Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Rencana Allah pada kita adalah yang terbaik?


Rencana Allah pada kita adalah yang terbaik? Pastinya persoalan ini pernah berlegar dalam fikiran kita di saat waktu tertentu. Soalan seperti ini muncul apabila kita sedang menghadapi ujian hidup atau konflik yang rasa tak tertanggung oleh diri. Bila kita teramat sedih, terpaksa menanggung rasa sakit yang berat, hutang keliling pinggang, sudah berusaha semampunya tapi seperti tiada jalan keluar dan macam-macam lagi masalah datang menghambat diri, kita akan rasa sangat ‘down’. ‘Down’ yang tak tahu bagaimana hendak luahkan dan gambarkan. Perasaan itu seolah mencengkam kuat dalam dada hingga buat tidur tak lena, hilang fokus, sakit dada, pening, tak sihat, termenung dan cepat marah.

Saya sendiri mengakui ada beberapa kali tertanya soalan ini pada diri sendiri. Bila masalah diluar kawalan atau tak terjangka berlaku, soalan ini muncul. Pernah saya suarakan pada suami dan dia jawab, “Tak baik fikir macam tu’. Abis tu nak fikir macam mana lagi kan? Soalan itu muncul tanpa kita tahu ia akan muncul. Kita pula sedang stres, sudah tentu fikit macam-macam.

Dan mungkin setelah puluhan tahun pelbagai masalah menimpa, saya sudah mula perlahan-lahan berjaya untuk kawal diri. Mungkin ianya datang dari pengalaman diri, datang dari pembacaan, datang dari perkongsian ilmu di medsos dan ilham dari Allah. Semua jalan penyelesaian bagi masalah yang datang bukanlah datang sekaligus tapi berfasa. Bilamana umur sudah menjangkau 40 tahun ini, pengalaman mengajar saya untuk banyak bersangka baik pada Allah, bersabar dan berusaha mencari jalan penyelesaian dalam ruang lingkup dibenarkan Islam.

Jika 22 tahun lalu saya pernah ‘didatangi’ ujian hebat berkaitan iman, 13 tahun lalu ujian anak pula muncul dan kini bila ada ujian lain datang dalam bentuk berbeza pula, perlahan-lahan tapi yakin, saya akan merujuk kepada al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Firman Allah di dalam al-Quran adalah ubat bagi segala penyakit dan permasalah yang berlaku dalam dunia, negara, keluarga mahupun individu. Allah sendiri berfirman dalam surah al-Baqarah untuk menguatkan hati kita bila ditimpa musibah dengan berfirman, “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagi kamu; dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui,” (ayat 216)

Ya, ayat ini antara banyak ayat yang saya pegang hingga sekarang bila hadapi rencana Allah yang tak terduga. Antara ayat lain dalam al-Quran yang disarankan kita berdoa bila hadapi musibah ialah, “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami rahmat dari sis-Mu dan berilah petunjuk yang benar dalam urusan kami.” (Surah al-Kahf 18: 10) dan juga amalkan istighfar kerana Allah berfirman, “Dan hendaklah kamu beristighfar kepada Tuhan kamu (daripada perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu bertaubat kepada-Nya agar Di memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu. Manakala (di akhirat pula) Dia akan memberikan setiap orang yang mempunyai kelebihan (dalam melakukan amal soleh) pahala kelebihannya itu.” (Surah Hud 11: 3). Jika kepada Allah kita rujuk resah hati dan masalah diri, pada siapa lagi yang selayaknya patut kita luahkan?


Saya syukur, dalam fasa untuk kembali sihat selepas sakit, saya ‘ditemukan Allah’ dengan buku rujukan hadis yang bagus. Saya ‘berkenalan’ dengan Riyadhus Shalihin, 300 Hadis Bimbingan, Hadis Sifat 20, 40 Hadis Akhir Zaman dan al-Quran terjemahan yang dilengkapi juga dengan hadis (hadis tersebut ada kaitan dengan ayat al-Quran yang dibaca). Daripada hadis-hadis ini, saya cuba bertahan untuk melawan bisikan negatif, saya belajar untuk yakin apa yang diucapkan dari mulut Nabi s.a.w dan juga melalui buku-buku ini, mata dan minda saya lebih memahami Islam (dulu bukan tak faham cuma ilmu terlalu cetek). Bila ujian Allah itu datang, antara 5 hadis yang saya sering pegang (hadis ada beribu, anda pilihlah mana yang selesa dengan anda):
  1. Daripada Anas Bin Malik r.a, Nabi s.a.w bersabda; “Permudahkanlah, janganlah menyusahkan, tenangkanlah dan janganlah melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri dari kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  2. Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w bersabda; “Siapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan, nescaya Allah mengujinya.” (Riwayat al-Bukhari)
  3. Daripada al-Hasan bin Ali bin Abu Talib r.a, Nabi s.a.w bersabda; “Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran adalah ketenangan dan pembohongan adalah keraguan.” (Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad)
  4. Daripada Salman al-Farisi, Nabi s.a.w bersabda; “Sesungguhnya Allah amat malu dan Maha Mulia. Adalah suatu yang memalukan bagi Allah apabila seseorang insan mengangkat dua tangannya, lalu Allah menolaknya kosong dan rugi.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
  5. Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda; “Allah berfirman: ‘Wahai anak Adam! Luangkanlah dirimu untuk beribadat, nescaya Aku akan penuhkan dadamu dengan kecukupan, dan Aku menutup kefakiran kamu. Jika kamu tidak melakukannya nescaya Aku membuatkan diri kamu sentiasa dalam keresahan dan Aku tidak menutup kefakiran kamu’.” (Riwayat al-Tirmizi)
Hadis-hadis ini secara tidak langsung menjadi penguat semangat bila hati down sangat, risau dan perasaan berbolak-balik. Secara halus, Allah memperingatkan diri bahawa ujian yang sedang dihadapi ini ada hikmahnya. Allah tidak suka-suka untuk menyusahkan kita. Ada ilmu dan manfaat yang bakal kita peroleh akan datang. Waktunya? Hanya Allah yang tahu bila.

Selain daripada al-Quran dan hadis, buku-buku motivasi, kisah sahabat Nabi dan alim ulama serta travelog hidup orang lain turut membantu saya untuk bersabar dan bersangka baik dengan rencana Allah yang unpredictable. Sebagai contoh, buku yang sangat dekat di hati saya adalah buku Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia. Kisah perkongsian tentang Nabi s.a.w, sahabat Nabi dan orang alim zaman dahulu sangatlah membuka hati dan jiwa saya bahawa akhlak mereka sangatlah bagus sehingga mampu memberi pengajaran sehinggalah kepada umat sekarang. Antara sub tajuk dalam buku yang saya suka baca dalam buku ini ialah celaan membakar semangat, musibah membawa tuah, sederhana dalam membenci, prasangka menutupi kejayaan, semua ilmu penting dan menjadi kismis sebelum menjadi anggur. Buku ini menunjukkan secara tidak langsung bahawa Rasulullah s.a.w diutuskan adalah untuk menjadi penyelamat bagi umat manusia daripada tenggelam dalam nafsu dan kehinaan.


Buku motivasi saya tidaklah terhad kepada agama sahaja. Saya ada juga membaca genre umum. Saya turut menambah ilmu dan baiki kekurangan diri melalui buku karya penulis Inggeris, Indonesia, Korea dan lain-lain. Lain orang, lain masalah dan ragam yang dihadapi namun cara mereka membina kembali semangat diri sangatlah mengagumkan. Anda cuba baca karya Dale Carnegie, David J. Schwartz, HAMKA, Pramoedya Ananta Toer, W.S. Rendra, Dunia Shuaib, Janice Kalpan, John Kralik dan penulis lain yang membawa genre motivasi ini. Membaca perkongsian kisah mereka dan orang lain dalam buku-buku mereka secara tidak langsung kita sedang mencari antidot untuk kesihatan jiwa, mental dan fizikal sendiri.

Novel yang bagus adalah membawa pembacanya kepada ilmu yang baik serta bermanfaat, membangunkan jiwa pembaca secara tidak langsung dan mendidik pembaca menjadi manusia yang berguna. Jika anda ada mengalami masalah was-was, tak yakin pada diri dan banyak aura negatif dalam diri tapi tidak begitu suka membaca buku motivasi, cuba baca novel karya Ramlee Awang Murshid berjudul Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi, Sutera Bidadari, Adam, Ranggau dan trio Tombiruo. Anda secara tidak langsung akan lari keluar dari aura negatif dalam diri dan berusaha untuk bangkit kembali. Gaya penulisan beliau dalam novel ini mampu mengalih rasa dan fikiran negatif kepada positif. Ada satu perenggan dalam Bagaikan Puteri membantu saya mengingatkan bahawa sesukar manapun hidup kita, kita ada Allah tempat meminta bantuan dan meluah segalanya. Jika anda membaca novel Inggeris, cuba baca novel Alchemist karya Paulo Coelho. Bait-bait perenggan dalam buku ini mengajak pembaca untuk sentiasa bersangka baik, tidak takut mencuba perkara baru, berani kerana benar, tidak mudah putus asa dan membantu membuka kunci ketakutan yang ada dalam diri dan berusaha untuk bangkit kembali. Bila baca novel ni, kita terinspirasi untuk bangkit seperti karektor budak lelaki bernama Santiago tu.

Antara novelis Melayu yang anda boleh baca buku inspirasi mereka untuk membangkitkan kembali jati diri, semangat positif dan percaya kepada Allah adalah seperti Hilal Asyraf, Norhayati Berahim, Noor Suraya, Teme Abdullah, Andrea Hirata, Tere Liye, Ahmad Fuadi dan lain-lain. Jika novel Inggeris, ada banyak yang bagus cuma pastinya ada terselit sikit ‘adegan ringan’ dalam bukunya. Apa yang pasti, anda boleh baca ulasan pembaca di Goodreads atau mana-mana aje di Internet ni.

Jika ada persoalan dalam diri yang menanyakan kembali adakah rencana Allah pada aku ini adalah yang terbaik, sila tenangkan diri dan cari sumber-sumber yang mampu membuatkan anda mengalih rasa negatif kepada positif. Sukar? Saya faham kerana bertahun saya alaminya tapi percayalah, anda cuba cara saya ini. Sekurang-kurangnya membantu anda untuk mengalih fikiran yang berserabut kepada yang lebih menenangkan. Solat, bersedekah, mengaji, beriadah, bersenam, memasak, menulis jurnal kesyukuran, berbual dengan keluarga, bertani, bertafakur, itupun anda boleh amalkan selagimana mampu membantu kita untuk percaya bahawa hidup ini tidak ada yang sia-sia. Setiap orang ada peranan masing-masing. Ingat! kita merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah itu lebih baik. Ia tidak datang sekaligus tetapi fasa demi fasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...