Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Malaysia miliki artifak dan khazanah berusia 788 tahun sebelum masihi, Kerajaan Kedah Tua di Sungai Batu


 Assalammualaikum dan salam sejahtera. Dalam sebulan ni, tular di media sosial tentang isu Prof. Solehah, UIAM, Melayu boleh terbang, Rom belajar buat kapal dengan orang Melayu dan meteor pernah menghentam bumi Semenanjung. Isu ni sangat hangat diperkatakan dan diperbincangkan oleh penggemar sejarah,ahli akademik dan sesetengah orang awam.

Saya sudah lama mengikuti penemuan khazanah yang dimiliki oleh Sungai Batu di Sungai Petani, Kedah. Asalnya, saya dan suami mengetahui tentang Sungai Batu ini bilamana suami membeli senaskhah buku terbitan The Patriots bertajuk Perjuangan Sungai Batu Sebuah Memoir dicetak pada tahun 2019. Bila tengok suami beli buku dan kemudian menceritakan tentang isinya, menarik. Settle dia baca, saya pulak baca. Bila dah membaca tu, haruslah saya cari info kebenarannya di Youtube atau video yang share di FB. Dan start dari situ, kami berdua sering mendengar kisah dan podcast yang menceritakan tentang kehebatan dan penemuan atifak serta khazanah yang ada di Sungai Batu. Dan selepas COVID, kami terdengar pula tentang pendedahan baru Sungai Batu yang ditemui oleh Prof Mokhtar melalui Prof Solehah. Sangatlah menarik infonya. Sampaikan kami berdua berhasrat, jika ada rezeki, nak ke tempat ni. Nak lihat sendiri dengan mata kepala apakah sama seperti yang didengari di Youtube, di Fb dan dibaca di media. Dan sejak dari penemuan yang dibuat oleh Prof Mokhtar dan Prof Solehah ni, saya makin teruja untuk mendengar kisah-kisah sejarah lampau yang digali kembali oleh profesor zaman kita. Rajin lepas tu saya mendengar podcast dan Youtube dari Ustaz Amin, Prof Mu'ati, Dr. Mat Rofa dan a few lagi sejarawan di negara kita. Info baru ni adakalanya bercanggah dengan silibus yang pernah belajar di sekolah.

Saya tak nak lah cerita banyak. Apa yang saya nak kongsikan kali ni adalah tentang khazanah sejarah yang dimiliki oleh Sungai Batu. Satu penemuan sejarah pada saya telah ditentukan oleh Allah muncul di zaman kita. Bumi Kedah khususnya memanjang hingga ke selatan Thailand memiliki batuan besi yang bukannya sedikit. Dan bukan itu sahaja, dari permukaan bumi, telah keluar artifak lama yang apabila pihak USM kaji ianya adalah alat yang digunakan untuk peleburan besi pada zaman dahulu berserta dengan beribu batu bata lama yang masih elok preserve. USM telah menghantar pakar mereka untuk membuat ekskavasi di kawasan yang  ditemui. Dan hasilnya sangat mengejutkan. 

Bila pentarikhan atau carbon dating dibuat ke atas batu-bata, tuyere, dan artifak lain yang ditemui, rupanya bukan kaleng-kaleng tahun artifak ini dibuat. Pentarikhan yang paling lama adalah bertarikh 788 tahun sebelum masihi. Maksudnya tapak peleburan besi, jeti lama, relau yang dijumpai adalah lebih lama dan sebelum kelahiran Nabi Isa a.s. Bukan itu sahaja, jika anda nak lebih faham, boleh rujuk gambar di bawah yang saya ambil di Muzium Pahang. Anda akan nampak lebih jelas kedudukan Sungai Batu atau Kerajaan Kedah Tua pada zaman yang melibatkan nabi-nabi kita. 


Jika dilihat pada pentarikhan 788 tahun sebelum masihi, kerajaan Kedah Tua berada pada zaman Nabi Yahya, Nabi Zakaria, Nabi Yunus, Nai Ilyasa' dan Nabi Ilyas.

Masa saya dan suami ke Tapak Arkeologi Sungai Batu, kami dengar penerangan staf tapak arkeologi. Mereka menyatakan beberapa tapak dikenalpasti ada yang bertarikh sebelum masihi dan ada yang bertarikh selepas masihi. Kiranya, jika difikirkan, beratus tahun juga pelabuhan kerajaan Kedah Tua ni beroperasi. Bukan tu sahaja, bila dengar perkongsian ilmu Prof Solehah dan Ustaz Amin dalam beberapa podcast, kami berdua dapat ilmu baru. Tak mustahil apa yang disampaikan dalam ceramah Ustaz Amin tentang ilmu melembutkan besi Nabi Daud tu ada pada orang Melayu kita tak salah. Plus, kami berdua juga dah tengok sendiri dengan mata yang keris picit itu wujud. Ada di Muzium Terengganu. 

Ok, saya nak kongsikan beberapa gambar yang sempat diambil masa ke tapak Arkeologi Sungai Batu bulan Mei 2026 lepas. Setiap gambar, saya ceritakan secara ringkas ya. At least, anda yang membaca dapat clear picture apa disampaikan dan ditemui. 

Ini antara artifak lama yang ditemui sewaktu ekskavasi. Ada bijih besi, batu-bata purba, tembikar dan tuyere (peniup angin)


Contoh miniatur relau atau tempat membakar besi pada zaman dahulu. Relau ni dapat membakar besi pada suhu 1500 celcius.

Ini bijih besi yang belum dilebur. Nampak macam batu biasa. Tapi once korang pegang, berat dia memang lain macam. 


Ini pula adalah serpihan jongkong besi yang ditemui di tapak ekskavasi Sungai Batu. Kita dulu eksport besi guna jongkong ya bak kata Prof Dr. Mokhtar. 

Ini pula dipanggil tuyere atau peniup angin. Jika di Perancis mereka jumpa kurang dari 30 tuyere tapi di Sungai Batu, di satu tapak ekskavasi saje ada hampir 2 juta tuyere. Betul ke 2 juta tuyere? Nanti tengok gambar lain saya share di seterusnya.


Contoh miniatur jeti pelabuhan kuno dahulu. Tempat di mana kapal-kapal berdagang menukar besi dengan barangan lain.

Pentarikhan telah dibuat dan dipersetujui oleh banyak pihak bahawa tamadun Kedah Tua adalah berusia lebih tua daripada tamadun Inca Machu Picu, tamadun Angkor Watt, tamadun Borobudur dan tamadun Rom. 

Mengikut catatan manuskrip lama, negara yang berdagang dengan kita waktu dulu memanggil kita dengan gelaran yang mereka sendiri faham. Jika ikutkan pada peta ni, pedagang Mesir memanggil tempat kita sebagai Kala/Gedda. Pedagang dari tanah Arab pula memanggil kawasan kita sebagai Kalah/ Kalah Bar/ Kilah/ Kalai/ Qalha. Para pedagang dari benua India pula memanggil kita sebagai Kadaram/ Kidaram/ Kalagam/ Kheddah/Geddah. Manakala pedagang dari benua China pula memanggil kita dengan nama Che-Cha/ Hsiieh-Cha/ Shiah-Chin/ Kie Ta'a/ Kora/ Kola.2

Ini tapak ekskavasi yang agak muda. Dalam gambar ni, anda boleh lihat berapa dalamnya jumpaan batu-bata purba dan tuyere jika dibandingkan dengan akar pokok kelapa sawit yang ditebang tu. Satu tapak ni sahaja, ada beribu tinggalan artifak. 

Anda boleh lihat di sini, ada beberapa ketul tuyere yang elok bulat bentuknya. Dan kalau difikirkan dengan akal yang sihat, kita pasti tertanya dalam hati, 'teknologi yang bagaimana agaknya orang dahulu guna sehingga dapat hasilkan tuyere yang tahan panas, tahan lama dan elok bulatnya saluran yang dibuat. Semuanya sama bentuk. Takde yang beza'. 


Kerja-kerja ekskavasi telah dibuat. Dan di sini antara tapak yang dikatakan punya artifak lama. Oh ya, masa di sini juga, kami diterangkan bagaimana cara-cara ekskavasi dilakukan. Barulah kami berdua dapat ilmu baru bab ni. Kalau tak, pandai sendiri ajelah main agak-agak.

Ni antara tapak lain yang punya berjuta tuyere. Kenapa pihak arkeologi claim berjuta? Yang korang nampak kat dalam gambar ni area permukaan aje. Ce korek dalam skit lagi, mesti ada jumpa lagi. Beratus tahun kot tapak peleburan besi ni berusia. Takkanlah jumpa 50 ketul je.


Kalau tengok gambar ni, kita akan lihat banyak serpihan dan ketulan tuyere dan batu-bata purba. Cuba tengok ke dalam skit  tu. Mengikut staf tapak arkeologi, bentuk yang macam bangunan tu adalah tapak ritual. Ritual apa? Semua orang tak tahu. Sebab sehingga hari ni, takde penemuan bertulis ditemui tentang agama atau apa fungsi petak empat segi tu. 

Ini gambar lebih clear untuk lihat tapak ritual tu.


Ini pula adalah tapak jeti pelabuhan. Macam mana mereka tahu ini tapak jeti? Tengok gambar bawah.

Jika anda perhatikan dengan teliti, nampak tak ada beberapa batu-bata bersusun rapat seperti melekat ke tanah. Itu sebenarnya adalah jalan yang membawa kenderaan membawa besi ke pelabuhan (kalau nak info lebih macam mana staf arkeologi tahu, korang pi Sungai Batu dan buat appointment sendiri untuk tanya lebih lanjut).


Anda boleh baca apa yang tertulis di depan tapak ekskavasi ni kenapa ia dikenali sebagai tapak jeti. 

Masa mula-mula kami baca FB Sungau Batu dulu, mereka kata dalam tasik ni ada dijumpai rangka kapal kuno. Kenapa mereka boleh claim begitu? Anda boleh tanya sendiri staf arkeologi sana. Jawapannya biar saya simpan sendiri ;)



Kegigihan kami bila dah sampai Sungai Batu ni. Hujan lebat pun redah. Bukan apa, dah alang-alang sampai dan kami tak tau bila sampai lagi, jadinya kami redahlah. Nasib brader staf tapak arkeologi layan kami dengan jayanya.  

Lagi gambar tapak jeti pelabuhan di bahagian lain tapak ekskavasi. 


Jeng jeng jeng... Kami dah pegang artifak lama yang berharga ni. Anda bila lagi??


Apa yang anda pandang ni bukan tanah biasa. Ini adalah tanah berpasir pantai. Kalau ikutkan jarak sekarang, pantai ke kawasan Sungai Batu ni adalah sejauh lebih kurang 5-6km. How come pasir pantai boleh 'berjalan' sejauh tu?

Lihat perbezaan antara batu biasa dan batu purba. Kalau nak tahu mana batu biasa dan mana batu purba, tunjuk gambar ni kat staf tapak. Mesti mereka boleh terangkan.


Jika anda ke seberang jalan (tapak arkeologi ni ada 2 dan dipisahkan dengan jalanraya), apa yang anda lihat sekarang ni bukan akar pokok ya. Ini adalah pecahan relau. Mereka terpaksa balut pecahan ni sewaktu proses pemindahan dari satu tempat ke tapak pameran. 


Another tuyere in my hand. Serius berat benda alah ni. Batunya pejal. Nampak tak gegelung bulat di tengah. Bagaimana agaknya teknologi orang zaman dulu buat benda alah ni sama aje beratus tahun dan tahan beribu tahun...

Tuyere, bijih besi, jongkong besi dan tembikar.


Antara artifak lain atau relik yang kami kagum bila melihatnya. Apa fungsi batu bata besar gini? Nampak tak potongan dan bentuknya yang sekata. Bagaimana orang dulu potong dan buat batu ni preserve beribu tahun? Dah rasa macam dalam cerita National Treasure plak. 


Ini lagi satu relik. Kami tanya apa fungsi batu besar ni? Staf kata, mungkin ini peralatan yang digunakan oleh orang zaman dulu untuk mengisar something. Saya pulak, bila tengok relik ni, terus teringat filem National Treasure 2. Scene waktu Nicolas Cage nak keluar dari gua yang airnya mula masuk dan melimpah.

Ini antara relau yang agak lengkap. Besarkan saiznya. Dan macam kasut gergasi. Ketinggiannya lebih kurang ketinggian saya (dalam 160cm). Ianya terpaksa dibalut kerana proses pemindahan dari tempat ia dijumpai dan bawa ke tapak pameran. 

Di tapak peleburan besi ini juga ditemui manik dan cengkerang. Ia dikatakan digunakan menjadi barang perhiasan dan barang perdagangan. Serpihan tembikar dan seramik turun ditemui di tapak yang berusia 1-7 masihi ni. 


Tengah berjalan ke tapak ekskavasi lain, tetiba staf tapak kata, "Ce tengok bawah." Kami tengok. Tu bijih besi sebenarnya. Bukan batu biasa. Kau seriuslah dik... gini aje Allah timbulkan bijih besi keluar dari permukaan tanah. Akak main pijak-pijak aje dari tadi berjalan. Kalau tahu, akak kutip semua bawak balik jadi kenangan :)

Antara penerangan bergambar yang ada di tapak arkeologi. Ada satu insiden kat sini yang buat saya rasa sangat-sanagt perlu ditambah baik terutama di zaman AI ni. Video yang menunjukkan aktiviti yang dijalan di satu-satu tapak tu sangatlah out dated. Hopefully adalah pihak-pihak tertentu dapat bantu pihak tapak arkeologi untuk menambahbaik penerangan kepada orang awam di masa hadapan. 


Lepas dah habis merayap, kami diperkenalkan dengan alatan untuk membuat ekskavasi satu-satu tapak arkeologi. Bila staf ni terangkan tentang alatan yang digunakan, barulah kami faham fungsinya. 

Another best part bila datang sini ialah kami dapat cuba sendiri cara-cara untuk mencari artifak. Dah rasa macam arkeologist plak.


Antara artifak manik dan butang yang dijumpai masa proses ekskavasi. Benda alah ni pun rupanya mampu bertahan beribu tahun. Ini antara bukti bahawa wujud perdagangan di kawasan Sungai Batu ni. 

Sebelum kami balik, kami ditunjukkan pula bagaimana batu-bata zaman purba dibuat. Pihak universiti dan buat kajian, ada 4 bahan diperlukan untuk membentuk batu bata zaman dulu. Siap ada ratio setiap bahan lagi yang digunakan untuk buat batu-bata ni. 


Bahannya adalah tanah, pasir, sekam dan air. Bila dah gaul semua dan dapat kepadatan tertentu barulah dimasukkan dalam bekas empat segi kayu tu. Padatkan dan kemudian keringkan dan kemudiannya bakar. 

Jika anda minat sejarah dan minat untuk dapatkan ilmu dan info baru, Sungai Batu ni adalah salah satu tempatnya di Malaysia. Datanglah, lihatlah dan rasailah sendiri apa yang dikatakan sebagai sejarah bernilai bagi bangsa Nusantara. Ramai orang suka berdebat tapi tidak melihat kepada faktanya. Jika apa mereka temukan ini salah, datangkan sekali dengan facts and figures untuk menidakkannya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...