Firman Allah: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik).
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI

Brazilian Pastel de Carne, kudapan popular di Brazil yang semua bahannya ada di Malaysia

 

Pastel de carne, kudapan Brazil

Assalammualaikum dan salam sejahtera. Brazilian Pastel de carne adalah makanan jalanan (street food) yang sangat popular di Brazil. Ia sejenis kudapan pastri goreng nipis dan rangup, diisi dengan pelbagai bahan seperti daging kisar, keju, ayam, udang, atau pisang dengan coklat. Ia biasanya dijual di gerai pasar, terutama di “feira” (pasar mingguan tradisional Brazil). Saya terjumpa makanan kudapan Brazil ni masa sedang menonton Youtube tentang tempat-tempat menarik di Argentina dan Amerika Latin (kawan saya baru balik dari jalan-jalan di Argentina, Chile dan Brazil). Bila dah 'berjalan' dalam Youtube, secara tak langsung pemilik channel yang sharing info akan tunjukkan juga mereka makan apa dan apa yang menarik lagi di Amerika Latin. 

Mulanya saya nampak makanan orang peribumi mexico, Oaxaca, yang agak mudah dibuat. Namanya Tlayuda. Bahan nak buatnya boleh dapat lagi kat pasaraya besar. Cuma bab roti besar tu kita ganti dengan tortilla kita ajelah yang senang. Dan entah macam mana, saya tertengok tempat menarik di Brazil juga. Dan bila traveller tu makan street food yang dibawa oleh orang tempatan, saya macam excited nak cuba. Sebab bila dia terang inti bahan dan cara buat, 'Eh! macam senang'. So, saya searchlah makanan-makanan popular di Brazil yang orang patut cuba bila melancong. Dan rezeki, saya terjumpa kudapan pastel ni. Saya surveylah cara pembuatannya dan anda tahu, semua bahan nak buatnya ada kat Malaysia. Wow! Memang lagi terujalah nak cuba (nak pi Brazil macam takkan aje kan, so kita bawalah makanan Brazil masuk dapur).

Pastel ni, bila saya tonton satu Youtube, dia kata makanan ni asalnya bukan dari Brazil. Ia dari Jepun . Ia tercipta bila rakyat Jepun yang migrate ke Brazil pada tahun 1930-an. Untuk mencari rezeki, sebahagian daripada rakyat Jepun membuka gerai makanan kecil, dan mereka mula menjual sejenis makanan yang diinspirasikan daripada “gyoza” Jepun atau “spring roll” Cina.

Apabila mereka menyesuaikan resipi kepada citarasa tempatan. Mereka menggunakan kulit doh gandum nipis dan menggorengnya dalam minyak panas, lalu mengisi dengan bahan yang mudah didapati di Brazil iaitu keju, daging lembu, dan ayam. Dan lama-kelamaan, inti pastel ini jadi pelbagai mengikut peredaran zaman. 

Inti pastel saya, ada daging dan keju.

Pastel juga mendapat pelbagai versi mengikut negeri:
  • Pastel de carne (daging kisar)
  • Pastel de queijo (keju)
  • Pastel de frango com catupiry (ayam dengan krim keju)
  • Pastel doce (manis: pisang + coklat, dulce de leite)
Rasa pastel ni kalau ikutkan macam karipap kita aje cuma kulitnya ada letak cuka (sesetengah kedai di Brazil akan letak arak dalam 1-2 sudu gitu) dan saiznya besar (lebih kurang saiz novel kita). Doh pastel lebih lembut dan mudah koyak. Jadi, ada beberapa teknik kena hati-hati bila memasaknya. 

Ini saya kongsikan resipi Brazilian pastel de carne untuk anda cuba. Jika anda nak letak inti lain, terpulang. Anda boleh search di internet inti apa yang anda nak letak.

Bahan membuat kulit pastel

Bahan untuk kulit pastel (5 keping pastel besar):
800gm tepung gandum
8 sudu besar mentega
2 biji telur
2 sudu besar cuka
1/2 cawan air (tambah lagi jika perlu agar dapat menjadi doh)

Inti pastel Brazil


Bahan untuk inti pastel daging:
700gm daging cincang
4 ulas bawang putih dicincang
1 biji bawang besar didadu
1 biji tomato besar didadu
2 batang cili hijau dihiris
1/4 cili benggala dihiris
1 sudu besar jintan putih
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar lada hitam
Garam secukup rasa

Penyediaan:
1. Dalam satu mangkuk besar, masukkan semua bahan untuk membuat kulit pastil. Untuk air tu, masukkan dulu sedikit demi sedikit air bancuhan doh tidak terlalu lembik. Uli sebentar dalam mangkuk dan kemudian pindahkan atas table top atau papan penguli. Uli sehingga doh tidak melekat di tangan. Letak kembali dalam mangkuk dan tutup dengan kain atau plastik dan biarkan ia rehat dalam 1/2 jam.



2. Sementara tunggu doh rehat, kita buat inti pastel. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Setelah panas, masukkan daging cincang dahulu. Masak sebentar untuk hilangkan darah sedikit. Kemudian, masukkan bawang besar dan bawang putih. Kacau seketika dan biarkan ia masak.


3. Masukkan pula potongan tomato dan kacau. Masukkan cili hijau dan cili benggala. Kacau hingga semuanya mesra. 


4. Selepas itu, masukkan jinta putih, lada hitam, serbuk cili dan garam. Kacau dan kemudian rasa. Jika tawar, boleh tambah sedikit lagi garam. Jika dah ok, kacau sebentar dan tutup api. Angkat dan letakkan dalam pinggan untuk sejukkannya. 



5. Sediakan doh, keju dan inti di atas table top. Sediakan juga scrapper, pencanai dan garfu. Untuk mudahkan kerja membuat pastel. Sediakan juga dulang berlapik plastik untuk meletakkan pastel yang siap dibuat di atasnya. Fungsi plastik ini adalah memudahkan anda mengangkat pastel ketika sesi menggoreng. Doh pastel sangat elastik jadi ada ketika, ia akan terkoyak atau tepi pastel akan terbuka dan isi akan terburai keluar sama ada sebelum goreng atau masa menggoreng (saya dah terkena jadi saya tak nak anda pun terkena macam saya juga).


6. Taburkan sedikit tepung atas table top dan doh tadi potong dua. Kita uli separuh dulu. Uli doh pertama atas tepung dan leperkannya guna pencanai. Ketebalan kulit pastel ni lebih kurang 0.3cm atau jangan tebal or nipis sangat. Agak-agak aje. Potong kulit doh kulit pastel ni segi empat tepat untuk 2 potongan. Ia satu untuk bahagian bawah dan satu untuk penutup inti bahagian atas. 


7. Perlahan-lahan pindahkkan potongan pertama atas plastik di dulang. Jika kulit melekat di table top, gunakan scrapper atau pisau leper untuk angkatnya perlahan-lahan. Kemudian, letakkan isi daging di tengah dan letakkan keju di atas daging tersebut. 


8. Selepas itu, angkat satu keping lagi kulit pastel dan letak atas ini. Pastikan semua sisi boleh ditutup. Kemudian, ambil garfu dan letakkan sedikit tepung padanya. Guna garfu tadi untuk menekan sekeliling pastel agar ianya tertutup rapat semasa menggoreng. Lakukan proses ini sehingga pastel siap. Simpan dalam peti sejuk lebih kurang 5 minit. 

9. Untuk menggoreng pula,pastel sesuai untuk deep fry atau goreng terendam. Jadi, ambil satu periuk dan masukkan minyak masak dalam 1/3 ketinggian periuk. Panaskan minyak guna api sederhana. Keluarkan pastel dan sedia untuk menggoreng. Masukkan sekeping pastel dahulu jika periuk anda kecil. Masak perlahan-lahan dan terbalikkan jika bahagian bawah sudah masak kekuningan. Goreng seperti biasa dan kemudian angkat dan letakkan di atas relai besi. Goreng baki pastel yang lain. 


10. Setelah semuanya masak, boleh makan begitu sahaja pastel de carne ini semasa masih panas. Jika anda nak letak pencicah seperti sos atau sambal pun boleh (untuk orang Malaysia lah).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran

Pelengkap Kegembiraan: Jurnal Kesyukuran
Singkirkan rasa sedih, kecewa dan prasangka kepada rasa bersyukur dan bahagia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...