Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Hilangkan rasa sedih dan kecewa dengan penulisan jurnal: Terapi untuk wanita yang alami ujian emosi

Dapat dililhat, perjalanan hidup wanita yang sudah melepasi umur 35 tahun dan lebih sangatlah berliku dan penuh cabaran — dari tuntutan pelajaran, keluarga, kerjaya, sehinggalah perubahan emosi dan hormon yang datang seiring usia. Tidak hairanlah jika ada masanya perasaan sedih hadir tanpa diundang. Namun begitu, ada satu cara mudah dan berkesan untuk menguruskan emosi ini: menulis jurnal atau diari. Itu yang saya lakukan dalam masa lebih empat tahun ini.

Tak dinafikan ada waktu kita sedih, kecil hati, terasa hati, rasa dipinggirkan, rasa tidak berguna, rasa malu, hendak marah tapi tak tahu hendak luahkan pada siapa, rasa bengang dan pelbagai lagi emosi yang berupaya mengganggu-gugat perasaan tenang dan akal waras kita. Rasa dari kelompok negatif ini perlu disalurkan segera ke tempat yang betul agar tidak mengganggu keharmonian diri, keluarga dan orang sekeliling. Lebih teruk lagi, kita merosakkan diri sendiri (saya pernah alami situasi ini dipertengahan umur 20-an). Rasa ini tak best langsung. Bertahun saya ambil masa untuk pulih dan ada ketika orang salah faham dengan karektor saya.
Mengapa Menulis Jurnal?

Menulis bukan sekadar mencatat peristiwa harian, tetapi ia adalah terapi emosi dan jiwa. Kajian menunjukkan bahawa dengan menulis, kita dapat mengekspresif apa yang terbuku di dalam dada. Bukan itu sahaja, dengan menulis atau mencatat, ia dapat membantu individu mengurangkan tekanan, mengenal pasti corak emosi, mengalihkan rasa marah atau sedih kepada perkara lain dan melepaskan bebanan dalaman.


Mungkin menulis tidaklah dilihat sehebat mereka yang melakukan aktiviti fizikal atau mencipta sesuatu tetapi sebenarnya ia mampu memberi rasa kelegaan pada diri orang yang menulis sekaligus meneroka sifat diri sendiri. Mungkin dari penulisan yang kita lakukan dalam jurnal atau diari sendiri, akan timbul idea-idea baru dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi atau orang lain. Bukan itu sahaja, apa yang saya perasan, bila kita menulis, kita seolah meletak harapan kepada Allah untuk diberikan panduan hidup atau hala tuju bagi mencapai sesuatu (itu sebab bila menulis dalam Jurnal Pelengkap Kegembiraan, saya letakkan harapan yang diingini. Ia seperti ‘target‘ untuk saya berharap agar Allah kabulkan impian saya + beri motivasi diri untuk berusaha).

Bagi wanita berusia 35 tahun dan lebih, fasa kehidupan ini sering melibatkan perubahan besar: anak-anak membesar, tekanan kerja meningkat, mula memikirkan cara mendapatkan wang lebih, kurangnya masa untuk berehat atau mula menyedari perubahan pada tubuh sendiri. Semua ini boleh menimbulkan rasa tidak tenang dan kerisauan. Di sinilah jurnal menjadi ruang peribadi untuk “bernafas”.

5 Cara penulisan jurnal menjadi terapi emosi menghilangkan perasaan sedih dan bimbang

1. Meluah Tanpa Menghakimi 
- Dalam jurnal, tiada siapa yang menghakimi. Anda boleh menulis dengan jujur dan terbuka — marah, sedih, penat, rindu, syukur, kecil hati atau kecewa dengan diri sendiri. Apabila perasaan ditulis, ia mula terkeluar dari minda dan hati, memberi ruang untuk kelegaan. Kita rasa ‘lega’ kerana dapat meluahkan. Ia mungkin tidak sebaik rakan baik yang mendengar tetapi kita akan rasa lebih selamat dengan menulis kerana kita tidak mengaibkan orang lain dan berjaya mengelak dari mengumpat. Jika anda menulis jurnal peribadi, sudah tentunya jurnal anda itu akan penuh dengan corat-coret dan warna-warni mukasurat mengikut emosi pada waktu itu.

2. Kenal Punca Kesedihan
- Kadang-kadang, kita rasa sedih tetapi tak pasti kenapa. Dengan menulis secara konsisten, kita mula nampak corak: Adakah sedih datang selepas berbual dengan seseorang? Atau selepas melihat gambar lama? Atau selepas menulis dalam whatsapp grup tapi tiada seorang pun ambil kisah? Dari sini, kita boleh mula faham dan merawatnya dari akar. Jika kita sedar ada kelemahan diri yang perlu diperbaiki, maka perbaikilah. Mungkin dari situ, ada sesuatu yang Allah mahu kita perbaiki atau tambah baik (sekarang ini, itu yang saya cuba lakukan bial sesuatu berlaku tidak seperti diharapkan).

3. Fokus pada Syukur
- Salah satu teknik journaling paling berkuasa ialah menulis tentang perkara yang kita syukuri setiap hari. Ia boleh menjadi sekecil “secawan kopi panas pagi tadi buat hati rasa gembira” atau sebesar “pelukan anak sebelum tidur”. Rasa syukur perlahan-lahan menggantikan kesedihan dengan ketenangan. Rasa syukur membuatkan kita menghargai sekecil-kecil perkara dan berasa cukup dengan apa yang dikurniakan Allah pada diri (jika ingin lebih, tetaplah kita perlu berusaha dan berdoa pada Allah. Dia tempat kita meminta).

4. Mengatur Semula Fokus
- Kadang-kadang, kita terlalu fokus pada apa yang tak kena. Kita mula membesarkan perkara yang kecil. Dengan menulis jurnal, secara tidak langsung membantu mengalihkan tumpuan kepada apa yang boleh dikawal dan dibina. Ia memberi perspektif baru: bahawa kehidupan ini bukan hanya tentang kesedihan, tetapi juga tentang pertumbuhan. Dan kita perlu ingat, setiap apa yang berlaku, pasti ada sesuatu yang Allah mahu kita pelajari. Sangka baik sahaja pada apa yang berlaku.

5. Menjadi Sahabat Kepada Diri Sendiri
- Melalui penulisan, kita akan mula belajar mendengar suara hati dan memberi sokongan kepada diri sendiri. Jika anda tidak percaya, anda boleh cuba menulis surat kepada diri anda — memuji kekuatan/kelebihan anda atau memberi semangat untuk hari esok. Anda juga boleh cuba membuat balang kesyukuran atau dikenali sebagai gratitude jar. Anda tulis perkara baik yang disyukuri hari tersebut pada sehelai kertas kecil dan masukkan dalam balang. Buat setiap hari. Dan bila mood ‘ke laut’, buka balang tersebut dan ambil beberapa keping kertas dan baca kembali nikmat-nikmat yang Allah berikan pada hari tersebut. Perlahan-lahan, kita akan mula berfikir, betapa banyaknya nikmat Allah berikan sebelum ini yang kita terlupa (itu yang kadang-kadang saya buka juga balang ‘Penawar Buat Sanubari’ bila sedih, hati tak tenang, takut, menyesal atau terasa hidup ini sukar).


Tip memulakan jurnal untuk emosi
  • Gunakan buku khas yang anda suka sentuh dan lihat.
  • Luangkan 5-10 minit sehari — waktu pagi atau sebelum tidur.
  • Tulis dengan bebas, jangan risau tentang ejaan, tatabahasa atau bentuk tulisan.
Gunakan soalan panduan seperti:

Apa yang membuatkan saya rasa sedih hari ini?
Apakah 3 perkara yang saya syukuri hari ini?
Apa yang saya boleh lakukan untuk memanfaatkan diri?

Untuk memudahkan proses anda menulis dan menghilangkan rasa sedih, anda boleh cuba dapatkan jurnal kesyukuran di EkspresiSyukur.

Kesedihan dan kebimbangan adalah sebahagian daripada hidup, tetapi ia tidak perlu terlalu menguasai kita. Boleh sedih, boleh bimbang, tapi janganlah terlalu lama. Melalui penulisan jurnal, wanita berusia 35 tahun dan lebih boleh menemukan kekuatan dalam kelembutan hati mereka — dan perlahan-lahan membina kembali kebahagiaan dari dalam diri. Hidup ini singkat, maka nikmatinya dengan seadanya dan jangan biarkan perkara negatif menguasai diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...