Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah. Akhirnya buku kedua iaitu sambungan Hadiah Puteri Elina akhirnya keluar juga. Di sini saya lampirkan sedikit cerita yang ada di dalam Hadiah Puteri Elina 2.
“Arlin... Arlin... Bangun Arlin... ” satu suara mengejutkan Arlin dari tidurnya. “Bangun cepat Arlin,” sambung suara itu lagi dengan nada cemas.
“Rasa macam baru aje tidur. Dah pagi ke mama?” soal Arlin sambil menguap. Dia mengesat matanya sambil mengambil jam yang berada di sebelah katilnya.
“Eh,baru pukul tiga pagi,” Arlin bersuara kehairanan.
“Arlin mari ke sini cepat,” suara tadi mengarah Arlin agar datang ke cermin Litina dengan segera.
“Siapa tu?” Arlin bersuara cemas.
Suara yang memanggil sebentar tadi kedengaran mesra di telinganya. Lantas, dia bangun dari katil dan menuju ke arah suis lampu di tepi pintu biliknya. Apabila lampu terpasang, Arlin terkejut apabila memandang ke arah cermin Litina.
“Puteri Elina?” soal Arlin pada dirinya sendiri. Arlin menggosok matanya berulang kali seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Aku sedang bermimpi ke?” Arlin bercakap seorang diri sambil mencubit-cubit pipinya. “Sakit,” ujar Arlin sambil mengusap pipinya.
“Mari ke sini cepat Arlin. Memang beta Puteri Elina ni,” gesa Puteri Elina kepada Arlin setelah dia melihat Arlin tidak berganjak dari tempatnya.
“Okey. Ini sememangnya bukan mimpi,” ujar Arlin sendirian lalu melangkah pantas ke arah cermin Litina. Dia memandang Puteri Elina dengan penuh tanda tanya.
“Macam mana Tuan Puteri boleh berada dalam cermin Litina? Mana Litina? Dia tidak sihat ke?” soal Arlin bertalu-talu.
Arlin kehairanan. Puteri Elina yang sudah empat bulan tidak ditemuinya, alih-alih muncul di cermin Litina pada awal pagi. Kali terakhir Arlin bertemu dengan Puteri Elina dan Puteri Akasyia adalah semasa mereka berdua datang bertanya khabar tentang diri Arlin dan rantai mutiara biru. Itu pun bukan melalui cermin Litina tetapi mereka datang seperti manusia biasa. Puteri Elina dan Puteri Akasyia datang dengan menaiki kereta yang dipandu oleh pengawal Puteri Akasyia.
Kedatangan Puteri Akasyia dan Puteri Elina pada masa itu adalah untuk menjemput Arlin, Muneera, Muzeer, Puan Suraya dan Encik Farid iaitu ayah Arlin ke majlis kebesaran Istana Istranda dalam masa lima bulan akan datang. Ini bagi memudahkan Puan Suraya dan Encik Farid mengatur jadual harian mereka dan dapat hadir pada hari kebesaran tersebut.
“Beta tidak dapat bercakap lama dengan kamu. Puteri Akasyia amat perlukan pertolongan kamu. Beta akan cerita dengan pantas apa yang telah berlaku kepada Litina dan kerajaan Puteri Akasyia,” ujar Puteri Elina berkata dengan nada cemas.
Arlin menganggukkan kepala dan pada masa yang sama mula berasa cemas dan bimbang.
“Arlin, kerajaan Puteri Akasyia dalam bahaya sekarang ini. Kerajaan baginda telah diserang oleh Permaisuri Mrilana dari Kerajaan Rinda sejak lima hari yang lalu. Kini kebanyakan tentera dan rakyat sedang berusaha mempertahankan negara. Tentera Permaisuri Mrilana telah hampir berjaya menawan bahagian selatan kerajaan. Kebanyakan rakyat Puteri Akasyia telah ditahan dan dipenjarakan manakala tentera pula ada yang terkorban. Bukan itu sahaja, Litina dan keluarganya juga turut ditahan dan dipenjarakan oleh tentera Permaisuri Mrilana. Mereka ditahan ketika sedang melawat nenek Litina yang sedang sakit. Puteri Akasyia sekarang ini sedang bersiap sedia dengan pahlawannya untuk mempertahankan ibu kota andai kata mereka diserang dengan tiba-tiba. Jadi sekarang ini, Puteri Akasyia ingin meminta pertolongan kamu untuk meminjamkan baginda rantai mutiara biru yang ajaib itu. Oleh kerana itu, beta terpaksa menggunakan cermin Litina sebagai penghubung di antara dunia kamu dan dunia Puteri Akasyia. Diharap rantai mutiara biru itu dapat memberi bantuan yang diharapkan,” cerita Puteri Elina dengan panjang lebar.
Arlin terkejut mendengar cerita yang dibawa oleh Puteri Elina itu sehinggakan dia tidak mampu berkata-kata apa-apa.
“Jadi, Tuan Puteri mahukan rantai mutiara biru itu sekarang, kah?” soal Arlin beberapa ketika kemudian.
Puteri Elina menggeleng kepalanya. “Tidak. Rantai itu hanya akan diambil pada malam esok dalam jam sebelas malam. Ini kerana Puteri Akasyia sendiri yang akan mengambilnya,” ujar Puteri Elina. “Lagipun, hanya Puteri Akasyia sahaja yang mengetahui cara untuk mendapatkan rantai tersebut melalui cermin ini. Baginda tidak dapat bersama-sama dengan beta sekarang ini kerana baginda terpaksa menghadiri mesyuarat tergempar dengan menteri-menterinya,” sambung Puteri Elina lagi.
Arlin semakin bimbang dan perasaan hatinya semakin gemuruh setelah mendengar kata-kata Puteri Elina. “Sampai begitu teruk sekali keadaankah di sana Tuan Puteri?” soal Arlin. “Kenapa Permaisuri Mrilana cuba menakluki kerajaan Puteri Akasyia?” soal Arlin lagi.
Untuk ketahui sambungannya, jangan lupa dapatkan satu di kedai berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan