dua elemen ini membantu menghasilkan visual ruang yang luas. Cermin pada dinding akan menggandakan visual manakala meja kaca atau dinding kaca turut membantu menampakkan keluasan persekitaran.
  3. Monokromatik: Kekalkan ruang dalam nada warna yang sama atau monokromatik. Contohnya, jika anda memilih warna krim untuk dinding, maka kemasan tingkap dan lantai seperti permaidani juga sebaiknya pilihlah warna krim kekuningan atau kecoklatan. Sofa upholsteri anda juga haruslah dalam warna krim atau warna neutral lainnya dengan penekanan krim juga.
  4. Corak besar, kecil atau berjalur?: Kehadiran corak, motif pada fabrik, kertas dinding dan perabot upholsteri menjadikan ruang lebih cantik. Corak-corak ini mampu menjadikan ruang sempit kelihatan bertambah sempit. Ruang sempit sebenarnya paling ideal jika dihiaskan dengan corak berjalur. Anda boleh memilih corak berjalur dalam warna monokromatik secara menegak untuk menjadikan ruang kelihatan besar.
  5. Saiz perabot: Memadailah untuk meletak hanya satu perabot besar manakala yang lainnya bersaiz kecil. Ini bagi memudahkan pergerakan anda dan tetamu.
  6. Susunan perabot: Untuk tampak menarik, cuba letakkan perabot di sudut selekoh.
  7. Perabot pelbagai fungsi: Perabot jenis ini dapat mengurangkan kehadiran lebih banyak perabot lain. Contohnya, meja makan boleh dilipat menjadi meja kecil, futon boleh menjadi sofa dan katil manakala katil loft boleh menempatkan meja di bawahnya.
  8. Tingkap: Pilih kemasan tingkap yang membenarkan anda melihat pemandangan luar dengan jelas. Sebagai tambahan, kemasan tingkap haruslah serasi dengan keseluruhan warna ruang sempit, oleh itu pastikan ia warna monokromatik.
  9. Elemen menegak: Contohnya, rak buku sepatutnya dibina menegak hingga ke arah siling, gambar atau rakaman foto perlu digantung.
  10. Ruang sentiasa kemas: Buang atau simpan sahaja barang-barang yang tidak diperlukan atau digunakan selalu di dalam ruang penyimpanan. Gunakan rak atau laci untuk menyusun barang-barang kecil.

Kesihatan bermula daripada Kebersihan. Betulll...

Kali ni saya nak kongsikan something yang memang selalu kita terlepas pandang, tak tahu or take for granted. Jom kita perbaiki diri kita dengan mengikut sunah Rasulullah s.a.w.

Kebersihan adalah perkara yang amat dituntut dalam agama sebagaimana hadis Nabi yang bermaksud, "Kebersihan itu separuh daripada Iman" (Direkodkan oleh Muslim). Al-Quran juga turut menekankan soal kebersihan dalam surah al-Muddatsir: 4-5 yang bermaksud, "Dan pakaianmu, bersihkanlah. Dan segala kejahatan, tinggalkanlah." Oleh itu terdapat beberapa jadual sunah Rasulullah s.a.w. yang dilakukan secara berkala bagi menjaga kebersihan diri. Antaranya:
  1. Membersihkan tangan selepas bangun tidur: Menurut Rasulullah: "Apabila terjaga salah seorang antara kamu daripada tidurnya maka janganlah memasukkan tangannya ke dalam bekas makanan sehingga dia membasuhnya tiga kali kerana dia tidak tahu di mana tangannya terletak (ketika tidur)" (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)
  2. Membersihkan rongga hidung selepas bangun tidur: Menurut Rasulullah: "Apabila terjaga salah seorang antara kamu daripada tidurnya maka perlu dia memasukkan air ke dalam hidung dan menghembuskannya tiga kali kerana sesungguhnya syaitan bermalam di rongga hidungnya." (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)
  3. Mandi dan membersihkan rambut: Menurut Rasulullah: "Hak Allah atas seorang muslim bahawa dia mesti mandi pada setiap tujuh hari sekali dia mesti membersihkan kepala dan rambutnya." (Direkodkan oleh Muslim)
  4. Menjaga bekas air: Menurut Rasulullah: "Tutuplah bekas makanan dan tutuplah bekas air minuman." (Direkodkan oleh Muslim)
  5. Cungkil gigi atau bersiwak selepas makan: "Bersihkanlah sisa-sisa makanan di antara celah-celah gigi kerana amalan itu termasuk kebersihan dan kebersihan itu membawa kepada iman, sedang iman itu bersama pemiliknya masuk syurga." (Direkodkan oleh Tabrani)
  6. Potong kuku, kemaskan misai dan mencukur bulu: Hadis daripada Anas bin Malik: "Ditentukan waktu bagi tempoh mencukur misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan ari-ari iaitu kiranya tidak kami biarkan lebih daripada 40 malam." (Direkodkan oleh Ahmad, Tirmidzi, An-Nasa'i dan Abu Daud)
Sumber rujukan: Mohamed Sulaiman & Aizuddinur Zakaria, 2010. Jejak Bisnes Rasulullah. Batu Caves, Selangor. PTS Professional Publishing Sdn Bhd

Strategi Jibrail mengubah rasa takut Rasulullah

Kali ini saya ingin kongsikan kisah yang dipetik dari buku Jejak Bisnes Rasul keluaran PTS. Very interesting to share.


Pada malam 27 Ramadhan di Gua Hiraq, Muhammad didatangi oleh lembaga yang menyuruhnya, "Iqra' (Bacalah)".

Muhammad menjawab dalam ketakutan, "Aku tidak tahu membaca." Lalu lembaga itu memeluk Muhammad dengan erat. Beberapa ketika kemudian, hilang ketakutan Nabi.

Kemudian, lelaki itu menyuruh Muhammad lagi dengan "Iqra' (Bacalah)." Sekali lagi Muhammad menjawab, "Aku tidak tahu membaca." Sehingga kali ketiga dia memeluk Muhammad sekuat-kuatnya sehingga hampir sukar bernafas.

Lalu dia berkata, "Bacalah Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah; Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya."
(Surah al-Alaq: 1-4)

Akhirnya lembaga itu hilang selepas Nabi Muhammad membaca ayat yang diajarkan kepadanya. Lembaga itu adalah Jibrail, malaikat yang diutuskan oleh Allah bagi menyampaikan wahyu kepada para nabi dan rasulNya.

Sebelum itu lagi sewaktu Muhammad masih kanak-kanak, Jibrail pernah membelah dada Muhammad dan mencuci hatinya bagi menghindarkan kotoran sifat buruk dan hasutan iblis dengan menggunakan air zam-zam.


Daripada Perspektif Bisnes

Tindakan Jibrail memeluk erat tubuh Nabi adalah teknik membuang segala perasaan takut yang masih terpendam di dalam hati Rasulullah. Pelukan erat itu mampu membuatkan Muhammad tersentak dan bertindak balas pada rangsangan itu. Tindakan refleks itu adalah satu sifat berani. Selepas kejadian itu, beliau tidak lagi berasa takut dan bimbang dalam menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Manusia tidak dapat lari daripada perasaan takut. Manusia yang penakut mudah memberikan sejuta satu alasan. Bak kata pepatah, "Mahu seribu daya, tak mahu seribu dalih." Takut adalah virus yang boleh merencat perkembangan potensi sedia ada.

Dalam bisnes, keyakinan selalunya timbul apabila seseorang bersedia menghadapi segala risiko yang mendatang. Ketakutan hanya satu persepsi. Mengapa manusia takut gagal?
  • Takut malu
  • Takut diketawakan / dihina
  • Takut rugi / tiada rezeki
  • Takut penat / tekanan (stress)
  • Takut susah / miskin

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...