Assalammualaikum & salam sejahtera. Malam tadi, bila tengok medsos Global Sumud Flotilla dan saluran berita nasional, katanya kapal akan mula belayar masuk zon kuning dalam jam 9.15 malam (waktu Malaysia). Risau juga rasa hati masa tu. Suami yang baru balik kerja dan keluar bilik air lepas berwuduk, saya maklumkan. Dia pandang jam dan diam. Kami solat isyak berjemaah dan bila rakaat akhir, rupanya suami baca doa qunut nazillah. Rupanya dia risau juga tapi pada Allah kami minta semua pelayar tidak menghadapi ancaman yang merbahaya.
Dan pagi tadi, bila dah buka phone, saya lihat di IG, Nadir Al-Nuri maklumkan mereka dah nak sampai ke konvoi kapal-kapal lain. Dari kepekatan malam, nampak sinaran cahaya seperti kelip-kelip di kejauhan. Itulah kapal-kapal GSF. Dan tadi, bila masak, dengar Youtube. Kapal dinaiki ZRA ada masalah enjin yang teruk. Tidak boleh belayar. Jadinya terpaksa ditarik oleh kapal lain yang berhampiran.
Dan sekarang, jam 6.30 petang waktu Malaysia, kapal-kapal GSF sudah belayar separuh dari zon kuning yang ditanda. Khabar dari berita MAPIM tadi, mungkin, jika tiada aral, kapal-kapal GSF akan masuk ke zon merah dalam 23 jam dari sekarang.
Zon merah ini mereka bahagikan kepada 3 bahagian juga. Bahagian pertama, area kawasan kapal Madleen, Handala dan Mavi Marmara pernah ditahan. Bahagian kedua pula, di penghujungnya, kapal Rachel Corrie pernah ditahan. Bahagian ketiga pula, bahagian yang semakin hampir dengan Gaza, iaitu mengikut perkiraan Sumud tracker, mengambil masa 1 hari 9 jam untuk sampai ke persisiran pantai Gaza.
Dalam seminggu ini, pastinya semua mata penduduk dunia yang mengikuti perkembangan di Palestin, Gaza dan Global Sumud Flotilla akan melihat apakah para belayar dapat belayar dengan selamat atau sebaliknya. Namun, setiap orang pastinya mendoakan para pelayar selamat dan lebih-lebih lagi bantuan dapat disampaikan pada penduduk Gaza yang memerlukan. Ya Allah, lindungi mereka semua, kasihanilah mereka semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan