Assalammualaikum dan salam sejahtera. 1 Oktober lalu, kapal besar Conscience yang membawa 8 orang rakyat Malaysia dan lebih 90 orang aktivis pakar perubatan, media antarabangsa, ahli parlimen dan lain-lain mula belayar dari Itali menuju ke Ghazzah yang semakin hari semakin tenang keadaannya. Kapal ini sepatutnya belayar awal tapi oleh kerana telah disabotaj di beberapa bahagian kapal, kapal ini terpaksa menangguhkan pelayaran dan perlu diperbaiki. Namun, takdir Allah mengubah segalanya bulan September 2025.
Dalam pada semua mata menumpu perhatian pada para pelayar dan aktivis kemanusiaan yang belayar melalui GSF, Conscience dan Thousand Madleens telah berjaya merancang sesuatu. Doktor Fauziah yang kita semua sedia maklum merupakan wanita pertama Malaysia yang menyertai misi ke Ghazzah pada tahun 2016 dan beliau serta peserta lain seramai 12 orang telah diculik di perairan antarabangsa dan ditahan selama 42 jam di negara haram tersebut. Jika kita dengar podcast beliau di Youtube, kita akan rasa takut tapi bersemangat bila beliau berjaya mengharungi cabaran semasa atas kapal, ketika diculik dan ketika dalam tahanan. Pengalaman beliau yang satu ini bukan sahaja memberi motivasi kepada rakyat Malaysia yang lain tapi juga kepada orang awam di luar sana untuk sentiasa bersedia membantu bila pertolongan diperlukan dan perlu berani menghadapi kesukaran bila berhadapan dengan zionis yang jahat ini.
Jika sebelum ini, mata dunia tertumpu kepada para peserta Sumud yang berusaha memecahkan kepungan menuju ke Ghazzah dengan 42 buah kapal, kali ini mata kita tertumpu pula kepada kapal besar Conscience dan 8 kapal kecil Thousand Medleens (sebelum ini ada 10 buah kapal tapi mungkin ada masalah teknikal yang membuatkan 2 lagi tidak kelihatan di tracker). Jika diikutkan, pada berita Jumaat lepas, mereka yang menaiki Conscience boleh sahaja sampai ke pantai G pada hari Ahad tapi oleh kerana kapal-kapal kecil Thousand Madleens sedikit mengambil masa untuk ikut serta maka, kapten kapal menurunkan sedikit kelajuan agar mereka semua dapat seiring menuju ke pantai G.
Jika dilihat pada 6 Oktober ini, kesembilan-sembilan buah kapal sudah semakin menghampiri G.
Mereka sudah melepasi bandar Alexandria di Mesir di lautan antarabangsa. Jika tiada aral, mereka bakal sampai ke G dalam masa 2-3 hari lagi. Waktu ini, bukan mereka sahaja memerlukan doa-doa kita tetapi juga baki mereka yang masih lagi ditahan di penjara zionis dari kumpulan GSF.Kita semua bersyukur yang para aktivis Malaysia telah dibebaskan kesemuanya begitu juga dengan aktivis dari negara lain seperti Turki, US, UAE, Algeria, Morocco, Kuwait, Libya, Tunisia, Switzerland, Itali, Mauritania dan Jordan. Namun begitu, masih berbaki 328 aktivis GSF yang masih lagi ditahan terutama sekali para committee GSF seperti Greta, Thiago, Yasemin dan lain-lain. Bukan setakat ditahan, tapi mereka dibuli, didera dan dicederakan di dalam penjara tahanan. Mereka dinafikan hak-hak mereka untuk berjumpa peguam, makan, minum, air bersih dan lain-lain lagi. Pelbagai kisah penderaan mula diketahui orang awam seluruh dunia bermula daripada aktivis GSF dipintas sehinggalah mereka keluar dari penjara.
Itu baru sekelumit yang kita dengar dari para peserta yang 2 hari berada dalam tahanan. Belum lagi kita dengar mereka yang berada 5 hari dalam tahanan. Pastinya lebih terasa. Dan itu belum lagi kita dengar tahanan Palestin yang bertahun berada dalam penjara. Allah... kadang-kadang tak terungkap perasaan marah, sedih, geram, sesal melihat semua ini. Agaknya seperti ini jugalah kesakitan yang terpaksa dirasai oleh mereka yang awal-awal memeluk Islam di zaman Nabi s.a.w. Pelbagai penderaan dan pembulian terpaksa dihadapi.
Marilah sama-sama kita doakan anak kapal dan peserta dalam Thousand Medleens dan Conscience berjaya membelah lautan dan tiba di pantai Ghazzah. Moga bantuan dapat diberikan segera kepada rakyat G yang kesakitan dan kelaparan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan