Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Tauhu Jepun, Cendawan dan Sayur Campur, Menu Diet


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Kali ni saya kongsikan resipi tauhu jepun, cendawan dan sayur campur. Menu mudah untuk diet & masakan bersayur. Tauhu ni adakala memang feveret bila pi makan kat kedai.

Bahan:
2 batang tauhu telur dipotong 6 setiap tiub
1 pek cendawan shimeji
1 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar air
2 tangkai pak choy
1/2 biji cili benggala kuning
1 batang lobak merah dipotong serong
1/2 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1/2 cawan air
Garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis

Penyediaan:
1. Satukan tepung jagung & 2 sudu besar air & kacau. Tuang ke dalam mangkuk berisi tauhu. Gaul perlahan dan goreng satu persatu hingga kekuningan. Angkat dan toskan.
2. Kurangkan minyak menggoreng & tumis bawang merah & putih hingga naik bau. Masukkan lobak merah & masukkan 1/2 cawan air. Kacau sebentar & biarkan hingga lobak sedikit lembut.
3. Selepas itu, masukkan pak choy & cili benggala. Kacau sebentar & masukkan baki air tepung jagung tadi. Kacau dan masak hingga pekat.
4. Masukkan pula cendawan. Jika air agak kurang, masukkan 1/2 cawan air lagin kacau hingga mendidih.
5. Kemudian masukkan tauhu. Perasakan dengan garam. Gaul perlahan-lahan hingga mesra. Tutup api & masukkan dalam mangkuk. Siap menu tauhu jepun, cendawan dan sayur campur.

Sedapnya Cempedak Goreng Makan Panas-panas


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Alhamdulillah dapat juga makan cempedak goreng lagi. Gara-gara @daddyisthechef tepek gambar cempedak goreng yang bijinya nak dilastik, gigih saya minta suami drive sampai ke Mantin cari buah cempedak. Dapatlah 2 biji, satu dah masak, satu otw nak masak.
Kiranya, 3.8kg cempedak harganya RM23. Pueh hati.

Sebiji yang dah masak, bila dikopek, dapat dalam 60 ulas. Rezeki sangat. Makan sampai puas semua orang.
Jom masak cempedak goreng.

Bahan:
55-60 ulas cempedak
1 cawan tepung beras
2 cawan tepung gandum
1/4 sudu kecil pewarna kuning
2 biji telur
1 sudu kecil garam
1 1/2 cawan air
Minyak untuk menggoreng

Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam kuali guna api sederhana.
2. Campurkan semua bahan & jadikan adunan yang tak berapa pekat, tak berapa cair. Kemudian, masukkan ulas cempedak ke dalam adunan & gaulkan agar ianya berbalut/melekat (coating)
3. Masukkan seulas demi seulas cempedak ke dalam minyak panas dan masaknya hingga kuning keemasan. Angkat & toskan. Siap untuk dikunyah cempedak goreng kita.

Enaknya Sup Cendawan


Assalammulaikum & Salam Sejahtera. Sup Cendawan, enak dimakan dengan bihun mahupun nasi putih. menu yang mudah, murah dan berkhasiat. Orang diet or orang sakit atau baru baik demam, bolehlah cuba menu ni. 

Nak sedap lagi, makan dengan cili kicap time panas-panas. Pergh! (untuk yang makan dengan bihun celurlah ya).

Bahan:
1 1/2pek cendawan enoki / shiitake
1 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih dihiris
1 cawan ayam dipotong kecil
7 ketul bebola daging dipotong dua
1 kiub pati ayam
1 batang lobak merah dipotong serong
1 biji kentang dipotong kiub besar
2 tangkai pak choy / sawi batang pendek
1 tangkai cili merah dihiris
1/2 biji cili kuning benggala dihiris
1 biji tomato potong 6
1 liter air
Sedikit minyak untuk menumis
Garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Panaskan minyak dalam periuk. Kemudian, masukkan bawang besar & bawang putih. Masak hingga sedikit garing. Masukkan pula daging ayam & bebola daging. Masak sebentar & kemudian masukkan air, lobak merah & kentang. Masak hingga mendidih & kentang separuh empuk.
2. Selepas itu, masukkan kiub pati ayam. Masukkan pak choy, cili benggala & cili merah. Kacau sebentar & kemudian cendawan yang telah dibersihkan. Kacau.
3. Perasakan dengan garam. Setelah ok, masukkan tomato. Kacau sebentar & tutup api. Siap sup cendawan kita. 

Bomboloni, Resipi Donat Itali yang Lembut


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Bomboloni. Italian doughnut yang sedang popular.

Asyik nampak donat ni ulang alik kat IG & FB, meh sini kita try. Nasib ada geng nak masak donat bomboloni ni, makanya dapat le ramai orang makan (kena buat donat gulung biasa gak sebab ayah mertua jenis makan kuih oldies). Bahan lebih kurang sama dengan donat biasa cuma kita letak susu untuk lebih gebu, vanila serta inti coklat / jem.

Bahan:
4 cawan tepung roti
1/2 cawan gula kastor
2 cawan susu suam
11gm yis
1/2 cawan mentega suhu bilik
2 biji telur
1/2 sudu kecil garam
2 sudu kecil ekstrak vanila / 1 pek kecil serbuk vanila
Gula untuk salutan
Inti coklat, jem, Nutella
Minyak untuk menggoreng

Penyediaan:
1. Taburkan yis & sesudu kecil gula ke dalam susu suam. Kacau & biarkan sehingga ia kembang (dlm 4-5 minit).
2. Dalam satu mangkuk besar, satukan tepung, gula, garam & vanila. Gaul mesra. Kemudian, masukkan adunan yis tadi serta telur & mentega dalam mangkuk tepung. Uli sehingga menjadi doh.
3. Letakkan doh atas papan/meja yang ditaburkan tepung. Uli sebentar & kemudian leperkan doh guna pencanai. Pastikan tebal doh lebih kurang 1/2 inci. Selepas itu, potong doh guna penekap bulat atau biscuit cutter bulat. Taburkan sedikit tepung atas papan letak doh agar ia tidak melekat. Letakkan doh & tutup dengan tuala lembab. Biarkan doh naik dalam masa 1 jam.


4. Panaskan kuali atau deep fryer. Masukkan minyak & guna api sederhana. Setelah minyak panas, goreng doh sehingga kekuningan kedua-dua belah. Tapis & kemudian sadurkan dengan gula. Cucuk sedikit dengan pisau tepi donat & kemudian paipkan inti coklat atau Nutella atau jem. Siap bomboloni kita.


Boleh juga nak buat donat biasa. Sama aje dohnya cuma anda kena buat bulatan di tengah. Ayah mertua jenis makan kuih tradisional, makanya kalau pelik skit, jarang dia nak usik.

Tomyam Ayam & Cendawan makan dengan Kueh Tiaw


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Dek kerana ramai ahli keluarga yang tak berapa sihat sekarang & saya juga mengejar masa bekerja, makanya, ini resipi mudah tomyam ayam dan cendawan untuk makan dengan kueh tiaw mahupun nasi. Pak mertua saya memang suka tomyam. Mampu aje dia makan tomyam tiga hari berturut-turut. 

Bahan:
4 keping bahagian isi ayam dipotong kecil
1 batang lobak merah dihiris serong
1/2 bunga kobis, dihiris besar
10-13 kuntum cendawan tiram
6 helai daun limau purut
3 batang serai, diketuk
8 biji cili padi
2 biji bawang besar, belah 4
1 inci lengkuas dihiris nipis
2 biji limau nipis, perah jusnya
1 pek kecil pes tomyam pilihan
1 kiub tomyam
1 sudu besar gula
Garam secukup rasa
Air secukupnya

Bahan kisar halus:
2 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
3 biji cili merah
1 biji tomato (pilih masak ranum)

Penyediaan:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar halus & serai hingga wangi. Masukkan air lebih kurang 1 liter. Kacau sebentar & biarkan mendidih. Masukkan pes tomyam, kiub tomyam & lengkuas. Masak sebentar & masukkan lobak merah serta ayam. Masak hingga lobak sedikit empuk (masak dalam 4-5 minit).
2. Masukkan daun limau purut, cili padi, bunga kobis, cendawan, & bawang besar. Kacau & masak hingga sayur lembut. Masuk sedikit gula & kacau rata.
3. Tuang jus limau nipis, kacau & akhir sekali masukkan gula & garam secukup rasa. Siap tomyam ayam dan cendawan menu mudah kita ni. 

Ayam Masak Merah yang Sedap


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Ayam masak merah bila sesekali makan memang Pergh!! Sedap sangat.

Sesekali bila isi kuahnya dikisar bawang, halia & lengkuas, rasanya memang lain.
Cuba anda try. InsyaAllah mesti nak buat lagi. Enak sangat makan dengan nasi tomato atau nasi putih.

Bahan:
Bahan ayam goreng.

1 ekor ayam dicuci bersih
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 camca teh garam

Bahan sambal.
1 biji bawang besar dihiris bulat
2 batang serai diketuk
3 sudu besar cili kisar
3 camca besar sos cili
2 sudu besar puri tomato
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
Garam & gula secukup rasa
1 - 2 cawan air

Bahan kisar halus:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 inci halia
1 inci lengkuas

Penyediaan:
1. Ayam digoreng hingga masak, tak perlu garing. Angkat & toskan. Ketepi sebentar.
2. Keluarkan minyak & tinggalkan dalam 1/2 cawan. Tumis serai, kayu manis & bunga lawang hingga wangi. Kemudian, masukkan bahan kisar & masak hingga pecah minyak.
3. Tambah cili kisar & sos cili. Kacau rata & masukkan pula puri tomato. Kacau sesekali & masak hingga pecah minyak.
4. Masukkan ayam, gaul rata. Tambahkan bawang. Perasakan dengan gula & garam. Jika nak lembab skit, tambahkan air. Jika tak mahu, gaul seketika & siap untuk dihidang ayam masak merah.

Jelatah @ Acar Mentah Segar


Assalammualaikum & Salam Sejahtera. Jelaltah, simple salad untuk makan dengan nasi putih ataupun nasi tomato. Kiranya macam salad orang Asia lah :)

Jika suka, boleh letakkan hirisan bawang besar. Saya tak letak sebab confirm takde orang nak makan bawang tu kat rumah ni.

Bahan:
1 biji timun dipotong nipis
1 biji lobak merah dipotong nipis
1 tangkai cili merah dihiris
1 biji nanas dibuang kulit & di potong kipas (buang bahagian tengah keras tu)
1 camca besar gula
1/2 camca teh garam

Penyediaan:
1. Masukkan timun, lobak merah, cili, nanas ke dalam satu bekas.
2. Masukkan gula & garam. Gaul hingga mesra. Siap jelatah atau acar mentah segar kita.

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...