Tentu anda semua pernah terdengar atau ada membaca tentang kisah Rasulullah SAW yang telah ke kota Taif untuk mendapat perlindungan tetapi penduduk di situ mencaci dan mencederakan Baginda dengan balingan batu. Kali ni saya nak kongsikan kisah Baginda yang sungguh mulia ini bagaimana Baginda membalas kejahatan atau hinaan dengan doa Baginda yang akhirnya membawa keberkatan sehingga Baginda wafat. Kisah ini baru sahaja saya refresh dengan membaca buku karya Syed Alwi Alatas, "Mudahkan Jangan Susahkan".
Baginda telah ke Taif untuk berdakwah. Ketika itu Baginda baru sahaja kehilangan isterinya Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Kerana tiada perlindungan di Mekah, maka Rasulullah SAW pergi ke kota Taif dengan harapan para pemuka kota itu boleh menerima Baginda untuk menyampaikan seruannya. Tetapi yang diterima adalah sebaliknya.
Sewaktu Baginda ke sana bersama anak angkatnya, Zaid Bin Haritsah untuk bertemu dengan 3 pemuka kota itu, antaranya Abd Yalail, tidak seorang pun daripada mereka yang sudi menerimannya. Baginda cuba pula berbincang dengan para pemuka kota Taif yang lain namun mereka juga tidak mahu menerimannya. Baginda malah diusir keluar dari kota itu. Dalam perjalanan keluar dari Taif, Baginda dibaling dengan batu dan dicaci maki oleh sekumpulan pemuda dan kanak-kanak. Zaid bin Haritsah berusaha sedaya upaya melindungi Baginda daripada balingan batu-batu namun, balingan batu itu terkena juga pada tubuh Baginda yang mulia sehingga luka dan berdarah.
Mereka hanya berhenti membaling setelah Baginda masuk ke sebuah kebun yang terletak 3 batu dari kota Taif. Di kebun itu Baginda duduk menenangkan diri. Kemudian baginda berdoa dengan doa yang menyentuh kalbu:
" Ya Allah! Sesungguhnya kepadaMu aku mengadukan kelemahan diriku, amat sedikitnya upayaku serta hinanya diriku di hadapan manusia, wahai yang Maha Pengasih di antara para pengasih!
Engkau adalah Tuhan orang-orang yang tertindaas, Engkaulah Tuhanku, kepada siapa lagi Engkau akan menyerahkan diriku? Kepada orang lain yang bermuka masam kepadaku? Atau kepada musuh yang telah menguasai urusanku?
Jika Engkau tidak murka kepadaku, maka aku tidak peduli, akan tetapi keampunan yang Engkau anugerahkan adalah lebih luas bagiku.
Aku berlindung dengan perantaraan Nur wajahMu yang menyinari segenap kegelapan dan yang kerananya urusan dunia dan akhirat menjadi baik. Agar Engkau tidak turunkan murkaMu kepadaku atau kebencianMu melanda diriku. Engkaulah yang berhak menegurku hingga Engkau menjadi redha. Tiada daya serta upaya melainkan keranaMu".
Selepas beberapa waktu Baginda berdoa, Baginda didatangi oleh 2 malaikat iaitu Jibrail dan malaikat penjaga gunung. Jibrail memberitahu baginda bahawa Allah telah mengutuskan malaikat penjaga gunung untuk diperintahkan oleh Baginda agar membalas kembali apa yang telah dilakukan oleh penduduk kota Taif. Namun perhatikan apa yang dikatakan oleh Baginda:
"Bahkan aku berharap pada Allah kelak akan lahir dari tulang sulbi mereka kaum yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu".
Itulah jawapan Baginda. Baginda telah disakiti dan dilukai. Namun Baginda tetap mendoakan kebaikan untuk mereka.
Dan ada satu lagi kejadian yang melibatkan penduduk kota Taif dengan Baginda iaitu selepas penaklukan kota Mekah pada tahun 8 hijrah. Ada para sahabat meminta agar didoakan dengan doa keburukan kepada penduduk kota Taif ini namun Baginda tidak melakukannya malahan Baginda mendoakan kebaikan. Baginda berdoa:
"Ya Allah, berilah petunjuk kepada orang Tsaqif (Taif) dan bawa mereka datang".
Dan Alhamdulillah, Allah memperkenankan doa Baginda setahun setelah kejadian tersebut. Penduduk Taif mula mahu memeluk Islam dengan keislaman yang baik.
Selepas habis membaca kisah ini, saya berharap Allah dapat memberikan saya secebis daripada kesabaran dan semangat Baginda kepada saya. Aminnn...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan