Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

10 sebab adakala orang dewasa sukar untuk bersyukur

Rasa syukur adalah salah satu nilai murni dalam agama dan budaya kita. Ia menjadi kunci ketenangan hati dan kesejahteraan hidup. Namun, dilihat ramai orang dewasa sukar untuk benar-benar menghayati rasa syukur dalam kehidupan seharian. Ini dapat dilihat melalui beberapa faktor penyumbang yang membuatkan mereka kurang bersyukur atau sukar bersyukur. Hasil penemuan yang ingin dikongsikan ini ditemui berdasarkan daripada kajian yang dijalankan oleh beberapa buah universiti dan badan berautoriti seperti University of California, University of Pennsylvania, Harvard Health Publishing dan Universitas Yudharta Pasuruan. Hasil kajian mereka menunjukkan ‘ada sebab’ mengapa orang dewasa yang dikira matang sukar untuk bersyukur dalam satu-satu situasi.



Di sini, saya senarai 10 sebab mengapa orang dewasa sukar atau kurang untuk bersyukur. Dan jika dalam senarai ini ada pada diri kita sendiri, akui dan berusahalah untuk perbaiki.

  1. Terlalu fokus kepada apa yang belum dimiliki: Ramai orang dewasa cenderung memikirkan apa yang mereka belum capai — pekerjaan yang lebih baik, rumah lebih besar, kewangan lebih kukuh, pasangan yang sempurna. Fokus yang berlebihan pada kekurangan ini membuat mereka lupa untuk menghargai nikmat yang sudah sedia dimiliki. Kita berasa cemburu akibat frasa ini, ‘Aku juga dah bekerja keras tapi kenapa tak dapat seperti dia?’
  2. Tekanan hidup yang berterusan: Tanggungjawab membesarkan anak, membayar hutang, menjaga ibu bapa, serta beban kerja menyebabkan ramai berada dalam keadaan tertekan. Tekanan yang berterusan tanpa rehat yang diperlukan membuatkan mereka sukar berhenti sejenak untuk merenung dan bersyukur. Kita sendiri ada waktu mengalami situasi ‘burn-out’. Apa yang penting, ita perlu belajar untuk berehat seketika dan minta bantuan Allah.
  3. Kecenderungan membandingkan diri dengan orang lain: Dengan adanya media sosial, perbandingan menjadi lebih mudah dan lebih kerap. Melihat pencapaian, gaya hidup, atau kebahagiaan orang lain boleh menimbulkan rasa iri hati yang menenggelamkan rasa syukur terhadap nikmat sendiri yang dimiliki. Sebenarnya kita ada apa yang mereka tidak ada cuma kita sendiri yang membiarkan diri hanyut dengan cemburu tanpa sempadan.
  4. Tidak ada masa untuk merenung dan refleksi diri: Jadual yang sibuk, kerja yang seperti tidak ada hentinya, membuatkan orang dewasa kurang ruang untuk berfikir mendalam dan tenang. Tanpa masa untuk merenung dan menghargai, kita jarang menyedari nikmat harian yang sering dianggap biasa. Sebagainya contoh, kita lupa untuk hargai sepasang mata yang membuatkan kita mudah untuk melihat, membaca dan memudahkan pergerakan (lihat mereka yang buta, pasti mereka bergerak dengan hati-hati).
  5. Pengalaman silam yang menyakitkan: Trauma, kekecewaan, atau pengkhianatan boleh meninggalkan kesan mendalam pada hati. Orang dewasa yang pernah terluka, tersakiti, teraniaya mungkin sukar mempercayai bahawa hidup masih penuh dengan nikmat yang patut disyukuri. Ingatkan diri, Allah ambil sesuatu adalah untuk menggantikan sesuatu yang lebih baik. Kuncinya? Sangka baik pada Allah.
  6. Sikap merasa layak (entitlement): Ada yang beranggapan mereka “patut” memiliki lebih baik dalam hidup. Sikap ini membuatkan kita akan sering marah-marah dan rasa tidak cukup. Bukan itu sahaja, sikap ini menjadikan apa yang sudah ada kelihatan tidak mencukupi dan ini menghalang rasa syukur dan berterima kasih untuk tumbuh subur di dalam hati.
  7. Tidak terbiasa mencari hikmah dalam setiap yang berlaku: Orang dewasa sering dilatih menyelesaikan masalah dengan logik dan praktikal. Namun, tanpa latihan untuk merenung hikmah di sebalik setiap peristiwa atau tragedi, mereka jarang melihat kebaikan yang tersembunyi di dalam kesusahan. Ini banyak berlaku pada orang dewasa yang berhadapan dengan masalah kesihatan mahupun perpecahan keluarga.
  8. Nikmat harian dianggap biasa: Kesihatan, makanan, air bersih, tempat tinggal selesa, anggota badan boleh bergerak, tiada peperangan, tiada kemelaratan — semua ini kerap dianggap perkara biasa. Sikap terbiasa (normalisasi) menjadikan kita tidak sedar bahawa semua itu adalah nikmat yang sangat besar. Kita sendiri akan akui bilamana tahap kesihatan diuji atau paling mudah contohnya seperti sakit gigi. Bila gigi sakit, apa kerja pun tak dapat dibuat dengan tenang, hendak makan pun tidak boleh, tidur nyenyak jauh sekali.
  9. Salah faham tentang makna syukur: Ada yang menganggap bersyukur sama dengan pasrah tanpa usaha, atau takut kehilangan cita-cita. Hakikatnya, syukur bukan penghalang kemajuan, tetapi landasan untuk terus berusaha dengan hati yang tenang dan tawakal. Bersyukur membuatkan kita lebih yakin bahawa banyak nikmat yang Allah beri PERCUMA cuma kita lupa. Lupa untuk fokus kepada perkara-perkara baik yang berlaku setiap hari.
  10. Kurangnya pendedahan kepada latihan atau amalan bersyukur: Orang dewasa jarang didorong untuk menulis jurnal kesyukuran atau menghadiri bengkel pengurusan emosi. Tanpa latihan khusus, ramai tidak tahu cara membina kebiasaan bersyukur secara sengaja. Selalunya kita hanya beranggapan mengucap syukur, Alhamdulillah aje sudah perlu. Tapi sebenarnya konsep bersyukur sangatlah luas dan beraneka cara.

Kesedaran tentang hal-hal ini penting supaya kita dapat mengubah sikap dan mula menumbuhkan rasa syukur dalam kehidupan. Bersyukur bukan hanya tentang mengucap “terima kasih”, “Alhamdulillah” — ia adalah latihan hati untuk melihat kebaikan yang diterima di sekeliling kita bermula dari kita masih kecil sehinggalah dewasa sekarang. Allah juga berfirman dalam surah Al-Nahl ayat 78, “Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.

Dengan memahami sebab-sebab orang dewasa sukar untuk bersyukur ini, kita boleh berhenti sejenak dan muhasabah diri bahawa apapun yang berlaku kepada kita, ada sebab tersendiri yang Allah mahu kita hadapi. Allah mahu kita sabar, kuatkan diri, berusaha, berdoa, bertawakal dan mengalihkan persepsi negatif kepada positif bukan untuk orang lain tapi untuk diri kita sendiri. Ambillah contoh seperti apa yang berlaku di Gaza. Mereka hadapi banyak kesukaran, kekurangan, kesakitan, kebuluran, tapi mereka tetap berusaha untuk meneruskan hidup, sabar dengan ujian Allah dan yakin yang Allah sentiasa bersama mereka. Ungkapan yang sering diucapkan bagi menguatkan diri mereka bila ditimpa musibah adalah ucapan doa Nabi Ibrahim a.s iaitu ‘Hasbunallah Huwani’malwakil‘ bermaksud Allah sahajalah sebaik-baik wakil (pelindung).

Ingatlah! Jiwa kita jika sentiasa bersyukur lebih banyak mendatangkan kebaikan dalaman berbanding jika kurang bersyukur. Ingatlah akan ujian hidup yang dihadapi oleh rakyat lain di negara bergolak ataupun anak yatim yang tiada ibubapa agar rasa penat, letih, tak puas hati, cemburu dapat dipadamkan dengan segera. Berbuat baiklah sesama insan dan makhluk lain. Tanamkan tekad ini bahawa kebaikan itu akan datang kembali pada kita seperti janji Allah. “Bukankah tidak ada balasan untuk kebaikan kecuali dengan kebaikan (juga)? Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustakan?” (Ar-Rahman 55: 60)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...