Assalammualaikum dan salam sejahtera. Beberapa hari ini dunia digemparkan dengan demostrasi besar di seluruh Itali. Tidak lama kemudian, 24 September tarikh di Malaysia, lebih dari 10 dron telah mengganggu para peserta / aktivis Global Sumud Flotilla berhampiran perairan Greece. Beberapa kapal mengalami sedikit kerosakan, beberapa objek tidak dikenali dijatuhkan oleh dron dan komunikasi terganggu buat beberapa ketika di antara kapal-kapal. Ini membuatkan bukan sahaja Malaysia tetapi seluruh masyarakat antarabangsa berasa tidak puas hati dan risau akan keselamatan para aktivis. Namun begitu, para aktivis menyatakan bahawa semua itu telah dijangka akan berlaku sebaik sahaja mereka semakin hampir dengan zon kuning menuju Gaza. Pelbagai serangan bakal dihadapi sebaik menghampiri perairan. Cuma mereka merasakan, kali ini, si zalim bertindak lebih jauh di mana para aktivis / pelayar Sumud masih jauh dari zon kuning. Mereka bertindak di perairan antarabangsa yang sepatutnya tidak ada gangguan.
Memetik laporan Al-Jazeera, aktivis / pelayar dari Brazil, Tiago Avila, memaklumkan di Instagram tengah malam Rabu bahawa sepuluh serangan mensasarkan beberapa buah kapal dengan bom bunyi dan suar letupan, malah disembur bahan kimia yang disyaki serbuk pemedih mata. Aktivis dari Amerika Syarikat, Greg Stoker berkata, kapalnya di perairan Crete turut menjadi sasaran. “Kapal kami diserang oleh dron yang menjatuhkan bebola kecil di dek. Beberapa kapal lain turut mengalami hal yang sama. Radio VHF kami diganggu dan mereka mula memutarkan lagu Abba,” katanya di Instagram.
Melihat kepada apa yang berlaku pada para aktivis dan rakyat Itali yang berada di atas kapal bagi melakukan misi kemanusiaan ini, kerajaan Itali tidak sampai 24 jam telah menyatakan kesediaan untuk melindungi para peserta di sepanjang pelayaran di kawasan laut terbuka di Lautan Mediterranean. Mereka bukanlah sepanjang perjalanan menemankan cuba sehingga ke sempadan yang mereka rasa perlu bagi memastikan tiada lagi dron-dron pengacau mengganggu orang awam yang hanya menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan serta susu bayi.
Si zalim ni ada bagi idea agar barang bantuan diserahkan di pelabuhan Askelan dan nanti mereka distributekan ke orang Gaza. Kau ingat kita orang nak percaya sangat ke. Selama ni barang bantuan korang sekat kat pintu masuk Rafah, lori yang bawa bekalan korang bom, kanak-kanak, wanita, orang dewasa yang bawa tepung ditembak, segala bentuk makanan hatta susu bayi korang sekat itu belum lagi barang bantuan korang bagi orang awam ambil percuma gitu aje (lately viral barang makanan asas puak zalim ni bawak balik dan agihkan ke rakyat depa).
Para aktivis kemanusiaan ini tahu mereka berhadapan dengan puak yang paling tak makan saman di dunia dan al-Quran serta sirah telah menyatakannya. Cuma, atas perikemanusiaan dan tidak mampu lagi melihat orang atasan membiarkan perkara jahat ini berterusan, mereka mengambil inisiatif sendiri untuk membantu meskipun nyawa sendiri jadi taruhan. Pada saya, mereka semua orang yang berani. Berani mati. Jika dilihat, prinsip mereka lebih murni berbanding dengan puak si zalim yang hanya menyatakan merekalah 'the chosen one' (beberapa hari ni, banyak negara telah mengiktiraf Palestine sebagai sebuah negara termasuklah UK, Perancis, Belgium dan Canada kerana mereka sudah tidak mampu lagi bersekongkol dan melihat orang mati kelaparan serta pembunuhan beramai-ramai). Kiranya sekarang, bila makin banyak negara mengiktiraf (sudah lebih 150 negara), si zalim sudah semakin panas punggung.
Dan semalam, 25 September, kerajaan Sepanyol menyatakan kesediaan menyediakan satu kapal tentera laut mereka untuk memantau pergerakan keselamatan para aktivis pelayar GSF. Maha Suci Allah, ia sesuatu yang tidak dirancang oleh aktivis. Mereka berasa sedikit lega melihat kesanggupan 2 negara untuk melindungi mereka di sepanjang perairan antarabangsa (sebaik sahaja 2 negara ni menyatakan pendirian mereka, dron-dron berkurangan menggganggu pelayar sumud).
Dan hari ini, 26 September, kelihatannya di media sosial, kapal perang dari Itali sudah dapat dilihat oleh beberapa kapal sumud menghampiri mereka. Di media sosial juga kelihatan tentera laut Sepanyol sedang sibuk memasukkan barang mentah ke kapal dan mungkin petang atau malam nanti waktu Malaysia, mereka akan belayar.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Moga para aktivis Global Sumud Flotilla dilindungi Allah dan Allah bantu mereka di Gaza juga. Moga syahid dan syurga tertinggi buat mereka yang telah pergi lebih awal sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan