Kadangkala kita terlalu fokus pada apa yang tiada, hingga terlepas melihat nikmat yang masih ada. Jadi kali ini, saya ingin kongsikan 5 perkara penting yang patut dihargai bila usia mencecah 40 tahun (saya dah cecah umur ni ya) yang perlu kita syukuri – terutamanya selepas melepasi fasa umur 30-an.
1. Kesihatan yang Masih Mengizinkan Kita Bergerak – Pada usia begini mungkin kekuatan tak sekuat dulu, telinga sudah mula kurang dapat menangkap ucapan, badan semakin ‘comel’ atau semakin kurus atau mata dah perlu bantuan cermin mata dengan tamabahan ‘power serta silau’. Tetapi jika kita masih boleh bangun dengan mudah tanpa dipapah, berjalan tanpa sakit kaki dan lutut, dapat memasak makanan enak untuk keluarga dan memeluk orang tersayang dengan eratnya, itu dikira nikmat yang besar. Ingatlah, bahawa pada usia begini, ada rakan-rakan kita sudah mula diuji dengan tahap kesihatan yang pelbagai. Ucapkanlah “Alhamdulillah, hari ini aku masih mampu berdiri, bergerak dan hidup,” sebagai tanda kita menghargai kesihatan yang masih dipinjamkan oleh Allah.
2. Masa Bersendirian yang Lebih Tenteram – Selepas bertahun-tahun menguruskan anak, pasangan, melayan masalah emosi, keluarga, belajar, kerja rumah dan sebagainya, ramai wanita mula mendapat semula “ruang diri” mereka. Pada masa ini, mereka mula mempunyai masa untuk membaca buku dan novel, minum kopi tanpa gangguan, menambah ilmu bab masakan, merancang percutian pendek dengan mudah atau sekadar duduk diam sambil mendengar burung berkicau — semua itu sangat berharga dan menenangkan. Pada usia begini, waktu untuk terlalu berkejar-kejar hal dunia mula semakin berkurangan. Ada tapi lebih menjurus untuk menambahkan juga saham buat akhirat. Anda bolehlah tulis dalam jurnal peribadi perkara seperti ini, “Syukur atas setiap detik tenang yang menjadi terapi buat jiwa saat ini.”
3. Hubungan yang Lebih Berkualiti, Bukan Kuantiti – Di usia ini, kita semakin tahu siapa yang benar-benar penting. Kita mula menghargai sahabat sejati, keluarga yang menyokong, dan pasangan yang setia. Walaupun bulatan sosial makin kecil, ia jadi lebih bermakna. kita akan lebih ‘picky‘ kualiti kawan yang berada di sekeliling. Antara ayat syukur yang anda boleh katakan papda diri atau tulis dalam diari ialah “Terima kasih, Ya Allah, atas insan-insan yang masih memilih untuk hadir dalam hidupku.”

4. Kebijaksanaan yang Datang Daripada Pengalaman – Wanita selepas usia 40 tidak lagi mudah panik. Ada cuma semakin berkurangan. Kita belajar dari kesilapan, dari pengalaman orang lain, dari jatuh dan bangun kita, dari kejayaan orang lain dan dari apa yang berlaku di sekeliling kita sama ada dari manusia, haiwan mahupun tumbuhan. Kita tidak mudah terpengaruh, kita mula merancang hidup agar lebih bermakna kerana waktu di dunia semakin singkat. Dari sini, kita mula lebih yakin dengan diri sendiri dan percaya bahawa Islam dapat membantu dan memandu kita untuk hidup lebih bermakna. Kita boleh nyatakan pada diri, “Alhamdulillah atas ilmu dan pengalaman baru yang Allah berikan untuk mematangkan diri.”
5. Nikmat Menghargai Hidup Dengan Cara Sederhana – Kadang-kadang kita rasa gembira hanya kerana baju kegemaran masih muat. Atau bila anak ucap “terima kasih”, walau hanya sebab masakan kita. Kita juga bersyukur kerana ada suami yang ringan tulang membantu kita memudahkan urusan rumahtangga. Usia 40 ke atas mengajar kita bahawa bahagia itu bukan lagi mewah dah berasa gah tetapi rasa cukup dan menghargai perkara kecil yang berlaku sekeliling kita. Apabila perkara baik ini berlaku ppada kita, perbanyakkanlah ucap Alhamdulillah. Pulangkan kembali kepada Dia yang memberi.
Hidup selepas mencecah 40 tahun bukan tentang apa yang kita hilang, tetapi apa yang kita mula sedar. Bila kita mula faham konsep hidup, kita mula faham kenapa perlunya jatuh dan bangun dalam hidup, kita mula belajar bercakap perkara yang perlu sepertimana yang disarankan Nabi s.a.w dan kita mula sedar bahawa melakukan apa sahaja kebaikan adalah semata-mata untuk mendapat redha Allah dan berkongsi manfaat juga ilmu dengan orang. Pada usia begini, rajin-rajinlah kita mengingati dan mempraktikkan apa yang disarankan Nabi s.a.w, ““Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Hadis riwayat Muslim, al-Nasa’i, Tirmizi dan Abu Daud)
Salah satu cara yang mungkin anda juga boleh praktikkan di usia mencecah 40-an ini (sama seperti saya) ialah dengan mula menulis jurnal kesyukuran. Jurnal kesyukuran ini antara bukti kita merekodkan dan menyimpan semua detik kebaikan yang diterima dan berlaku dalam hidup – supaya suatu hari nanti, kita boleh lihat kembali ke belakang dan berkata: “Alhamdulillah, aku telah hidup dengan penuh kesedaran dan kesyukuran.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan