Selesai mengaji dan baca riyadhus salihin muka sebelahnya, terbaca hadis tentang sebarkan kegembiraan dan mudahkan urusan orang lain. Hadis ini pula diperkuatkan untuk saya kongsi pagi ini dengan satu kisah yang saya baca dalam buku Dalam Hati Ada Syurga tentang ucap kata-kata positif, mudahkan urusan orang dan jangan susahkan. Ada hadis yang lebih kurang menyatakan hal yang sama.
Ini hadis dalam riyadhus salihin menyatakan tentang amanah dan buat baik.
Daripada Abu Maryam al-Azdi, dia berkata kepada Muawiyah, ‘aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang diamanahi sebahagian urusan kaum Muslimin oleh Allah kemudian dia menghindar tidak mahu berbuat kebaikan untuk mereka dan menutupi diri daripada melayani keinginan dan keperluan mereka, maka Allah pun akan menutup diri mereka daripada-Nya dan tidak melayani keinginan serta keperluannya.” Setelah mendengarnya, Muawiyah lantas menugaskan seseorang untuk mengurus keinginan manusia. (HR Abu Daud dan at-Tirmizi)
Daripada Abu Maryam al-Azdi, dia berkata kepada Muawiyah, ‘aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang diamanahi sebahagian urusan kaum Muslimin oleh Allah kemudian dia menghindar tidak mahu berbuat kebaikan untuk mereka dan menutupi diri daripada melayani keinginan dan keperluan mereka, maka Allah pun akan menutup diri mereka daripada-Nya dan tidak melayani keinginan serta keperluannya.” Setelah mendengarnya, Muawiyah lantas menugaskan seseorang untuk mengurus keinginan manusia. (HR Abu Daud dan at-Tirmizi)
Hadis kedua yang saya baca dari buku Dalam Hati Ada Syurga pula menyatakan begini;
Daripada Abu Musa, Nabi s.aw. bersabda, “Sebarkan kegembiraan dan janganlah menyebabkan orang lain menjauh diri (dengan memerintahkan mereka suatu perbuatan yang berat). Mudahkanlah urusan dan jangan disukarkan.” (HR Muslim)
Daripada Abu Musa, Nabi s.aw. bersabda, “Sebarkan kegembiraan dan janganlah menyebabkan orang lain menjauh diri (dengan memerintahkan mereka suatu perbuatan yang berat). Mudahkanlah urusan dan jangan disukarkan.” (HR Muslim)
Kedua-dua hadis ini menyatakan betapa pentingnya kita berbuat kebaikan, memudahkan urusan orang, bercakap perkara-perkara yang menaikkan semangat dan memotivasikan, membantu meringankan kerja dan keperluan tertentu serta beri sokongan di saat genting. Seperti apa yang dikatakan penulis, kata-kata pujian, sokongan dan motivasi sebenarnya sangat ringan untuk diucapkan kepada orang lain tapi entah mengapa kita memilih untuk mengucapkan kata-kata cemuhan, sindiran dan negatif. Kita seolah-olah menunjukkan rasa cemburu dan dengki secara tersirat melalui ucapan tersebut. Kita seolah suka melihat orang lain ‘down‘, kecil hati, merasa rendah diri dan sewaktu dengannya.
Bukan itu sahaja, mereka yang berkuasa contohnya seperti pemerintah, ibubapa, guru, mentor, ketua jabatan atau mereka yang berpengaruh, sepatutnya menunjukkan contoh yang baik bukan sahaja melalui ucapan yang positif dan bersemangat tetapi juga berusaha melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Ibubapa contohnya, cuba elakkan untuk sentiasa mengucapkan kata-kata negatif kepada anak-anak. Ini kerana kata-kata negatif yang melekat pada minda anak-anak akan menyebabkan mereka menanam dalam kepala bahawa mereka seperti apa yang dikatakan iaitu tidak berkemampuan, lemah, pasif dan tidak bagus seperti apa yang diucapkan dan sebagainya. Secara tidak langsung, ia telah membunuh perlahan-lahan keinginan untuk bersaing, berfikiran positif dan kegembiraan anak tersebut. Satu kalimat yang diucapkan sangat besar kesannya kepada orang lain.
Kedua-dua hadis ini juga menunjukkan bahawa amanah penting dalam sebarkan kegembiraan dalam setiap urusan yang menjurus ke arah kebaikan. Pemimpin yang berusaha menguruskan keperluan rakyatnya atau orang dibawahnya Allah akan bantu mereka dalam permudahkan bukan sahaja urusan pentadbiran negara, kerja, keluarga tetapi juga peribadi. Itu janji yang Allah berikan melalui lisan Nabi-Nya. Hadis ini juga sebagai peringatan kepada ketua yang tidak mahu menguruskan kepentingan rakyat dan mewujudkan keperluan yang sewajarnya di mana Allah tidak mahu menemui mereka di satu ketika nanti.
Kita sendiri sebagai individu juga punya tanggungjawab. Kita bertanggungjawab dalam menyebarkan kebaikan dalam apa jua bentuk yang termampu. Mungkin kita boleh sebarkan kebaikan melalui tulisan, melalui nyanyian, melalui pembuatan hasil seni, ceramah dan sebagainya. Benda-benda yang adakala nampak mudah ini sebenarnya beri impak besar kepada individu tertentu. Mungkin ada sesetengah pihak akan perlekehkan dan memandang enteng, tetapi ingatkan diri bahawa, yang menghakimi kita, yang beri kita pahala, yang beri kita ilham adalah Allah. Jadi, abaikan suara-suara sumbang yang mengganggu kita dalam memudahkan urusan orang lain dan melakukan kerja kita.
Islam menyukai orang yang bercita-cita tinggi, bersemangat, tidak mudah putus asa dan meletakkan tawakal kepada Allah dalam usaha yang dilakukan. Kita sebagai hamba Allah yang beragama Islam perlu tekadkan diri agar tidak mudah menyerah kalah, berusaha buat terbaik dan termampu, berusaha untuk tambah ilmu dan tanamkan dalam diri untuk sebarkan kegembiraan tak kira cara serta berusaha untuk memudahkan urusan orang lain. Selagi kita lakukannya, secara tidak langsung kita sedang mempraktikkan hadis Nabi s.a.w.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan