Sesebuah perkahwinan tentunya berharap adanya zuriat. Tetapi sekarang ini, ujian tiada zuriat semakin ramai dihadapi oleh pasangan berkahwin. Saya dan suami, sudah 18 tahun berkahwin dan sehingga kini kami masih belum dikurniakan Allah dengan rezeki zuriat ini. Adik saya pula, 9 tahun alami fasa ujian tiada zuriat dan akhir tahun ke-9, Allah kurniakan rezeki memiliki anak kecil. Dia mengandung di usia lebih 37 tahun. Alhamdulillah, ibu dan anak sihat lepas kelahiran.
Tak semua orang menghadapi ujian tiada zuriat ini. Antara salah satu faktor penyumbang rumahtangga berantakan atau ‘sejuk’, bilamana ada pasangan atau ahli keluarga mempertikaikan kenapa kita sukar atau tidak memiliki. 8 tahun pertama perkahwinan, kami berdua diasak dengan soalan, pertikaian, perlekehan dan macam-macam lagi yang susah nak terangkan (hanya orang yang hadapi situasi macam kami aje tahu keadaannya). Alhamdulillah, syukur Allah banyak bantu kami hadapi fasa ini. Meski banyak drama air mata, sakit hati, kecil hati dan tertanya-tanya dalam diri, kami berdua kuatkan diri hadapinya. Kami tahu, ada sebab Allah belum kurniakan. Kami belajar untuk sangka baik pada Dia. Belajar percaya pada perancangan Allah.
Ujian tiada zuriat ini sebenarnya lain orang lain cara penerimaannya. Ada pasangan boleh aje bersabar dan mula membuat perancangan jika tiada zuriat hingga ke tua, ada juga pasangan yang berbincang bersama untuk mengambil anak angkat bagi mengisi kekosongan ruang dalam hidup, ada juga pasangan yang tidak kisah jika pasangan mereka berkahwin lain (erti kata lain, bermadu) dan yang paling cuba dielakkan adalah berlakunya perceraian hanya kerana Allah ‘belum memberi lagi’. Pernah saya terbaca beberapa kes tentang pasangan itu ok aje hidup berdua bersama tapi oleh kerana campur tangan orang ketiga sama ada daripada ibubapa, adik-beradik ataupun rakan, rumahtangga perlahan-lahan berantakan. Itu belum lagi ada kes orang cemburu bila tengok pasangan belum berzuriat ini elok aje ‘lovey dovey‘ berdua tapi mereka yang ada anak cemburu tak tentu fasal sebab pasangan sendiri tak beri perhatian sewajarnya pada mereka (yang ni laki bini memang kena bawak bincang).
Pada saya, sama ada kita berkahwin atau tidak, ada zuriat atau tidak, hidup kena belajar percaya pada perancangan Allah. Ingat sentiasa firman Allah ini, “Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan apa yang telah dia usahakan dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang telah dia lakukan,“(Surah al-Baqarah 2: 286).
Pada awal perkahwinan memang sukar. Tak dinafikan. Tapi fasa demi fasa Allah bantu kami, pandu kami dan Dia tahu kami berusaha untuk bersabar dan kuat. Dan akhirnya, Allah berikan kami ‘hadiah’ kegembiraan tersendiri untuk menceriakan kami. Saya tak naklah senaraikan apa yang Allah berikan tapi yang saya boleh katakan, setiap hari ada sahaja nikmat yang Allah beri untuk kita hargai, gembira dan tak terlalu memikirkan tentang ujian tiada zuriat ini. Hidup perlu
diteruskan dengan perbanyakkan melakukan perkara baik, buat apa kita suka, buat apa Allah dan Rasul suka, belajar ilmu baru, mengembara dan macam-macam lagilah.

Ada satu hadis Nabi s.a.w ini yang saya dan suami pegang hingga sekarang yang buatkan kami cuba kuat, bertenang dan yakin pada Dia. Ini hadisnya, ‘Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara; Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak soleh yang mendoakan baginya,’ (hadis riwayat Muslim, al-Nasa’i, Tirmizi dan Abu Daud). Kena beritahu pada diri yang kami ada dua lagi cara untuk kutip saham akhirat iaitu sedekah jariah dan ilmu yang dimanfaatkan oleh orang lain (seperti sekarang inilah, anda yang tiada zuriat sedang baca artikel ini untuk cari kekuatan). Ingatkan juga dalam diri bahawa, selagimana bernyawa, kita tahu ada tugas yang Allah mahu kita lakukan untuk dijadikan kebaikan pada diri, orang lain dan akhirat.
Cemburu, sedih, kecil hati, marah itu semua akan ada dalam diri kita bila dalam situasi ini. Ia akan on and off. Apa yang boleh kita lakukan, doa pada Allah, mengadu ke Dia, buat perkara lain yang meralitkan kita, buat perkara yang kita sukai atau baru atau pergilah keluar ambil udara. Jangan dilayankan sangat rasa negatif tu. Ingat! Syaitan memang suka kita lama-lama sedih bagai. Jangan beri mereka menang. Kuatkan diri dan cakap pada diri, “Aku ada Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk aku. Dia takkan sia-siakan aku. Dia Maha Baik dan sebaik-baik perancang. Ujian tiada zuriat bukan masalah besar bagi kita. Ujian yang besar itu sebenarnya bila kita sudah di alam ‘sebelah’. Do what makes you happy. Be grateful everyday coz everyday Allah cheer us with so many things in life that makes our life easier.
Jika anda nak bina rasa bersyukur perlahan-lahan dan hargai apa sahaja Allah beri setiap hari, anda boleh cuba catatkannya di dalam jurnal kesyukuran. Untuk anda mulakan menulis, boleh dapatkan kit awal di Ekspresi Syukur. Kita cuba bangkit untuk percaya pada semua perancangan Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan