Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

7 hikmah mengapa jatuh dan bangun dalam hidup itu perlu untuk mematangkan kita

 Baru-baru ini, saya ada mendengar podcast di Zayan. Mereka menemubual artis Ebby Yus dan ada satu kata-kata beliau tentang pentingnya jatuh dan bangun itu dalam hidup manusia. Kata beliau, “kita sebagai hamba Allah perlu bersedia menghadapi jatuh dan bangun kerana itu kesempurnaan Allah dalam menjadikan kita. Kita perlu menerima jatuh bangun itu dengan seadanya, dengan seredhanya.”
Masa saya dengar kisahnya, pengalamannya, secara tak langsung, baru saya faham konsep hidup yang Allah berikan. Setiap kali jatuh atau bangun, ada yang Allah mahu kita pelajari, fahami, kenali, renungi, amalkan, sedarkan, usahakan dan jangan lupa untuk belajar percaya kepada apa yang diberikanNya. Kata Ebby Yus, “Allah letakkan kita di muka bumi ini bukan untuk menzalimi kita. Dia mahu kita menjadi seorang yang bertanggungjawab.

Dalam hidup ini, tiada siapa yang akan sentiasa berada di atas atau statik. Kita semua akan melalui  pelbagai fasa hidup, saat-saat manis dan pahit, saat berjaya dan gagal, saat kuat dan lemah juga saat gembira dan berduka. Namun, suka atau tidak, kita kena bersedia untuk menghadapi semua itu. Jatuh dan bangun dalam hidup ini sebenarnya mengundang banyak hikmah yang baik cuma kita yang selalu pandang ianya menyedihkan dan menyakitkan.

7 hikmah mengapa jatuh dan bangun perlu ada dalam hidup manusia:

  1. Kita akan belajar meminta kepada Allah untuk diberikan kekuatan – Bila kita dalam fasa jatuh, selalunya bukan mudah untuk terus bangkit dan berjaya kembali. Pada waktu ini, emosi, mental, kewangan, fakus semuanya entah ke mana dan ada ketika jatuh merundum teruk. Dan pada masa inilah, kita perlu banyak-banyak ingatkan Allah dan meminta kepadaNya. Untuk bangkit semula, pada waktu ini, kita perlu belajar redha dan sabar. Ia tidak semudah ucapan tapi suka atau tidak, kita perlu Allah meminjamkan kita kekuatan, kesabaran dan rasa redha. Bila sikap redha ini muncul, perlahan-lahan proses untuk bangkit semula akan muncul. Di sini, kita berharap agar pandu kita, buka minda kita dan belajar melepaskan.
  2. Jatuh dan bangun itu anugerah – Kita kena bawa diri kita untuk menyakinkan diri bahawa setiap kejatuhan dan kejayaan itu ada pengajaran dan hikmah tersendiri yang Allah hadiahkan. Kita kena lalui fasa kehidupan itu dengan yakin dan percaya bahawa semua yang berlaku telah ditentukan olehNya dan semuanya ada hikmah tersendiri untuk kita menerimanya. Proses ini dipanggil yakin pada apa sahaja ciptaanNya. Jaga juga hati kita akan tidak dirosakan dengan perkara yang negatif.
  3. Hendak merasa nikmat sihat, kita kena rasai rasa sakit dahulu, hendak rasa terang, kita akan melalui suasana gelap dahulu – Fasa hidup jatuh dan bangun ini sebenarnya banyak mengajar kita erti bersyukur. Bersyukur akibat kita jatuh dan bersyukur juga saat Allah berikan kekuatan dan akal kembali, bukan mudah. Tetapi percayalah bahawa setiap kekesalan, kejatuhan, kesedihan itu mengenalkan kita kepada buruk dan baik apa yang sedang dan telah berlaku.
  4. Berani menerima takdir– Setiap orang sudah ditentukan takdirnya sejak 6000 tahun sebelum kelahiran di dunia. Maka, setiap apa yang berlaku, suka atau tidak, kita pasti akan menghadapinya. Cuma bila ujian ‘jatuh’ itu datang, cepat-cepatlah kita berusaha untuk tidak terus jatuh dan kembali bangkit kerana kita tahu “Jika Allah izinkan aku jatuh, Dia juga akan bantu aku bangkit.” Dan di sini, hati yang bersyukur itu perlu kuat kerana rasa yakin bahawa hidup ini bukan tentang kesempurnaan, tetapi tentang kesungguhan untuk meneruskan hidup dan mendapat redha Allah.
  5. Kita dapat belajar dan mengenali perkara baru yang berbeza – Bila kita dalam fasa jatuh dan mahu bangkit kembali, di sini, kita akan dikurniakan Allah dengan mengenali orang baru, ilmu baru, cara baru dan pengalaman baru. Di setiap ‘tempat baru’ ini ada pembelajarannya yang tersendiri. Kita mungkin akan dapat ilmu dari orang miskin, orang kaya, orang buta, orang pencen, orang baik, orang jahat dan sesiapa sahaja. Allah mahu kita tambah ilmu ‘sesuatu’ dari mereka untuk kegunaan kita di masa hadapan.
  6. Bahasa Allah ini unik – Menurut Ebby Yus, beliau memberikan contoh tentang rumahnya yang 10% lagi hendak siap tapi ‘dibahasakan oleh Allah’ dalam banjir besar yang berlaku di Hulu Langat tahun 2022 dahulu. Segalanya musnah. Dia sendiri beranggapan bahawa, Allah memusnahkan rumahnya kerana tiada keikhlasan dan lain-lain perkara yang menyumbang kepada perkara yang tidak baik dan pada masa yang sama, ingin melihat hati kita, bagaimana kita menerima ujian ini sama ada redha, sabar atau tetap menyalahkan takdir. Perlahan-lahan, kita perlu memahami ‘bahasa Allah’ mengajar hambaNya.
  7. Redha dengan rezeki – Ada hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a dari Baginda s.a.w berkaitan rezeki ini. “… Kemudian diutuskannya malaikat untuk ditiupkan kepadanya rohnya dan (malaikat) diperintahkan untuk menetapkan empat perkara; menetapkan rezekinya, ajalnya, amalnya dan kesudahannya sama ada derita atau bahagia…” (HR Muslim). Kerisauan tentang rezeki ini ada pada setiap manusia terutama sekali bila kita mula membuat perbandingan. Apa yang kita kena tanam dalam fikiran ialah setiap kita ada rezeki yang sentiasa mengikut selagi hidup. Bagaimana, dari mana, sumber mana itu rahsia Allah, kita, cuma perlu berusaha, berdoa dan bertawakal agar Allah bantu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah rezeki yang kita sedang hadapi waktu itu (contoh tak cukup duit nak bayar duit rumah, beli ubat doktor, anak sakit, kereta rosak dan sebagainya). Kita kena bergerak untuk berusaha bukan biarkan aje meskipun tahu rezeki itu dari Allah.

Hidup ini bukan perlumbaan untuk menentukan kita menang sepanjang masa. Ia adalah perjalanan yang penuh ujian, cabaran, keseronokan, keterujaan, di mana kita belajar sesuatu daripadanya. Dari sini, kita akan berpeluang mendalami, mempelajari, mempraktikkan ilmu baru dan sedia ada untuk mensyukuri nikmat jatuh dan bangun dalam hidup yang Allah berikan. Apabila kita bersedia untuk jatuh dan bangun semula, kita sedang menbuktikan pada diri bahawa kita sedang cuba untuk tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Maka, setiap langkah yang kita ambil, walaupun kecil dan perlahan ia adalah bukti bahawa kita mahu hidup dalam redha Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...